FW 200 Kondor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
FW 200 Kondor

Kapal terbang Focke-Wulf Fw 200 Kondor adalah sebuah kapal terbang Jerman yang dibina sebagai sebuah kapal terbang penumpang tetapi menjadi terkenal sebagai sebuah kapal terbang peninjau jarak jauh untuk Luftwaffe. Kapal terbang ini adalah pesawat pertama boleh membuat penerbangan daripada Berlin ke New York tanpa henti. Pada 10 Ogos 1938, sebuah kapal terbang Fw 200 Kondor membuat penerbangan tanpa henti dari Berlin ke New York dalam masa 24 jam 56 minit, dan membuat penerbangan pulang ke Berlin dalam masa 19 jam 47 minit.

Pembangunan[sunting | sunting sumber]

Kapal terbang Fw 200 Kondor dibina di bawah pimpinan Kurt Tank mengikut spesifikasi yang diberikan oleh Lufthansa. Penerbangan sulung dibuat dalam bulan Julai 1937 diterbangkan sendiri oleh Kurt Tank.

Kapal terbang ini adalah satu pengembangan reka bentuk kapal terbang komersial, dan mempunyai 4 buah enjin berkuasa tinggi. Badan kapal terbang dibuat daripada aluminum dan boleh membawa 25 orang penumpang sehingga jarak 3,000 kilometer.

Untuk kegunaan perang, Kurt Tank menambahkan 5 stesen persenjataan di sayap kapal terbang untuk pemasangan bom. Fiuslaj dipanjangkan dan dikuatkan untuk mengadakan lebih banyak ruang untuk pemasangan mesingan di bahagian hadapan, bahagian ekor dan bahagian tengah kapal terbang ini. Radar juga dipasangkan kepada kapal terbang ini kemudian. Berat berlebihan mengakibatkan sebilangan kapal terbang Fw 200 Kondor mengalami kerosakan teruk semasa mendarat, dan masalah ini tidak diselesaikan dengan sempurna sehingga akhir perang.

Tentera Laut Imperial Jepun memesan versi tentera untuk kegunaan mencari dan menyelamat, dan Kurt Tank membina versi Fw 200V-10 Kondor dengan dilengkapkan kelengkapan tentera. Tetapi pencetusan perang di Eropah menangguhkan penghantaran kapal terbang yang dipesan oleh Tentera Laut Imperial Jepun. Versi ini menjadi asas kepada pembinaan model tentera untuk Luftwaffe

Varian[sunting | sunting sumber]

Kapal terbang ini dibina dalam 3 varian, Fw 200A, B, and C. Fw 200A adalah model kegunaan awam dan digunakan oleh Lufthansa, syarikat DDL di Denmark, dan Syndicato Condor di Brazil. Fw 200B dan Fw 200C digunakan sebagai kapal terbang pengebom jarak jauh, kapal terbang peninjau dan kapal terbang pengangkut tentera dan pengangkut VIP.

Adolf Hitler sendiri menggunakan sebuah kapal terbang Fw 200V-1 yang diubahsuai sebagai kapal terbang pengangkut peribadinya. Kapal terbang ini diberikan nama "Immelmann III" dan membawa tanda penamaan "D-2600", yang kemudiannya kepada "WL+2600" dan akhir sekali "26+00". Perkhidmatan Perang

Luftwaffe pada mulanya menggunakan kapal terbang Fw 200 Kondor untuk membantu Kriegsmarine dengan membuat rondaan maritim dan penerbangan peninjau di Laut Utara dan kemudiannya di Lautan Atlantik. Kapal terbang ini kemudiannya digunakan untuk mengesan dan menjejaki konvoi dan kapal perang British untuk diserang oleh kapal selam Jerman.

Kapal terbang ini juga boleh dilengkapkan dengan bom ataupun periuk api. Di antara bulan-bulan Jun 1940 hingga Februari 1942, kapal terbang jenis ini didakwa berjaya menenggelamkan kapal sebanyak 365,000 tan.

Tetapi mulai pertengahan tahun 1941, kapal terbang Fw 200 Kondor ditegah menyerang perkapalan dan mengelakkan pertembungan dengan kapal terbang tentera kerana bilangan kapal terbang Fw 200 ini sudah berkurangan. Dalam bulan Ogos 1941, sebuah kapal terbang Hawker Hurricane berjaya menembak jatuh sebuah kapal terbang Fw 200 Kondor. Kemunculan kapal induk pengiring (escort carrier) juga membawa ancaman besar kepada kapal terbang Kondor.

Kapal terbang ini juga digunakan sebagai pengangkut barang dan digunakan untuk pembekalan semula garison Jerman di Stalingrad. Selepas penghujung tahun 1943, kapal terbang ini digunakan hanya untuk tujuan pengangkutan. Peranan peronda maritim diambil alih oleh kapal terbang jenis Junkers Ju 290. Selepas Tentera berikat menakluki Perancis dalam tahun 1944, operasi rondaan maritim di Lautan Atlantik terhenti.

Sebilangan pesawat Fw 200 Kondor yang mendarat di Sepanyol kerana kerosakan ditahan dan dirampas oleh kerajaan Sepanyol. Dua atau tiga buah diperbaiki dan digunakan oleh Tentera Udara Sepanyol sehingga tahun 1950.

Kesan kapal terbang ini amat besar, walaupun digunakan hanya pada jangka masa yang singkat. Winston Churchill menamakannya “Kesengsaraan Atlantik” (Scourge of the Atlantic) sepanjang Pertempuran Lautan Atlantik kerana peranan kapal terbang ini menyebabkan kerugian perkapalan pihak Berikat kepada kapal selam Jerman.

Spesifikasi[sunting | sunting sumber]


Fw 200C-3/U4
Anak Kapal : 5
Keupayaan Pengangkutan : 30 orang askar serba lengkap
Panjang : 23.5 m
Depaan sayap : 32.8 m
Tinggi : 6.3 m
Luas Sayap : 118 m²
Berat kosong : 12,950 kg
Berat Maksimum Pelepasan : 22,700 kg
Enjin : 4 buah BMW/Bramo 323R setiap satu dengan 882 kW (1,200 hp)
Kelajuan Maksimum: 360 km/h pada aras 4,800 m
Jarak penerbangan : 3,556 km kombat; 4,440 km feri
Tinggi penerbangan Biasa: 5,800 m

Senjata[sunting | sunting sumber]


2 pucuk meriam 20 mm MG 151/20
6 pucuk mesingan 7.92 mm
1 pucuk mesingan MG 131 13 mm
5,400 kg bom