Pengenal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Dalam bidang komunikasi penyiaran dan radio, pengenal (Bahasa Inggeris: call sign) ialah nama yang diberi kepada stesen pemancar. Di sesetengah negara, pengenal digunakan sebagai nama stesen penyiaran. Pengenal boleh ditetapkan secara rasmi oleh agensi kerajaan, secara tidak rasmi oleh individu atau pertubuhan, ataupun dikodkan secara kriptografi untuk menyamarkan identiti stesen.

Penggunaan pengenal sebagai pengenalan unik digunakan sejak zaman sistem telegraf kereta api bertalian tetap. Disebabkan cuma ada satu talian telegraf yang menghubungkan semua stesen kereta api, maka perlunya cara untuk berhubung dengan setiap satu stesen apabila menghantar telegram. Untuk menjimatkan masa, pengenal dua huruf digunakan untuk tujuan ini. Kaedah pengenal ini diwarisi oleh pengendalian radiotelegraf, apabila syarikat radio pada mulanya menetapkan pengenalan dua huruf pada radio pantai dan stesen atas kapal di laut. Agar membezakan stesen-stesen di peringkat antarabangsa, ditambah pula pengenalan syarikat satu huruf (contohnya, 'M' diikuti dua huruf untuk sebuah Stesen Marconi). Pada tahun 1912, keperluan mengenal pasti stesen-stesen yang dikendali oleh berbilang syarikat di berbilang bangsa menyeru perlunya piawaian antarabangsa; maka awalan ITU digunakan untuk mengenal pasti negara, dan huruf-huruf lain untuk stesen individu dalam negara itu.

Siri antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Awalan ITU

Pengenal antarabangsa dikeluarkan oleh agensi telekomunikasi negara kepada stesen secara rasmi dan untuk jangka masa lama. Pengenal digunakan oleh radio amatur, penyiaran, komersil, maritim dan adakalanya tentera (termasuk televisyen).

Setiap negara diberi satu set awalan berhuruf atau berangka yang ditetapkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa, dan awalan-awalan inilah sahaja yang boleh digunakan oleh stesen-stesen di sesebuah negara. Contohnya:

Peruntukan huruf pengenal terawal dilakukan di Konvensyen Radiotelegraf Antarabangsa London pada tahun 1912,[1] yang mensyaratkan bahawa pengenal setiap stesen dalam sistem antarabangsa mesti terdiri daripada tiga huruf yang boleh dibezakan daripada stesen-stesen lain. Negara-negara yang menandatangani Konvensyen tersebut diperuntukkan huruf pengenal. Ini disusuli oleh Biro Antarabangsa di Berne yang mengubah suai dan menambah penetapan huruf pengenal pada 23 April 1913 atas restu negara-negara Konvensyen tersebut.

Disebabkan penetapan pengenal terawal ini dilakukan pada 1910-an, maka pengenal-pengenal berkenaan mencerminkan struktur politik lama yang sudah lama dilupuskan. Contohnya, siri V (sempena Ratu Victoria) asalnya ditempah oleh Empayar British, padahal Great Britain sendiri ditetapkan seluruh siri B, G, dan M; sementara siri V dibahagikan dan ditetapkan mengikut jajahan dan wilayah.

Negara-negara yang baru ditubuhkan selepas 1910-an biasanya (tidak semestinya) mewarisi siri penjajah mereka, adakalanya diiringi tetapan tambahan. Pada tahun 1927, Kesatuan Soviet diperuntukkan seluruh siri U; setelah berpecahnya Kesatuan tersebut, sebilangan republik bekas Soviet menerima beberapa blok dari siri U. (Namun begitu, Rusia tidak pernah menandatangai Konvensyen 1912, sebaliknya UAAUMZ diberikan kepada Perancis dan tanah jajahannya, sementara UNAUZZ diberikan kepada Austria-Hungary dan Bosnia dan Herzegovina.) Kod VR (Hong Kong) dan VO (Dominion Newfoundland), kini masing-masing dikawal oleh China dan Kanada.

Amerika Syarikat diwakili oleh tentera di persidangan tahun 1927, justeri diperuntukkan siri A (Army) dan N (Navy), disusuli siri W dan K untuk stesen-stesen awam hasil membubuh satu unsur panjang tambahan pada huruf-huruf A dan N dalam kod Morse. (Bagaimanapun, pada tahun 1912, siri KDA–KZZ, seluruh N, dan seluruh W diberikan kepada A.S., tetapi seluruh siri A diberikan kepada Jerman dan wilayah naungannya.) Pengenal antarabangsa untuk stesen-stesen di kapal A.S. mula-mulanya ditetapkan awalan W di pantai barat dan awalan K di Atlantik; stesen di darat pula mengikut corak yang sebaliknya. Perbezaan antara kapal Atlantik dan Pasifik semakin kurang bermakna setelah Terusan Panama dibuka untuk mengurangkan jarak pelayaran antara kedua-dua lautan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]