Hindun binti Abi Umaiyah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
تخطيط اسم أم سلمة.png

Hindun binti Abi Umaiyah (Bahasa Arab: هند بنت أبي أمية‎), juga dikenali sebagai Hind al-Makhzumiyah, Hindun binti Suhail atau Ummu Salamah (Bahasa Arab: أم سلمة هند بنت أبي أمية‎)[1][2] (c. 596 AD – 64 AH)[3] isteri Nabi Muhammad s.a.w., dan dianggap oleh orang Islam sebagai Ibu Orang Beriman. Ummu Salamah ialah kunya (nama gelaran) beliau yang bermaksud "ibu Salamah".[4][5] Ummu Salamah merupakan antara isteri baginda yang dikenali, terutamanya dalam penyampaian banyak Hadith Nabi ataupun kisah hidup baginda.[6][7]

Sebelum Perkahwinan dengan Nabi Muhammad s.a.w.[sunting | sunting sumber]

Nama peribadi beliau ialah Hind atau Hindun.[1][2] Bapa beliau ialah Abu Umaiyah ibn Al-Mughirah ibn 'Abdullah ibn 'Umar ibn Makhzum ibn Yaqaẓah yang turut dikenali sebagai Suhail atau Zad ar-Rakib.[8] Abu Umaiyah merupakan ahli keluarga elit dalam Puak Quraisy, terkenal dengan sifat pemurahnya terutama kepada musafir.[9] Ibu beliau pula ialah 'Ātikah binti 'Āmir ibn Rabī'ah, dari suku Firas ibn Ghanam Bani Kinanah.[2][10]

Perkahwinan dengan Abu Salamah[sunting | sunting sumber]

Sebelum perkahwinan beliau dengan Nabi Muhammad S.A.W, Ummu Salamah telah berkahwin dengan Abu Salamah ibn `Abdi'l-Asad al-Makhzumi, yang ibunya ialah Barrah binti Abdul Mutalib. Abu Salamah merupakan salah seorang sahabat rapat baginda.[11] Umm Salamah melahirkan empat cahaya mata iaitu Zainab (Barrah), Salamah, Umar dan Ruqaiyyah (Durrah).[12][13]

Memeluk Islam[sunting | sunting sumber]

Ummu Salamah dan suaminya Abu Salamah adalah antara yang terawal memeluk Islam.[10] Dikhabarkan bahawa hanya Ali, Abu Bakar dan sebilangan kecil sahaja yang memeluk sebelum sebelum mereka berdua.[6][10] Walaupun mendapat tentangan dan makian hebat dari Kaum Quraisy berkenaan pengislaman mereka, Ummu Salamah dan Abu Salamah tetap mempertahankan akidah mereka.[9]

Apabila penindasan bertambah teruk, penganut Islam yang baru mula mencari kehidupan di luar Makkah. Nabi Muhammad S.A.W mengarahkan pengikutnya yang baru memeluk Islam, termasuk Ummu Salamah dan Abu Salamah, untuk berhijrah ke Habsyah. Ummu Salamah meninggalkan kehidupannya yang mulia bersama suku kaumnya di Makkah untuk berhijrah. Ketika di Habsyah, mereka dikhabarkan yang penindasan di Makkah semakin berkurangan disebabkan pengikut yang beragama Islam semakin ramai. Hebahan tersebut membuatkan Ummu Salamah, suami beliau, dan orang Islam yang lain ingin pulang ke Makkah. Ketika kepulangan mereka, kaum Quraisy sekali lagi meningkatkan penindasan mereka. Maka, Nabi Muhammad S.A.W mengarahkan pengikutnya untuk berhijrah ke Madinah yang dikenali sebagai Hijrah. Ummu Salamah, bersama suami dan anak mereka, Salamah, mula merancang untuk berhijrah. Walau bagaimanapun, suku Ummu Salamah menghalang dan mengurungnya di Makkah, manakala suku Abu Salamah mengambil Salamah.[14]

Ummu Salamah menceritakan semula kisah ini:

Sebelum kami keluar dari Makkah, beberapa orang dari suku aku menahanku dan memberitahu suamiku: 'Walaupun kamu boleh bebas berbuat sesuka hatimu, kamu tiada kuasa terhadap isterimu. Dia anak kami. Kamu ingat kami akan membiarkan kamu mengambilnya daripada kami?' Mereka kemudiannya menyambar dia (Abu Salamah) dan merampas aku daripadanya. Suku suamiku pula, Banu 'Abdul Asad, melihat mereka mengambil aku dan menjadi marah. 'Tidak! Demi Allah' mereka menjerit, 'kami takkan membiarkan budak itu. Dia anak kami dan kami lebih berhak ke atasnya.' Mereka kemudiannya mengambilnya dari tanganku dan menariknya daripadaku.[15]
—Ummu Salamah

Abu Salamah berhijrah ke Madinah berseorangan, meninggalkan anak dan isterinya di Makkah.

Sejak terpisah dengan suami dan anaknya, setiap pagi Ummu Salamah akan pergi ke tanah lapang dan duduk sambil menangis. Hal itu dilakukan selama setahun sehingga pada suatu hari seorang sepupunya dari Bani al-Mughirah melihatnya dan berkata kepada ahli sukunya yang lain, “Tidakkah kamu bersimpati terhadap wanita malang itu? Kalian telah memisahkannya daripada suami dan anaknya.”

Tidak lama selepas itu, Bani Mughirah membenarkan Ummu Salamah pergi mencari suaminya di Madinah. Bani Asad juga mengembalikan puteranya, Salamah kepada Ummu Salamah. Lalu, Ummu Salamah mengeluarkan untanya dan membawa bersama anaknya keluar mencari suaminya. Beliau memulakan perjalanan bersendirian bertemankan anaknya yang masih kecil, namun pergantungannya kepada Allah sentiasa melebihi segala-galanya. Di dalam perjalanan, beliau bertemu dengan Uthman bin Thalhah dan dia dibantu perjalanannya sehingga beliau bertemu dengan Abu Salamah.[16]

Kematian Abu Salamah[sunting | sunting sumber]

Ketika perkahwinannya bersama Abu Salamah, Ummu Salamah (dalam kisah yang diriwayatkan oleh Ziyad ibn Abi Maryam) pernah bertanya kepada suaminya untuk membuat perjanjian sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia, yang seorang lagi tidak akan berkahwin lagi. Walau bagaimanapun, dalam kisah ini, Abu Salamah menjawab dengan menyuruh Ummu Salamah berkahwin semula selepas kematiannya. Dia kemudiannya berdoa, "Ya Allah, jika aku mati maka berilah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik dariku yang tidak akan membuatnya sedih dan tidak akan menyakitinya.!"[17]

Ketika Peperangan Uhud (Mac 625), Abu Salamah mengalami kecederaan yang teruk. Apabila Abu Salamah sedang nazak akibat lukanya yang banyak, dia mengingatkan semula sebuah kisah kepada Ummu Salamah yang mengaitkan pesanan yang pernah didengarinya daripada Nabi Muhammad S.A.W: "Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, 'Apabila musibah melanda kalian, dia perlulah berkata, "Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali."' Dan dia pun berdoa, 'Ya Allah, berikan aku sesuatu yang lebih baik daripada ini yang hanya Engkau, Yang Maha Tinggi dan Maha Agung, dapat memberi'".[18] Kisah ini diceritakan dengan pelbagai variasi tetapi isi kandungannya utamanya tetap utuh.

Suami beliau akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan yang diterimanya semasa di Jabal Uhud.[1][2] Ummu Salamah ingat Hadith yang diingatkan suaminya sebelum kematiannya, dan mula membaca doa tersebut.[19]

Berikutan meninggalnya Abdullah ibn Abdulasad,[1][2] Ummu Salam dikenali sebagai 'Ayyin al-Arab - secara harfiahnya bermaksud "mata Arab", dan secara kiasannya bermakna "orang yang kehilangan suaminya" akibat tangisan dan kesedihan yang ditanggung. Beliau tidak mempunyai keluarga lain di Madinah kecuali diberikan sedikit bantuan oleh kaum Muhajirin dan Ansar. Selepas tamat iddahnya selama empat bulan sepuluh hari, Ummu Salamah mendapat tawaran untuk berkahwin.[19] Abu Bakar dan Umar masuk meminangnya tetapi ditolak.[1] Kemudian, Muhammad S.A.W sendiri meminang Ummu Salamah. Pada mulanya beliau agak berat hati untuk menerimanya dengan berkata, "Wahai Rasulullah, saya punya tiga sifat. Saya seorang wanita yang sangat kuat cemburu dan saya takut Tuan akan melihat sesuatu yang aka menyebabkan kemarahan Tuan dan menyebabkan Allah menghukum saya. Saya juga seorang wanita yang sudahpun berusia dan seorang wanita yang mempunyai anak-anak kecil."[19]

Walau bagaimanapun, baginda menjawab setiap kerisauannya dengan, "Berkenaan kecemburuan yang kamu katakan itu, saya berdoa kepada Allah yang Berkuasa agar menghilangkannya. Berkenaan usia yang kamu sebutkan itu, saya juga mempunyai masalah yang kamu hadapi. Berkenaan tanggungan keluarga yang kamu katakan itu pula, keluarga kamu adalah keluargaku juga."[19]

Perkahwinan dengan Nabi Muhammad s.a.w.[sunting | sunting sumber]

Ummu Salamah mengahwini Nabi Muhammad S.A.W pada usia 29 tahun. Hanya isteri baginda yang keenam dan ketujuh (Ummu Salamah dan Zainab) yang merupakan sepupu baginda yang dikenali sejak kecil. Ummu Salamah merupakan seorang balu dengan tiga anak kecil dan mengandungkan pula anak keempat semasa perkahwinan itu.[20]

Apabila Fatimah binti Asad (ibunda kepada Khalifah ke-4, Ali) meninggal dunia, baginda memilih Ummu Salamah untuk menjadi penjaga anaknya, Fatimah al-Zahra.[2]

Ayat Penyucian (33:33) di dalam al-Quran telah diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W di rumah Ummu Salamah.[2][21][22]

Ummu Salamah dan Isteri Nabi yang lain[sunting | sunting sumber]

Pada tahun keempat Hijrah, Ummu Salamah menerima peminangan Nabi Muhammad S.A.W. Selepas memberitahu tentang tiga syarat perkahwinan beliau dan mendengar jawapan daripada baginda, Ummu Salamah sungguh gembira yang beliau menerima lamaran itu. Ummu Salamah menjadi isteri yang paling tua di kalangan isteri-isteri baginda ketika itu. Beliau juga dikatakan mendapat kedudukan yang tinggi di kalangan para isteri baginda, selain Khadijah dan mungkin juga Aisyah.[23] Ketinggian kedudukannya di kalangan para isteri membuatkan beliau sentiasa hadir dalam banyak peperangan dan mempertahankan rumahtangga dan keluarga Rasulullah. Sifat yang membezakan Ummu Salamah dengan isterinya yang lain ialah seperti berikut: peranannya menjaga Fatimah Az-Zahra, keterlibatannya dalam politik dan periwayatan Hadith baginda (378 riwayat Hadith yang sebahagiannya merupakan maklumat yang paling penting).[23]

Kelebihan yang hebat lagi ialah para isteri Rasulullah S.A.W dikenali sebagai "Ummahatul Mu'mineen" iaitu "Ibu orang Beriman". Mereka juga tidak dibenarkan berkahwin lagi selepas kewafatan Rasulullah. [24] Al-Quran juga turut menyatakan peranan para isteri Nabi di dalam masyarakat.[25] Beliau juga sering dipandang tinggi akibat kebijaksanaan dan pengetahuannya dalam ilmu pentadbiran dan politik. Beliau merupakan isteri yang terakhir dari kalangan para isteri Nabi S.A.W yang wafat.[23]

Kesannya kepada Nabi Muhammad dan Ummah[sunting | sunting sumber]

Disebabkan kecantikan, pengetahuan dan kebijaksanaanya, Ummu Salamah sering mempunyai peranan dalam rumahtangga Rasulullah S.A.W dan masyarakat Muslim ketika itu. Beliau merupakan isteri yang kuat iman dan baik akhlaknya. Sebagai wanita, beliau menjalankan tanggungjawab agama dengan baik sekali.[23] Semasa perkahwinannya, beliau sedaya upaya untuk menggembirakan baginda dan menghormati baginda.[23] Beliau juga turut dikenali dalam mempertahankan hak-hak wanita dalam masyarakat.[26] Beliau pernah bertanya kepada Rasullah S.A.W tentang soalan yang berkaitan hal kepolitikan, "Mengapa lelaki sering disebut di dalam al-Quran dan tidak wanita?"[27] Sebagai jawapan wahyu kepada baginda, Allah berfirman yang kedua-dua jantina adalah sama rata sebagai ahli masyarakat dan jemaah. tidak kisah jantina, selagi mana seseorang itu beriman dan beramal saleh serta patuh kepada Allah, mereka akan mendapat ganjaran-Nya. Tindakan Ummu Salamah ini menunjukkan yang wanita boleh terus mengadu kepada Rasulullah S.A.W jika mereka tidak berpuas hati tentang peranan jantina dalam masyarakat.[28] Ummu Salamah juga ialah seorang wanita yang baik dalam pertimbangan dan pengadilannya, kebolehan berfikir dan rasional yang bagus serta kebolehan untuk memberikan keputusan yang tepat.[29]Ummu Salamah ialah seorang wanita yang baik dalam pertimbangan dan pengadilannya juga.[27]

Beliau juga pernah yang menjadi penghantar khabar gembira kepada Abu Lubabah bahawa Allah telah menerima taubatnya. Ummu Salamah juga pernah memujuk Rasulullah S.A.W untuk memaafkan Abu Sufyan bin Harits dan Abdullah bin Abu Umayyah. Ketika mereka berdua ingin menemui Rasulullah S.A.W di Abwa’, mereka berusaha untuk menghadap baginda namun ketika melihat kedatangan mereka, baginda lantas memalingkan muka kerana tidak dapat menerima perlakuan mereka selama ini yang sangat menyakitkan baginda. Namun, Ummu Salamah bertindak memujuk Rasulullah dengan berkata;

Wahai Rasulullah, bagaimanapun mereka bukanlah orang yang paling menyakitimu selama ini.
—Ummu Salamah

Imam Adz-Dzahabi menyebut sifat Ummu Salamah dengan menganggap seolah-olah salah seorang ulama generasi sahabat.[30] Ini disebabkan beliau sering mendengar secara langsung bacaan al-Quran daripada Rasulullah S.A.W dan mendengar kata-kata baginda dari lisan baginda.

Perjanjian al-Hudaibiyah[sunting | sunting sumber]

Ummu Salamah bertindak sebagai penasihat Nabi Muhammad S.A.W ketika rundingan berkaitan Perjanjian Hudaibiyah bersama kaum Musyrikin Quraisy Makkah pada tahun 628.[31] Salah satu tujuan utama perjanjian tersebut ialah menentukan hubungan antara Rasulullah S.A.W dengan pihak lawan. Perjanjian itu juga bertujuan untuk mencapai sejenis pepaduan yang baharu yang diberi nama "ummah". Pada masa yang sama juga, perjanjian ini membolehkan gencatan senjata dan keamanan selama 10 tahun berlangsung antara kedua-dua kumpulan besar ini dan membolehkan baginda pulang ke Madinah dengan aman dan selamat.[23]

Diceritakan dalam satu kisah ketika perjanjian Hudaibiyah tersebut, setelah selesai menandatangani perjanjian damai dengan kaum Musyrikin, Rasulullah S.A.W berkata kepada para sahabatnya, “Bersiap-siaplah, sembelihlah haiwan-haiwan korban kalian dan cukurlah rambut kalian.” Hal tersebut adalah disebabkan mereka tidak dapat menjalani ibadah Haji dan Ziarah ke Masjidil Haram dan harus pulang ke Madinah.

Namun, akibat perasaan berat hati dengan situasi yang membantutkan hasrat mereka memasuki Makkah, tiada seorang pun sahabat yang berdiri dan melaksanakan perintah baginda walaupun perintah itu diulang sebanyak tiga kali oleh Rasulullah s.a.w. Melihat tidak ada tindakan dari pihak sahabatnya, Rasulullah lantas masuk ke khemah dan menemui Ummu Salamah, menceritakan kejadian tersebut. Disinilah Ummu Salamah memainkan peranannya dengan baik sekali. Wanita yang punya pemikiran yang hebat ini menyelamatkan para sahabat dari derhaka kepada Rasulullah S.A.W dengan berkata;

“Wahai Nabi Allah, apakah engkau ingin sahabat-sahabatmu mengerjakan perintahmu? Keluarlah dan jangan berbicara dengan siapa pun sebelum engkau menyembelih haiwan korbanmu, memanggil pencukur untuk mencukur rambutmu.”

Rasulullah S.A.W mengikut saranan Ummu Salamah lalu keluar tanpa berbicara dengan sesiapapun lalu menyembelih haiwan korbannya serta mencukur rambutnya. Ketika para sahabat melihat tindakan baginda, para sahabat lantas bangkit dan menyembelih haiwan korban mereka serta mencukur rambut mereka.

Selepas Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.[sunting | sunting sumber]

Selepas kewafatan baginda, Ummu Salamah berterusan membantu agama Islam. Periwayatan Hadith oleh beliau memberikan kesan yang besar kepada masa depan agama.[4] Ummu Salama, bersama Aisyah, dan beberapa isteri baginda pernah menjadi imam untuk para wanita beribadah.[32]

Ummu Salamah turut melibatkan diri dalam Perang Unta. Ummu Salamah tidak bersetuju dengan penglibatan Aisyah dalam pertarungan tersebut.[33] Ummu Salamah turut menghantar anakandanya, Umar, untuk bertarung.[5]

Ummu Salamah wafat pada tahun ke 64 Hijrah. Walaupun tarikh kewafatan beliau tidak diketahui secara tepat, anakandanya memaklumkan bahawa beliau wafat pada usia 84 tahun.[3] Beliau dimakamkan di Jannatul Baqi'. Beliau juga merupakan Ummul Mu'mineen yang terakhir wafat iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e Hazrath Umme Salma Umme Salma went through trials and tribulations following her conversion to Islam
  2. ^ a b c d e f g h Umm Salamah, Umme Salama, Umme Salma, Mother of the Believers, Mother of the Faithfuls
  3. ^ a b Fahimineiad, Fahimeh; Trans. Zainab Mohammed (2012). "Exemplary Women: Lady Umm Salamah" (PDF). Message of Thaqalayn. 12 (4): 127. Dicapai 1 May 2014. 
  4. ^ a b Sayeed, Asma (2013). Women and The Transmission of Religious Knowledge In Islam. NY: Cambridge University Press. m/s. 34. ISBN 978-1-107-03158-6. 
  5. ^ a b Fahimineiad, Fahimeh; Trans. Zainab Mohammed (2012). "Exemplary Women: Lady Umm Salamah" (PDF). Message of Thaqalayn. 12 (4): 128. Dicapai 1 May 2014. 
  6. ^ a b Hamid, AbdulWahid (1998). Companions of the Prophet Vol. 1. London: MELS. m/s. 139. ISBN 0948196130. 
  7. ^ Sayeed, Asma (2013). Women and The Transmission of Religious Knowledge In Islam. NY: Cambridge University Press. m/s. 35. ISBN 978-1-107-03158-6. 
  8. ^ Muhammad, Shaykh (1998). Encyclopedia of Muhammad's Women Companions and the Traditions They Relate. Chicago: ABC International Group. m/s. 461. ISBN 1-871031-42-7.  Parameter |coauthors= tidak diketahui diabaikan (guna |author=) (bantuan)
  9. ^ a b Hamid, AbdulWahid (1998). Companions of the Prophet Vol. 1. London: MELS. m/s. 133. ISBN 0948196130. 
  10. ^ a b c Abdul Wahid Hamid. Companions of The Prophet, volume=1. 
  11. ^ Sayeed, Asma (2013). Women and The Transmission of Religious Knowledge In Islam. NY: Cambridge University Press. m/s. 34. ISBN 978-1-107-03158-6. 
  12. ^ Ibn Hisham note 918. Translated by Guillaume, A. (1955). The Life of Muhammad, p. 793. Oxford: Oxford University Press.
  13. ^ Tabari, Tarikh al-Rusul wa'l-Muluk. Translated by Landau-Tasseron, E. (1998). Vol. 39, Biographies of the Prophet's Companions and Their Successors, p. 175. New York: SUNY Press.
  14. ^ Hamid, AbdulWahid (1998). Companions of the Prophet Vol. 1. London: MELS. m/s. 133–134. ISBN 0948196130. 
  15. ^ Hamid, AbdulWahid (1998). Companions of the Prophet Vol. 1. London: MELS. m/s. 135. ISBN 0948196130. 
  16. ^ Hamid, AbdulWahid (1998). Companions of the Prophet Vol. 1. London: MELS. m/s. 135–136. ISBN 0948196130. 
  17. ^ Muhammad, Shaykh (1998). Encyclopedia of Muhammad's Women Companions and the Traditions They Relate. Chicago: ABC International Group. m/s. 461–462. ISBN 1-871031-42-7.  Parameter |coauthors= tidak diketahui diabaikan (guna |author=) (bantuan)
  18. ^ Hamid, AbdulWahid (1998). Companions of the Prophet Vol. 1. London: MELS. m/s. 137. ISBN 0948196130. 
  19. ^ a b c d Hamid, AbdulWahid (1998). Companions of the Prophet Vol. 1. London: MELS. m/s. 138. ISBN 0948196130. 
  20. ^ Marriage to a 'past': Parents should not reject a proposal without a good reasons - and being a revert with a past is not an acceptable one
  21. ^ The Verse of Purification in Sunni Sources
  22. ^ The Verse of Purification in Shia Sources
  23. ^ a b c d e f Fahiminejad, Fahimeh. "Exemplary Women: Lady Umm Salamah" (PDF). 
  24. ^ [1]
  25. ^ [2]
  26. ^ "Hind bint Abi Umayya". The Oxford Dictionary of Islam. 
  27. ^ a b Mernissi, Fatima. The veil and the male elite :a feminist interpretation of women's rights in Islam. m/s. 118. 
  28. ^ Mernissi, Fatima. The veil and the male elite :a feminist interpretation of women's rights in Islam. m/s. 119. 
  29. ^ Mernissi, Fatima. The veil and the male elite :a feminist interpretation of women's rights in Islam. m/s. 115. 
  30. ^ Tinta Tarbawi- Ummu Salamah Radhiyallahu 'anha
  31. ^ "Hind bint Abi Umayya". The Oxford Dictionary of Islam. 
  32. ^ Ahmed, Leila (1992). Women and Gender in Islam. New Haven: Yale University Press. m/s. 61. ISBN 0-300-05583-8. 
  33. ^ Sayeed, Asma (2013). Women and The Transmission of Religious Knowledge In Islam. NY: Cambridge University Press. m/s. 38. ISBN 978-1-107-03158-6.