Mahkamah daerah di Amerika Syarikat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Peta sempadan mahkamah daerah di Amerika Syarikat di dalam setiap satu daripada 13 perlitaran mahkamah rayuan Amerika Syarikat. Semua mahkamah daerah terletak di dalam sempadan satu bidang kuasa, biasanya dalam satu negeri (garisan yang lebih tebal). Sesetengah negeri mempunyai lebih daripada satu mahkamah daerah (garis putus-putus menandakan bidang kuasa tersebut)

Mahkamah daerah ialah mahkamah perbicaraan bagi badan kehakiman persekutuan di Amerika Syarikat (AS). Terdapat satu mahkamah daerah untuk setiap daerah kehakiman persekutuan, yang masing-masing meliputi satu negeri atau, dalam beberapa kes, sebahagian negeri. Setiap mahkamah daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu bangunan mahkamah, dan banyak daerah mempunyai lebih daripada satu. Keputusan mahkamah daerah boleh dirayu kepada mahkamah rayuan untuk perlitaran tempat mereka tinggal, kecuali untuk kes khusus tertentu yang dirayu kepada Mahkamah Rayuan AS untuk Perlitaran Persekutuan atau terus ke Mahkamah Agung.

Mahkamah daerah ialah mahkamah undang-undang, ekuiti dan admiralti, dan boleh mendengar kedua-dua kes sivil dan jenayah. Tetapi tidak seperti mahkamah negeri AS, mahkamah daerah persekutuan merupakan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang terhad dan hanya boleh mendengar kes yang melibatkan pertikaian antara penduduk di negeri yang berbeza, persoalan undang-undang persekutuan atau jenayah persekutuan.

Asas undang-undang[sunting | sunting sumber]

Tidak seperti Mahkamah Agung AS, yang ditubuhkan secara jelas oleh Perkara III Perlembagaan, mahkamah daerah ditubuhkan oleh Kongres menurut kuasa yang diwakilkan oleh Perkara III[nota 1] melalui penggubalan statut persekutuan, Akta Kehakiman 1789. Tiada keperluan perlembagaan bahawa mahkamah daerah wujud sama sekali.[1]

Semasa penggubalan dan pengukuhsahan Perlembagaan, beberapa penentang badan kehakiman persekutuan yang kuat berhujah bahawa mahkamah persekutuan harus dihadkan kepada Mahkamah Agung, yang akan mendengar rayuan hanya daripada mahkamah negeri. Dalam erti kata lain, mahkamah negeri akan dianggap sebagai tribunal persekutuan di bawah Perkara I Perlembagaan untuk tujuan mendengar pertikaian di bawah undang-undang persekutuan, tetapi hakim mereka tidak akan menjadi pegawai pemerintah persekutuan.[1] Edward Carrington menyokong kedudukan ini di dalam surat kepada James Madison, dan ia juga dibincangkan oleh Alexander Hamilton dalam Federalist No. 81.[1] Walau bagaimanapun, pandangan ini tidak diguna pakai dan Kongres pertama mewujudkan sistem mahkamah daerah yang masih digunakan pada hari ini.[1]

Apabila Kehakiman 1789 itu mula-mula diluluskan, terdapat tiga belas daerah diwujudkan di antara sebelas negeri yang telah meratifikasi Perlembagaan pada ketika itu. Apabila Carolina Utara dan Rhode Island mengundi untuk mengukuhsah, satu daerah telah diwujudkan untuk setiap daripadanya, menjadikan bilangan daerah kepada lima belas.

Wilayah (kawasan pulauan) Guam, Kepulauan Mariana Utara, dan Kepulauan Virgin Amerika Syarikat masing-masing mempunyai satu mahkamah wilayah; mahkamah ini dipanggil "mahkamah daerah" dan menjalankan bidang kuasa yang sama seperti mahkamah daerah,[2][3] tetapi berbeza daripada mahkamah daerah di mana mahkamah wilayah itu merupakan mahkamah Perkara IV, dengan hakim yang berkhidmat dalam tempoh sepuluh tahun berbanding hakim mahkamah Perkara III dengan tempoh seumur hidup seperti hakim mahkamah daerah. [3]

Samoa Amerika tidak mempunyai mahkamah daerah atau mahkamah wilayah persekutuan, jadi perkara persekutuan di sana dihantar sama ada ke Mahkamah-mahkamah Daerah Columbia atau Hawaii.[4] Filipina sebelum ini merupakan sebahagian daripada Amerika Syarikat tetapi tidak pernah menjadi sebahagian daripada sistem mahkamah persekutuan AS.[5]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Terdapat 89 daerah di 50 negeri, dengan sejumlah 94 daerah termasuk wilayah.[6] Terdapat sekurang-kurangnya satu daerah kehakiman untuk setiap negeri, Daerah Columbia dan Puerto Rico.

Setiap negeri mempunyai antara satu hingga empat daerah. Bagi negeri yang mempunyai berbilang daerah, mereka dinamakan secara geografi. Negeri-negeri yang mempunyai dua daerah, semuanya diberikan penetapan sama ada Utara–Selatan atau Barat–Timur. Kebanyakan negeri dengan tiga daerah menambah Daerah Tengah, dengan dua pengecualian: Illinois mempunyai Daerah Pusat dan bukannya Daerah Tengah manakala Oklahoma mempunyai Daerah-daerah Utara, Barat dan Timur. Daripada tiga negeri dengan empat daerah, New York dan Texas menggunakan kesemua empat penetapan arah, manakala California mempunyai Daerah Pusat dan tiada Daerah Barat.

Mahkamah perbicaraan persekutuan lain[sunting | sunting sumber]

Terdapat juga mahkamah perbicaraan persekutuan lain yang mempunyai bidang kuasa terhadap jenis kes-kes tertentu di seluruh negara, tetapi mahkamah daerah juga mempunyai bidang kuasa sejajar ke atas kebanyakan kes tersebut dan mahkamah daerah adalah satu-satunya yang mempunyai bidang kuasa ke atas kes jenayah awam.

Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat menangani kes yang melibatkan isu-isu perdagangan antarabangsa dan kastam. Mahkamah Tuntutan Persekutuan Amerika Syarikat mempunyai bidang kuasa eksklusif terhadap kebanyakan tuntutan untuk ganti rugi wang terhadap Amerika Syarikat, termasuklah pertikaian mengenai kontrak persekutuan, pengambilan harta persendirian yang menyalahi undang-undang oleh pemerintah persekutuan dan saman untuk kecederaan di harta tanah persekutuan atau oleh kakitangan persekutuan. Mahkamah Cukai Amerika Syarikat mempunyai bidang kuasa ke atas penentuan pra-penilaian cukai yang dipertikaikan.

Catatan[sunting | sunting sumber]

Catatan kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Perkara III Perlembagaan memperuntukkan bahawa "kuasa kehakiman Amerika Syarikat, hendaklah terletak pada . . . mahkamah rendah yang mungkin ditetapkan dan ditubuhkan oleh Kongres dari semasa ke semasa." (Asal: Article III of the Constitution provides that the "judicial power of the United States, shall be vested in . . . such inferior courts as the Congress may from time to time ordain and establish.")

Petikan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d Pfander, James (2009). One Supreme Court: Supremacy, Inferiority, and the Judicial Department of the United States (dalam bahasa Inggeris). Oxford: Oxford University Press. m/s. 83. ISBN 9780195340334. Dicapai pada 11 Ogos 2023.
  2. ^ Article III Judges Division (1 Ogos 2001). "An Introduction for Judges and Judicial Administrators in Other Countries" (PDF). The Federal Court System in the United States (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Pentadbiran Mahkamah Amerika Syarikat. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 13 Mei 2009. Dicapai pada 21 Jun 2009.
  3. ^ a b "Territorial Courts". History of the Federal Judiciary (dalam bahasa Inggeris). Pusat Kehakiman Persekutuan. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Mei 2009. Dicapai pada 21 Jun 2009.
  4. ^ "American Samoa: Issues Associated with Some Federal Court Options" (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Kebertanggungjawaban Pemerintah A.S. 18 September 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Oktober 2019. Dicapai pada 28 April 2020.
  5. ^ Go, Julian (2003). "Introduction". Dalam Go, Julian; Foster, Anne L. (penyunting). The American Colonial State in the Philippines: Global Perspectives (dalam bahasa Inggeris). Durham: Duke University Press. m/s. 1–42. ISBN 9780822384519.
  6. ^ "U. S. Courts | Frequently Asked Questions" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Mei 2009. Dicapai pada 26 Mei 2009.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]