Prasasti Ahram

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
A photograph taken inside the substructure of Teti I's pyramid, showing long lines of hieroglyphic text that cover the entire wall and gable of the room.
Prasasti Ahram diukir dalam bilik bawah tanah di dinding di Piramid Teti, di Saqarah.

Prasasti Ahram (Jawi: ڤراسستي اهرام), atau juga dikenali sebagai Teks Piramid (Jawi: تيک‌س ڤيراميد), merupakan himpunan teks keagamaan Mesir purba, yang ditarikhkan berasal dari zaman Kerajaan Lama Mesir.[1][2] Ia ditulis dalam bahasa Mesir Lama dan prasasti ini diukir pada dinding bilik bawah tanah dan pada keranda batu dalam piramid-piramid di Saqqara dari hujung Wangsa Kelima Mesir dan seluruh Wangsa Keenam Kerajaan Lama, hingga ke Wangsa Kelapan dalam Zaman Pertengahan Pertama Mesir.[3][4]

Teks yang terlama berasal dari sekitar 2400–2300 SM.[2] Berbanding Prasasti Larung dan Kitab Orang Mati, teks piramid hanya dibuat untuk firaun dan tidak bergambar.[5] Prasasti ini adalah teks kedua tertua selepas Batu Palermo yang ada menyebut Osiris, dewa alam baqa terpenting dalam agama Mesir Purba.[6]

Penggunaan dan penghasil teks piramid berubah-ubah mengikut Kerajaan Mesir Purba Lama, Pertengahan dan Baharu. Dalam Kerajaan Lama (2886 SM – 2181 SM), prasasti ahram hanya dijumpai dalam piramid firaun lelaki dan tiga firaun perempuan bernama Wedjebten, Neith, and Iput. Dalam Kerajaan Pertengahan (2055 SM – 1650 SM), prasasti ahram tidak ditulis di piramid firaun, tetapi mantera ahram masih lagi digunakan. Dalam Kerajaan Baharu (1550 SM – 1070 SM ), prasasti ahram hanya ada dalam makam pegawai sahaja.[7]

Sejarah penemuan dan penerbitan[sunting | sunting sumber]

Ahli kaji purba dan Mesir dari Perancis bernama Gaston Maspero, pengarah Institut Perancis bagi Arkeologi Oriental di Kaherah, tiba ke Mesir pada tahun 1880. Beliau memilih sebidang tapak di Saqarah Selatan, sebuah bukit yang pernah dipetakan oleh ahli kaji Mesir dari Prussia bernama Karl Richard Lepsius beberapa puluh tahun dahulu, sebagai tempat tapak gali carinya (ekskavasi) yang pertama. Di sana beliau terjumpa peninggalan suatu struktur yang besar, yang beliau ingatkan piramid Pepi I dari Wangsa Keenam. Semasa proses ekskavasi, beliau dapat masuk ke ruang bawah tanah dan terjumpa sebuah dinding yang dipenuhi teks hieroglif.[8] Beliau menghubungi pengarah ekskavasi di Mesir, Auguste Mariette, untuk memberitahu tentang penemuannya, namun Mariette percaya bahawa struktur tersebut hanyalah sebuah mastaba (sejenis makam Mesir) kerana sebelum ini mereka belum pernah lihat piramid yang ada tulisan dalamnya.[8]

A photograph of the mound of sand that comprises the destroyed remains of the pyramid, called 'Merenre's beauty shines', that belonged to Merenre Nemtyemsaf I.
Pyramid of Merenre I, one of the earliest pyramids in which Maspero discovered the Pyramid Texts.

Maspero meneruskan ekskavasi beliau di struktur kedua, kira-kira satu kilometer hala barat daya dari struktur pertama, untuk mencari lebih banyak bahan bukti. Struktur kedua ini akhirnya didapati sebenarnya piramid Merenre I, pemangku Pepi I.[8] Di sana, Maspero terjumpa teks hieroglif yang sama beliau jumpa di piramid Pepi I,[8] dengan mumia dalam sarkofagus pemilik makam tersebut.[9][10][8] Kali ini, beliau berjumpa dengan Mariette secara berdepan, namun beliau menolak penemuan tersebut dan berkata semasa uzur tenat, "dalam tiga puluh tahun bidang ekskavasi Mesir, saya tidak pernah lihat piramid yang ada hieroglif tertulis pada dindingnya."[8] Sepanjang tahun 1881, Maspero meneruskan penyiasatan di tapak-tapak lain di Saqarah, dan lebih banyak teks-teks sepertinya dijumpai di piramid Unas, Teti dan Pepi<span typeof="mw:Entity" id="mwVA"> </span>II.[8] Beliau mula menerbit penemuannya di dalam Recueil des Travaux dari tahun 1882, dan terus melibatkan diri dalam pelbagai ekskavasi piramid yang mengandungi teks tersebut sampai tahun 1886.[10]

Maspero menerbitkan himpunan teks-teks tersebut pada tahun 1894 dengan judul Les inscriptions des pyramides de Saqqarah (Tulisan-tulisan dari piramid-piramid Saqarah).[8][2] Terjemahannya dibuat oleh Egiptologis Jerman bernama Kurt Heinrich Sethe ke bahasa Jerman pada tahun 1908–1910 dalam Die altägyptischen Pyramidentexte.[8] Senarai perkataan yang Sethe terbit dianggapkan sebagai teks piawai.[2] Samuel A. B. Mercer terbitkan terjemahan karya Sethe ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 1952.[11] Egiptologis Raymond O. Faulkner kemukakan teks Inggeris tersebut dalam The Ancient Egyptian Pyramid Texts pada tahun 1969.[8]

Gustave Jéquier telah melaksanakan penyiasatan sistematik terhadap piramid-piramid milik Pepi II dan isteri-isterinya – Neith, Iput II, dan Wedjebetni[2] – dari tahun 1926 ke 1932.[8][10] Jéquier juga adakan ekskavasi terhadap piramid Qakare Ibi.[2] Beliau kemudian terbitkan himpunan teks-teks tersebut.[2] Sejak tahun 1958, ekspedisi di bawah arahan Jean-Philippe Lauer, Jean Sainte-Fare Garnot, dan Jean Leclant telah melaksanakan projek restorasi terhadap piramid-piramid milik Teti, Pepi I, Unas dan Merenre I.[2][12] Menjelang tahun 1999, piramid Pepi telah dibuka untuk khalayak awam, dan serpihan puing-puing di bersihkan dari tapak piramid sementara penyelidikan diteruskan dibawak arahan Audran Labrousse (fr).[10] Himpunan prasasti ahram dalam piramid Pepi I diterbitkan pada tahun 2001.[2] Pada tahun 2010, teks-teks tersebut juga ditemui dalam makam Behenu.[11]

Pada setakat ini, Prasasti Ahram telah ditemui dalam piramid-piramid firaun-firaun dan permaisuri-permaisuri berikut:

Unas Wangsa V memerintah ca. 2353-2323 SM
Teti Wangsa VI memerintah ca. 2323-2291 SM
Pepi I Wangsa VI memerintah ca. 2289-2255 SM
Akhesenpepi II   Wangsa VI permaisuri Pepi I
Merenre I Wangsa VI memerintah ca. 2255-2246 SM
Pepi II Wangsa VI memerintah ca. 2246-2152 SM
Neith Wangsa VI permaisuri Pepi II
Iput II Wangsa VI permaisuri Pepi II
Wedjebetni Wangsa VI permaisuri Pepi II[2]
Behenu Wangsa VI mungkin permaisuri Pepi II[13][11]
Qakare Ibi Wangsa VIII   memerintah ca. 2109–2107 SM[2]

Tujuan[sunting | sunting sumber]

Mantera atau ungkapan dalam Prasasti Ahram bertujuan untuk membenarkan penjelmaan semula menjadi Akh (supaya si mati yang dihakimi mulia dapat bersama para dewa).[2] Mantera dalam Prasasti Ahram dibahagikan kepada dua kategori: Teks Pendeta dan Teks Peribadi.[14]

Teks Pendeta adalah untuk perihal upacara, dan diketuai oleh ketua pendeta yang merujuk kepada si mati dengan kata ganti nama diri kedua.[2] Ia mengandungi mantera persembahan,[14] mantera ringkas yang dibacakan semasa membuat persembahan,[2] dan bacaan yang merupakan arahan.[14] Teks-teks ini juga muncul dalam Upacara Persembahan dan Insignia, Upacara Kebangkitan, dan dalam empat piramid yang mengandungi Upacara Ratapan.[2][9] Tulisan dalam teks-teks ini menunjukan bahawa ia berasal dari zaman Wangsa Kedua dan Ketiga.[9]

Teks selebihnya adalah peribadi, dan bertumpukan perihal menunjukkan roh keluar dari makam, ke alam akhirat.[2] Ia mengandungi teks-teks peruntukan, perubahan, dan perlindungan.[9][14] Teks peruntukan membenarkan si mati untuk menguruskan makanannya sendiri dan meminta makanan dan minuman daripada para dewa.[14] Contohnya teks ini ialah dialog firaun dalam piramid Unas.[14][9] Teks perubahan  – juga dikenali sebagai Sakhu atau Sanjungan[9]  – berkisarkan perubahan si mati menjadi Akh,[9] dan kebangkitan mereka, seperti dewa naik ke langit.[14] Teks-teks ini menjadi bahagian terbesar dalam himpunan ini, dan didominasikan dengan teks-teks yang lebih baharu dari zaman Wangsa Kelima dan Keenam.[9] Teks perlindungan mengandungi mantera-mantera ringkas untuk menghalau bahaya daripada jasad dan makam firaun.[14][2][9] Teks-teks ini mengandungi gaya penulisan yang kuno dan merupakan teks yang tertua,[9] dan yang paling sukar untuk ditafsirkan.[2]

Ungkap-ungkapan begini asalnya dilafazkan oleh seseorang. Ia mengandungi pelbagai kata kerja seperti "terbang" dan "lompat" dan menggambarkan perbuatan si firaun lakukan untuk pergi ke akhirat.[15] Mantera-mantera ini gambarkan berbagai cara firaun boleh teruskan perjalanan, dengan menggunakan landasan, tangga, sigai dan juga terbang. Mantera juga boleh digunakan untuk minta bantuan dewa, malah juga mengugut mereka kalau enggan.[16] Ia perkara biasa kalau prasasti ahram ditulis dalam bentuk ganti nama diri pertama, tetapi ia langka/jarang berlakunya teks-teks ini ditulis dengan ganti nama diri ketiga. Biasanya ia bergantung kepada siapa yang membaca teks tersebut dan siapa yang dibacakan.[17] Teks juga mengandungi jasa yang si firaun pernah lakukan kepada rakyat Mesir semasa pemerintahan mereka. Ia digunakan untuk memimpin si firaun ke akhirat dan juga untuk beritahu dan yakinkan yang masih hidup bahawa baginda selamat ke destinasinya.[15]

Di dalam piramid[sunting | sunting sumber]

Piramid Unas[sunting | sunting sumber]

Photograph of Unas' burial chamber. A tall but damaged black sarcophagus stands near the west wall. The walls surrounding the sarcophagus painted to resemble reed mats, and the royal palace façade. The gabled roof is painted with five pointed gold stars. The west gable is inscribed with horizontal lines of hieroglyphs. These spells serve to protect the pharaoh in his sarcophagus.
Makam dalam Piramid Unas, dengan baris-baris mantera pada siling barat. Tulisan-tulisan ini sahaja yang ada pada dinding sarkofagus.

Teks-teks ini pertama kali dijumpa dalam piramid milik firaun terakhir dari Wangsa Kelima, milik Unas.[8][1] Ada 283 mantera[9][a] yang ada pada bilik bawah tanah piramid Unas.[8] Mantera-mantera ini ialah himpunan teks terkecil dan paling sempurna dari zaman Kerajaan Lama.[2] Semua kecuali satu mantera, PT 200, ditulis dalam semua piramid sepanjang zaman Kerajaan Pertengahan dan berikutnya, termasuklah replika teks hampir lengkap yang tertulis dalam makam Senwosretankh di El-Lisht.[2][14]

Piramid Unas, yang terletak di antara piramid Djoser dan Sekhemkhet di Saqarah Utara,[9] merupakan piramid yang terkecil dibina dalam zaman Kerajaan Lama.[8] Terasnya dibina enam jejak tinggi daripada batu kapur kasar, diselubung dengan batu kapur putih licin.[8] Tapaknya berukuran 57.75 m (189 ka) dengan sudut 56° dan bertinggian 43 m (141 ka).[9] Struktur ini diakses melalui pintu masuk dalam laluan sebuah pertapaan di muka utara piramid.[9][8] Tempat masuk ini menuju ke sebuah koridor yang landai ke bawah, menghala ke balai legar dengan tiga pagar batu granit pada laluan masuk. Laluan masuk ini menuju ke sebuah balai dan mempunyai pagar keempat. Balai tersebut menghala ke dua buah bilik, sebuah bilik dengan tiga pangsa yang ada patung  – dipanggil serdab[21]  – di belah timur, dan sebuah makam dengan sarkofagus firaun di belah barat.[9] Siling kedua-dua bilik dan makam ini berbentuk tebeng layar.[8]

Dinding keliling sarkofagus dilapisi dengan pualam dan dicat dengan motif tikar papirus dengan bingkai kayu, namun dinding bilik-bilik yang lain pula dipenuhi dengan hieroglif daripada Prasasti Ahram.[9] Sarkofagus Unas pula tiada tulisan, dan nama gelaran diraja firaun tidak tertulis pada dinding, berbeza dengan piramid-piramid zaman selepasnya.[11]

Siling barat makam ditulis dengan mantera perlindungan;[11] dalam piramid-piramid yang lebih baharu, siling sebegini memuji-muji firaun kepada dewi Nut,[11] dan, mula daripada Pepi I, untuk Sakhu,[14] atau 'sanjungan', untuk penjelmaan Akh.[9][22] Dinding-dinding makam lain dipenuhi teks keupacaraan.[11] Dinding utara, juga bahagian utara dinding timur dan laluan, digunakan untuk Upacara Persembahan.[14][11][9] Oleh sebab ruang ini lebih kecil, sebahagian upacara ini perlu dibuat pada dinding-dinding lain, dan mungkinlah sebab kenapa Upacara Insignia tidak dibuat dalam piramid.[11] Upacara Persembahan, daripada 'air persembahan' ke 'memberi persembahan' ada di dinding utara dan dibariskan dalam tiga daftar mengufuk.[11][14]

Edisi pertama Prasasti Ahram oleh Kurt Sethe mengandungi 714 mantera yang berbeza; selepas terbitan ini ada lebih banyak lagi mantera yang ditemui dan jumlah baharu ialah 759. Tiada satu pun himpunan mantera yang menggunakan kesemua mantera yang dirakam.

Oleh sebab ia digunakan dari dahulu lagi, reka bentuk Piramid Unas digunakan semula dan dilanjutkan bagi piramid-piramid yang akan datang. Piramid mempunyai tambak yang menghala pada pintu masuknya, dan tambak Piramid Unas berukuran 750 meter dan berada dalam keadaan baik, tidak seperti tambak-tambak lain dalam piramid yang serupa.[23]

Dalam Piramid Unas, teks upacara dapat ditemui di struktur dasar, sementara bilik dan koridor ada tulisan dan mantera yang khas dibuat untuk si firaun.[16]

Contoh berikut dipetik dari Piramid Unas. Ia sepatutnya di bacakan di Balai Persemadian dan Laluan Belah Selatan, dan merupakan Mantera Hayat Baharu.

Ungkapan 213:

Wahai, Unis! Tidaknya dikau pisah dari mati: dikau pisah dari hidup.

Semayamlah pada singgahsana Usir, dengan cokmar di tanganmu, dan perintahlah yang hidup;

dengan cogan seroja di tanganmu, dan perintahlah yang
berada di buni (tersorok).

Lengan bawahmu bagaikan Atum, pangkal lenganmu bagaikan Atum, perutmu bagaikan

Atum, belakangmu bagaikan Atum, punggungmu bagaikan Atum, kakimu bagaikan Atum, romanmu bagaikan Anpu.

Tanahan Heru akan menjunjung perintahmu; tanahan Set akan menjunjung perintahmu.
[2]

Persembahan dan upacara[sunting | sunting sumber]

Teks-teks ini biasanya mengandungi tulisan berkenaan upacara dan persembahan kepada para dewa. Contoh bagi upacara sebegini ialah istiadat Pembukaan Mulut, upacara persembahan, dan upacara insignia. Persembahan datang dalam bentuk duit dan doa di dalam piramid, dan ditulis dalam prasasti ahram supaya firaun dapat hidup dengan bahagia di alam akhirat.[17] Upacara seperti istiadat pembukaan mulut dan mata adalah penting untuk si Firaun dalam hidup seterusnya. Upacara ini melibatkan si Kher-Heb (ketua pendeta) dan juga pembantu-pebantu untuk membuka mata dan mulut si mati sementara mantera dibacakan. Peratap digalakkan untuk menangis sekuat hati sambil sejenis radas digunakan untuk membuat lubang di dalam mulut. Selepas upacara selesai, menurut kepercayaan orang Mesir purba si mati sekarang dapat makan, bercakap, bernafas dan melihat di alam akhirat.[24]

Piramid Mesir mengandungi berbagai koridor, terowong dan bilik yang mempunyai tujuan dan kegunaan berbeza semasa proses persemadian dan upacara.[23] Teks-teks ditulis dan dibacakan oleh pendeta mengikut turutan khas, biasanya bermula di Kuil Lembah dan berakhir di Bilik Keranda atau Piramid. Jenis-jenis barangan persembahan dan upacara juga mungkin dibacakan mengikut suatu turutan. Kuil Lembah biasanya mempunyai sebuah tempat suci di mana upacara akan dibacakan.[17]

Permaisuri dengan prasasti ahram[sunting | sunting sumber]

Prasasti ahram bukan sahaja ditemui dalam makam raja/firaun malah juga dalam makam permaisuri. Permaisuri Neith, isteri kepada Pepi II, ialah salah seorang daripada tiga permaisuri dari zaman wangsa ke-6 yang makamnya mengandungi prasasti ahram.[11] Dua lagi permaisuri (dianggap jug isteri Pepi II), Iput II dan Wedjebetni, juga mempunyai piramid dengan tulisan tetapi teks Permaisuri Neith berada dalam keadaan yang lebih elok.[2] Berbanding daripada makam firaun, susun atur dan struktur piramid permaisuri sebenarnya lebih ringkas. Walaupun begitu, susun atur tulisan amat serupa dengan makam firaun. Contohnya, Upacara Penjelmaan Semula berada di hujung timur pada dinding selatan. Oleh sebab piramid Neith tidak mempunyai sebarang bilik, banyak mantera yang sepatutnya ditulis sana ditulis pada dinding selatan.[11]

Teks-teks bagi Permaisuri Neith amat serupa dan berbeza daripada firaun punya dalam beberapa aspek. Seperti firaun punya, penggunaan kata rujuk orang pertama dan ketiga ada dalam kedua-dua prasasti ahram ini. Nama Neith digunakan dalam seluruh teks untuk khaskan ia kepada baginda permaisuri. Banyak kata ganti nama yang digunakan ialah maskulin, yang membezakan antara prasasti ahram firaun dan permaisuri, tetapi kata ganti nama feminin ada juga. Teks-teks ini uga mengandungi mantera dan ungkapan yang sepatutnya dibacakan oleh roh si mati dan juga oleh sesiapa sahaja yang merujuk kepadanya.[11]

Contoh[sunting | sunting sumber]

Selepas mati, firaun harus bangkit dari makamnya. Ungkapan 373 menyatakan:[5]

Ah! Ah! Bangkitlah, wahai Teti!
Ambil kepalamu, ambil temulangmu,
Ambil anggotamu, luluhkan tanah dari dagingmu!
Ambil rotimu yang tiadanya busuk, arakmu yang masamnya tidak,
Berdiri di gapura yang menghambat rakyat biasa!
Penjaga (gapura) bersuamu, memimpin tanganmu,
Ia membawamu ke syurga, ke bapamu Geb.
Dia sukacita atas kehadiratmu, Ia hulurkan tangannya,
Menciummu, membelaimu,
Tampilmu menghadap semangat-mangat, bintang-bintang abadi...
Sang terbuni (tidak terlihat) sanjungmu,
Sang raya kelilingmu,
Sang cerap menantimu,
Padi belanda dibanting demimu,
Terigu dituai demimu,
Kenduri pekananmu (mingguan) dibuat dengannya,
Kenduri dwipekananmu dibuat dengannya,
Menjunjung perintah laksana Geb, bapamu,
Bangkitlah, wahai Teti, kautidakkan mati!

Teks kemudian menyatakan beberapa cara untuk firaun naik ke syurga, dan salah satu daripadanya ialah dengan menaiki tangga. Dalam ungkapan 304 firaun berkata:[5]

Sanjung, puteri Anpu, yang berada di jendela langit,
Taulan (kawan) Tehuti, di atas anak tangga,
Beri laluan demi Unas, berikan Unas lalu!

Salah satu cari lagi ialah menaiki perahu. Jika anak perahu enggan membawa firaun, beliau ada cara-cara lain:

Jikalau kauenggan perahukan Unas,
Ia akan lonjak dan tumpang di atas sayap Tehuti,
Lalu ia akan perahukan Unas ke seberang!

Gita Puja Kanibal[sunting | sunting sumber]

Ungkapan 273 dan 274 kadangkala dikenali sebagai "Gita Puja Kanibal", sebab ia menyatakan firaun memburu dan memakan anggota dewa-dewa:[5] Ia merupakan bahagian yang asing (Ungkapan 273-274) dalam himpunan teks upacara dalam Prasasti Ahram dari zaman Kerajaan Lama Mesir.

Gita Puja Kanibal muncul dalam Piramid Unas pada penghujung Wangsa Kelima, dan mengandungi gambaran upacara diraja lama di mana firaun yang telah mangkat—dengan bantuan dewa Shezmu—menyembelih, memasak dan makan dewa-dewa sebagai korban, menjadikan sang firaun dapat kuasa ketuhanan yang ada pada dewa-dewa supaya dapat pergi ke alam akhirat dan jaminkan perjelmaannya sebagai seorang dewa untuk memerintah syruga.

Gaya dan format Gita Puja Kanibal bersifatkan puisi lisan dalam zaman firaun Mesir, penuh dengan kiasan samar dan penggunaan jenakata dan kata sebunyi dalam gambaran upacara penyembelihan.

Selain daripada persemadian Unas, hanya Piramid Teti sahaja yang ada Gita Puja Kanibal.

Suatu tuhan yang memamah bapanya,
yang memakan ibunya...
Unas ialah lembu jantan bagi langit
Yang amarah di dalam hatinya,
Yang memamah setiap dewa,
Yang memakan isinya
Kala mereka tiba, tubuh mereka dipenuhi sakti
Dari Nusa Api...

Gita Puja Kanibal kemudian muncul semula dalam Prasasti Larung sebagai Mantera 573.[25] Ia digugurkan bila Kitab Orang Mati disalin.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Malek 2003.
  2. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v Allen 2005.
  3. ^ Verner 2001a.
  4. ^ Allen 2001.
  5. ^ a b c d Lichtheim 1975.
  6. ^ Dassow 2015.
  7. ^ Hornung 1997.
  8. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q Verner 2001b.
  9. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r Lehner 2008.
  10. ^ a b c d Allen et al. 1999.
  11. ^ a b c d e f g h i j k l m Allen 2015.
  12. ^ Chauvet 2001.
  13. ^ Dodson 2016.
  14. ^ a b c d e f g h i j k l Hays 2012.
  15. ^ a b "The Pyramid Texts: Guide to the Afterlife". Ancient History Encyclopedia. Dicapai 2018-03-28. 
  16. ^ a b Allen 2000.
  17. ^ a b c Mercer 1956.
  18. ^ Allen 2001, m/s. 95.
  19. ^ Clayton 1994, m/s. 63.
  20. ^ Allen 2005, m/s. 61.
  21. ^ Grimal 1992.
  22. ^ Smith 2017.
  23. ^ a b "ANCIENT EGYPT : The Pyramid Texts in the tomb of Pharaoh Wenis, Unis or Unas". www.sofiatopia.org. Dicapai 2018-03-28.  Ralat petik: Invalid <ref> tag; name ":3" defined multiple times with different content
  24. ^ "The Opening of the Mouth Ceremony". Experience Ancient Egypt (dalam bahasa Inggeris). Dicapai 2018-03-28. 
  25. ^ Faulkner 2004.

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jumlah keseluruhan berbeza mengikut sumber laporan: 236,[18] 228,[19] 226.[20]

Sumber[sunting | sunting sumber]

  • Allen, James P. (2000). Middle Egyptian: An Introduction to the Language and Culture of Hieroglyphs. Cambridge, UK: Cambridge University Press. ISBN 0-521-77483-7. 
  • Allen, James (2001). "Pyramid Texts". dalam Redford, Donald B. The Oxford Encyclopedia of Ancient Egypt, Volume 3. Oxford: Oxford University Press. m/s. 95–98. ISBN 978-0-19-510234-5. 
  • Allen, James (2005). Der Manuelian, Peter, penyunting. The Ancient Egyptian Pyramid Texts. Writings from the Ancient World, Number 23. Atlanta: Society of Biblical Literature. ISBN 978-1-58983-182-7. 
  • Allen, James P. (2015). The Ancient Egyptian Pyramid Texts. Atlanta, Georgia: Society of Biblical Literature. ISBN 978-1-62837-114-7. 
  • Allen, James; Allen, Susan; Anderson, Julie; dll. (1999). Egyptian Art in the Age of the Pyramids. New York: The Metropolitan Museum of Art. ISBN 978-0-8109-6543-0. OCLC 41431623. 
  • Chauvet, Violaine (2001). "Saqqara". dalam Redford, Donald B. The Oxford Encyclopedia of Ancient Egypt, Volume 3. Oxford University Press. m/s. 176–179. ISBN 978-0-19-510234-5. 
  • Clayton, Peter A. (1994). Chronicle of the Pharaohs. London: Thames & Hudson. ISBN 0-500-05074-0. 
  • Dassow, Eva Von, penyunting (2015). The Egyptian book of the dead : the book of going forth by day : being the papyrus of Ani (royal scribe of the divine offerings) : including the balance of chapters of the books of the dead known as the Theban Recension compiled from ancient texts, dating back to the roots of Egyptian civilization / written and illustrated circa 1250 B.C.E., by scribes and artists unknown. Diterjemah oleh Faulkner, Raymond O.; Goelet, Ogden. Supervised by Renouf P. Le Page and Budge E.A. Wallis; Foreword by James Wasserman; Scholarship survey by Gunther J. Daniel; Preface by Carol Andrews (edisi 20th Anniversary). San Francisco: Chronicle Books. ISBN 978-1452144382. 
  • Dodson, Aidan (2016). The Royal Tombs of Ancient Egypt. Barnsley, South Yorkshire: Pen & Sword Archaeology. ISBN 978-1-47382-159-0. 
  • Faulkner, Raymond O. (2004). The Ancient Egyptian Coffin Texts. Oxford: Oxbow Books. ISBN 9780856687549. 
  • Grimal, Nicolas (1992). A History of Ancient Egypt. Translated by Ian Shaw. Oxford: Blackwell publishing. ISBN 978-0-631-19396-8. 
  • Hays, Harold M (2012). The Organization of the Pyramid Texts : Typology and Disposition (Volume 1). Probleme de Ägyptologie. Band 31. Leiden, Boston: Brill. ISBN 978-90-04-22749-1. ISSN 0169-9601. 
  • Hornung, Erik (1997). The Ancient Egyptian Book of the Afterlife. Ithaca and London: Cornell University Press. 
  • Lehner, Mark (2008). The Complete Pyramids. New York: Thames & Hudson. ISBN 978-0-500-28547-3. 
  • Lichtheim, Miriam (1975). Ancient Egyptian Literature. 1. London, England: University of California Press. ISBN 0-520-02899-6. 
  • Malek, Jaromir (2003). "The Old Kingdom (c.2160-2055 BC)". dalam Shaw, Ian. The Oxford History of Ancient Egypt. Oxford University Press. m/s. 83–107. ISBN 978-0-19-815034-3. 
  • Mercer, Samuel A. B. (1956). Literary Criticism of the Pyramid Texts. London: Luzac & Compant LTD. OCLC 36229800. 
  • Smith, Mark (2017). Following Osiris: Perspectives on the Osirian Afterlife from Four Millennia. Oxford: Oxford University Press. ISBN 978-0-19-958222-8. 
  • Verner, Miroslav (2001a). "Pyramid". dalam Redford, Donald B. The Oxford Encyclopedia of Ancient Egypt, Volume 3. Oxford: Oxford University Press. m/s. 87–95. ISBN 978-0-19-510234-5. 
  • Verner, Miroslav (2001b). The Pyramids: The Mystery, Culture and Science of Egypt's Great Monuments. New York: Grove Press. ISBN 978-0-8021-1703-8. 

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Allen, James P. (2013). A New Concordance of the Pyramid Texts. Brown University. 
  • Forman, Werner; Quirke, Stephen (1996). Hieroglyphs and the Afterlife in Ancient Egypt. University of Oklahoma Press. ISBN 0-8061-2751-1. 
  • Timofey T. Shmakov, "Critical Analysis of J. P. Allen's 'The Ancient Egyptian Pyramid Texts'," 2012. [1]
  • Wolfgang Kosack "Die altägyptischen Pyramidentexte." In neuer deutscher Uebersetzung; vollständig bearbeitet und herausgegeben von Wolfgang Kosack Christoph Brunner, Berlin 2012, ISBN 978-3-9524018-1-1.
  • Kurt Sethe Die Altaegyptischen Pyramidentexte. 4 Bde. (1908-1922)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]