Perbincangan:Ikatan Persuratan Melayu Melaka

Kandungan laman tidak disokong dalam bahasa lain.
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ikatan Persuratan Melayu[sunting sumber]

    IPM adalah nama singkatan bagi Ikatan Persuratan Melayu. IPM sebuah organisasi sastera yang pertama ditubuhkan di Semenanjung Tanah Melayu. Rangka penubuhannya pada 17 November 1950 dan dirasmikan pada 31 Disember 1950. Pengesahan daftar pada 13 Julai 1951.

Tokoh-tokoh utama yang melahirkan IPM, antaranya ialah Tuan Haji Mohd Yusof Harun, saudara Usman Awang (Tongkat Warrant) dan saudara Jamil Sulong. Ketua 1 yang pertama memimpin IPM ialah Tuan Haji Mohd Yusof Harun, manakala Setiausaha 1 ialah saudara Jamil Sulong. Pucuk pimpinan kemudiannya bertukar tangan diketuai oleh Abdul Samad Ahmad (ASMAD) dan setelah beliau kembali ke Rahmatullah pada 1993, Ketua 1 IPM disandang oleh Tuan Haji Mokhtar Yassin. Pada 2012, Haji Razali Endun merupakan ketua 1 yang keempat setelah Haji Mokhtar Yassin mengundurkan diri atas sebab kesihatan. Untuk sesi 2014/2016, IPM dipimpin oleh Haji Abd. Razak Adam, seorang penulis yang sangat prolifik berkarya.

      Antara tujuan IPM ditubuhkan ialah menyatukan ahli-ahli persuratan Melayu dan ahli-ahli seni Melayu, meninggikan taraf persuratan dan kebudayaan Melayu dan mempelajari penerbitan yang membawa kepada kemajuan aliran fikiran (melalui persuratan) yang berdasarkan peri kemanusiaan. Ditinjau dari sudut keahlian pula terbuka kepada ahli persuratan dan ahli seni Melayu dan mereka yang bertimbang rasa kepada pertubuhan ini. Pada peringkat awal penubuhannya hingga menjelang kemerdekaan sebahagian ini anggota IPM adalah mereka yang tinggal di luar negeri Melaka, terutama yang tinggal di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, bahkan terdapat juga ahli-ahli yang bukan Melayu.
      Perubahan yang berlaku dalam politik dan sosial telah banyak mengubah suasana. Ahli-ahli IPM banyak berhijrah lalu mengubah corak hidup. Mereka inilah kemudiannya menjadi tokoh-tokoh terkenal dalam bidang kesusasteraan, politik, perfileman dan bidang akademik. Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Usman Awang (Sasterawan Negara), Datuk Jamil Sulong (Dunia Perfileman), Datuk Haji Ahmad Haji Abdullah (Hanifah, Tan Sri Aziz Tapa, Allahyarham Haji Ahmad Arshad, Haji Abdul Rahman Mahmud, Haji Salleh Daud dan banyak lagi yang menempa nama di tanah air. Mereka ini adalah antara tokoh-tokoh IPM yang sukar dilupakan.
       Sejak ditubuhkan, IPM telah mengambil bahagian yang cergas dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan. Kongres Kebudayaan Melayu telah diadakan di Melaka dari 30 Disember 1957 hingga  2 Januari 1958. Seluruh ahli IPM bersama dengan badan-badan yang lain telah menjayakan kongres yang bersejarah itu. Kongres tersebut telah menubuhkan badan yang dinamakan Dewan Kebudayaan Kebangsaan. Tiga orang ahli IPM dilantik menganggotai badan tersebut iaitu Allayarham Tuan Haji Mohd Yusof Harun (Pengerusi), Allayarham Asmad (Setiausaha Agung), Aziz Tapa (Setiausaha 2). Sayang sekali dewan ini tidak berfungsi dan tidak panjang usianya.
       Kegiatan-kegiatan lain yang diadakan ialah bidang penerbitan antologi karya yang berbagai-bagai dan Majalah Taman Bahasa. Pameran juga diadakan, umpamanya Ekspo Karyawan Melaka – Australia 1972, Seminar Kompleks Kesenian, Kursus Kewartawanan, Pertandingan Mengarang, Syarahan dan Ceramah. IPM turut sama menubuhkan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA). Allahyarham Asmad banyak terlibat sejak peringkat awal penubuhannya. Suatu masa dahulu IPM melalui Perkumpulan Penyair telah banyak mengadakan bengkel dan perbincangan, serta menerbitkan kumpulan sajak-sajak. Perkumpulan ini yang diketuai oleh Mohktar Yassin, Mawarni A.S dan Madulara. Akhirnya melahirkan penyair berbakat. Haron Haji Kidam umpamanya Aladin Mohamad, T-Ismadi, Mahad Abu Bakar, Othman Hashim dan Allahyarham Zaiton Ketot.
       Wajah IPM kembali bertenaga dengan lahirnya generasi pelapis yang sangat berbakat dalam menghasilkan karya. Antara tokoh-tokoh penulis baharu dalam IPM seperti Puan Hanita Hassan, yang telah menghasilkan lebih daripada 10 buah novel dan memenangi beberapa sayembara penulisan novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, dan telah memenangi tempat kedua dan ketiga Sayembara Penulisan Novel Sejarah Johor 2012. Maria Kajiwa, penulis novel wanita yang sangat prolifik dan banyak menerbitkan novel di bawah terbitan alaf 21. Zamidah Hashim misalnya telah menerbitkan lebih daripada 3 buah novel di bawah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, yang mana merupakan sebuah penerbitan yang sangat berprestij di Malaysia. Siti Zubaidah Ishak, yang baru sahaja memenangi hadiah tempat ketiga sayembara penulisan novel yang dianjurkan Intitut Terjemahan Buku Malaysia. Begitu juga dengan A.Razak Adam yang telah memenangi sayembara menulis cerpen dan novel dalam beberapa pertandingan menulis. Malah, terlalu banyak nama yang perlu disenaraikan. Keunggulan IPM melahirkan masyarakat sastera yang berkaliber tidak dapat diragui lagi.
       Mutakhir ini IPM kembali aktif mengadakan bengkel-bengkel penulisan di sekitar Melaka dan turut menerbitkan antologi penulis IPM. IPM juga turut menganjurkan sayembara penulisan sajak dan cerpen bertemakan sejarah negeri Melaka. Aktiviti IPM bukan sahaja tertumpu kepada penulisan malahan  acara baca puisi. IPM bukan sahaja berperanan melahirkan para sasterawan, malah mendekati masyarakat dengan menganjurkan bacaan puisi di tempat terbuka. Dalam menyambut dan memasuki usia enam puluhan IPM berazam dengan izin Allah akan terus melaksanakan tugas sebagai pewaris bahasa dan kesusasteraan ibunda tercinta.