Jainisme

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Fail:Mathura ayagapatta3.jpg
Ayagapatta pra-Kushana dari Mathura

Jainisme, secara tradisi dikenali sebagai Dharma Jain (जैन धर्म), ialah sebuah agama dan falsafah yang berasal dari Asia Selatan prasejarah. Kini merupakan kaum minoriti di India moden, komuniti-komuniti Jainisme semakin bertumbuh di luar India, seperti Amerika Syarikat, Eropah Barat, Afrika, Timur Jauh, serta tempat-tempat yang lain, dan terus memeliharakan tradisi kezahidan atau Shraman (श्रमण) yang kuno.

Jainisme telah amat mempengaruhi bidang agama, etika, politik, dan ekonomi India selama melebihi dua ribu tahun. Agama ini menegaskan kebebasan rohaniah dan kesamaan semua hidupan dengan penekanan yang khusus terhadap dasar tanpa kekerasan. Kawal diri (व्रत, vrata) merupakan cara untuk penganut Jainisme mencapai moksha, Keval Gnan, atau kesedaran sifat roh yang sebenarnya. Jainisme mengistilahkan seorang penganut yang biasa sebagai shravak (श्रावक), iaitu pendengar. Sangha (संघ) Jainisme, iaitu mazhabnya, terdiri daripada empat bahagian:

  • biarawan (साधु)
  • biarawati (sadhvi)
  • penganut lelaki biasa (श्रावक)
  • penganut perempuan biasa (shravika).


Gambaran keseluruhan[sunting | sunting sumber]

Falsafah Jainisme berdasarkan kebenaran-kebenaran yang abadi dan sejagat. Selepas setiap tempoh yang agak lama, manusia mungkin terlupa kebenaran-kebenaran ini, dan kebenaran-kebenaran ini akan termuncul sekali melalui ajaran orang-orang yang berihsan, iaitu mereka yang telah mencapai makrifat atau pengetahuan keseluruhan (Keval Gnan). Secara tradisi, di alam semesta dan zaman kita, Lord Rishabha (ऋषभ atau रिषभ) dianggap sebagai orang pertama yang menyedari kebenaran, diikuti oleh Lord Parshva (877-777 SM) dan Lord Vardhaman Mahavira (महावीर) (599-527 SM).

Jainisme mengajar bahawa setiap manusia bertanggungjawab kepada perbuatan-perbuatan sendiri dan semua hidupan mempunyai roh (jīva) yang abadi. Agama ini menegaskan bahawa kita harus berhidup, berfikir, dan bertindak dengan penuh hormat, termasuk menghormati sifat rohaniah semua hidupan. Penganut Jainisme memandangkan Tuhan sebagai sifat-sifat yang tidak berubah-ubah bagi roh tulen setiap hidupan, diperihalkan terutamanya sebagai Pengetahuan Tak Terhingga, Persepsi, Kesedaran, dan Kebahagian (Anant Gyän, Anant Darshan, Anant Chäritra, dan Anant Sukh). Jainisme tidak merangkumi kepercayaan terhadap satu Tuhan atau Pencipta, tetapi mempercayai satu alam semesta yang abadi dan yang menentukan hukum-hukum semula jadi, dan sifat-sifat (gunas) jirim yang saling mempengaruhi (dravys).

Kitab-kitab Jainisme ditulis dalam tempoh yang amat panjang dan kitab yang paling disebut ialah Tattvartha Sutra, atau "Buku Kenyataan" yang ditulis oleh Umasvati (atau Umasvami), seorang cendekiawan dan rahib pada melebihi 18 abad dahulu. Tokoh-tokoh yang utama dalam Jainisme ialah para Tirthankar. Jainisme mempunyai dua bahagian yang utama, iaitu Digambar dan Shvetambar, dan kedua-dua bahagian ini mempercayai tentang ahimsa (atau ahinsā), kezahidan, karma, sansar, dan jiva.

Belas kasihan terhadap semua hidupan, baik manusia atau bukan, adalah perkara yang utama dalam Jainisme. Nyawa manusia dinilaikan sebagai satu peluang yang jarang dan unik untuk mencapai makrifat dan pembunuhan manusia atas sebarang alasan, termasuk alasan bahawa orang itu telah melakukan jenayah, tidak dapat diterima. Jainisme ialah agama yang tunggal yang memerlukan semua penganutnya, baik rahib atau penganut biasa, daripada semua taifah dan tradisi, untuk mengamalkan diet vegetarian. Sesetengah kawasan India telah dipengaruhi oleh Jainisme dan sering kalinya, kebanyakan daripada penduduk yang bukan penganut Jainisme telah menjadi vegetarian. Sejarah menunjukkan bahawa berbagai-bagai jenis Hinduisme mengamalkan vegetarian disebabkan pengaruh Jainisme yang kuat. Di banyak bandar, Jainisme mengendalikan tempat berteduh haiwan, umpamanya Delhi mempunyai sebuah hospital burung yang dikendalikan oleh sebuah kuil Jainisme.

Penganut Jainisme membersihkan kuil di Rankapur. Topeng digunakan untuk mengelakkan air ludah pada patung suci atau buku.

Pendirian Jainisme terhadap ketidakganasan melampaui vegetarianisme. Penganut Jainisme menolak makanan yang diperoleh dengan kekejaman yang tidak diperlukan. Banyak penganut menjadi pengamal vegetarisme disebabkan keganasan ladang tenusu yang moden. Diet penganut Jainisme yang ortodoks tidak termasuk kebanyakan sayur-sayuran berubi kerana mereka mempercayai bahawa ini memusnahkan nyawa tanpa keperluan. Lagi satu sebab untuk menolak sayur-sayuran berubi ialah untuk mengelakkan pemusnahan seluruh tumbuhan. Jika anda makan sebiji epal, anda tidak memusnahkan seluruh pokok, tetapi untuk sayur-sayuran berubi, seluruh tumbuhan itu dicabut. Bawang dan bawang putih dielakkan kerana makanan ini dilihatkan sebagai mewujudkan keghairahan, iaitu kemarahan, kebencian, dan perasaan cemburu. Penganut yang mematuhi ajaran Jainisme tidak makan, minum, atau membuat perjalanan selepas matahari terbenam (digelarkan Chauvihar) dan sentiasa bangun sebelum matarhari terbit.

Anekantavada, salah satu asas falsafah Jainisme, membawa maksud harfiah, "Kesimpulan Tak Tunggal" atau "Tiada hanya satu sudut pandangan". Anekantavad terdiri daripada alat-alat untuk mengatasi sudut pandangan berat sebelah tentang sesuatu topik, objek, proses, keadaan, atau terhadap kenyataan pada umumnya. Lagi satu alat ialah "Doktrin Kepostulatan" (Syādvāda). Anekantavad ditakrifkan sebagai sudut pandangan berbilang kerana ia mengeaskan penglihatan perkara-perkara daripada sudut pandangan yang lain.

Penganut-penganut Jainisme amat ramah dan amat mengalu-alukan kepercayaan-kepercayaan yang lain. Banyak kuil yang bukan Jainisme ditadbirkan oleh penganut-penganut Jainisme. Keluarga Heggade adalah sebuah keluarga Jainisme yang telah menjalankan institusi-institusi Hindu di Dharmasthala, termasuk Kuil Sri Manjunath, selama lapan abad. Penganut-penganut Jainisme sanggup menderma wang kepada gereja dan masjid, dan biasanya membantu dengan majlis antara agama. Rahib-rahib Jainisme, seperti Acharya Tulsi dan Acharya Sushil Kumar, mempromosikan keharmonian antara agama-agama yang bersaing untuk meredakan ketegangan.

Penganut-penganut Jainisme telah mempunyai kehadiran yang ketara dalam budaya India, dan telah menyumbang kepada falsafah India, seni, seni bina, sains, dan kepada politik Mohandas Gandhi yang menghasilkan gerakan tanpa keganasan untuk kemerdekaan India.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Falsafah India
Falsafah Hinduisme Samkhya | Nyaya | Vaisheshika | Yoga | Mimamsa | Advaita Vedanta | Vishishtadvaita | Dvaita | Carvaka | Logik | Idealisme
Falsafah Jainisme Anekantavada
Falsafah Budhisme Shunyata
Ahli falsafah Gautama | Patanjali | Yajnavalkya | Kanada | Kapila | Jaimini | Vyasa | Nagarjuna | Madhavacharya | Kumarajiva | Padmasambhava | Vasubandhu | Adi Shankara| Ramanuja| Katyayana | Lebih...
Teks Sutra Yoga | Sutra Nyaya | Sutra Vaiseshika | Sutra Samkhya | Sutra Mimamsa | Sutra Brahma | Mūlamadhyamakakārikā | Lebih...