Pergi ke kandungan

Sultan Ahmaddin Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Ahmaddin Shah
Paduka Seri Sultan Perak
Sultan Perak ke-18
Pemerintahan1786–1806
Didahului olehSultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda
Diikuti olehSultan Abdul Malik Mansur Shah
Kemangkatan1806
Chegar Galah, Perak
PemakamanBota Kanan
PasanganToh Puan Puteh
Raja Tengah Bongsu
Che Nayan Sepiah
Toh Nah
Che Sinuh Sakdiah
AnakandaRaja Abdul Malik
Raja Inu
Raja Abdul Rahman Shah
Raja Andak
Raja Mandak
Nama penuh
Raja Bongsu @ Raja Chik ibni Sultan Muhammad Shah
Nama diraja
Paduka Seri Sultan Ahmaddin Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah
Nama selepas mangkat
Marhum Bongsu
KerabatPerak
AyahandaSultan Muhammad Shah
AgamaIslam

Sultan Ahmaddin Shah ibni Almarhum Sultan Muhamad Shah (Jawi: ‏سلطان احمدين شاه ابن المرحوم سلطان محمد شاه‎‎; mangkat 1806) ialah Sultan Perak ke-18. Baginda memerintah Perak dari tahun 1786 sehingga 1806.[1] Baginda merupakan adinda kepada Sultan sebelumnya, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda. Baginda juga merupakan Sultan terakhir dalam kalangan putera kepada Sultan Perak ke-14, Sultan Muhammad Shah.

Kehidupan awal

[sunting | sunting sumber]

Diputerakan sebagai Raja Bongsu atau Raja Chik, baginda merupakan putera bongsu kepada Sultan Perak ke-14, Sultan Muhammad Shah.[1][2]

Sewaktu pemerintahan kekanda baginda, Sultan Mahmud Shah II, baginda telah diangkat sebagai Raja Kechil Bongsu.[3] Pada tahun 1773, baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Muda setelah kekanda baginda, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda menaiki takhta.[4]

Baginda mempunyai beberapa orang isteri dan dikurniakan tiga putera dan dua puteri. Baginda bersama Che Puteh binti Laksamana Tok Kuala Bidor dikurniakan seorang putera bernama Raja Abdul Malik. Baginda bersama Raja Tengah Bongsu binti Sultan Muzaffar Shah dikurniakan seorang putera juga iaitu Raja Inu. Bersama dengan Che Nayan Sopiah binti Tok Imam Malikul Amin Ketior, baginda dikurniakan seorang putera bernama Raja Abdul Rahman. Dua puteri baginda pula bernama Raja Andak, hasil perkahwinan bersama Toh Nah binti Toh Jambu, serta Raja Mandak, puteri baginda bersama Che Sakdiah.[4]

Pemerintahan

[sunting | sunting sumber]

Setelah kemangkatan Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda pada 1786, Raja Bongsu telah mewarisi takhta kerajaan Perak dengan gelaran Sultan Ahmaddin Shah.

Kedatangan pengaruh Inggeris di Perak

[sunting | sunting sumber]

Sewaktu pemerintahan Sultan Ahmaddin, pengaruh Belanda di Perak mula merosot dan digantikan dengan kedatangan orang Inggeris. Pada tahun 1795, pengaruh Belanda di Melaka mula merosot apabila pemerintahan Melaka telah diserahkan kepada pihak Inggeris. Susulan itu, pegawai Inggeris bersama sepasukan tentera telah datang ke Tanjung Putus dan memaksa komandan Belanda untuk menyerahkan kota dan segala kelengkapan orang Belanda di kawasan itu kepada pihak Inggeris. Menjelang tahun 1802, sebahagian besar perniagaan bijih timah di Perak telah dimonopoli oleh syarikat Inggeris.[2]

Pada tahun 1819, sekumpulan orang Belanda telah datang semula ke Perak dan cuba untuk menduduki semula kota mereka di Pulau Pangkor, namun gagal. Sejak tahun 1824, tiada lagi orang Belanda yang menjalankan perniagaan di Perak.[5]

Serangan Selangor

[sunting | sunting sumber]

Sekitar tahun 1805, Sultan Ibrahim Shah dari Selangor telah datang menyerang dan berjaya menawan Perak. Sultan Ahmaddin Shah bersama para pembesar baginda telah berundur ke hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Pelus. Sultan Ibrahim Shah juga telah memberitahu pihak Inggeris akan penawanan Perak itu dan memberi amaran untuk tidak berkunjung ke Perak.[2][5]

Kemangkatan

[sunting | sunting sumber]

Sultan Ahmaddin Shah dipercayai mangkat pada tahun 1806. Sewaktu kemangkatan baginda, satu krisis perwarisan takhta tercetus apabila pewaris takhta, Raja Bendahara Mahmud enggan berangkat ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan yang baharu. Hal ini telah menyebabkan pemakaman baginda tertangguh selama tiga bulan. Jenazah baginda akhirnya dimakamkan di Bota Kanan setelah putera sulung baginda, Raja Abdul Malik diangkat sebagai Sultan yang baharu.[6]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. 1 2 "Senarai Sultan Perak". Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Dicapai pada 2026-04-17.{{cite web}}: CS1 maint: url-status (link)
  2. 1 2 3 "Sultan Ahmaddin Shah (Marhum Bongsu)". Portal Raja Kita Negeri Perak Darul Ridzuan. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-03-20. Dicapai pada 2026-09-19.
  3. ↑ Chulan, Raja (1966). "Misa Melayu" (PDF). Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara. Dicapai pada 2026-05-22.{{cite web}}: CS1 maint: url-status (link)
  4. 1 2 "The Siak Dynasty - Genealogy - PERAK6". The Royal Ark. September 2008. Dicapai pada 21 Februari 2014.
  5. 1 2 Adil, Buyong (2025). Sejarah Perak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s. 43–44. ISBN 978-983-49-2290-0.
  6. ↑ Zulqarnain, Iskandar (2025-09-25). "Sejarah Perang Selangor-Perak 1804, Apabila Saudara Menjadi Musuh Demi Kuasa dan Bijih Timah". orangperak.com. Dicapai pada 2026-09-21.{{cite web}}: CS1 maint: url-status (link)
Didahului oleh
Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda
Sultan Perak
1786-1806
Diikuti oleh:
Sultan Abdul Malik Mansur Shah