Muhammad bin Idris al-Syafii

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Cendekiawan Islam
Zaman Kegemilangan Islam
Nama: Muhammad bin Idris as-Syafii
Gelaran: Imam Syafii
Lahir: 767
Wafat: 820
Bidang: Fiqah,
Idea utama: Mazhab Syafii
Pengaruh: Imam Malik


Muhammad bin Idris al-Syafii, juga dikenali sebagai Imam Syafii (ejaan lain: Imam Syafie) adalah ahli fiqah Islam yang terkemuka dalam sejarah Islam. Beliau adalah pengasas kepada mazhab Syafii, salah satu daripada mazhab Islam yang banyak diikuti oleh penganut agama Islam di India, Indonesia dan Malaysia.

Riwayat hidup[sunting | sunting sumber]

Imam Syafie dibesarkan di Hijaz, tanah asal Ahli Sunah Waljamaah. Pada awalnya, beliau berpegang kepada ajaran Imam Malik sebelum berhijrah ke Iraq dan di sana beliau didedahkan kepada pentaakulan logik Islam yang diamalkan oleh ahli fiqah Iraq. Setelah itu, Imam Syafii berhijrah ke Mesir di mana beliau memperkenalkan pemikiran, sistem pentaakulan dan ajaran beliau yang pada hari ini dikenali sebagai mazhab Syafie. Pengajian beliau dalam ilmu fiqah terbahagi kepada tiga peringkat. Peringkat permulaan ialah ketika beliau di Makkah dan Madinah, Hijjaz. Setelah dilatih untuk menjadi ahli fiqah yang mengutamakan Sunnah nabi, beliau dihantar ke Iraq. Di Iraqlah bermula peringkat kedua pengajian beliau, dengan mendapat pendidikan mengenai pentaakulan dalam menentukan syaria Islam. Peringkat terakhir adalah ketika beliau di Mesir dan pengasasan mazhab Syafii.

Imam Syafii dilahirkan sama ada di Gaza, Palestin atau di sebuah pekan kecil berdekatan dengan Asqalan atau Askelon di Turki atau Syria (Asqalan ketika zaman itu merupakan sebahagian daripada Syria). Selepas kemangkatan bapa beliau, keluarganya berhijrah ke Palestin bersama-sama dengan Bani Yaman, yang merupakan satu keturunan ibu beliau. Ketika berumur 10 tahun, beliau berhijrah sekali lagi ke Makkah. Imam Syafii mula mempelajari al-Quran ketika berumur tujuh tahun dan mula mempelajari dan mengingati kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik pada umur 10 tahun. Ketika berumur 15 tahun, beliau diberi pengiiktirafan untuk mengajukan pendapat beliau di dalam bidang fiqah.

Bapa beliau berasal daripada bani Quraisy, dan nenek moyang Imam Syafii adalah al-Mutallib adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Bani Quriasy merupakan penyokong Nabi Muhammad S.A.W setelah Perang Badar. Sejarah keturunan beliau memberikan beliau martabat dan mungkin juga menjadi sumber inspirasi untuk beliau mempertahankan ajaran Sunah.

Membesar di kalangan puak Badwi, Imam Syafii kemudiannya kembali ke Makkah dan memulakan pengajian syaria beliau dengan Muslim bin Khalid al-Zanji, Mufti Mekah ketika itu, Sufian bin Uyaina, dan lain-lain lagi. Walaupun telah diiktiraf untuk menjadi hakim, beliau membuat keputusan untuk meneruskan pengajian dengan Imam Malik. Imam Syafii meinggalkan Mekah ke Madiah untuk bertemu dengan Imam Malik, dan umur beliau ketika itu ialah 22 tahun. Satu riwayat menyatakan beliau pergi menemui gabenor Madinah dengan berbekalkan surat pengenalan dari gabenor Makkah dan meminta dipertemukan dengan Imam Malik. Pada mulanya gabenor Madinah itu agak keberatan tetapi akhirnya dia menemani Imam Syafii pergi ke rumah Imam Malik. Imam Malik kagum dengan kepintaran Imam Syafii lalu Imam Malik membenarkan Imam Syafii mempelajari al-Muwatta' di bawah bimbingannya. Imam Syafii kekal tinggal di Madinah sehinggalah Imam Malik meninggal dunia. Keilmuan Imam Shafii menarik perhatian gabenor Yaman yang sedang mengerjakan haji di Makkah. Ketika itu Imam Syafii berusia 30 tahun. Gabenor Yaman mempelawa Imam Syafii untuk menjadi qadhi di Yaman. Kerjaya Imam Syafii berjalan dengan baik. Bagaimana pun, perkhidmatan Imam Syafii ini berjangka hayat pendek. Terbukti Imam Syafii adalah seorang qadhi yang adil, tetapi beliau tidak lama kemudian tersangkut dalam pertelingkahan dan perselisihan tempatan yangbukan sahaja menyebabkan Imam Syafii bukan sahaja kehilangan jawatan malah diheret dengan rantai ke Iraq atas tuduhan menyokong Imam Zaydiyyah Yahya ibn Abdullah yang menjadi saingan kepada khalifah Abbasiyyah. Imam Syafii dibawa ke hadapan khalifah Harun al-Rashid di al-Raqqa, Iraq bersama-sama tawanan-tawanan lain pada tahun 187H/803M. Tawanan-tawanan lain dihukum bunuh tetapi Imam Syafii diampunkan setelah beliau berjaya membuktikan kesetiaannya kepada khalifah. Dikatakan bahawa faqih mazhab Hanafi yang terkenal, Muhammad ibn al-Hasan al-Shaybani yang hadir ketika itu juga membela Imam Syafii. Dikatakan khalifah Harun berasa sukacita dengan penghujahan Imam Syafii dan kemudiannya menjadi penaung beliau. Selepas insiden ini, Imam Syafii makin rapat dengan al-Shaybani dan makin giat menumpukan kepada pembelajaran fiqah dan tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan kerajaan.

Pada tahun 188H/804M, Imam Syafii meninggalkan Iraq dan melalui Harran dan Syria lalu ke Makkah. Imam Syafii kembali ke Baghdad pada tahun 194H/810M. Pada tahun 198H/814M, Imam Syafii meninggalkan Iraq lalu menuju ke Mesir atas jemputan Abdullah ibn Musa. Pada tahun itu juga al-Ma'mun menjadi khalifah setelah menewaskan saudaranya al-Amin setahun yang lalu.

Di Mesir, Imam Syafii mempunyai hubungan yang baik dengan gabenor Mesir. Di Mesir, beliau mengabdikan diri pada pengajaran dan penulisan. Antara murid-muridnya di Mesir adalah al-Rabi' ibn Sulayman al-Muradi, Abu Ya'qub al-Buwayti dan Abu Ibrahim Ismail ibn Yahya al-Muzani. Mereka ini banyak mencatat kata-kata Imam Syafii. Di akhir hayat Imam Syafii, beliau terlibat dalam perdebatan dengan seorang pengikut mazhab Maliki di Mesir yang bernama Fityan. Fityan yang kalah dalam perdebatan dengan Imam Syafii berasa tidak puas hati lalu mencaci Imam Syafii. Gabenor yang menjadi penaung Imam Syafii mengarahkan Fityan diarak di jalan-jalan sambil memegang sekeping papan yang bertulis 'inilah hukuman kerana mencaci keturunan saudara terdekat Nabi'. Marah dengan hukuman itu, teman-teman Fityan menyerang Imam Syafii seusai beliau mengajar. Imam Syafii cedera parah lalu dibawa ke rumahnya di Fustat. Beberapa hari kemudian iaitu 30 Rejab 204H/820M, beliau meninggal dunia. Beliau dimakamkan di perkuburan Bani Abd al-Hakam berdekatan Gunung al-Muqattam. Pada tahun 608H/1212M, sultan Ayyubiyyah Mesir, al-Malik al-Kamil membina sebuah kubah di atas makam Imam Syafii yang masih wujud sehingga ke hari ini dan sentiasa dilawati pengunjung.