Kesihatan Orang Asli

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kesihatan Orang Asli di Malaysia merujuk kepada tahap kesihatan kanak-kanak, kekurangan zat makanan, ibu mengandung, penyakit berjangkit dan sebagainya. 80 % Orang Asli hidup di bawah garis kemiskinan.

Orang Asli terancam akibat penempatan semula, pembalakan, perlombongan, pembinaan empangan, pembangunan padang golf, skim peladangan, pengumpulan semula dan asimilasi ke dalam masyarakat arus perdana.

Kerajaan negeri tidak mengiktiraf hak warisan Orang Asli. Mereka semakin kehilangan tanah . Kawasan penempatan mereka semakin dimusnahkan. Hampir semua Orang Asli tidak memiliki geran tanah. Tanah mereka dengan mudah ditukar kepada pembangunan. Dasar kerajaan ialah mengumpul dan menempatkannya semula mereka untuk menanam tanaman kontan dan makanan. Tekanan terhadap tanah dan kekurangan bantuan daripada kerajaan negeri serta sokongan telah membawa kepada meningkatkan kesukaran hidup mereka.[1]

Statistik[sunting | sunting sumber]

  1. Pada 1980-an jangka hayat ketika lahir dalam kalangan Orang Asli Semai ialah 35 tahun. (Untuk Malaysia Barat 68-72 tahun).
  2. Orang Asli mempunyai insiden tuberculosis dua kali daripada purata kebangsaan antara 1951 hingga 1971. Menjelang 1995 kadar bagi kanak-kanak Orang Asli ialah tiga kali purata di negeri Perak.
  3. Pada 1991 dan 1992, Orang Asli merupakan purata 48% daripada semua jangkitan malaria yang direkodkan di Malaysia Barat (kurang 1% daripada penduduk). Dalam beberapa tahun yang lalu mereka mempunyai purata lebih 70% daripada kes itu.
  4. Kematian bagi Orang Asli ialah 1% setahun bagi tempoh 1984-87, dua kali lebih tinggi da[ripada purata Malaysia Barat (0.5%) .
  5. Kadar kematian bayi ialah 5.2%, lebih daripada tiga kali ganda purata Malaysia Barat (1.6%).
  6. Dalam kalangan wanita Malaysia yang bersalin di rumah pada 1994, 42 meninggal; 60% daripadanya (25) merupakan Orang Asli.
  7. Kajian 1995 menunjukkan wanita Orang Asli merupakan kumpulan orang dewasa yang paling kekurangan zat di Malaysia Barat, dengan 35% daripada mereka mengalami kekurangan protein dan tenaga.
  8. Anemia meluas dalam kalangan wanita Orang Asli. Dalam satu kajian, wanita Orang Asli Temuan mempunyai purata paras haemoglobin 9.9 g/dl (gm/100ml) jauh lebih rendah daripada paras yang diterima iaitu 12-15 g/dl.
  9. 23% hingga 68% daripada kanak-kanak Orang Asli mengalami kekurangan berat badan, manakala 41% hingga 80% terencat dalam pertumbuhan mereka.
  10. Ujian serological juga mendedahkan bahawa 82% daripada Orang Asli menunjukkan pendedahan terhadap penyakit yang berkait dengan virus dan demam denggi.
  11. Pada 1994, penyakit kusta adalah 23 kali ganda menjadi wabak dalam kalangan Orang Asli berbanding penduduk umum.
  12. Pada 1990, hanya 67 daripada 774 kampung Orang Asli (9%) mempunyai klinik perubatan.


Malangnya, komuniti Orang Asli tidak mendapat perhatian dari kerajaan walaupun ada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, (JHEOA).Orang Asli paling tidak sihat di Malaysia. Mereka terpinggir dalam masyarakat- jauh dari kehidupan moden. Kekurangan zat makanan merupakan masalah paling serius.

Kesihatan wanita Orang Asli[sunting | sunting sumber]

Wanita Orang Asli merupakan kumpulan orang dewasa yang paling kekurangan zat makanan di Malaysia Barat. Puncanya ialah kehilangan tanah pertanian dan tempat mencari makan, pencemaran sungai di mana-mana, diet yang tidak mencukupi; paras dan kekerapan mengalami jangkitan penyakit, jangkitan usus dan diskriminasi.

Wanita Orang Asli mempunyai paras kekurangan folate dan zat besi yang tinggi. Mereka berhadapan masalah cacing dan malaria. Tahap khasiat pemakanan sangat rendah dan menjejaskan kesihatan wanita yang mempunyai anak kecil dan kanak-kanak.

Sumber makanan ialah makanan di dalam hutan. Segelintir daripada mereka menjadi petani an pemburu kecil-kecilan. Tetapi kini,sumber makanan semakin merosot dan mereka terpaksa membeli makanan moden seperti gula, tepung, susu pekat manis, makanan dalam tin, dan minyak masak yang semuanya mengakibatkan pemakanan yang tidak sihat, tidak seimbang dan sukar untuk diperolehi.

Penyakit anemia merupakan penyebab ketara penyakit dalam kalangan wanita Orang Asli; dan ibu-ibu mengandung serta goiter (keadaan bengkak pada kelenjar tiroid) dalam kalangan kanak-kanak tidak melihat sebarang perubahan antara 1951 dan 1995.

Pada 1987, didapati 54 % mengalami kekurangan berat badan dan 66 % terencat tubuh badan. Kanak-kanak mereka kerap terencat iaitu 44 % dalam kalangan bayi hingga 80 % dalam kalangan kanak-kanak berusia 2-6 tahun.

Status pemakanan kanak-kanak Orang Asli amat sangat berbahaya. Cacing usus dan penyakit lain merebak dan berkembang. Kanak-kanak Orang Asli berdepan kecacatan yang teruk, perkembangan fizikal, intelektual dan sosial mereka terjejas.

Hospital Orang Asli Gombak[sunting | sunting sumber]

Penubuhan Hospital Orang Asli di Gombak tidak menghasilkan banyak perubahan. Hospital ini dibina pada 1959 dari kayu sahaja dan tidak mampu menampung pesakit Orang Asli dari seluruh negara. Kakitangan hospital masih kekurangan kepakaran dalam pelbagai disiplin perubatan.

Rungutan terhadap perkhidmatan hospital[sunting | sunting sumber]

Dr Selva Vathany Kanapathi Pillai mendedahkan penyelewengan dan penggelapan sumber oleh pihak berkuasa hospital di Hospital Gombak. Pada 11 Februari 2010, sidang media dibuat bersama Ragunath Kesavan presiden Majlis Peguam Malaysia dan Dato’ Ambiga Sreenevasan bekas presiden Majlis Peguam.

  1. Bantuan susu untuk Orang Asli turut diberi kepada orang lain.
  2. Tiada bekalan perubatan dan makanan yang cukup daripada hospital ini.
  3. Hospital diuruskan oleh Kementerian Kesihatan atau Kementerian Luar bandar dan wilayah.
  4. Pentadbiran tidak profesional menyebabkan berlakunya amalan kroni.
  5. 90 % staf hospital bukan dari kalangan Orang Asli. Oleh itu mereka tidak memahi masalah sebenar Orang Asli. Staf di kalangan Orang Asli memerlukan latihan dan sokongan.

Majlis Peguam Malaysia menyeru kerajaan mengadakan siasatan menyeluruh untuk memastikan kebenaran perkara ini. Jika benar, pembetulan segera hendaklah dilakukan. [2]

Pendidikan kesihatan[sunting | sunting sumber]

Pendidikan Kesihatan yang sempurna tidak ditangani oleh birokrasi perubatan pada masa ini untuk Orang Asli. Ketua Hospital Gombak melaporkan kesihatan Orang Asli tidak mendapat layanan yang baik oleh ‘sikap kakitangan’ di kemudahan perubatan itu.

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli[sunting | sunting sumber]

Menurut undang-undang Malaysia, seluruh aspek kehidupan mereka ‘diuruskan’ oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Akibatnya ruang dan peluang mereka untuk menyuarakan hal ehwal dan kehidupan mereka sendiri, terhad.

Hanya masyarakat Orang Asli yang mengetahui masalah mereka dengan baik. Mobilisasi sokongan yang aktif dan penglibatan komuniti adalah menjadi asas kepada penambahbaikan kesihatan mereka. [3]


Rujukan[sunting | sunting sumber]