Taman laut
Taman laut ialah kawasan perairan laut yang dilindungi, biasanya untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat serta hidupan marin akuatik. Taman laut terbesar di dunia ialah Taman Laut Terumbu Sawar Besar di Australia yang seluas 350,000 km².
Malaysia
[sunting | sunting sumber]Di Malaysia, taman laut ialah kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh 2 batu nautika dari tikas air surut terendah. Walau bagaimanapun, Pulau Kapas di Terengganu, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil di Labuan, serta Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol di Melaka dizonkan sejauh 1 batu nautika dari tikas air surut terendah.
Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara Mega Biodiversiti di dunia kerana kepelbagaian flora dan faunanya. Negara ini juga terletak di dalam kawasan Segi Tiga Terumbu Karang (CTI) dan dikelilingi oleh perairan Laut Andaman, Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Kedudukan ini menjadikan Malaysia kaya dengan biodiversiti marin. Hal ini demikian kerana lebih 83 peratus spesies terumbu karang dunia telah direkodkan di Malaysia.
Kegiatan menangkap ikan dilarang sama sekali di dalam kawasan Taman Laut dan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985. Larangan ini termasuklah aktiviti memancing, menjaring, memukat, menggunakan bom ikan, tuba dan sebagainya.
Sebanyak 45 pulau telah digazetkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Pulau-pulau tersebut meliputi 13 perairan di Terengganu, sembilan perairan di Pahang, 13 perairan di Johor, empat di Kedah, tiga perairan di Melaka dan tiga di Wilayah Persekutuan Labuan.[1]
Sebelum ini, pada 16 Julai 2007, Seksyen Taman Laut ditubuhkan di bawah Jabatan Taman Laut Malaysia dengan kekuatan 154 orang kakitangan. Namun pada tahun 2018, Jabatan Taman Laut telah dibubarkan dan fungsi pengurusannya dipindahkan ke Jabatan Perikanan Malaysia bagi tujuan Konservasi dan Perlindungan Perikanan. Langkah ini diambil bagi memastikan Pengurusan Biodiversiti Marin diurus Secara Lestari Bagi Menjamin Sumber Yang Berkekalan Untuk Kepentingan Sejagat.
Pengurusan
[sunting | sunting sumber]Taman laut diuruskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Jabatan ini bertanggungjawab menubuhkan, mentadbir dan mengurus taman-taman laut di Malaysia. Unit Taman Laut ditempatkan di setiap negeri yang mempunyai kawasan Taman Laut.
Pembiakan ikan
[sunting | sunting sumber]Usaha kerajaan mewujudkan Taman Laut tidak perlu dikhuatiri oleh masyarakat nelayan kerana usaha ini menyumbang kepada pembiakan ikan. Sebelum ini, golongan nelayan berasa gusar sekiranya kehilangan punca rezeki apabila kawasan yang sering dijadikan tempat mencari ikan ditutup. Hal ini terjadi kerana Taman Laut merupakan kawasan larangan untuk menangkap sebarang hidupan laut.
Menerusi penubuhan Taman Laut, Jabatan Perikanan Malaysia dapat membantu menyediakan kawasan pembiakan bagi pelbagai spesies ikan. Kajian yang dilakukan mendapati spesies ikan yang ditanda di kawasan Taman Laut semasa peringkat juvenil telah ditemui di luar kawasan Taman Laut setelah matang atau dewasa.
Bukan semua kawasan sesuai diwartakan sebagai Taman Laut. Hanya kawasan yang berpotensi seperti kawasan terumbu karang dan kawasan pembiakan ikan sahaja yang akan dipilih. Selain itu, pewartaan Taman Laut juga mampu mewujudkan ekosistem yang seimbang dan secara tidak langsung meningkatkan produktiviti berasaskan perikanan negara.
Senarai taman laut
[sunting | sunting sumber]- Taman Laut Pulau Payar
- Taman Laut Pulau Kapas di Terengganu
- Taman Laut Pulau Kuraman
- Taman Laut Pulau Rusukan Besar
- Taman Laut Pulau Rusukan Kecil di Labuan
- Taman Laut Pulau Tinggi
- Taman Laut Pulau Redang, Terengganu
- Taman Laut Pulau Tioman
- Taman Laut Pulau Perhentian
- Taman Laut Melaka (Pulau Undan, Pulau Nangka, Pulau Dodol)
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ↑ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-22. Dicapai pada 2013-03-18.