Rengga

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Gajah dengan rengga

Rengga (disebut [réng.ga]; Jawi: ريڠݢ atau ‏رڠݢ‎‎‎),[1][2] rengka ([rĕng.ka], Jawi: رڠک‎),[3][2] baluh (Jawi: بالوه‎) atau beluhan (Jawi: بالوهن‎)[4] merupakan tempat duduk berkanopi yang disangga dengan empat batang kayu dan dipasang di atas belakang haiwan tunggangan seperti gajah, kerbau atau unta. Ia sering kali digunakan di masa lalu bagi membawa orang bangsawan untuk tujuan pengangkutan, memburu atau peperangan. Ia juga merupakan simbol kekayaan kepada pemiliknya, dan kerana itu sering dihias indah dengan permata yang mahal.

Perkataan "rengga" meminjam dari bahasa Jawa kuno rěngga "hiasan" serapan bahasa Sanskrit रङ्ग raṅga "warna".[5][6]

Binaan[sunting | sunting sumber]

Rengga ini terdiri daripada tempat duduk peresang diperbuat daripada timbunan daun ranting; peresang-peresang ini ditempatkan pada bakul besar yang diikat bersama tali rotan dipanggil ceremat.[7] Rengga ditutupi kup atau kap di bahagian atas sebagai bumbung teduh.[7]

Keseluruhan rengga ini ditampung rerangka disebutkan sebagai tongkat yang mempunyai hujung dagu, "dagu" ini bersambung kepada "susu" di mana tertambatnya tali rut mengelilingi perut gajah, tali sempena diikat mengelilingi ekor mengelakkan tergelincirnya rengga, dan tali renut diikat pada leher gajah.[7] Belakang haiwan tunggang berlapik pada suatu alas sama ada diperbuat daripada kulit haiwan (senam, di Perak) atau kulit kayu pokok (sanai, khusus di Kedah); lapik ini pula ditutup dengan suatu tikar iaitu kedun.[7]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Patung di simpang Gajah dan Istana di London.

Perkataan rengga sering diungkapkan dalam hikayat-hikayat Melayu seperti Hikayat Hang Tuah ini:

Maka kata saudagar itu, "Marilah orang kaya datuk Bendahara kita mengadap." Maka kata Bendahara, "Baiklah." Maka Bendahara pun naik gajah bertimbalan rengka dengan saudagar itu. Maka perintah Bendahara dan perintah saudagar itu sekalian berjalan dahulu. Setelah sampai ke balai gendang maka Bendahara dan saudagar itu pun turunlah

Rujukan lain yang boleh didapati dalam hikayat-hikayat ini termasuklah:

  • Hikayat Patani 37:2 .... maka Raja Bambang pun naik gajah betina bertimbal rengga dengan bondanya, lalu berjalan masuk ke dalam Kota Wang ........
  • Hang Tuah - 53:10 .... ke darat maka Raden Wira Nantaja pun naik gajah berangka emas berpermata. Maka anak Patih yang bernama Kuda Wihan naik
  • Hikayat Sang Boma 30:28 ....... sampai ke luar, segera naik ke atas gajahnya berangka emas ditatah dengan permata manikam, maka baginda pun lalu ...
  • Hikayat Panji Kuda Semirang 112:25 .... pedatinya. Dan sang Nata pun bergajah tunggal berengga emas sepuluh mutu berpayung bawat kuning, lalu berjalan ......
  • Warisan Warkah Melayu 5:1 ...... suasa, yang berrantai suasa; raja yang bergajah berrengka tinggi suasa, dan yang berprisai suasa, dan yang berlembing .

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "rengga". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  2. ^ a b Wilkinson, Richard James (1901). A Malay-English dictionary. Hong Kong: Kelly & Walsh, limited.: Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
  3. ^ "rengka". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  4. ^ "baluh". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  5. ^ Sumber:
    • Zoetmulder, P. J. (1982). "rĕṅga". Old Javanese-English Dictionary. m/s. 1552.
    • Wojowasito (1977). "rěngga > arěngga". Kamus Jawa Kuno (Kawi)-Indonesia. Malang: CV. Pengarang. m/s. 223.
  6. ^ "raṅga". Sanskrit Dictionary for Spoken Sanskrit. 2005.
  7. ^ a b c d Notes and Queries (1886).

Sumber utama[sunting | sunting sumber]