Kampung Dato' Godam, Pusa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kampung Dato' Godam, Pusa merupakan sebuah kampung, di Daerah Pusa, Sarawak, timur Malaysia. (Latitud: 1° 35' N Longitud: 111° 15' E). Kampung Dato' Godam terletak kira-kira 2 kilometer dari Pekan Pusa.

Sejarah dan Nama Asal.[sunting | sunting sumber]

Nama asal bagi lokaliti Kampung Dato' Godam adalah Sinyayang Ijok yang berteraskan nama sebuah sungai yang terdapat dalam Kampung Dato' Godam itu sendiri iaitu Sungai Ijok. Penemuan nama asal ini berdasarkan catatan yang dijumpai oleh penulis sendiri dalam tahun 2005 pada sebuah dokumen asal Allahyarham Hj Sejali Las (Anjang Ason) yang merujuk kepada nama Sinyayang Ijok kepada lokaliti berkenaan. Pemilihan nama Kampung Dato' Godam dipercayai dipilih pada awal abad 20 oleh pemimpin-pemimpin tempatan ketika itu dan mengambil nama seorang tokoh terkenal iaitu Dato' Godam.

Dato' Godam, keturunan Bangsawan dari Minang.[sunting | sunting sumber]

Dato' Godam atau Raja Umar Bin Datuk Bendahara Harun adalah seorang putera kepada bendahara negeri Pagar Ruyung, Minangkabau yang datang merantau ke Borneo sekitar tahun 1690 – 1710 semasa era pemerintahan Sultan Nasruddin (Sultan Brunei ke-15). Ayah beliau, Datuk Bendahara Harun (Bendaro Harun) bin Datuk Bendahara Ismail merupakan anggota “Basa Ampek Balai” yang menjalankan pentadbiran kerajaan bersama-sama Raja Alam, Raja Adat dan Raja Ibadat. Ibu Dato' Godam pula ialah seorang wanita Belanda iaitu anak kepada Jan Van Groenewegen yang ditugaskan di pejabat VOC sebagai Residen Belanda di Padang, Sumatera Barat pada tahun 1662. Datuk Bendahara Harun dikatakan berketurunan Raja Suran yang merupakan dari susur galur Iskandar Zulkarnain.

Dato' Godam datang ke Borneo untuk berdagang setelah dipertikaikan pertabalan menjadi pengganti ayahnya kerana ibunya bukan keturunan diraja Minangkabau.

Makam Dato' Godam boleh diziarahi yang berada di Lorong 6 Skim Penempatan Semula Kalok bersama-sama dengan makam Temenggung Abdul Kadir dan makam Dayang Isah Tandang Sari.

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Terdapat sebuah kilang pembuatan Sago, iaitu bahan mentah bersumberkan Pokok Rumbia yang menjalankan operasi dari tahun 1990-an di tepi Sungai Undai. Kebanyakan penduduk Kampung Dato' Godam bekerja sebagai penjawat awam, ahli perniagaan, pesara kerajaan dan bekerja sendiri. Aktiviti perniagaan Kafe/Kedai Makan aktif beroperasi di Kampung Dato' Godam yang beroperasi dari jam 6 petang hingga ke tengah malam. Kedai-kedai makan ini menjadi tumpuan penduduk setempat disamping menjadi tempat persinggahan bagi individu atau pengembara yang menggunakan Laluan Persisir Laut Sarawak untuk berhenti rehat dan makan. Perniagaan menjual kuih tradisional dan sumber kampung juga didapati aktif sepanjang jalan Kampung Dato' Godam pada tempoh siang hari. Aktiviti 'Homestay' dan rumah sewa juga bergiat aktif dari tahun ke tahun, kerana lokasi Kampung Dato' Godam yang merangkumi beberapa fasiliti kerajaan, akses kepada sumber bekalan air paip yang kuat disamping kemudahan bank, pasar, tempat makan yang dekat termasuklah terletaknya tiang pencawang/pemancar telekomunikasi utama bagi Daerah Pusa.

Infrastruktur dan Fasiliti.[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Pusa merupakan sebuah fasiliti pendidikan yang terletak dalam Kampung Dato' Godam, Pusa. SMK Pusa siap dibina dan dibuka pada tarikh 27 Julai 1986 yang menelan kos $7.5 juta pada ketika itu. SMK Pusa merupakan fasiliti pendidikan sekunder untuk semua anak-anak di Daerah Pusa yang menyambung pelajaran ke peringkat menengah sebelum pembahagian pelajar mengikut lokaliti selepas SMK Beladin dibuka pada tahun 2006.


Klinik Kesihatan Pusa merupakan fasiliti kesihatan yang terletak di Kampung Dato' Godam Pusa. Klinik Kesihatan Pusa merupakan Klinik Kesihatan Tahap 3 yang menyediakan perkhidmatan pesakit luar, klinik ibu dan anak, klinik pergigian termasuk unit Farmasi dan unit Makmal yang membantu dalam memberi rawatan kepada pesakit.


Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Pusa atau nama ringkasnya SJK Chung Hua Pusa, merupakan sebuah Sekolah jenis kebangsaan Cina yang terletak di dalam Kampung Dato' Godam, sebelum ini SJK Chung Hua Pusa beroperasi di fasiliti lama di Kampung Hilir Pusa dan kemudiaannya berpindah ke banggunan baru di Kampung Dato' Godam, Pusa.


Surau Nahdatul Hijrah, Kampung Dato' Godam Pusa merupakan pusat ibadah dan keagamaan Islam yang diselia Pejabat Agama Islam Betong yang terletak di pinggir jalan utama Pusa. Surau ini telah dirasmikan oleh Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak pada 6 September 2001 yang ketika itu beliau menjawat sebagai Menteri Pertahanan Malaysia. Surau ini juga menjadi tempat persinggahan yang kerap bagi pengembara dan individu yang bermusafir yang menggunakan laluan Persisir Laut Sarawak.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebuah kampung yang terletak di sebuah negeri yang berbilang kaum, Kampung Dato' Godam juga merangkumi kepelbagaian penduduk iaitu Melayu dalam 90 peratus, Cina 5 %, Melanau 2%, Iban 2% dan lain-lain (Pakistan) 1%. Peniaga-peniaga Pakistan telah bermastautin di Daerah Pusa sejak dari tahun 2000 lagi.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Pendidikan merupakan isu penting yang diutamakan oleh mana-mana individu atau organisasi yang memahami kepetingan ilmu dalam membentuk modal insan. Tidak lepas dari itu, sebagai sebuah kampung, dimana terletaknya sebuah fasiliti pendidikan sekunder, anak-anak kampung Dato' Godam secara tradisinya paling kurang akan mendapat Sijil Pelajaran Malaysia untuk peringkat terendah dalam pendidikan. Seperti anak-anak muda Malaysia di tempat lain, ada pemuda-pemudi yang berjaya menyambung pelajaran di menara gading di universiti-universiti awam negara dan ada juga anak Kampung Dato' Godam yang berjaya menyambung pelajaran hingga ke Amerika Syarikat.