Kapal terbang penumpang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kapal terbang penumpang
Ba b747-400 g-bnle arp.jpg
Boeing 747-400, salah sejenis kapal terbang penumpang yang paling dikenali dalam sejarah
Peranan {{{type}}}
Pengeluar {{{manufacturer}}}


Kapal terbang penumpang atau pesawat penumpang (Bahasa Inggeris: airliner) ialah sejenis pesawat kepak kaku yang digunakan untuk mengangkut penumpang. Kapal terbang sedemikian selalunya dimiliki oleh syarikat penerbangan. Walaupun takrifan kapal terbang penumpang mungkin berbeza dari negara ke negara, namun kapal terbang penumpang biasanya ditakrifkan sebagai pesawat yang bertujuan mengangkat bilangan penumpang yang ramai dalam perkhidmatan komersil; Sikorsky Ilya Muromets dari Rusia merupakan pesawat penumpang rasmi pertama yang memenuhi takrifan ini. Pesawat ini melakukan penerbangan pertamanya pada tahun 1913, maka lahirnya industri penerbangan komersil. Industri ini beransur-ansur berkembang maju selama puluhan tahun yang berikutnya dan pesat membangun selepas Perang Dunia II.[1]

Jenis[sunting | sunting sumber]

Airbus A330 merupakan kapal terbang penumpang berbadan luas.

Pesawat badan luas[sunting | sunting sumber]

Kapal terbang penumpang yang terbesar merupakan pesawat jet badan luas. Kapal terbang ini sering digelar pesawat lorong kembar kerana pada amnya, ia mempunyai dua batang lorong berasingan yang terbentang secara selari dari hadapan hingga belakang kabin penumpang. Pesawat yang tergolong dalam kategori ini ialah Boeing 747, Boeing 767, Boeing 777, Airbus A300/A310, Airbus A330, Airbus A340, Airbus A380, Lockheed L-1011 TriStar, McDonnell Douglas DC-10, McDonnell Douglas MD-11, Ilyushin Il-86 dan Ilyushin Il-96. Pesawat sebegini biasanya digunakan untuk penerbangan jarak jauh yang mengangkut penumpang yang amat ramai di antara hab-hab penerbangan dan bandaraya-bandaraya utama.

Pesawat badan sempit[sunting | sunting sumber]

Boeing 757 merupakan kapal terbang penumpang berbadan sempit.

Juga terdapat kelas kapal terbang yang lebih kecil badannya dan lebih banyak jumlanya, iaitu badan sempit atau lorong tunggal. Pesawat yang lebih kecil ini biasanya digunakan untuk penerbangan jarak sederhana dengan jumlah penumpang yang kurang berbanding pesawat badan luas.

Contoh-contohnya, Boeing 717, 737, 757, McDonnell Douglas DC-9 dan MD-80/MD-90, Airbus A320, Tupolev Tu-204, Tu-214 dan Tu-334, dan Embraer E-Jet 190&195. Pesawat yang lebih lama seperti Boeing 707, 727, Douglas DC-8, Fokker F70/F100, VC10, Tupolev, dan Yakovlev turut tersenarai dalam kategori ini.

Kapal terbang kecil[sunting | sunting sumber]

Kapal terbang jarak dekat[sunting | sunting sumber]

Kapal terbang jarak dekat Embraer 190 JetBlue Airways.
Kapal terbang jarak dekat Bombardier CRJ900 PLUNA bergerak perlahan-lahan.

Pesawat jarak dekat atau pesawat serantau biasanya mengangkut tak lebih 100 orang penumpang, dan biasanya dikuasakan oleh kipas turbo atau bebaling turbo.

Walaupun lebih kecil daripada pesawat kendalian syarikat penerbangan utama, kapal terbang penumpang jenis ini sering memberikan perkhidmatan kepada penumpang yang mengharapkan perkhidmatan yang setanding dengan yang ditawarkan oleh syarikat besar dengan kapal terbang yang besarnya.

Oleh itu, pesawat jarak dekat ini selalunya dilengkapi tandas, kabin berdiri, penekanan, bekas simpanan atas, kerusi boleh condong, serta pramugara-pramugara yang menjaga keperluan penumpang semasa dalam penerbangan. Antara keluaran pesawat jarak dekat yang terawal merupakan pesawat Jetstream 31 yang keluar sebelum kawal selia penerbangan dimansuhkan.

Kapal terbang penghantar[sunting | sunting sumber]

Kapal terbang penumpang serantau atau penghantar biasanya mengangkut tidak lebih seratus orang penumpang dan dikuasakan oleh kipas turbo atau bebaling turbo. Kapal terbang sedemikianb merupakan rakan sejawat yang bukan aliran utama kepada pesawat besar-besar yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan besar, dan digunakan untuk menyuapkan penumpang kepada hab penerbangan atau bandar raya tumpuan pengangkutan. Laluan-laluan sebegini mungkin memerlukan saiz pesawat yang lebih kecil untuk memenuhi keperluan kekerapan dan tahap perkhidmatan yang diharapkan oleh penumpang daripada produk yang dipasarkan oleh syarikat penerbangan besar dengan pesawat kapal terbang serba modennya. Oleh itu, kebanyakan kapal terbang penumpang serantau dilengkapi dengan tandas dan mempunyai pramugara-pramugari yang menjaga keperluan penumpang dalam penerbangan, di samping beberapa ciri pesawat serantau berjarak dekat.

Antara pesawat yang tergolong dalam kategori ini ialah pesawat jet serantau Bombardier CRJ dan Embraer ERJ di samping siri "Q" (DASH-8), dan pesawat bebaling turbo ATR 42/72 dan Saab 340/2000. Syarikat penerbangan dan rakan-rakannya kadang-kadang menggunakannya untuk penerbangan di antara hab-hab kecil, atau mengangkut penumpang ke bandar hab di mana mereka akan menaiki pesawat yang lebih besar. Biasanya, kapal terbang penghantar ini diberi skim corak dan warna seragam rakan penerbangan yang lebih besar itu supaya syarikat penerbangan serantau boleh menawarkan dan memasarkan peralihan yang licin antara penerbangan besar dan kecil.

Pesawat komuter dan teksi udara[sunting | sunting sumber]

Pesawat komuter jarak dekat Beechcraft 1900

Jenis pesawat penumpang penghantar serantau jarak terendah yang paling ringan (pesawat ringan) dan mengangkut tidak lebih 19 orang penumpang dikenali sebagai kapal terbang komuter, pesawat komuter dan teksi udara, bergantung pada saiz, enjin, pemasaran, tempat di dunia dan tatarajah tempat duduknya. Contohnya, Beechcraft 1900, hanya ada 19 kerusi. Bergantung pada peraturan setempat dan negara, pesawat komuter mungkin tidak layak bergelar kapal terbang penumpang dan tidak perlu mematuhi peraturan yang dipatuhi oleh pesawat besar. Jenis pesawat ini biasanya tidak dilengkapi kemudahan seperti tandas, galei dan pramugara.

Jenis pesawat lain yang tergolong dalam kategori ini ialah Fairchild Metro, Jetstream 31, dan Embraer EMB 110 Bandeirante. Cessna Caravan dan Pilatus PC-12 merupakan pesawat bebaling turbo berenjin tunggal, tetapi penggunaannya di dunia terhad kerana banyak negara menetapkan keperluan minimum bahawa pesawat mestilah dipasangi sekurang-kurangnya dua enjin.

Pesawat berenjin omboh kembar buatan Cessna, Piper, Britten-Norman, dan Beechcraft turut digunakan sebagai pesawat komuter jarak dekat.

Enjin[sunting | sunting sumber]

Sehingga bermulanya Zaman Jet, enjin omboh sering digunakan dalam pesawat bebaling seperti Douglas DC-3. Kini, hampir semua kapal terbang penumpang moden dikuasakan oleh enjin turbin, iaitu sama ada kipas turbo atau bebaling turbo. Enjin gas turbin beroperasi dengan lebih cekap di altitud yang lebih tinggi, lebih berkesan daripada enjin omboh, dan kurang menghasilkan getaran dan hingar. Sebelum Zaman Jet, selalunya enjin-enjin yang digunakan dalam pesawat awam adalah sama atau amat serupa dengan pesawat tentera. Akhir-akhir ini, teknologi pesawat awam dan tentera banyak bercapah sehingga pesawat awam jarang sekali sama dengan pesawat tentera. Biasanya, pesawat tentera yang berkongsi teknologi dengan kapal terbang penumpang adalah jenis pesawat pengangkut atau pengisi bahan api.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Jarrett, Phillip. eds. Modern Air Transport: Worldwide Air Transport from 1945 to the Present. London: Putnam, 2000.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:List of aircraft Templat:Commercial air travel