Pak Pandir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pak Pandir merupakan salah satu bentuk Sastera Rakyat Melayu . Ia merujuk kepada seorang lelaki yang bernama Pak Pandir yang mempunyai sifat yang lurus bendul. Dia mempunyai seorang isteri yang terpaksa menahan segala perbuatan bendulnya. Kisahnya menceritakan kejadian yang menimpa diri dan keluarganya.

Cerita Pak Pandir telah dimasukkan ke dalam buku bertajuk "Cherita Jenaka" yang turut memuatkan beberapa cerita-cerita rakyat popular yang lain seperti Pa' Kadok, Pa' Pandir, Lebai Malang, Pa' Belalang, Si-Lunchai oleh Sir R. O. Winstedt dan A. J. Sturrock pada tahun 1908. Cetakan ini diulang cetak sebanyak beberapa kali dengan edisi ketiga pada tahun 1914 dengan 159 halaman.[1] [2]

Cerita lelucuan

Amat menarik mengenai cerita lelucuan adalah ia merupakan satu genera cerita yang terdapat dalam banyak kebudayaan sehinggakan zaman moden. Sebagai contoh Don Quixote dalam kebudayaan Sepanyol, 3 Stooges dalam budaya Amerika Syarikat, Mr Bean dalam budaya British.

Terdapat kemungkinan bahawa genera cerita sebegini merupakan satu cara manusia melepaskan ketegangan dalam kehidupan seharian, atau sebagai cara membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya mereka melakukan apa yang tersemat di dalam hati mereka. Atau satu lagi kemungkinan, ia merupakan sindiran bahawa seseorang itu tidak boleh terlalu jujur / lurus bendul sehinggakan dia diambil kesempatan oleh mereka yang berniat jahat. Walau apapun sebabnya, wujudnya genera cerita sedemikian dalam pelbagai kebudayaan menunjukkan terdapatnya satu persamaan dalam tarikan cerita lelucuan yang merentasi halangan pelbagai budaya.

Dalam budaya masyhur

Filem

  • Pak Pandir juga muncul dalam filem Magika, sebuah filem fantasi muzikal tahun 2010 yang menghimpunkan pelbagai watak cerita rakyat Melayu, dilakonkan oleh Aznil Nawawi[3]. Mak Andeh pula dilakonkan oleh Raja Azura

Rujukan

  1. ^ Raja Haji Yahya, Cherita Jenaka, iaitu Pa' Kadok, Pa' Pandir, Lebai Malang, Pa' Belalang, Si-Lunchai, ed. R.O. Winstedt & A.J. Sturrock, Singapura: Malayan Publishing House, 1908.
  2. ^ "ANTIQBOOK". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-04-23. Dicapai pada 2008-08-06.
  3. ^ Budiey (27 November 2008). "Ziana Zain Jadi Nenek Kebayan Dalam Filem Magica". Budiey. Dicapai pada 28 Januari 2022.

Pautan luar