Gigi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gigi manusia dewasa

Gigi (tulisan Jawi : ݢيݢي) merupakan struktur putih kecil yang terdapat di dalam mulut manusia dan juga haiwan vertebrat. Gigi digunakan untuk mengoyak, mengikis, memotong dan mengunyah makanan. Sesetengah haiwan, terutamanya karnivor, juga menggunakan gigi untuk memburu atau mempertahankan diri. Akar gigi diselaputi oleh gusi.

Penjagaan gigi[sunting | sunting sumber]

  • Memflos gigi sebelum memberus
  • Berus gigi dua kali sehari
  • Gunakan berus gigi yang betul
  • Dapatkan pemeriksaan gigi dua kali setahun
  • Kunjungi doktor gigi anda sebelum mengandung
  • Berhenti merokok
  • Kurangkan minuman bergas, kopi dan alkohol
  • Tingkatkan pengambilan kalsium
  • Amalkan pengambilan vitamin C dan D
  • Tidur sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam

Masalah berkaitan gigi[sunting | sunting sumber]

Plak dan kalkulus[sunting | sunting sumber]

Plak merupakan lapisan nipis dan melekit mengandungi bakteria yang sentiasa terbentuk di dalam mulut. Ia lembut dan mudah dihilangkan dengan memberus gigi atau flos. Selepas makan, sisa makanan akan ditukarkan menjadi plak melalui tindakan penguraian bakteria. Jika dibiarkan, plak ini akan menebal dan bakteria akan membiak. Jika ia tidak dibersihkan dalam masa 24 jam, plak ini akan mula mengeras disebabkan enapan garam kalsium dari air liur dan membentuk kalkulus, ataupun tartar. Struktur enapan yang keras dan melekat kuat ini hanya dapat disingkirkan melalui pembersihan gigi oleh doktor iaitu "pengikisan".

Penyakit periodontal[sunting | sunting sumber]

Penyebab utama bagi penyakit periodontal ialah pengumpulan plak bakteria. Apabila plak terbentuk di sepanjang permukaan gusi, ia akan menyebabkan gusi membengkak dan mudah berdarah. Ini dikenali sebagai gingivitis. Jika plak ini tidak disingkirkan, toksin akan menyebabkan gusi lekang dari gigi dan membentuk lekuk di antara gigi dan gusi. Jangkitan di bahagian ini akan memusnahkan gentian yang memegang gigi di tempatnya. Tulang penyokong gigi juga akan rosak. Keadaan ini dikenali sebagai periodontitis.

Karies gigi[sunting | sunting sumber]

Karies gigi merupakan penyakit disebabkan mikrob yang memusnahkan gigi. Ia menjejaskan tisu-tisu gigi yang keras (enamel). Sesetengah bakteria plak akan menghasilkan asid dari karbohidrat; asid ini akan melarutkan enamel gigi dan membentuk lesi karies yang akhirnya memusnahkan gigi jika tidak dirawat.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]