Jesselton

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Jesselton merupakan nama lama kepada Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah. Kota ini terletak di bahagian pantai barat laut negeri Sabah, Borneo, Malaysia.

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Pada akhir 1882, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (BNBCC) telah mengasaskan petempatan di Pulau Gaya sebagai pangkalan untuk menjajah Borneo Utara. Pada 1897, Mat Salleh dan orang Bajau telah menyerang dan membakar petempatan ini. [1] Akibatnya, pihak British mengalihkan pusat pemerintahan ke sebuah perkampungan nelayan di tanah besar di persisiran Pantai Barat Sabah yang dipanggil "Gentisan" atau "Api-Api". Petempatan tersebut bertukar nama kepada Jessel Town atau Jesselton sempena memperingati Sir Charles Jessel.

Apabila Sandakan, yang pada waktu itu merupakan ibu negeri Borneo Utara, musnah teruk dalam Perang Dunia Kedua, pentadbiran British telah dipindahkan ke Jesselton. Akibat tidak mampu menanggung kos pembinaan semula yang tinggi, Borneo Utara diletakkan di bawah jajahan British pada Julai 1946.[2]

Jesselton kemudiannya bertukar nama kepada "Kota Kinabalu" pada 22 Disember 1967, iaitu 4 tahun selepas Sabah menyertai gagasan Malaysia yang baru.[3]

Perkembangan awal[sunting | sunting sumber]

Setelah Jesselton dibangunkan pada tahun 1899, BNBCC telahpun mula melakukan kerja-kerja untuk membangunkan Jesselton. Kerja-kerja tersebut bermula dengan kerja-kerja untuk membersihkan tanah sebagai tapak mendirikan bangunan-bangunan kerajaan serta beberapa deret kedai dan sebagainya. Kerja-kerja pertama tersebut dilakukan pada 9 November 1899, bermula dengan kerja tersebut, BNBCC telah giat melakukan beberapa kerja-kerja memajukan Jesselton sesuai dengan status Jesselton yang merupakan pusat pentadbiran BNBCC di Pantai Barat.

Kerja-kerja pembinaan benteng-benteng untuk menghalang ombak, jeti dan bangunan-bangunan kerajaan telah dijalankan. Dalam tahun yang sama, BNBCC juga telah mengarahkan Haynes untuk memulakan kerja-kerja pembinaan bangunan pentadbiran di Jesselton serta lot-lot kedai. Ini selari dengan pembinaan landasan kereta api yang menuju ke Putatan, Jesselton juga telah dilengkapi dengan ibu pejabat Jabatan Kereta Api bagi menyelaraskan pentadbiran yang berkaitan dengan kereta api. Seterusnya jalan raya yang memudahkan hubungan Jesselton dengan tempat-tenmpat lain seperti Daerah Putatan, Manggatal dan bahagian pedalaman telah mula dijalankan. Dengan itu, awal tahun 1900, pekedai-pekedai dari Gantian telah mula berpindah ke Jesselton. Justeru itu, bermula era ini sejarah pembangunan dan perancangan bandar Jesselton telah bermula dengan teratur.

Sehubungan dengan itu, pada Mei 1900, Penguasa Kerja Raya, E.A. Pavitt telah menyediakan pelan bandar bagi Jesselton. Sejajar dengan itu, Pesuruhjaya Tanah telah menyediakan 17 nama dan pemetaan tanah telah dilakukan oleh kedua-dua pegawai tersebut. Kemudian, beberapa projek telah dijalankan bagi membangunkan Jesselton. Di antara projek utama yang terkandung dalam pelan tersebut adalah berkaitan dengan pembinaan bangunan-bangunan yang diperlukan oleh jurutera-jurutera kereta api dan pekerja-pekerja buruh yang berjumlah 3000 orang di Jesselton. Oleh yang demikian, dengan terlaksananya pelan perbandaran Jesselton, proses perniagaan telah bermula dengan rasminya pada 10 November 1900.

Sejajar dengan tindakan BNBCC meletakkan Jesselton sebagai pusat pentadbiran bagi residensi Pantai Barat, daerah-daerah sekitarnya seperti Papar, Putatan, Likas, Inanam, Manggatal, Telipok dan seumpanya telah tertumpuh kepada bandar ini. Bahkan, para pedagang asing juga telah berminat berkunjung ke pelabuhan Jesselton untuk tujuan berdagang. Ini membawa kepada kedudukan Jesselton yang menjadi pelabuhan BNBCC terpenting selepas pelabuhan Sandakan. Dengan ini, situasi ini telah mempercepatkan lagi proses perbandaran Jesselton.

Demi melengkapkan bandar ini, Malcolm iaitu seorang pengasas Royal Institution of International Affair telah meneruskan projek Ridgeway. Projek ini adalah berkaitan dengan pembinaan hubungan radio dan telegraf antara Jesselton dan Sandakan untuk memudahkan hubungan antara kedua-dua bandar ini. Projek ini dijalankan pada 1914.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. "Kota Mat Salleh". Sejarah Malaysia. Perpustakaan Negara Malaysia. http://sejarahmalaysia.pnm.my/portalBI/detail.php?section=sm04&spesifik_id=312&ttl_id=49. 
  2. "Sejarah Moden Sabah 2". Kerajaan Negeri Sabah. http://www.sabah.org.my/bm/kenali_sabah/sejarah_sabah_2.asp. 
  3. "Nama Ibu Kota Negeri Sabah Ditukar Daripada Jesselton Kepada Kota Kinabalu". Hari Ini Dalam Sejarah. Arkib Negara Malaysia. 22 Disember 2003. http://hids.arkib.gov.my/doc/2003/dis/22_12_1967_2003.htm. 

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. J.M. Dinwiddie, The Eraly History of Jesselton, hal. 32.
  2. Kota Kinabalu Menjadi Perbandaran, hal. 13.
  3. King Chui Aik, Proses Perancangan Bandar: Satu Kajian Perancangan Kota Kinabalu, hal. 75-76.
  4. Tregonning K.G, North Borneo Under British Company Chartered, 1958, hal. 69-70.
  5. Perkembangan Awal Jesselton, nukilan Musa Muhamman.