Zarathustra

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian
Tanggapan Mazdayasna India abad ke-19 mengenai rupa Zarathustra adalah berasal daripada figura yang muncul dalam arca abad ke-4 di Taq-e Bostan di barat daya Iran. Arca asal kini dipercayai sama ada mewakili Mithra atau Hvare-khshaeta.[1]

Zarathustra, (B. Avesta: 𐬰𐬀𐬭𐬀𐬚𐬎𐬱𐬙𐬭𐬀 زارثوشتره Zaraθuštra, B. Inggeris: Zoroaster, B. Greek: Ζωροάστρης Zōroastrēs, B. Parsi: زرتشت Zartosht) Zarathushtra Spitama atau Ashu Zarathushtra ialah seorang bergelar nabi yang berbangsa Iran kuno yang mengasaskan apa yang kini dikenali sebagai agama Mazdayasna (Zoroastrianisme). Ajarannya mencabar tradisi sedia ada dalam kepercayaan bangsa Indo-Iran dan agama yang dibawa oleh Zarathustra akhirnya menjadi agama dominan di zaman Parsi kuno. Baginda ialah penutur asli Bahasa Avesta Lama dan tinggal di bahagian timur dataran tinggi Iran, namun tempat kelahirannya tidak dapat dipastikan.[2][3]

Tiada konsensus dalam kalangan sarjana berkenaan bila baginda hidup.[4] Sesetengah sarjana yang menggunakan bukti linguistik dan sosio-budaya telah mencadangkan pentarikhan di suatu tempoh dalam milenium ke-2 SM. Sarjana lain pula meletakkan baginda pada abad ke-7 dan ke-6 SM menjadikan baginda hidup hampir sezaman dengan Cyrus Agung dan Darius I.[5][6][7][8][9][10] Mazdayasna akhirnya menjadi agama rasmi Parsi kuno dan subbahagiannya dari abad ke-6 SM hingga abad ke-7 Masihi.[11] Zarathustra dianggap sebagai pengarang Gatha, Yasna Haptanghaiti, lagu-lagu pujian yang dikarang dalam dialek asalnya, Bahasa Avesta Lama dan teks yang terdiri daripada teras pemikiran Mazdayasna. Kehidupannya banyak diketahui melalui teks-teks ini.[2] Berdasarkan mana-mana piawaian pensejarahan moden, tiada bukti yang dapat meletakkan baginda pada tarikh yang tepat dan pensejarahan yang berkaitan dengannya mungkin hanya merupakan sebahagian daripada kecenderungan yang wujud sebelum abad ke-10 Masihi yang gemar mensejarahkan legenda dan mitos.[12]

Nama dan etimologi[sunting | sunting sumber]

Nama Zarathustra dalam bahasa ibundanya, Avesta, mungkin adalah Zaraθuštra. Nama Inggerisnya, Zoroaster, berasal daripada transkripsi Yunani terkemudian (abad ke-5 SM), Ζωροάστρης (Zōroastrēs),[13] seperti yang digunakan dalam Lydiaca (Fragmen 32) karya Xanthus dan dalam Alcibiades Pertama (122a1) karya Plato. Variasi ini muncul kemudiannya dalam Bahasa Latin Zōroastrēs dan dalam ortografi Yunani terkemudian, sebagai Ζωροάστρις (Zōroastris). Variasi Yunani nampaknya adalah berdasarkan transliterasi fonetik atau penggantian semantik Bahasa Avesta zaraθ- dengan Bahasa Yunani ζωρός (zōros) (maksud: "pekat") dan Avesta -uštra dengan ἄστρον (astron) (maksud: "bintang").

Dalam Bahasa Avesta, Zaraθuštra amnya diterima adalah daripada Bahasa Iran lama *Zaratuštra-; Unsur -uštra- dianggap sebagai akar bahasa Indo-Iran untuk "unta", dengan keseluruhan nama bermaksud "dia yang dapat menguruskan unta".[14][a]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Stausberg 2002, vol. I, pp. 58–59.
  2. ^ a b West 2010, halaman 4
  3. ^ Boyce 1996, m/s. 3–4.
  4. ^ West 2013, halaman 89–109
  5. ^ "Zarathustra". World History Encyclopedia. Dicapai pada 2020-03-29.
  6. ^ Boyce 1996, halaman 3
  7. ^ West 2010, halaman 4–8
  8. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan auto1 tidak disediakan
  9. ^ Fischer 2004, halaman 58–59
  10. ^ Goucher, Candice; Walton, Linda (2013), World History: Journeys from Past to Present, Routledge, m/s. 100, ISBN 978-1-135-08828-6
  11. ^ Boyce 2001, halaman 1–3
  12. ^ Stausberg, Vevaina & Tessmann 2015, m/s. 60–61.
  13. ^ Schlerath 1977, halaman 133–135
  14. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan Schmitt_2003 tidak disediakan