Pergi ke kandungan

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-XVII
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Sultan Perak Darul Ridzuan ke-XXXV
Timbalan Yang di-Pertuan Agong
Pemerintahan13 Disember 2016 - kini
Didahului olehSultan Muhammad V
Yang di-Pertuan AgongSultan Muhammad V
Al-Sultan Abdullah
Sultan Ibrahim
Sultan Perak ke-35
Pemerintahan29 Mei 2014 – kini
Pertabalan6 Mei 2015
Didahului olehSultan Azlan Muhibbuddin Shah
KeputeraanRaja Nazrin Shah ibni Raja Azlan Shah
(1956-11-27) 27 November 1956 (umur 69)
George Town, Pulau Pinang, Persekutuan Tanah Melayu
PasanganTuanku Zara Salim (k. 2007)
Anakanda
AyahandaSultan Azlan Muhibbuddin Shah
BondaRaja Permaisuri Tuanku Bainun
AgamaIslam
Pengerusi
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia
Menyandang jawatan
9 Mac 2024
Didahului olehSultan Sharafuddin Idris Shah

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah (Jawi: سلطان نظرين معز الدين شاه ابن المرحوم سلطان ازلن محب الدين شاه المغفور له‎; diputerakan pada (1956-11-27)27 November 1956 di George Town, Pulau Pinang) ialah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia dan Sultan Perak yang terkini. Baginda menaiki takhta kerajaan Perak pada tahun 2014 setelah kemangkatan ayahanda baginda yang merupakan Sultan sebelumnya, iaitu Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. Dua tahun setelah menaiki takhta, baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan telah memegang jawatan itu selama tiga penggal, iaitu di bawah pemerintahan Sultan Muhammad V, Al-Sultan Abdullah dan Sultan Ibrahim.

Baginda merupakan anakanda pertama dan putera sulung kepada Sultan Perak ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bersama Raja Permaisuri Tuanku Bainun. [1][2]

Kehidupan awal كهيدوڤن اول

[sunting | sunting sumber]

Raja Nazrin Shah telah diputerakan pada 27 November 1956, di George Town, Pulau Pinang, Tanah Melayu ketika pemerintahan paduka nenda baginda, Sultan Yussuff Izzuddin Shah. Ayahanda baginda, Raja Azlan Shah (kemudian Sultan Azlan Muhibbuddin Shah) merupakan paduka anakanda kelima dan putera bongsu kepada Sultan Yussuff Izzuddin Shah. Bonda baginda, Cikgu Bainun (kemudian Tuanku Bainun) ialah orang kebanyakan dari Pulau Pinang yang kemudian mengahwini Raja Azlan Shah pada tahun 1955. Semasa baginda diputerakan, ayahanda baginda bertugas sebagai pegawai majistret sementara bonda baginda bertugas sebagai seorang guru di Pulau Pinang. Baginda ialah anakanda dan putera sulung daripada lima adik-beradik, Raja Azureen, Raja Ashman Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.

Pendidikan ڤنديديقن

[sunting | sunting sumber]

Baginda memulakan alam persekolahan di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur dari 1962 hingga 1967, dan menyambung pendidikan menengah rendah di Sekolah St. John, Kuala Lumpur dari 1968 hingga 1970. Baginda kemudiannya meneruskan pengajian peringkat menengah tinggi di The Leys School, Cambridge hingga 1975. Baginda memegang Ijazah Sarjana Muda dalam Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Kolej Worcester, Oxford. Baginda juga memegang Sarjana Pentadbiran Awam dari Sekolah Kerajaan John F. Kennedy di Universiti Harvard dan Doktor Falsafah dalam Ekonomi Politik dan Kerajaan, juga dari Harvard.

Baginda juga merupakan Felo Kehormat Worcester College, Universiti Oxford dan Magdalene College, Universiti Cambridge, Felo Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia serta Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.

Perkahwinan ڤركهوينن

[sunting | sunting sumber]

Raja Nazrin Shah telah berkahwin dengan Zara Salim Davidson (kemudiannya Tuanku Zara Salim) pada 17 Mei 2007 di Istana Iskandariah. Baginda berdua telah berjumpa dan berkenalan selama lapan tahun sebelum perkahwinan berlangsung.[3] Tuanku Zara Salim merupakan anak bongsu kepada pasangan Salim Davidson, seorang lelaki berbangsa Ireland dan Sharifah Azaliah Syed Omar yang berdarah campuran Melayu, Arab dan Siam. Baginda juga merupakan kerabat jauh Kesultanan Kedah melalui ibunya yang merupakan cucu kepada Sultan Kedah ke-26, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Baginda berdua telah dikurniakan seorang putera dan puteri, iaitu Raja Azlan Muzzaffar Shah yang diputerakan pada 14 Mac 2008 dan Raja Nazira Safya yang diputerakan pada 2 Ogos 2011.

Pewaris takhta ڤواريث تختا

[sunting | sunting sumber]

Sewaktu ayahanda baginda Sultan Azlan Shah menaiki takhta, Raja Nazrin Shah tidak terus dilantik sebagai Raja Muda iaitu pewaris takhta. Hal ini kerana Kesultanan Perak tidak mengamalkan sistem perwarisan agnatik seperti negeri Melayu yang lain yang meletakkan putera sulung Sultan sebagai pewaris takhta. Perak menggunakan sistem hierarki yang membenarkan Sultan melantik putera-putera Perak ke mana-mana kedudukan yang kosong.

Pada 16 Februari 1984, Raja Nazrin Shah telah dimasyhurkan sebagai Raja Kechil Besar, menempatkan baginda di tempat ketiga dalam hierarki sistem pergiliran Kesultanan Perak.[4] Pada 12 April 1987, apabila Raja Muda Raja Ahmad Sifuddin mangkat, Raja Ahmad Hisham yang merupakan Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Raja Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia. Baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perak pada 15 April 1987, mengambil alih tempat ayahanda baginda, Sultan Azlan Shah, yang menaiki takhta menjadi Sultan Perak dua minggu sebelum itu.

Pemangku Raja ڤمڠكو راج

[sunting | sunting sumber]

Raja Nazrin Shah telah menjadi Pemangku Raja Perak sebanyak dua kali iaitu semasa paduka ayahanda baginda diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada tahun 1989 hingga 1994 dan sewaktu paduka ayahanda baginda gering bermula pada tahun 2008 sehingga kemangkatan paduka ayahanda baginda. Baginda telah menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja mewakili paduka ayahanda baginda.[5]

Pemerintahan ڤمرينتهن

[sunting | sunting sumber]

Sultan Perak سلطان ڤراق

[sunting | sunting sumber]

Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah mangkat pada 28 Mei 2014, setelah hampir enam tahun dalam kegeringan. Pada hari yang sama, keputusan melantik Sultan Perak yang baharu telah dibuat dalam Mesyuarat Khas Dewan Negara Perak dan mencapai kata sepakat untuk melantik Raja Nazrin Shah sebagai Sultan Perak dengan nama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Perak sehari selepas kemangkatan paduka ayahanda baginda. Baginda dan Raja Puan Besar Perak juga mula berangkat berpindah ke Istana Iskandariah. Istiadat pertabalan Sultan Nazrin diadakan pada 6 Mei 2015, setahun selepas kemangkatan paduka ayahanda baginda di Istana Iskandariah. Istiadat pertabalan ini disiar secara langsung di siaran televisyen tempatan Malaysia.

Sepanjang pemerintahan baginda, baginda telah dilantik sebagai penaung diraja Mercy Malaysia. Baginda juga berkenan berangkat ke Istanbul, Turki bagi mempengerusikan sesi khas mengenai pembiayaan sosial Islamik yang diadakan sempena Sidang Kemanusiaan Sedunia 2016. Selain itu, baginda telah berkenan menerima jemputan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menerima penghargaan di UNGA-71.[6]

Timbalan Yang di-Pertuan Agong تيمبالن يڠ د-ڤرتوان اڬوڠ

[sunting | sunting sumber]

Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih baginda untuk dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia apabila Sultan Muhammad V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. Pelantikan itu berkuat kuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.[7] Sewaktu tempoh khidmat baginda, baginda bersama Raja Permaisuri Perak berkenan berangkat mencemar duli ke Istiadat Persemadian Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat mewakili negara sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Perama, Thailand pada 25 Oktober 2017.[8] Pada 2 November 2018, baginda diangkat sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong, mengambil alih tugas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sehingga 31 Disember kerana Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan.[9]

Baginda seterusnya dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua bermula pada 31 Januari 2019, apabila Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu setelah perletakan jawatan Sultan Muhammad V.[10] Setelah tamatnya tempoh lima tahun perkhidmatan As-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda dilantik semula buat kali ketiga sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bermula 31 Januari 2024, kali ini di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.[11]

Gelaran ڬلرن

[sunting | sunting sumber]
Gaya bagi
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Rujukan gayaDuli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Gaya percakapanDuli Tuanku
Gaya alternatifTuanku
  • 27 November 1956 - 17 Jun 1965 : Yang Mulia Raja Nazrin Shah Ibni Raja Azlan Shah
  • 17 Jun 1965 - 12 Disember 1982 : Yang Mulia Raja Nazrin Shah Ibni Raja Tan Sri Azlan Shah
  • 12 Disember 1982 - 3 Februari 1984 : Yang Mulia Raja Nazrin Shah Ibni Raja Tun Azlan Shah
  • 3 Februari 1984 - 16 Februari 1984 : Yang Amat Mulia Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
  • 16 Februari 1984 - 15 April 1987 : Yang Teramat Mulia Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan
  • 15 April 1987 - 26 April 1989 : Duli Yang Teramat Mulia Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Raja Muda Perak Darul Ridzuan
  • 26 April 1989 - 25 April 1994 : Duli Yang Maha Mulia Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan
  • 25 April 1994 - 27 Januari 2008 : Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Raja Muda Perak Darul Ridzuan
  • 27 Januari 2008 - 29 Mei 2014 : Duli Yang Maha Mulia Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan
  • 29 Mei 2014 - 2 November 2018: Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak Darul Ridzuan
  • 2 November 2018 - 31 Disember 2018; 7 Januari 2019 - 31 Januari 2019 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Pemangku Yang di-Pertuan Agong & Sultan Perak Darul Ridzuan
  • 31 Januari 2019 - kini  : Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak Darul Ridzuan

Nama penuh dan gelaran rasmi baginda ialah:

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, D.K., D.K.S.A., D.K.A., D.M.N., D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), D.K.N.S. (Negeri Sembilan), D.K. (Perlis), D.K (Kedah), D.K. (Johor), D.K. (Pahang), PhD (Harvard), Sultan, Yang di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan Jajahan Takluknya

Darjah kebesaran كورنياءن درجه كبسرن

[sunting | sunting sumber]

Baginda telah dikurniakan:[12]

Anugerah انوڬره

[sunting | sunting sumber]
  • Anugerah Melvin Jones Fellowship
  • Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012
  • Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Lumut, Perak[13]
  • Pusat Sultan Nazrin Shah, Maktab Worcester, United Kingdom[14]
  • Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah (SARJANA), Kampung Gajah, Perak
  • Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK12), Universiti Malaya, Kuala Lumpur
  • Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, RTM Perak
  • Masjid Raja Nazrin Shah, Ipoh, Perak
  • Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah , Tapah, Perak
  • Jambatan Sultan Nazrin Shah, Bagan Datuk - Sejagop, Perak

Kerabat قرابة

[sunting | sunting sumber]

Sultan Nazrin Shah berkahwin dengan Tuanku Zara Salim Davidson pada 17 Mei 2007. Pasangan diraja ini telah dikurniakan seorang putera dan seorang puteri.

Nama Keputeraan Tempat Keputeraan Umur
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Zara Salim
(Raja Permaisuri Perak)
(1973-03-22)22 Mac 1973 Ipoh, Perak 52 tahun, 10 bulan dan 27 hari
Yang Teramat Mulia
Raja Azlan Muzzaffar Shah
(Raja Kecil Besar Perak)
(2008-03-14)14 Mac 2008 Hospital Pakar Damansara, Selangor 17 tahun, 11 bulan dan 4 hari
Yang Teramat Mulia
Raja Nazira Safya
(2011-08-02)2 Ogos 2011 Hospital Pakar Damansara, Selangor 14 tahun, 6 bulan dan 16 hari

Keturunan Diraja كتورونن دراج

[sunting | sunting sumber]

Rujukan رجوكن

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Anbalagan, V. (29 May 2014) Raja Nazrin proclaimed as the 35th Sultan of Perak, The Malaysian Insider.
  2. ^ Raja Nazrin proclaimed new Sultan of Perak, The Malay Mail. 30 May 2014
  3. ^ Ak. Jefferi Pg. Durahman (9 Mei 2015). "Berangkat ke Majlis Santapan Pertabalan Sultan Perak". Pelita Brunei. Dicapai pada 24 April 2018.
  4. ^ "Sultan Nazrin-Profil : Sultan Nazrin Muizzuddin Shah - Sultan Perak Yang Baharu". malaysiandigest.com. 29 Mei 2014. Dicapai pada 2 April 2018.
  5. ^ "Tuanku Muhriz pengerusikan mesyuarat". Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-11. Dicapai pada 11 April 2018.
  6. ^ Mohd Anwar Patho Rohman (20 September 2016). "Sultan Nazrin terima penghargaan di UNGA-71". Berita Harian. Dicapai pada 2 April 2018.
  7. ^ "Sultan Muhammad V dipilih YDP Agong Ke-15". Kosmo! Online. 14 Oktober 2016. Dicapai pada 2 April 2018.
  8. ^ "Sultan Nazrin wakili Malaysia ke upacara persemadian Diraja Thailand". Astro Awani. 23 Oktober 2017. Dicapai pada 2 April 2018.
  9. ^ "Sultan Nazrin jalankan tugas Yang di-Pertuan Agong". Astro Awani. 2 November 2018. Dicapai pada 4 November 2018.
  10. ^ Azil, Firdaus (24 Januari 2019). "Sultan Nazrin dilantik Timbalan YDP Agong untuk kali kedua". Astro Awani. Dicapai pada 19 Januari 2025.
  11. ^ "Sultan Nazrin Shah angkat sumpah Timbalan Yang di-Pertuan Agong buat kali ketiga". Buletin TV3. 31 Januari 2024. Dicapai pada 19 Januari 2026.
  12. ^ The Royal Ark, Perak, p.16
  13. ^ "Sultan Nazrin rasmi Kolej Perikanan Malaysia Lumut". Utusan Online. 4 Julai 2017. Dicapai pada 2 April 2018.
  14. ^ "Sultan Nazrin Shah Centre" [Pusat Sultan Nazrin Shah]. Conferences at Worcester College (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2 April 2018.
  • Berita Harian 18-19 Mei 2007
  • Utusan Malaysia 18-19 Mei 2007
  • Metro Harian 17-19 Mei 2007

Pautan luar ڤاوتن لوار

[sunting | sunting sumber]
Lampiran لمڤيرن
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah
Tarikh keputeraan: 27 November 1956
Kerabat diraja Malaysia
Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Sultan Muhammad V
Timbalan Yang di-Pertuan Agong
13 Disember 2016 - kini
Pemegang jawatan kini
Didahului oleh
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
Sultan Perak
28 Mei 2014 - kini
Pemegang jawatan kini