Nik Elin Zurina & Tengku Yasmin Nastasha lwn. Kerajaan Kelantan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Nik Elin Zurina & Tengku Yasmin Nastasha lwn. Kelantan ialah sebuah kes pada 2023 berkenaan percanggahan undang-undang takzir gubalan Dewan Undangan Negeri Kelantan dengan undang-undang sivil di Kelantan, Malaysia. Secara khusus, kes ini berhasrat untuk mencabar sebilangan peruntukan dalam enakmen syariah negeri, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, yang dikatakan bercanggah dengan prinsip perlembagaan negara dan sistem undang-undang sivil, dan seperlunya dibatalkan. Secara am, kes ini berkisarkan kemungkinan percanggahan bidang kuasa penggubalan undang-undang antara Persekutuan dengan negeri.

Pendengaran mula dilaksanakan pada Ogos 2023, dan melibatkan Mahkamah Persekutuan di samping wakil badan-badan syariah dan sekular. Kes selesai pada 9 Februari 2024 dengan keputusan memihak kepada Nik Elin, menyebabkan 16 peruntukan dianggap terbatal kerana bercanggah dengan perundangan Persekutuan.

Kes ini menjadi kontroversi apabila pihak Islamis menganggap kes tersebut sebagai pencabaran terhadap sistem syariah negara secara keseluruhan, dan mendapat perhatian oleh pihak politik dan pertubuhan Islam.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Konflik perundangan dan kehakiman antara sistem syariah Islam dengan undang-undang sivil sekular di Malaysia ialah satu isu yang berlanjutan. Sejak pemindaan Perkara 121(1A) Perlembagaan pada 1988 yang menetapkan pemisahan antara kedua-dua sistem kehakiman, beberapa kes telah difailkan yang cuba mencabar dan merungkai pembahagian bidang kuasa antara kedua-dua sistem.[1] Pada 2021, satu kes serupa terdahulu, Iki Putra Mubarrak lwn. Kerajaan Negeri Selangor, berkesudahan dengan terbatalnya klausa enakmen jenayah syariah Selangor berkenaan liwat kerana disifatkan sebagai "undang-undang jenayah" yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa negeri dan syariah.[2][3]

Kes ini melibatkan dua orang pempetisyen, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, yang berhasrat untuk mencabar sebilangan peruntukan dalam enakmen jenayah syariah negeri Kelantan, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, atas hujah bahawa ia juga dilitupi oleh undang-undang sivil, dan pihak dewan undangan negeri (DUN) hanya berhak menggubal enakmen dalam "hal-ehwal sulit" berkenaan agama Islam.[4] Berdasarkan kenyataan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), ia disifatkan sebagai pencabaran terhadap kuasa DUN untuk menggubal undang-undang syariah berdasarkan Senarai Negeri, Jadual Kesembilan dalam perlembagaan persekutuan.[5]

Petisyen pencabaran difailkan pada 25 Mei 2022,[6] dan pencabaran mula didengar oleh pihak Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos 2023.[4] Prosiding lanjutan pula dilaksanakan pada 20 November, diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.[7] Menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebuah perbincangan Jawatankuasa Khas dijadualkan dibuat pada 4 Disember, dan boleh dijadikan platform perbincangan dengan Majlis Raja-Raja untuk mengusulkan penambahbaikan perundangan syariah.[8]

Keputusan[sunting | sunting sumber]

Pada 9 Februari 2024, keputusan akhir dibuat oleh Mahkamah Persekutuan, dan ia memihak kepada Nik Elin dengan persetujuan hampir menyeluruh (lapan menyokong, satu menentang). Satu-satunya hakim yang menentang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membantah dengan hujah bahawa kes yang dibawa tidak memberi makna kepada pempetisyen kerana tidak memiliki locus standi, yakni mereka sendiri tidak terkesan dengan undang-undang yang dicabar.[9] Kesudahannya, 16 daripada 18 peruntukan dianggap terbatal kerana bercanggah dengan perundangan Persekutuan.[6]

Reaksi[sunting | sunting sumber]

Nik Elin menyebut keputusan dibuat sebagai langkah untuk "mempertahankan kedaulatan negara", dan menyifatkannya sebagai panggilan terhadap badan perundangan negeri agar lebih berhati-hati dalam menggubal akta, tetapi tidak berhasrat untuk melakukan pencabaran serupa di negeri-negeri lain.[10] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata bahawa pihaknya akan melaksanakan perbincangan dan penyesuaian yang perlu untuk memperkasakan sistem kehakiman syariah.[11]

Sementara itu, pihak berhaluan kanan menyifatkan keputusan ini sebagai keburukan buat perundangan syariah serta orang Islam di Malaysia secara am atas potensi pencabaran lanjutan terhadap undang-undang syariah lain di Malaysia, dan digelar oleh mereka sebagai "Jumaat Hitam" kepada orang Islam di Malaysia.[12][13] Dewan Ulamak PAS meluahkan kebimbangan terhadap pencabaran lanjutan oleh mereka yang tidak senang dengan undang-undang syariah.[14] Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menyifatkan keputusan kes ini "memperlihatkan adanya kelompongan serius" dalam sistem undang-undang, dan berhasrat untuk menghadap pihak diraja untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dan mengemukakan langkah pemerkasaan yang perlu.[15]

Di Kelantan, pihak kerajaan meluahkan kekecewaan terhadap keputusan tersebut, dan berhasrat untuk menyelesaikan masalah terbabit seperti menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti kes terbabit, dan berunding dengan pihak kerajaan bagi tindakan lanjut.[16]

Reaksi[sunting | sunting sumber]

Hujah kehakiman[sunting | sunting sumber]

Mohamed Haniff Khatri dari Persatuan Peguam Muslim Malaysia berhujah bahawa pencabaran ini adalah tidak berwajaran dengan hujah bahawa pempetisyen gagal membuktikan bahawa Enakmen adalah tidak selari dengan prinsip perundangan syariah, dan undang-undang syariah masih dapat bertindan dengan undang-undang sivil tanpa perlu dibatalkan. Sementara itu, wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula berhujah bahawa Perkara 4 Senarai Persekutuan menyebabkan undang-undang jenayah Persekutuan tidak boleh diperluaskan kepada aturan Islam dalam bidang kuasa negeri di bawah Senarai Negeri.[17]

Penentangan[sunting | sunting sumber]

Kes ini mendapat penentangan kuat oleh pihak haluan Islamis yang menyifatkan kes tersebut sebagai pencabaran terhadap sistem kehakiman syariah Malaysia secara keseluruhan. Pada 20 Disember, hari pendengaran kedua kes, sebuah perhimpunan telah dianjurkan di hadapan Mahkamah Persekutuan untuk memprotes kes tersebut yang didakwa menggugat undang-undang syariat negara.[18]

Dalam sidang Parlimen, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) membantah penentangan tersebut, dan berhujah bahawa ia merupakan persoalan bidang kuasa perundangan pihak serta percanggahan dengan Persekutuan, dan tidak melibatkan perihal substantif sistem syariah negara.[19] Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda pula meluahkan kebimbangan terhadap pemergunaan kes sebagai bahan politik oleh kedua-dua belah pihak sehingga mengaburi pemikiran dan kaca mata rakyat.[20]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Development of conflict of jurisdiction between civil and syariah court" (PDF). UiTM International Conference on Law & Society (dalam bahasa Inggeris). Shah Alam: 89–91. 2021.
  2. ^ Iki Putra Mubarrak v. Kerajaan Negeri Selangor & Anor, [2021] 3 MLRA 284, elaw.my
  3. ^ Saadiah Ismail (19 Mac 2021). "Kes Iki Putra: 200 peguam gesa pindaan Perlembagaan". Berita Harian. Dicapai pada 22 November 2023.
  4. ^ a b "Apex court nine-man bench hears legal challenge seeking to declare 20 Syariah criminal offences unconstitutional". Sinar Daily (dalam bahasa Inggeris). 2023-08-17. Dicapai pada 2023-11-20.
  5. ^ "Kerajaan akan sentiasa pertahan institusi kehakiman syariah". Sinar Harian. 2023-08-07. Dicapai pada 2023-11-20.
  6. ^ a b Siti Noor Faezah Muda (2024-02-10). "Pelbagai reaksi keputusan petisyen Nik Elin". Sinar Harian. Dicapai pada 2024-02-10.
  7. ^ Noor Azlida Alimin (2023-11-19). "Pendengaran petisyen cabar Enakmen Syariah di Mahkamah Persekutuan esok". Sinar Harian. Dicapai pada 2023-11-20.
  8. ^ "Jangan cuba 'tunggang agama' isu petisyen cabar Enakmen Syariah Kelantan - Anwar". Sinar Harian. 2023-11-21. Dicapai pada 2023-11-21.
  9. ^ Suraya Roslan; Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid (2024-02-09). "Nik Elin dan anak 'busybody', tiada locus standi - Hakim Besar Sabah dan Sarawak". Harian Metro. Dicapai pada 2024-02-10.
  10. ^ Suraya Roslan; Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid (2024-02-09). "'Walaupun dikutuk, dikeji dan dilaknat, ini demi kebaikan Malaysia' - Nik Elin Zurina". Harian Metro (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-02-10.
  11. ^ "Menteri: Mahkamah Syariah kekal utuh, pemerkasaan diteruskan". Malaysiakini. 2024-02-09. Dicapai pada 2024-02-10.
  12. ^ Mohammad Arif Nizam (2024-02-09). "Keputusan Mahkamah Persekutuan sejarah hitam umat Islam - LEDAK". MalaysiaGazette (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-02-10.
  13. ^ "Jumaat yang 'hitam' terhadap undang-undang syariah Islam — Takiyuddin Hassan". Majoriti.com.my. 2024-02-09. Dicapai pada 2024-02-10.
  14. ^ Hidayatidayu Razali (2024-02-09). "Tak mustahil ada pihak cabar enakmen jenayah syariah di negeri lain - DUPP". Harian Metro (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-02-10.
  15. ^ "Kes Nik Elin: Hamzah mohon menghadap Agong, Sultan Selangor". Malaysiakini. 2024-02-09. Dicapai pada 2024-02-10.
  16. ^ Hidir Reduan Abdul Rashid (2024-02-09). "Kes Nik Elin: Kerajaan Kelantan akan menghadap Sultan Muhammad V". Malaysiakini. Dicapai pada 2024-02-10.
  17. ^ Noor Azlida Alimin (2023-11-20). "Kelantan boleh gubal 18 peraturan Enakmen Syariah - Peguam PPMM". Sinar Harian. Dicapai pada 2023-11-20.
  18. ^ Siti Aisyah Mohamad (2023-11-20). "Peserta Himpunan Selamatkan Syariah solat hajat berjemaah". Sinar Harian. Dicapai pada 2023-11-21.
  19. ^ Latifah Arifin (2023-11-21). "Ini soal bidang kuasa, bukan cabar perundangan syariah". Harian Metro (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-02-10.
  20. ^ Siti Noor Faezah Muda (2024-02-09). "Henti guna modal politik murahan - Mohd Hasbie". Sinar Harian. Dicapai pada 2024-02-10.