Iqro

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Iqro
Umum
PengarangAs'ad Humam dan Team Tadarus AMM
Tajuk asal
Buku Iqro': Cara Cepat Belajar Membaca Al-Qur’an
NegaraIndonesia
BahasaIndonesia, Arab
GenreBuku teks agama
Tarikh penerbitan
Awal 1990-an (edisi pertama)

Iqro ialah sebuah buku teks yang digunakan warga Muslim di Indonesia dan Malaysia untuk belajar membaca huruf-huruf Arab dan gaya lafaz bahasa tersebut. Buku ini disusun oleh As'ad Humam bersama "Team Tadarus AMM". Diterbitkan pada awal 1990-an, Iqro ditujukan sebagai batu loncatan awal untuk membaca Al-Qur'an dalam bahasa aslinya serta kemahiran dalam membaca Al-Qur'an. Iqro biasanya dipelajari oleh kanak-kanak prasekolah hingga awal sekolah rendah, dan sering digunakan di sekolah khas Al-Qur'an, pesantren, surau, dan sekolah rumah bagi pendidikan agama.

Buku ini, beserta kaedah yang menyertainya, merupakan alternatif daripada kaedah sebelumnya yang disebut kaedah Baghdadi, dan Iqro menekankan peranan aktif pelajar dalam mempelajarinya. Buku ini dibahagikan kepada enam jilid (sering dikumpulkan dalam satu buku), masing-masing memperkenalkan bentuk dan bunyi huruf-huruf Arab dengan peringkat kesukaran yang semakin tinggi. Jilid-jilid peringkat atas juga mengajarkan dasar-dasar tajwid atau aturan pelafalan dalam membaca Al-Qur'an.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Indonesia mempunyai majoriti penduduk Muslim, tetapi hampir kesemuanya bukan penutur bahasa Arab, dan abjad Arab kini tidak umum digunakan, kecuali dalam konteks tertentu seperti teks keagamaan.[1] Dengan itu, umat Muslim Indonesia perlu mempelajari abjad dan pelafalan bahasa Arab secara khusus agar dapat membaca Al-Qur'an.[1] Beberapa fonem bahasa Arab, seperti /θ/, bunyi huruf ث, tidak digunakan dalam bahasa Indonesia lazim dan memerlukan latihan agar dapat dilafazkan dengan benar.[1] Selain itu, pembacaan Al-Qur'an juga memiliki aturan lafaz khusus yang disebut dengan tajwid.[1]

Sebelum buku Iqro, sebahagaian besar pelajaran membaca Al-Qur'an dilakukan dengan kaedah yang disebut "kaedah tradisional" atau "kaedah Baghdadi" yang masih digunakan sekarang, walaupun tidak sebanyak dahulu.[1] Kaedah ini menggunakan buku teks yang disebut Qa'idah Baghdadiyyah ma'a Juz 'Amma, dan menggunakan teknik mengeja setiap huruf dan harakat (baris penanda vokal) dalam bahasa Indonesia sebelum melafalkan kata secara utuh (misal: "Nun, di atas: na!").[1] Kaedah ini bergantung hubungan individu antara guru dan murid secara langsung.[1]

Isi[sunting | sunting sumber]

Buku Iqro terdiri dari enam jilid, disebut Iqro 1 sehingga Iqro 6, yang kadangkala dijual secara berasingan dengan warna-warni berbeza, atau dijual sekali gus dalam satu buku.[2][3] Setiap jilid diawali arahan belajar. Halaman-halaman dalam buku ini sering diawali arahan di bahagian atas yang berisi pelajaran baru dalam halaman itu (contohnya, cara suatu huruf berubah bentuk ketika disambung). Arahan dalam bahasa Indonesia (contohnya "hati-hati" dan "perlahan di sini") kadangkala muncul di tengah-tengah isi pelajaran.[1] Berbeza dengan kaedah tradisional yang bergantung pengajaran ketat dari guru ke pelajar, buku Iqro dirancang agar dapat dipelajari secara lebih berdikari.[3][4] Guru hanya perlu memberikan sedikit arahan dan selanjutnya mendengarkan bacaan pelajarnya dengan pasif.[5][4] Buku Iqro tidak mengajarkan pemahaman erti dari teks-teks bahasa Arab yang dibaca,[6] tetapi pengetahuan cara membaca teks bahasa Arab dengan lancar dapat menjadi dasar bagi pelajar-pelajar yang ingin meneruskan belajar bahasa Arab di pesantren atau lembaga pendidikan lainnya.[1]

Keenam-enam jilid Iqro disusun dari peringkat kesukaran rendah ke tinggi.[7] Iqro 1 memperkenalkan huruf-huruf Arab dalam kedudukan berasingan dan hanya dengan vokal "a" (baris di atas, atau fathah). Iqro 2 memperkenalkan bentuk huruf bersambung (di awal, di tengah, atau di akhir), tetapi masih dengan fathah. Iqro 3 memperkenalkan vokal "i" (baris di bawah/kasrah) dan vokal "u" (baris di hadapan/dhammah). Iqro 4 memperkenalkan tanwin (penambahan bunyi -n selepas vokal), sukun (konsonan tanpa vokal), dan qalqalah (konsonan yang diikuti vokal pendek). Iqro 5 memperkenalkan pelbagai bentuk alif lam ("al-", artikel tertakrif dalam bahasa Arab), dan salah satu aturan tajwid iaitu idgham (peleburan). Jilid terakhir, Iqro 6, memperkenalkan aturan-aturan tajwid lain seperti iqlab (perubahan "n" menjadi "m") dan ikhfa' (penyamaran bunyi), dan aturan wakaf (penghentian bacaan dalam membaca Al-Qur'an).[7]

Pembangunan[sunting | sunting sumber]

Buku Iqro beserta gaya pengajarannya berasal dari As'ad Humam, seorang ulama dan pedagang dari Yogyakarta dan dikembangkan oleh pasukan bernama "Team Tadarus AMM" yang juga berasal dari Yogyakarta.[8][9] Buku Iqro pertama diterbitkan pada awal 1990-an,[10] tetapi menurut Team Tadarus AMM, sejarahnya berawal sebelum itu. Pada 1953, sebuah kumpulan belajar Al-Qur'an didirikan di Yogyakarta dengan menggunakan teknik tradisional Baghdadi.[9] Pada 1973, As'ad Humam memulakan perbincangan di rumahnya tentang cabaran-cabaran yang dihadapi kumpulan ini dalam mengajarkan cara membaca Al-Qur'an.[1] Dengan itu, Team Tadarus AMM ditubuhkan yang kemudian menyusun laporan tentang keadaan mengajar. Di antara isi laporan tersebut ialah bahawa teknik pengajaran yang terdapat semasa itu tidak memadai.[1]

Pasukan ini kemudian mencuba teknik pengajaran baru, dan hasilnya ialah sebuah sistem yang kemudian merebak ke bandar-bandar lain di Pulau Jawa. Pada 1988, pasukan ini menerima anugerah dari Kolej Agama Daerah Istimewa Yogyakarta.[1] Pada 1992, buku Iqro telah dijual di seluruh Indonesia. Menyebarnya buku ini berlaku seiring munculnya sistem sekolah agama baru yang disebut Taman Pendidikan Al-Qur'an (TPA).[11] TPA awalnya diadakan di masjid-masjid tempatan dengan pembina dari penduduk setempat.[1] Kemudian, sekolah-sekolah ini mula membentuk persatuan separa rasmi yang disebut Badan Komunikasi Pemuda Remaja Masjid Indonesia (BKPRMI).[10][12] BKPRMI telah melatih guru-guru TPA menggunakan bahan-bahan dan teknik Iqro.[1]

Pengajaran dengan buku Iqro selanjutnya merebak cepat dan sangat banyak digunakan di seluruh Indonesia. Kejayaan ini umumnya dikaitkan dengan meningkatkannya kelajuan pelajar untuk belajar membaca Al-Qur'an jika berbanding dengan kaedah tradisional.[1] Sebahagian penyokong kaedah tradisional berpendapat bahawa kaedah dengan Iqro mempunyai kelemahan kerana kurang "mendalam" dan mengurangi pemahaman terhadap hal-hal yang dipelajari,[13] tetapi pada umumnya para pendukung Iqro mengelak konflik langsung dengan pengajar-pengajar yang telah menggunakan kaedah tradisional.[1] Pada semasa yang sama, kaedah ini juga merebak ke Malaysia. Pada 1994, kerajaan Malaysia menetapkannya sebagai kaedah rasmi pengajaran cara baca Al-Qur'an di sekolah dasar.[14][15] Buku Iqro di Malaysia adalah sedikit berbeza dengan versi asli Indonesia, contohnya, arahan dalam bahasa Melayu standard diberikan dalam huruf Jawi (umum digunakan dalam buku-buku pendidikan Islam di Malaysia) alih huruf Rumi.[16]

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Deretan Iqro di rak sebuah kedai buku di Padang.

Iqro ialah salah satu buku yang paling banyak digunakan untuk belajar membaca Al-Qur'an di Indonesia dan Malaysia.[16] Iqro biasanya digunakan oleh kanak-kanak umur taman kanak-kanak atau sekolah dasar peringkat awal, di TPA atau sekolah khusus pembacaan Al-Qur'an, pesantren, surau, dan sekolah rumah untuk pendidikan agama. Kemampuan membaca Iqro juga dilombakan dalam lumba-lumba membaca Al-Qur'an seperti Musabaqah Tilawatil Quran (MTQ).[17]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p Gade 2004.
  2. ^ Gade 2004, m/s. 152–153.
  3. ^ a b Srijatun 2017, m/s. 33.
  4. ^ a b Gade 2004, m/s. 152.
  5. ^ Srijatun 2017, m/s. 35.
  6. ^ Gade 2004, m/s. 115–116.
  7. ^ a b Srijatun 2017.
  8. ^ Republika 2016.
  9. ^ a b Gade 2004, m/s. 153.
  10. ^ a b Gade 2004, m/s. 117.
  11. ^ Gade 2004, m/s. 154.
  12. ^ Gade 2004, m/s. 154–155.
  13. ^ Gade 2004, m/s. 151.
  14. ^ Gade 2004, m/s. 155.
  15. ^ Nakata 2009, m/s. 31.
  16. ^ a b Nakata 2009.
  17. ^ Pryanka, Adinda (23 November 2017). "Pemkot Bogor Intensif Adakan Pelatihan Baca Tulis Alquran". Republika (dalam bahasa Indonesia).

Senarai pustaka[sunting | sunting sumber]