Ramlah binti Abi Sufyan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ramlah binti Abi Sufyan (رملة بنت أبي سفيان) juga dikenali sebagai Ummu Habibah (أم حبيبة) (kk.594-665) ialah isteri Nabi Muhammad s.a.w., dan dianggap oleh orang Islam sebagai Ibu Orang Beriman.

Awal kehidupan[sunting | sunting sumber]

Beliau merupakan anak perempuan kepada Abu Sufyan bin Harb dan Safiyyah bint Abi al-'As.[1] Abu Sufyan merupakan ketua Bani Umaiyah, dan ketua kaum Quraish dan antara pententang hebat kepada Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 624-630. Walau bagaimanapun, dia kemudiannya memeluk Islam dan menjadi salah seorang pejuang Islam. Khalifah Kerajaan Bani Umaiyah yang pertama, Muawiyah I, adalah saudara lelaki Ramlah manakala Uthman bin Affan ialah sepupunya dari belah ibu[2] dan dua pupu dari belah bapa.

Perkahwinan dengan Ubaidullah bin Jahsy[sunting | sunting sumber]

Perkahwinan pertama beliau ialah bersama Ubaidullah bin Jahsy,[3] abang Zainab binti Jahsy, yang dikahwini Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 627.

Ubaidullah dan Ramlah adalah antara yang awal memeluk Islam. Pada tahun 616, untuk mengelakkan diri dari penindasan Quraisy, mereka berdua berhijrah ke Habsyah, di sana beliau melahirkan anak perempuannya, Habibah binti Ubaidullah.[3] Dari situ, beliau mendapat gelaran "Ummu Habibah" yang bermakna "Ibu Habibah".

Ubaidullah kemudiannya memeluk agama Kristian.[3] Dia cuba untuk memujuk Ramlah melakukan perkara yang sama tetapi beliau tetap dengan pendiriannya untuk bersama dengan Islam. Penukaran agama suaminya menyebabkan perpisahan mereka. Mereka tetap tinggal di Habsyah sehingga Ubaidullah meninggal dunia pada 627.[3]

Perkahwinan dengan Nabi Muhammad s.a.w.[sunting | sunting sumber]

Nabi Muhammad s.a.w. menghantar peminangan kepada Ramlah, yang tiba pada hari beliau tamat iddahnya.[4] Raja Ashamah bin Abjar, Najasyi Habsyah menghantar wanita suruhannya untuk menyampaikan perutusan tersebut. Ramlah menerima dengan senang hati dan memberikan gelang perak dan cincinnya kepada pengutus itu sebagai hadiah.[3]

Majlis perkahwinannya berlangsung di Habsyah walaupun baginda Nabi tidak berasa di situ. Ramlah memilih Khalid bin Said sebagaiu walinya untuk majlis itu. Raja Najasyi membaca sendiri khutbah nikah, dan Khalid membalasnya dengan ucapan yang mulia. Najasyi menyampaikan Khalid mas kahwin sebanyak 400 dinar dan mengadakan kenduri yang besar selepas majlis itu. Beliau turut menghadiahkan kasturi dan ambar kepada pengantin melalui Abrahah.[3] Nabi Muhammad tidak memberikan maskahwin lebih besar daripada ini kepada isteri baginda yang lain.[5]

Raja Najasyi kemudiannya mengatur kepulangan penghijrah Islam untuk kembali ke Tanah Arab. Mereka kemudiannya menuju ke Madinah dengan dua buah perahu.[6] Shurahbil bin Hasanah menemani Ramlah dalam perjalanan ini. Menurut sesetengah sumber, beliau berkahwin dengan Nabi Muhammad pada tahun pertama hijrah tetapi beliau tidak hidup bersama baginda sehinggalah enam tahun kemudian, semasa baginda berusia enam puluh tahun dan beliau berusia tiga puluh lima tahun.[7] Tabari menulis bahawa pekahwinan mereka terjadi pada tahun 7 Hijrah (628) apabila beliau "berusia tiga puluh lebih."[8]

Kehidupan di Madinah[sunting | sunting sumber]

Pada satu ketika, Abu Sufyan menziarahi anaknya, Ramlah di rumahnya yang berada di Madinah. "Apabila dia hendak duduk di atas tikar Rasulullah s.a.w., beliau melipatnya supaya dia tidak dapat duduk di atasnya. 'Anakku,' katanya, 'Tidak aku ketahui jika kamu berfikir yang tikar itu terlalu bagus untuk aku atau aku terlalu bagus untuk tikar itu!' Beliau menjawab: 'Ini ialah tikar baginda dan ayahanda pula kafir yang kotor. Saya tidak mahu ayahanda duduk di atas tikar baginda.' 'Demi Tuhan,' kata Abu Sufyan, 'sejak kamu meninggalkan aku, kamu telah menjadi teruk.'"[9][10]

Ramlah wafat pada tahun 45 Hijrah (tahun 664 atau 665) semasa kekhalifahan saudaranya, Muawiyah I.[8] Beliau dimakamkan di Jannatul Baqi' bersama isteri baginda yang lain.[3]

Warisan[sunting | sunting sumber]

Hadith mencatatkan lebih kurang enam puluh lima yang diriwayatkan oleh Ramlah. Imam Bukhari dan Imam Muslim bersetuju dengan dua daripadanya, dan Imam Muslim mengambil dua daripadanya.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ الشبكة الإسلامية - (9) أم حبيبة رملة بنت أبي سفيان رضي الله عنها
  2. ^ Muhammad ibn Jarir Al-Tabari, Tarikh al-Rusul wa'l-Muluk vol. 39. Translated by Landau-Tasseron, E. (1998). Biographies of the Prophet's Companions and Their Successors, p. 177. New York: State University of New York Press.
  3. ^ a b c d e f g h Islam online
  4. ^ Landau-Tasseron/Tabari p. 178.
  5. ^ Ibn Hisham note 918.
  6. ^ Muhammad ibn Ishaq, Sirat Rasul Allah. Translated by Guillaume, A. (1955). The Life of Muhammadﷺ, pp. 527-530. Oxford: Oxford University Press.
  7. ^ Ibn Kathir, The Wives of the Prophet Muhammad (SAW).
  8. ^ a b Landau-Tasseron/Tabari, p. 180.
  9. ^ Guillaume/Ishaq, p. 543.
  10. ^ John Glubb, The Life and Times of Muhammad, Lanham 1998, p. 304-310.