Panglima Mangku Negara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Panglima Mangku Negara (P.M.N) ialah Darjah Pangkat Kedua dalam keluarga Darjah-darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN) dan Kelas Pertama bagi kurniaan ‘Tan Sri’. Penyandangnya bergelar ‘Tan Sri’ dan jika beristeri, maka isterinya bergelar ‘Puan Sri’. Dikurniakan kepada mereka yang ternama dan bertaraf tinggi yang telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara dalam apa jua lapangan. Bagi pegawai kerajaan, pengurniaan ini sesuai bagi mereka yang berada di Tingkatan Turus I. Jumlah anugerah terhad kepada 75 orang sahaja dan ini tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Bintang Darjah diperbuat daripada perak dan bersadurkan emas. Lencana Darjah sama seperti Bintang Darjah tetapi saiznya kecil sedikit. Selepang Darjah mempunyai warna jalur putih di kedua belah tepi selepang dan jalur merah di tengah yang terletak di atas jalur kuning. Selepang ini ada ikatan reben di hujungnya dan di bawah ikatan ini tersangkut Lencana Darjah. Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958.


Pautan luar[sunting | sunting sumber]