Nilai tara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Nilai tara, dalam bidang kewangan dan perakaunan, membawa pengertian nilai dinyatakan atau nilai muka. Daripada istilah ini diterbitkan ungkapan-ungkapan pada tara (pada nilai tara), atas tara (melebihi nilai tara), dan bawah tara (kurang daripada nilai tara). Istilah "nilai tara" mempunyai banyak makna, bergantung kepada konteks dan geografinya.

Saham[sunting | sunting sumber]

Nilai tara ialah nilai nominal yang tidak berkaitan dengan nilai pasarannya. Sebagai konsep, ia agak kuno. Nilai tara sesuatu saham ialah harga saham semasa penawaran awal (IPO). Syarikat pengeluar berjanji tidak akan mengeluarkan saham tambahan pada harga di bawah nilai tara dan oleh itu, para pelabur boleh berasa yakin bahawa tiada orang yang akan mendapat saham terbitan pada harga yang lebih rendah. Justera, nilai tara ialah nilai nominal sesuatu sekuriti yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar sebagai harga minimum. Ini adalah jauh lebih penting dalam pasaran equiti tak teratur, berbanding dengan pasaran teratur yang wujud pada hari ini.

Nilai tara juga mempunyai tujuan simpan kira-kira. Ia membenarkan syarikat menetapkan nilai de minimis untuk sahamnya dalam penyata kewangan.

Banyak saham biasa yang dikeluarkan pada hari ini tidak mempunyai nilai tara. Saham yang ada nilai tara (biasanya hanya di kawasan bidang kuasa yang nilai tara diperlukan oleh undang-undang) mempunyai nilai tara yang amat sangat rendah (seringnya pada nilai unit mata wang dalam edaran yang paling rendah), misalnya nilai tara satu peni untuk saham yang dikeluarkan pada harga AS$25. Kebanyakan negara tidak membenarkan mana-mana satu syarikat mengeluarkan sahamnya pada harga di bawah nilai tara.

Saham tanpa tara tidak mempunyai nilai tara yang dicetak pada sijilnya. Sebagai ganti, sesetengah negeri di Amerika Syarikat membenarkan saham tanpa tara mempunyai nilai dinyatakan yang ditetapkan oleh lembaga pengarah perbadanan. Tujuannya sama sahaja dengan nilai tara, iaitu untuk menetapkan modal minimum di sisi undang-undang yang sesebuah perbadanan perlu memiliki.

Nilai tara saham keutamaan masih berguna dan cenderung membayangkan harga terbitan, dengan dividennya dihitung berdasarkan peratusan nilai tara. Serupa juga, nilai tara masih diperlukan untuk saham biasa boleh panggil kerana harga panggilannya biasa ditetapkan pada harga nilai tara atau satu peratusan tetap yang kecil melebihi nilai taranya.

Di Amerika Syarikat, perbadanan dibenarkan di sisi undang-undang untuk mengeluarkan saham "tercair" pada harga di bawah nilai tara. Bagaimanapun, para pembeli saham itu mengenakan liabiliti perakaunan kepada perbadanan untuk beza antara nilai tara dengan harga yang dibayar oleh mereka. Pada hari ini, nilai tara untuk saham biasa tidak diperlukan lagi di banyak kawasan bidang kuasa.

Bon[sunting | sunting sumber]

Dalam pasaran bon Amerika Syarikat, nilai tara (sebagaimana dinyatakan pada muka bon) ialah jumlah yang perlu dibayar oleh syarikat pengeluar kepada pemegang bon pada tarikh kematangan. Nilai kini untuk nilai tara campur nilai kini anuiti untuk bayaran faedah ialah harga bon.

Sesuatu bon bernilai nilai tara apabila harganya sama dengan nilai mukanya. Apabila bon dinilaikan di bawah nilai taranya, harganya ditetapkan pada diskaun. Sebaliknya, apabila bon dinilaikan melebihi nilai taranya, harga bon itu ditetapkan pada premium.

Amalan menetapkan harga berdasarkan setiap seratus berkembang daripada amalan penetapan harga bon kerajaan British tradisional yang masih ditetapkan dalam unit 100 paun sterling. Nota-nota itu yang pada asalnya dijual dalam bentuk fizikal mempunyai tepi sepuhan air emas dan justera itu, dikenali sebagai "Gilt" (sepuhan air emas). Harganya ditetapkan dalam bentuk yang serupa dengan instrumen hutang Amerika Syarikat tetapi harganya berdasarkan nilai muka 100 paun sterling. Tidak terdapat pengalihan titik perpuluhan yang kemudian pada harga instrumen hutang tersebut, sebagaimana yang berlaku di Amerika Syarikat. Dalam pasaran bon United Kingdom, nilai tara merupakan harga untuk nota atau bon 100 paun sterling apabila ia menjadi sama dengan nilai mukanya. Nilai tara 100.00 untuk nota atau bon hanya bermakna bahawa nota atau bon itu dijual pada nilai muka yang dibayar pada tarikh kematangan nota atau bon itu. Setiap nota atau bon boleh mempunyai nilai mutlak yang berbeza, bergantung kepada kelaziman pasaran dan negara yang nilai tara itu disebut.

Mata wang[sunting | sunting sumber]

Istilah "pada tara" juga digunakan apabila dua mata wang ditukarkan pada nilai yang sama (misalnya pada 1964, apabila Trinidad dan Tobago bertukar daripada Dolar Hindia Barat British kepada Dolar Trinidad dan Tobago yang baharu "pada tara", iaitu Pusat Bank Trinidad dan Tobago menggantikan setiap dolar lama dengan sedolar baharu). Satu contoh lagi yang lebih terkini pada [[2008] ialah kadar pertukaran 1:1 (pada tara) antara dolar Amerika Syarikat dengan Franc Switzerland (CHF).