Pergi ke kandungan

Tokyo Camii

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tokyo Camii dengan menaranya

Tokyo Camii (東京ジャーミィ Tōkyō-jāmii) adalah sebuah masjid yang terbesar di Jepun yang terletak di Yoyogi-Uehara, Shibuya, Shibuya, Tokyo.

Tokyo Camii dimiliki oleh Kedutaan Republik Turki di Jepun (Jingumae, Shibuya, Tokyo) dan dikendalikan oleh sebuah yayasan agama, iaitu "Tokyo Turkey Diyanet Camii". Perbelanjaan utiliti masjid ditanggung oleh Jabatan Agama Republik Turki, dan imam juga dilantik dari jabatan tersebut.

Di tingkat 1 Tokyo Camii, terdapat "Pusat Kebudayaan Turki" yang memperkenalkan budaya Islam dan Turki.

Gambaran keseluruhan

[sunting | sunting sumber]

Tokyo Camii terletak di 1-19 Oyama-cho, Shibuya di Jalan Inokashira, berdekatan Stesen Yoyogi Uehara. Reka bentuk masjid itu berasaskan reka bentuk Ottoman.

Tokyo Camii yang bermula sebagai Tokyo Kaikyo Gakuin atau Institut Agama Islam Tokyo, juga dipanggil sebagai Masjid Tokyo dan Masjid Yoyogi. "Camii" bermaksud sebuah masjid yang besar di Turki di mana solat fardu diadakan lima kali sehari, termasuk solat Jumaat. Perkataan tersebut berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud "tempat di mana orang berkumpul".

Dahulu, Tokyo Kaikyo Gakuin ditubuhkan pada tahun 1938 sebagai sebuah masjid untuk orang Tatar dari Empayar Rusia. Setelah masjid tersebut dirobohkan kerana kemerosotan kualitinya, ia dibina semula dengan bantuan Jabatan Agama Republik Turki dan dibuka pada Jun 2000. Disebabkan orang Tatar yang dibuang negeri dari Empayar Rusia telah diberi kewarganegaraan oleh negara Turki, maka kerajaan Turki secara sukarela membantu pembinaan masjid tersebut.

Tokyo Camii dibuka lima kali sehari pada waktu menunaikan solat. Orang yang bersolat di masjid itu adalah orang Islam yang tinggal di sekitar Tokyo, antaranya adalah orang Turki, Pakistan, Indonesia, Malaysia, Bangladesh dan Jepun. Kira-kira 5-10 orang menghadiri solat harian, dan kira-kira 350-400 orang menghadiri solat Jumaat. Selain itu, ramai orang Islam yang melancong ke Jepun juga mengunjungi masjid tersebut.

Ciri-ciri seni bina

[sunting | sunting sumber]

Tokyo Camii mengikuti reka bentuk yang dikenali di Turki, iaitu sebuah ruang solat yang luas dengan kubah besar didirikan di tingkat atas bangunan. Masjid itu direka oleh Muharrem Hilmi Senalp, wakil sebuah syarikat pembinaan di Turki.

Syarikat Pembinaan Kajima melakukan kerja pembinaan bangunan itu, tetapi sebahagian besar dalaman dan luaran dibuat daripada bahan yang dihantar dari Turki dan disiapkan oleh hampir 100 arkitek dan tukang orang Turki.

Di tingkat satu, seni Turki jelas dipamerkan dan terdapat sebuah dewan yang boleh digunakan untuk kuliah. Ruang solat di tingkat dua pula, dapat menampung seramai 2,000 orang. Ruang solat bagi para wanita turut disediakan. Selain itu, Tokyo Camii mempunyai imam. Dengan ciri-ciri istimewa seperti ini, Tokyo Camii adalah masjid terbesar di Jepun. Luas tapak adalah 734 meter persegi, dan luas lantai bangunan pula adalah 1,693 meter persegi.

Ada yang menganggap masjid tersebut sebagai masjid yang paling indah di Asia Timur.

Ketika Revolusi Rusia berlaku pada tahun 1917, ramai umat Islam dan kaum Turki yang tinggal di Empayar Rusia melarikan diri ke luar negara. Kira-kira 600 orang, termasuklah pedagang Muslim yang tinggal di Transbaikal dan Manchukuo, berpindah ke Jepun.

Kira-kira 200 orang dari mereka tinggal di sekitar Tokyo, dan seorang imam berbangsa Tatar, Muhammed-Gabdulkhay Kurbangaliev bersama umat Islam yang lain membentuk kumpulan "Muslim Tokyo" pada tahun 1924. Kumpulan ini pada awalnya menggunakan Dewan Sendagaya (Sendagaya Kaikan) sebagai tempat ibadah, tetapi pada tahun 1931 telah diputuskan untuk membangunkan sebuah rumah ibadat. Oleh yang demikian, sebuah masjid baru dengan kubah bereka bentuk Saracen dibina di lokasi sekarang (Tomigaya, Shibuya) menggunakan sumbangan wang sebanyak 100,000 yen (pada masa itu) yang diberikan oleh para sukarelawan Jepun kepada Persatuan Muslim Penduduk Jepun, yang baru dibentuk berketuakan Muhammed-Gabdulkhay Kurbangaliev. Majlis perasmian diadakan pada 12 Mei 1938.

Di sebalik sumbangan pembinaan masjid itu, kerajaan Jepun berharap orang Islam dapat memberi sokongan dalam persiapan memerangi negara-negara Kristian seperti Amerika Syarikat dan Inggeris. Di samping itu, pegawai-pegawai kanan tentera darat dan tentera laut seperti Mitsuru Toyama, Iwane Matsui, Eisuke Yamamoto turut menghadiri majlis perasmian. Begitulah permulaan Tokyo Camii. Ulama Abdul Resit Ibrahim yang terkenal di dunia dilantik menjadi imam pertama di masjid yang baru dirasmikan itu. Bangunan masjid yang pertama (Masjid Yoyogi) ini adalah sebuah bangunan kayu.

Masjid Yoyogi terkenal dalam kalangan umat Islam Turki di Tokyo dan juga penduduk Yoyogi Uehara dan Oyamacho, tetapi ditutup pada tahun 1984 kerana kemerosotan kualitinya dan dirobohkan pada tahun 1986. Persatuan Orang Turki Tokyo menyumbangkan tapak itu kepada kerajaan Turki untuk pembinaan semula masjid tersebut.

Di Turki, Jabatan Agama Republik Turki, yang bertanggungjawab atas pentadbiran agama negara itu, menubuhkan "Tabung Pembinaan Tokyo Camii" untuk mengumpul sumbangan dari seluruh Turki, menyediakan bahan binaan untuk masjid, dan menghantar seseorang yang pakar untuk menyelesaikan reka bentuk dalaman dan luaran masjid itu. Tokyo Camii, yang mula dibina pada 30 Jun 1998, dapat disiapkan dua tahun kemudian dan dibuka pada 30 Jun 2000. Sejak itu, sebagai Pusat Kebudayaan Camii & Turki Tokyo, ia juga berperanan sebagai pusat penyebaran budaya Islam dan Turki di samping fungsinya sebagai masjid.

Tokyo Camii juga menerbitkan beberapa buah buku, termasuklah Cara Menunaikan Solat Berpandukan Gambar , Islam: Untuk Pemahaman yang Benar, Pemikir Misteri dan Puisi Mevlana: Hati dan Cinta Islam Turki, Wakaf, Pertubuhan Bukan Kerajaan, dan Karyanya dalam Tamadun Islam Turki (tidak dijual). Orang bukan muslim pun boleh mengunjungi Tokyo Camii dan menghadiri kelas di sana.

Pada tahun 2003, penubuhan sebuah korporasi agama, iaitu Nihon Diyanet, telah diluluskan dalam Pusat Kebudayaan Camii & Turki, dan status undang-undang telah diperoleh sebagai organisasi agama yang rasmi.

Pautan luaran

[sunting | sunting sumber]