Pergi ke kandungan

Qu Yuan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Qu Yuan
Potret Qu Yuan oleh Chen Hongshou, abad ke-17
Potret Qu Yuan oleh Chen Hongshou, abad ke-17
Nama asal
屈原
Lahirsekitar339 SM
Negeri Chu, kawasan Zigui moden, Hubei, China
Meninggal dunia278 SM (usia 62)
Sungai Miluo
PekerjaanPenyair, ahli politik
Chinese name
Bahasa Cina屈原

Qu Yuan (sekitar340 SM–278 SM)[1][2][3] ialah seorang bangsawan dan penyair dari Negeri Chu pada zaman Negara-Negara Berperang. Namanya terkenal kerana semangat kecintaan terhadap tanah air serta sumbangannya kepada puisi dan syair klasik, khususnya melalui himpunan Chu Ci atau Lagu-Lagu Selatan/Lagu-Lagu Chu, yakni kumpulan karya yang dinisbahkan kepadanya atau jelas dipengaruhi gaya puisinya. Bersama Shi Jing, Chu Ci merupakan dua koleksi puisi kuno terpenting China. Qu Yuan juga dikaitkan dengan kisah asal-usul Perayaan Perahu Naga.

Maklumat sejarah tentang hidup Qu Yuan agak terhad, dan penulisannya bagi banyak puisi dalam Chu Ci telah lama diperdebatkan.[4] Walau begitu, beliau umumnya diterima sebagai penulis "The Lament", sebuah puisi dalam Chu Ci. Rujukan terawal tentang Qu Yuan muncul dalam sebuah puisi tahun 174 SM oleh Jia Yi, pegawai dari Luoyang yang difitnah dan dibuang ke Changsha oleh Maharaja Wen dari Han. Ketika dalam perjalanan, beliau menulis puisi menyamakan nasibnya dengan seorang tokoh terdahulu bernama “Qu Yuan”.[5] Sekitar lapan puluh tahun kemudian, sejarawan Dinasti Han Sima Qian menulis biografi pertama Qu Yuan dalam Records of the Grand Historian, namun dengan beberapa butiran yang saling bertentangan.[6]

Kehidupan

[sunting | sunting sumber]

Sumber tunggal yang masih wujud tentang perjalanan hidup Qu Yuan ialah biografi yang ditulis Sima Qian dalam Shiji, meskipun karya tersebut banyak bersifat deduksi dan tampaknya dipengaruhi identifikasi peribadi Sima terhadap tokoh ini.[7][8] Sima menyatakan Qu berasal daripada keluarga diraja Chu dan pernah berkhidmat di bawah Raja Huai dari Chu (memerintah 328–299 SM).[9]

Pada awal pemerintahan Raja Huai, Qu Yuan dilantik sebagai Menteri Kiri negeri Chu.[1] Namun, akibat hasutan pegawai korup yang meracuni fikiran raja, Qu Yuan dibuang ke kawasan utara Sungai Han.[1] Beliau kemudian dipanggil semula dan dihantar dalam misi diplomatik ke negeri Qi.[10] Usaha beliau ialah memulihkan hubungan Chu–Qi yang terputus kerana tipu helah Raja Hui dari Qin berhubung penyerahan wilayah sekitar Shangyu.[11]

Semasa pemerintahan Raja Qingxiang, Perdana Menteri Zilan kembali memfitnah Qu Yuan.[10] Akibatnya beliau dibuang ke kawasan selatan Yangtze.[10] Dikisahkan beliau pulang dahulu ke kampung halamannya. Dalam tempoh buangan itu, Qu Yuan mengembara di desa, mengumpul legenda, menyusun semula nyanyian rakyat, sambil melahirkan puisi-puisi besar dalam kesusasteraan Cina dan menzahirkan keresahan mendalam terhadap nasib negerinya.[10] Menurut cerita, kegundahan yang berlarutan menjejaskan kesihatan. Beliau sering berjalan ke sebuah perigi untuk merenung bayang tubuhnya yang susut, sehingga perigi itu dikenali sebagai “Perigi Wajah”. Di lereng Xiangluping, Zigui (kini Hubei), terdapat sebuah perigi yang dianggap tinggalan dari zaman Qu Yuan.

Pada 278 SM, setelah mendengar ibu kota Chu, Ying, jatuh ke tangan Jeneral Bai Qi dari Qin, Qu Yuan dikatakan mengumpulkan kisah rakyat dan menulis ratapan panjang berjudul Lament for Ying. Akhirnya beliau mengakhiri nyawanya dengan melangkah ke Sungai Miluo sambil memegang batu. Alasan pilihannya untuk mati diperdebatkan sarjana berabad-abad. Tafsiran lazim termasuk pengorbanan demi tanah air sebagaimana dihuraikan Zhu Xi dari Dinasti Song, atau putus asa melihat politik Chu sehingga cita-cita hidupnya tidak mungkin tercapai. Namun menurut Yu Fu yang sering dianggap ditulis sendiri oleh Qu atau seseorang yang amat mengenalinya, tindakan itu dianggap jalan terakhir memelihara maruah dan prinsip hidupnya.

Menurut Li Yinhe, Qu Yuan dikatakan menzahirkan kasihnya kepada raja pemerintah, Raja Huai dari Chu, melalui beberapa karya termasuk Li Sao dan Longing for Beauty.[12]

Qu Yuan dalam Sembilan Lagu, cetakan dipercayai abad ke-14 (Metropolitan Museum of Art)

Qu Yuan sering dianggap tokoh pertama dalam tradisi puisi China yang karyanya dikenali bersama nama penulisnya, memandangkan karya-karya sebelumnya jarang berpengarang. Beliau dipandang sebagai perintis gaya sao melalui Li Sao, dengan meninggalkan format rangkap empat aksara puisi Shi Jing dan memilih panjang baris yang berubah-ubah. Inovasi ini memberi ritma yang lebih bebas dan ruang ekspresi yang lebih luas. Qu Yuan turut dilihat sebagai figur penting Romantisisme dalam sastera klasik China, mempengaruhi penyair romantik besar Dinasti Tang. Ketika era Dinasti Han, beliau dijadikan teladan sarjana-pegawai yang dinafikan pengiktirafan sewajarnya, namun teguh pada prinsip.[13]

Potret Qu Yuan

Negeri Chu terletak di kawasan Lembangan Yangzi di tengah China. Pada masa itu, Chu berada di pinggir selatan lingkungan budaya Zhongyuan, kadang bersekutu, kadang bermusuhan, dan kadang di bawah kekuasaan Shang serta Zhou. Namun budaya Chu mengekalkan unsur setempat seperti shamanisme, pengaruh yang jelas dalam Chu Ci.[14]

Chu Ci dihimpun dan dihuraikan oleh Wang Yi (meninggal 158 M), dan melalui beliaulah teks-teks ini sampai kepada generasi kemudian; justeru peranan sebenar Qu Yuan sebagai pengarang, penyunting, atau penambah baik kekal tidak tuntas.[15] Puisi-puisi Chu Ci penting kerana menjadi pendahulu langsung kepada gaya fu dalam sastera Dinasti Han.[16] Sebagai simpanan sastera awal, Chu Ci juga amat bernilai untuk kajian linguistik sejarah bahasa Cina, sejak kajian Chen Di.

Sesudah kematiannya, Qu Yuan ada kalanya dipuja sebagai dewa air, termasuk oleh masyarakat Taiwan beraliran Taoisme, yang menempatkannya dalam kalangan Raja-Raja Abadi Air.[17]

Patriotisme

[sunting | sunting sumber]
Potret dalam album Portraits of Famous Men, s. 1900

Semasa Perang Dunia Kedua, Qu Yuan mula ditampilkan secara nasionalis sebagai “penyair patriotik pertama China”.[18] Wen Yiduo penyair dan sarjana sosialis yang kemudian ditembak Parti Nasionalis China menulis dalam Mythology & Poetry bahawa “meskipun Qu Yuan tidak menulis tentang kehidupan rakyat atau derita mereka, beliau boleh dikatakan memimpin revolusi rakyat dan memukul musuh bagi pihak mereka. Dalam sejarah China, hanya Qu Yuan layak digelar ‘penyair rakyat’.”[19] Drama Guo Moruo tahun 1942 bertajuk Qu Yuan[20] turut mengangkatnya, malah dibandingkan dengan Hamlet dan King Lear.[18] Tafsiran tentang idealisme sosial serta patriotismenya ini kemudian menjadi arus perdana di bawah Republik Rakyat China selepas kemenangan Parti Komunis China pada 1949.[18][13] Misalnya, buku teks sekolah menengah tahun 1957 membuka bab dengan ayat “Qu Yuan ialah penyair patriotik agung yang pertama dalam sejarah kesusasteraan negara kita.”[21] Kedudukan kultus ini mengukuhkan statusnya dalam kanun sastera China, hingga wajahnya diabadikan pada setem[22] dan Perayaan Perahu Naga diisytihar cuti umum nasional pada 2008. Namun, hal ini juga mengendurkan wacana kritikal tentang historiografi Qu Yuan dan korpus karyanya yang berkembang pada hujung Qing serta awal Republik China.[18]

Festival Perahu Naga

[sunting | sunting sumber]
Arca Qu Yuan pada perahu naga, dipamerkan sempena Perayaan Perahu Naga di Singapura

Legenda popular menceritakan bahawa para penduduk mengayuh perahu dan membawa pulut ke tengah sungai cuba menyelamatkan Qu Yuan selepas beliau terjun ke Miluo, tetapi gagal. Untuk menghalau ikan dan roh jahat daripada jasadnya, mereka memukul gendang, memercik air dengan kayuh, serta menabur nasi ke sungai sebagai sedekah roh Qu Yuan dan untuk mengalih perhatian ikan. Diceritakan pula, suatu malam roh Qu Yuan menampakkan diri kepada sahabatnya, memberitahu bahawa beliau sendiri yang memilih tenggelam, lalu menyarankan supaya nasi dibungkus dalam paket segi tiga daripada sutera untuk menghindari naga.

Bungkusan itu kemudiannya menjadi makanan tradisi zongzi, cuma kini dibalut daun, bukan sutera. Perlumbaan perahu mencari jasadnya lama-kelamaan berubah menjadi tradisi perlumbaan perahu naga pada ulang tahun kematiannya. Hari ini, masyarakat masih menikmati zongzi dan menyertai perlumbaan perahu naga pada hari kelima bulan kelima kalendar lunar tradisi.

Penerokaan Angkasa

[sunting | sunting sumber]

Puisi Qu Yuan Heavenly Questions (Tianwen) menghimpunkan persoalan ontologis tentang asal-usul alam semesta serta misteri langit dan bumi.[23](m/s.182-183) Program penerokaan antara planet China, Tianwen (Pertanyaan Langit) dinamakan mengambil sempena puisi tersebut. Misi pertama ke Marikh, Tianwen-1, dilancarkan pada 23 Julai 2020 dan memasuki orbit Marikh pada 10 Februari 2021. Pada 14 Mac 2021, pendarat dan rover berjaya mendarat di permukaan Marikh.

  1. 1 2 3 CUHK (2007), m/s. 205.
  2. Knechtges (2010), m/s. 745.
  3. Kern (2010), m/s. 76.
  4. Templat:Cite periodical
  5. Dipetik dalam biografi Jia Yi oleh Ban Gu dalam Sejarah Dinasti Han 《漢書·賈誼傳》, turut muncul dalam Wenxuan, "Diào Qū Yuán fù" 弔屈原賦.
  6. Hawkes (1959), m/s. 52.
  7. Hawkes (1959), m/s. 53–54
  8. Hartman (1986), m/s. 352.
  9. Templat:Cite Shiji
  10. 1 2 3 4 CUHK (2007), m/s. 206
  11. CUHK (2007), m/s. 205–6
  12. "History of Homosexuality". china.org.cn. Shanghai Star. 2002. Diarkibkan daripada yang asal pada Nov 19, 2003. Dicapai pada 26 November 2016.
  13. 1 2 Davis, xlvii
  14. Hinton, 80
  15. Yip, 54
  16. Davis, xlviii
  17. "Shuexian Deities", Official site, Tainan: Grand Matsu Temple, 2007
  18. 1 2 3 4 Hawkes (1974), m/s. 42.
  19. Wen (1956).
  20. Guo (1952).
  21. Zhang (1957).
  22. 《屈原》郵票端午節正式發行 來了解下「中華詩祖」 (dalam bahasa Cina). Dicapai pada 2020-08-05.
  23. Tu, Hang (2025). Sentimental Republic: Chinese Intellectuals and the Maoist Past. Harvard University Asia Center. ISBN 9780674297579.

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]