A. L. Varley

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
A. L. Varley semasa mahu menaiki kapal ke Singapura

Arthur Leslie Varley (1893 – 1944) adalah seorang pegawai Tentera Australia yang berkhidmat dengan Divisyen Ke-8 Australia yang mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu semasa serangan tentera Jepun pimpinan Lt. Jen Yamashita mulai 8 Disember 1941.

Hayat Awal[sunting | sunting sumber]

Varley dilahirkan pada 13 Oktober 1893 di Rookwood, Sydney. Belaiu adalah anak ketiga pasangan William Ashton Varley dan Elizabeth Ellen, née Stubbin. Bapanya bekerja sebagai operator telegraf. Selepas menghabiskan persekolahan di wilayah New England, Varley bekerja sebagai seorang kerani.

Perang Dunia Pertama[sunting | sunting sumber]

Varley memasuki perkhidmatan tentera dengan Pasukan Imperial Australia pada 24 Ogos 1915. Dalam bulan Oktober tahun itu, Varley dihantar ke Mesir dan dia ditugaskan ke batalion ke-45 di mana Varley ditauliahkan sebagai seorang pegawai dalam bulan Mac 1916.

Varley tiba di Perancis dalam bulan Jun 1916. Dalam bulan Ogos, Varley terlibatd alam pertempuran di Pozières di mana dia menerima kenaikan pangkat menjadi Leftenan. Dalam bulan September, Varley dijadikan Adjutan pasukan. Pemerintah batalionnya, Lt. Kolonel S. C. E. Herring mengingati keberanian Varley semasa di Messines, Belgium alam bulan Jun 1917, Varley membawa pegawi perubatan, beberapa orang askar semboyan dan Lt. Kol. Herring sendiri ke satu pos hadapan melalui kawasan yang seperti ”padang jarak padang tekukur” sambil ditembak oleh pasukan musuh – satu keberanian yang bukan biasa.

Semasa pertempuran itu juga Varley pergi ke barisan hadapan dan mengambil alih pemerintah dua kompeni askar di Owl Trench dan melancarkan serang balas. Untuk keberanian dan kepimpinan yang ditunjukkan, Varley dianugerahkan pingat Military Cross. Sebulan kemudian, Varley dinaikkan pangkat menjadi Kapten dan ditugaskan di markas 12 Briged. Dalam bulan Ogos 1918, Varley diberikan anugerah satu lagi Military Cross kerana kepimpinannya menyelia pembekalan semula kepada sebuah batalion semasa diserang dengan hebat semasa operasi di timur bandar Hamel, Perancis. Valey juga beberapa kali dipuji dalam laporan. Perkhidmatan tentera Varley ditamatkan pada 4 Oktober 1919 selepas tamat perang.

Perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Varley mengahwini Linda Adelaide Middleton di St Peter's Cathedral, Armidale, pada 17 Disember 1919 mengikut fahaman Gereja Anglican. Mereka dikurniakan 3 orang anak, tetapi Linda meninggal dalam tahun 1926. Pada 26 September 1926, Varley mengahwini Ethel Stevens, née Parker, seorang janda berumur 40 tahun. Mereka tidak mempunyai anak.

Sukan[sunting | sunting sumber]

Varley mengusahakan sebuah kedai pembekalan barang ternakan di Inverell, di samping menguruskan ladang lembu yang dinamakan Kahmoo. Varley juga giat bersukan, dan mewakili New England dalam sukan ragbi. Di mewakili Armidale dalam sukan tenis. Varley juga merupakan pemukul (batsman) ketiga dan juga merupakan pembaling bola (bowler) laju dalam sukan kriket. Alan Kippax (pemain kriket terkemuka Australia) semasa membuat pertunjukan dalam tahun 1924 meminta Varley dikeluarkan daripada pasukan lawan kerana ‘sukar bagi saya membuat pertunjukan apabila dia membaling bola seperti itu” [1]

Perang Dunia II[sunting | sunting sumber]

Varley bergerak aktif dalam pasukan Tentera Militia (Pasukan Tentera Rakyat) ataupun CMF sejak bulan Februari 1939. Dalam bulan September tahun itu, Varley dijadikan pegawai pemerintah Batalion ke-35 CMF dan dalam bulan Disember diberikan pangkat sebagai Lt. Kolonel (Sementara). Pada 1 Julai 1940, Varley dipinjam khidmat kepada Pasukan Imperial Australia dan diberikan pemerintahan Batalion 2/18. Varley dan batalionnya sampai di Singapura dalam bulan Februari bersama-sama Briged Ke-22 Australia. Varley bekerja keras melatih batalionnya untuk menyesuaikan mereka dengan iklim Semenanjung Tanah Melayu.

Batalion 2/18 tidak bertempur dengan pasukan Jepun sehinggalah tarikh 26 Januari 1942 apabila pasukan itu membuat serang hendap ke atas Tentera Jepun di Ladang Getah Nithsdale di Jemaluang, di sebelah selatan Mersing

Batalion 2/18 Australia dengan sokongan dua bateri dari pasukan artileri Rejimen 2/10 Artileri Medan melancarkan serang hendap mereka pada jam 2.00 pagi. Serangan berterusan sehingga pagi. Pada waktu pagi, setelah diserang berterusan, Varley diarahkan berundur oleh Brig. Jen. Harold Burfield Taylor, panglima 22 Briged. Serang hendap yang dilancarkan Varley berjaya, dan Tentera Jepun terpaksa bertukar arah dan tidak mara ke selatan menggunakan jalan yang disekat oleh Batalion 2/18 Australia. Batalion Varley mengalami 98 orang anggota terbunuh. Jumlah kematian di pihak Jepun tidak diketahui, tetapi dianggarkan jauh lebih ramai daripada jumlah korban batalion 2/18 Australia.

Varley terus memimpin batalionnya dari hadapan apabila tentera Jepun mendarat di Singapura pada 8 Februari 1942. 22 Briged ditugaskan bertahan di sebelah barat laut pulau Singapura, dan tidak diberikan bantuan apabila diserang kerana Lt. Jen. Percival yakin serangan utama akan dilancarkan oleh Divisyen Pengawal Imperial Jepun dari arah Changi.

Mej. Jen. Gordon Bennett pula tidak memberikan sokongan kepada 22 Briged kerana bermusuhan dengan Brig. Jen. Taylor. 22 Briged. diberikan tugasan yang paling berat, tetapi tidak diberikan sokongan oleh Bennett.

Pada 12 Februari 1942, Taylor merasa kelesuan dan meminta Varley mengambil alih pemerintahan 22 Briged buat sementara. (Taylor terus pengsan selepas menyerahkan pimpinan 22 Briged kepada Varley). Bennett naik berang dan melucutkan Taylor daripada jawatan Panglima 22 Briged dan melantik Varley sebagai ganti dengan kenaikan pangkat sebagai brigedier Jeneral (Sementara). Lt. Jen. Percival menyerah kalah pada 15 Februari 1942. Varley dan 22 Briged menjadi tawanan perang.

Tawanan Perang[sunting | sunting sumber]

Dalam bulan Mei 1942, Varley mengambil pemerintahan “Pasukan A”, iaitu kumpulan kerahan tenaga melibatkan 3,000 askar Australia, kebanyakannya dari 22 Briged, untuk bekerja membina Jalan Kereta Api Burma-Thailand (Kereta Api Maut). Bersama-sama dengan tawanan perang dari Belanda, Varley mengetuai lebih 9,000 orang tawanan perang.

Lt. Kol. Charles Anderson, VC menulis mengenai personaliti kuat Varley dan ketegasan dan kesungguhannya menjaga kebajikan anggota-anggota tenteranya. Varley merekodkan dalam buku hariannya keadaan hospital dan nama askar-askar yang mati. Selepas pembinaan jalan kereta api selesai, Varley dan askar-askarnya dihantar ke Bangkok sebelum ke Singapura.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada 6 September 1944 Varley menaiki kapal pengangkut Rakuyo Maru untuk pelayaran ke Jepun. Pada 12 September 1944, kapal itu diserang torpedo oleh sebuah kapal selam Amerika Syarikat. Varley paling akhir dilihat mengetuai kumpulan 7 buah bot penyelamat menuju arah barat laut. Sebilangan mereka yang terselamat mengakui mendengar bunyi mesingan dari arah berkenaan, memungkinkan pembunuhan Varley oleh kapal frigat Jepun. Tarikh kematian Varley direkodkan secara rasmi sebagai 13 September 1944. Anak sulung Varley, Jack mendapat anugerah pingat Military Cross di Tanah Melayu. Anak lelaki mudanya, Leftenan Robert Ashton Varley terbunuh di New Guinea dalam bulan April 1945.

Nama Arthur Varley diukir di Tugu Peringatan Labuan untuk askar-askar yang tidak mempunyai kubur.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • J. E. Lee, The Chronicle of the 45th Battalion, A.I.F. (Syd, 1924);
  • L. Wigmore, The Japanese Thrust (Canb, 1957);
  • J. Burfitt, Against All Odds (Syd, 1991);
  • D. Wall, Heroes at Sea (Syd, 1991);
  • J. Uhr, Against the Sun (Syd, 1998); Reveille (Sydney), 1 Dec 1944; Inverell Times, 20 Jan 1941, 26 Feb 1999; war diary, 2/18th Battalion, AWM 52, item 8/3/18 (Australian War Memorial); Report on POW Conditions, AWM 54, item 554/2/4, (Australian War Memorial);
  • A. L. Varley diary, AWM 3DRL, item 2691 (Australian War Memorial).
  • Janet Uhr, 'Varley, Arthur Leslie (1893 - 1944)', Australian Dictionary of Biography, Volume 16, Melbourne University Press, 2002, pp 438-439.