Panji TLDM

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Panji TLDM ialah panji-panji yang dikibarkan oleh setiap kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia. Ianya telah mengalami perubahan beberapa kali sepanjang sejarah TLDM

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Panji-panji (ensign) dikibarkan di buritan kapal untuk menandakan negara pemilik kapal tersebut. Rekod penggunaan awal panji-panji mengikut undang-undang di laut ialah pada tahun 1297 apabila Raja England, Raja Edward I dan Guy, Count Flanders, menetapkan kapal-kapal pedagang haruslah mengibarkan panji-panji pelabuhan dari mana mereka berasal. Pada waktu itu, angkatan laut England telah mula mendominasi kawasan perairan di sekitar kepulauan mereka dan setiap kapal dagang asing yang melalui perairan mereka harus merendahkan panji-panji mereka tanda hormat. Sehingga kini, amalan ini diteruskan oleh kapal-kapal dagang apabila mereka berselisih antara satu sama lain di laut lepas. Bagaimanapun, kapal-kapal perang tidak berbuat demikian sebaliknya melakukan passing honours antara satu sama lain. Pengibaran panji-panji juga penting sebagai pasport atau kelulusan untuk memasuki sesebuah pelabuhan. Disebabkan perjanjian tertentu misalnya, hanya kapal-kapal yang mengibarkan panji tertentu sahaja boleh memasuki dan berlabuh.

Bendera yang dikibarkan di haluan kapal pula dipanggil jack ataupun hanya "bendera". Ini kerana kebanyakan negara menggunakan bendera nasional mereka sebagai jack. Begitu juga TLDM dimana Jalur Gemilang dikibarkan di haluan.

Panji British[sunting | sunting sumber]

Apabila mula ditubuhkan TLDM, ketika itu Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat atau Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR), menggunakan panji dan jack Royal Navy. Pada waktu itu, SSNVR merupakan satu unit di bawah Tentera Laut Diraja British. Pada tahun 1939, Perang Dunia Kedua meletus, dan SSNVR kini digelar Royal Malay Navy terus menggunakan panji British ini.

Panji British
Jack British ataupun Union Jack

Panji British ini mengandungi bendera United Kingdom di canton atas kiri ataupun dipanggil upper hoist. Sebuah salib St George berwarna merah membahagikan panji ini kepada empat bahagian. Asalnya panji ini hanya digunakan oleh Armada Putih didalam Tentera Laut British. Tentera Laut British ketika itu sangat besar sehingga dibahagi kepada tiga armada, Putih, Merah dan Biru. Hanya pada tahun 1864, panji ini dikhususkan untuk tentera laut dan panji-panji lain oleh perkhidmatan kerajaan (biru) dan kapal dagang (merah).

Panji Tentera Laut Diraja Malaya[sunting | sunting sumber]

Setelah mencapai kemerdekaan, Tentera Laut Diraja Malaya telah menukar rekaan panji dengan meletakkan bendera persekutuan pada canton panji. Bendera Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu ketika itu hanya mempunyai bintang pecah sebelas dan sebelas jalur mewakili 9 buah negeri Melayu dan Pulau Pinang dan Melaka. Bendera persekutuan juga digunakan sebagai jack kapal-kapal TLDM.

Panji Tentera Laut Diraja Malaya
Bendera persekutuan sebagai jack

Apabila pembentukan Malaysia terzahir pada 1963, panji TLDM sekali lagi bertukar. Bendera persekutuan Malaysia kini mempunyai bintang pecah 14 dan bilangan jalur juga ditambah menjadi 14.

Panji Tentera Laut Diraja Malaysia dari 1963
Bendera persekutuan yang baru sebagai jack

Panji TLDM kini[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1968 panji TLDM sekali lagi mengalami perubahan apabila salib St. George dibuang dan digantikan lambang sauh berserta keris bersilang. Perubahan ini menghilangkan pengaruh British pada rekabentuk panji sebelum ini. Panji inilah yang kekal digunakan sehingga ke hari ini.

Panji Tentera laut Diraja Malaysia kini

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • The World Encyclopedia of Flags, Alfred Znamierowski, Annes Publishing Limited 1999. Updated 2003.
  • Naval Ensign TLDM: Seawal penubuhan dan selepas kemerdekaan, Muhammad Fitri bin Sutriee, Majalah Perajurit, Disember 2008.