Pergi ke kandungan

Sirih

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Pokok Sireh)

Sirih
Pokok Sirih
Pengelasan saintifik
Alam:
Divisi:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
P. betle
Nama binomial
Piper betle

Sirih (Jawi: سيريه) atau nama saintifiknya Piper betle adalah sejenis pokok menjalar rambat[1] malar hijau dalam keluarga Piperaceae bertaburan asal di kawasan tropika Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Daun-daunnya dimanfaatkan dalam kalangan masyarakat taburan asal tumbuhan ini yang mengunyahnya bersama bahan sampingan lain seperti buah pinang dalam beraneka tujuan (baik untuk riadah, sebagai pelega mahupun mewangikan[2]:14-15) dan keadaan termasuk menyambut tetamu serta sebagai hantaran dalam adat perkahwinan. Menurut Mursito (2002), di Myanmar dan sebahagian kepulauan Afrika menjadikan sirih sebagai sayur harian seperti sayur air atau sayur bening. Kebiasaannya, sayur air sirih atau beninh sirih dimasak bersama dengan kentang dan lobak merah. Ia juga penting dalam perubatan Melayu tradisional.

Tanaman menjalar ini boleh mencapai ketinggian sehingga 15 m. Batang sirih berwarna perang kehijauan, berbentuk bulat, beruas dan merupakan tempat keluarnya akar. Akarnya tunjang, bulat dan berwarna coklat kekuningan. Pokok sirih tumbur subur dalam tanah yang beraliran baik tanpa genangan atau takungan air serta tidak bergaram mahupun beralkali.[3] Penanaman sirih amat ditumpukan di kawasan-kawasan yang mana kapur turut boleh diperolehi.[2]:14

Daun-daun terhasil berbentuk jantung meruncing hampir menyerupai daun kaduk yang sekeluarga; ia berwarna hijau gelap apabila matang. Daun-daun tersebut tumbuh tunggal berselang-seling, bertangkai, dan mengeluarkan bau yang sedap bila diramas. Daun ini lazim berukuran panjangnya sekitar 5 – 8 sm dan lebar 2 – 5 sm namun terdapat juga pokok yang menumbuhkan daun bersaiz besar sehingga kira-kira 15 sm panjang dan 10 sm lebar.

Daun-daun sirih

Bunga sirih menjambak berbentuk bulir dan terdapat daun pelindung ± 1 mm berbentuk bulat panjang kelilingnya. Bunga-bunga jantan dan betina sirih tumbuh berasingan dalam satu pokok (dioecious):[4] bulir bunga jantan panjangnya sekitar 1.5 – 3 sm dan terdapat dua stamen yang sederhana pendek manakala bunga betina panjangnya sekitar 1.5 – 6 m di mana terdapat kepala putik tiga sampai lima buah berwarna putih dan hijau kekuningan. Buah yang dihasilkan berupa beri bulat berwarna hijau kekelabuan.

Hubungan dengan manusia

[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Peranakan mengunyah jenis daun sirih kecil dan berwarna muda manakala masyarakat Melayu dan India cenderung memilih daun sirih berwarna gelap dan besar.[5] Sirih digunakan oleh orang Melayu sebagai hantaran dalam istiadat perkahwinan orang Melayu yang disediakan dalam suatu kelengkapan khas disebutkan sebagai tepak sirih.[5] Sirih juga digunakan dalam upacara menjampi seseorang dalam proses mengubati pesakit.

Selain daripada itu, daun sirih juga boleh dimakan bersama-sama gambir untuk mengubati penyakit cirit-birit. Bagi mengubati pendarahan pada hidung, daun sirih digulung dan disumbat ke dalam lubang hidung untuk menghentikan pengaliran darah dari dalam hidung.

Budaya dan kepercayaan

[sunting | sunting sumber]
Junjungan sirih di Pattani

Masyarakat penganut Hindu mengaitkan sirih dengan dewa Vishnu dalam penyatuan bertiga bersama dewa-dewa Brahma (diwakili buah pinang) dan Shiva (diwakili kapur makan) dalam kepercayaan mereka[6] sehinggakan daun sirih sering dipersembahkan dalam upacara keagamaan seperti homa dan puja dewa.[7] Sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan mengikut agama ini, akan ada suatu upacara mendapat keberkatan paanam paaku di mana sirih dalam bilangan ganjil disertakan dengan kad jemputan dan wang kertas antara lainnya untuk disembahyangkan di kuil.[7]

Ia amat penting dalam adat-adat perkahwinan orang Melayu serta orang India, bahkan adat meminang sendiri datangnya dari pengimbuhan kata pinang; hal ini dikuatkan lagi-lagi dengan perlambangan kuat masyarakat tertentu seperti pasangan kepada lelaki dipasangkan kepada daun sirih yang perempuan.[8]:34

Dari perspektif orang Melayu, sifat pokok sirih yang menjalar dan memanjat tanpa merosakkan junjung atau tumbuhan perumah dikaitkan dengan ciri keperibadian sentiasa memuliakan orang lain dan bersifat pemberi yang dikehendaki dalam masyarakat.[7]

  1. ^ B. Mursito; P. Heru (2002). Tanaman Hias Berkhasiat Obat. Jakarta: Penebar Swadaya. m/s. 59–60.
  2. ^ a b "The Tradition", m/s. 12-17, Rooney (1992)
  3. ^ Government of Sri Lanka. "Betel – Piper Betle L". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-05-14. Dicapai pada 2011-07-31.
  4. ^ Rimando, Agnes M.; Han, Byung Hoon; Park, Jeong Hill; Cantoria, Magdalena C. (1986). "Studies on the constituents of Philippine Piper betle leaves". Archives of Pharmacal Research. 9 (2): 93–97. doi:10.1007/BF02857217. ISSN 0253-6269. S2CID 98263258.
  5. ^ a b Lim, Fiona; Pakiam, George (Okt–Dis 2020). "A Bite of History: Betel Chewing in Singapore". BiblioAsia. Jil. 16 no. 3. National Library Board. m/s. 4–9.CS1 maint: date format (link)
  6. ^ "Symbolism and The Spirits". m/s. 30-32, Rooney (1992).
  7. ^ a b c Wan Faizah Wan Yusoff (12–13 Oktober 2014), "Nilai dan simbolisme sirih dalam budaya serta perubatan tradisional masyarakat Melayu dan India", 4th International Conference on Local Knowledge, Kuching, Sarawak, Malaysia: Universiti Sains MalaysiaCS1 maint: date and year (link)
  8. ^ "Symbolism and Male-Female Relationships", m/s. 32-36, Rooney (1992).
Sumber utama

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]