Pat Powers

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Patrick Anthony Powers (8 Oktober 1870 – 30 Julai 1948), lahir di Kaunti Waterford, Ireland, ialah seorang ahli perniagaan berbangsa Amerika keturunan Ireland yang terlibat dalam industri perfileman dan animasi pada 1910-an, 1920-an, dan 1930-an.

Kerjaya awal[sunting | sunting sumber]

Powers menjalin perkongsian dengan Joseph A. Schubert, Sr. untuk menjual peti nyanyi pada tahun 1900-07. Pada tahun 1907, mereka menubuhkan Buffalo Film Exchange untuk membeli filem dari penerbit lalu menyewakannya kepada panggung wayang nickelodeon. Pada tahun 1910, Powers berpindah dari Buffalo ke Bandaraya New York untuk mengasaskan Powers Motion Picture Company yang kemudian bergabung dengan syarikat perfileman Independent Moving Pictures Company oleh Carl Laemmle dan lain-lain pada tahun 1912 untuk membentuk Universal Pictures. Beliau berkhidmat sebagai bendahari Universal Motion Picture Company.

1920-an[sunting | sunting sumber]

Dari peristiwa penyusunan semula Film Booking Office of America pada tahun 1922 hingga Oktober 1923, Powers menguasai syarikat tersebut selaku pelabur Amerika barunya. Sebelum ini, Powers pernah mengetuai syarikat perfileman sendiri, sebelum ia bergabung ke dalam Universal Pictures pada tahun 1912. Powers menukar nama Robertson-Cole/FBO kepada Powers Studio untuk seketika, namun tiada rekod bahawa syarikat ini pernah menerbitkan atau mengeluarkan satu filem pun di bawah nama tersebut.[1] Pada tahun 1928, Joseph P. Kennedy dan ketua RCA, David Sarnoff menggabungkan FBO dan litar teater Keith-Albee-Orpheum untuk membentuk RKO Radio Pictures.

Powers melabur dengan membeli saki-baki syarikat filem berbunyi DeForest Phonofilm pada musim bunga tahun 1927. Lee De Forest ketika itu hampir muflis kerana terpaksa menanggung yuran guaman berikutan tindakan berkali-kali membuat tuntutan mahkamah terhadap bekas sekutunya Theodore Case dan Freeman Harrison Owens. Sewaktu itu, DeForest menjual kelengkapan bunyi yang dipotong harga kepada panggung wayang ulang tayang yang mahu menukar filem ke dalam bentuk berbunyi secara murahan.

Pada Jun 1927, Powers gagal dalam usaha mengambil alih syarikat De Forest. Selepas itu, Powers mengupah seorang bekas juruteknik DeForest, William Garity, untuk menghasilkan versi klon sistem rakaman bunyi Phonofilm, iaitu Powers Cinephone. Menjelang waktu ini, kedudukan kewangan De Forest benar-benar tidak membenarkannya mencabar Powers atas pencabulan paten.

Walt Disney dan Ub Iwerks[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1928, Powers menjual sebuah sistem Cinephone kepada Walt Disney supaya beliau boleh menghasilkan kartun-kartun berbunyi seperti filem Steamboat Willie yang dibintangi Mickey Mouse (1928). Disebabkan tidak dapat mencari pengedar untuk kartun berbunyi, Disney mula mengeluarkan kartun-kartunnya menerusi syarikat Powers iaitu Celebrity Pictures.

Setelah dua tahun menjayakan filem Mickey Mouse dan Silly Symphonies, pada tahun 1930, Walt Disney menyoal Powers untuk menuntut hasil pendapatan daripada urus janji pengedaran filem-filemnya. Powers menjawab dengan mendaftarkan ketua animasi Disney, Ub Iwerks dalam urus janji eksklusif untuk membentuk studio animasi sendiri.

Studio Iwerks hanya mampu mencapai sedikit kejayaan dengan siri-siri kartun seperti Flip the Frog dan Willie Whopper yang ditayangkan menerusi Metro-Goldwyn-Mayer, serta kartun ComiColor keluaran Celebrity Pictures. Kemudian, Studio Iwerks lingkup pada tahun 1936.

Sepanjang hayatnya, Powers menghasilkan hampir 300 buah filem, kebanyakannya filem bisu awal yang dihasilkan di Universal sebelum tahun 1913, atau filem animasi pendek segelung. Namun demikian, beliau diberi penghargaan sebagai penerbit filem The Wedding March oleh Erich von Stroheim (1928), bersama Jesse Lasky dan Adolph Zukor (Zukor adalah bekas rakan sekerja Mitchell Mark yang berasal dari Buffalo, New York seperti Powers.)

Kematian[sunting | sunting sumber]

Obituari yang disiarkan dalam akhbar New York Times pada 1 Ogos 1948 menyatakan bahawa pada saat kematiannya, Powers merupakan presiden Powers Film Products Company di Rochester, New York [2]. Beliau juga memiliki rumah di Bandaraya New York dan Westport, Connecticut.

Patrick Powers meninggal dunia pada 30 Julai 1948 di Hospital Doctors di Bandaraya New York setelah jatuh uzur untuk jangka masa yang pendek. Beliau meninggalkan seorang adik dan seorang anak perempuan, Pn. Roscoe M. George dari San Fernando, California. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Holy Cross Cemetery dekat Rochester, New York.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Lasky (1989), p. 13; Jewell (1982), p. 8.
  2. ^ New York Times, August 1, 1948.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Richard B. Jewell with Vernon Harbin, The RKO Story (New York: Arlington House/Crown, 1982) ISBN 0-517-54656-6
  • Betty Lasky, RKO: The Biggest Little Major of Them All (Santa Monica, Calif.: Roundtable, 1989) ISBN 0-915677-41-5

Pautan luar[sunting | sunting sumber]