Sempadan Malaysia-Thailand

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pusat imegresen di Rantau Panjang, Kelantan.

Sempadan Malaysia-Thailand adalah sempadan antarabangsa yang memisahkan Malaysia dan Thailand. Sempadan ini dibentuk pada 1909, berikutan Perjanjian Inggeris-Siam 1909. Jarak sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand dianggarkan sejauh 646 km. Dari jumlah tersebut, sejauh 551 km adalah sempadan darat manakala 95 km adalah sempadan mengikut thalweg (bahagian terdalam) aliran utama Sungai Golok, Kelantan.[1]

Semasa Darurat Tanah Melayu dan perang dengan Komunis sehingga 1970-an, pemberontak komunis biasanya menyeberang masuk ke Thailand, balik semula ke Malaya (dan akhirnya Malaysia) untuk mengelakkan penangkapan oleh Malaya dan tentera Komanwel. Di sempadan ini juga terdapat tembok yang dibina oleh Malaysia dalam 1996, untuk mencegah penyeludupan di beberapa kawasan sensitif.

Terdapat empat negeri yang bersempadan dengan Thailand. Daripada barat ke timur, mereka adalah Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan. Di sebelah Thailand pula terdapat empat wilayah iaitu daripada barat ke timur, mereka adalah Satun, Songkhla, Yala dan Narathiwat.

Rentasan[sunting | sunting sumber]

Malaysia
Thailand

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Bagi memantapkan lagi urusan sempadan Malaysia-Thailand, persetujuan untuk menanda dan mengukur sempadan antarabangsa Malaysia dan Thailand telah dibuat dengan menandatangani Memorandum Persefahaman di Bangkok, Thailand pada 8 September 1972. Pada masa kini, kerja-kerja penandaan, pengukuran dan penyelenggaraan sempadan antarabangsa Malaysia dengan Thailand dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) secara bersama dengan Royal Thai Survey Department (RTSD). Kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan darat telah dimulakan pada 6 Julai 1973 dan kerja-kerja tersebut berakhir pada 26 September 1985. Dalam tempoh tersebut, sepanjang 543 km garis sempadan antarabangsa bersama (darat) telah ditanda dan diukur. Baki jarak sempadan darat di kawasan Bukit Jeli, Kelantan sepanjang 8.5 km walaupun telah ditanda dan diukur, tetapi memorandum persefahaman belum ditandatangani kerana adanya perbezaan pendapat dalam mentafsirkan perjanjian sempadan berkenaan. Pada tahun 1993, Malaysia dan Thailand telah bersetuju untuk menjalankan kerja-kerja siasatan, tanampastian dan penyelenggaraan secara berterusan ke atas tanda-tanda sempadan di sepanjang sempadan antarabangsa bersama yang didapati hilang, rosak atau terkeluar dari tempat asalnya. Setakat ini, jarak sempadan antarabangsa bersama sejauh 345.4 km (63%) di kawasan-kawasan membangun telah berjaya diselenggarakan. Kerja-kerja penyelenggaraan sempadan antarabangsa bersama ini telah ditangguhkan pada tahun 1999 untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja penandaan dan pengukuran di sepanjang Sungai Golok. Dalam keadaan tertentu, kerja-kerja ukuran penyelenggaraan dijalankan ke atas kawasan-kawasan yang dikenalpasti bersama dari semasa ke semasa bagi mengatasi masalah yang berbangkit. Seterusnya, kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan tetap dan kekal di sepanjang Sungai Golok telah dimulakan pada 1 November 2000 dan masih diteruskan.

Pada tahun 1999 hingga 2000, kerja-kerja pengukuran yang meliputi pelbagai kerja-kerja ukuran kawalan di sepanjang Sungai Golok telah dilaksanakan bersama.

Sejarah kerja menetap dan menggariskan sempadan[sunting | sunting sumber]

Sejajar dengan ketetapan Artikel 3, Perjanjian Bangkok, sebuah Suruhanjaya Bersama Sempadan yang terdiri daripada Pegawai British dan Siam telah dibentuk bagi menggarisi dan menetapkan sempadan baru antara Siam dengan Negeri-Negeri Melayu utara. Pihak Siam telah melantik Major-General Mom Novendr Raja sebagai President Suruhanjaya Sempadan Siam manakala pihak British melantik Kolonel H.M Jackson, Ketua Juru Ukur Bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sebagai President Suruhanjaya Sempadan mewakili British.[2] Anggota-anggota Suruhanjaya sempadan Siam yang lain terdiri daripada tiga pegawai iaitu Mom Chow Vibulya (dari Kementerian Luar Siam), Phya Bisai Sundarakarn (dari Kementerian Dalam Negeri) dan Kapten Luang Snam Ridhigrai (Angkatan Tentera Siam). Sementara itu, anggota-anggota Suruhanjaya Sempadan Bitish pula terdiri daripada V.A Lowinger, A. Cochrane dan R.C Gould dari Jabatan Ukur Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Dalam mesyuarat Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Sempadan yang diadakan di Pulau Pinang pada 10 Disember 1910, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan kerja menetapkan sempadan dari bahagian barat terlebih dahulu.[3] tumpuan utama kerja Suruhanjaya Sempadan adalah untuk menetapkan batas sempadan yang kemudian diikuti dengan kerja membuat tanda sempadan yang akan dilakukan oleh pegawai yang akan dilantik oleh Suruhanjaya. Pihak British pula akan menyelenggarakan kerja Trigometri manakala kerja tinjauan atau pemeriksaan topografi akan dilaksanakan oleh kedua-dua pihak. Mereka bersetuju menggunkan skala peta 1/100,000 atau 1/50,000 untuk bahagian tertentu dan 1/250,000 untuk umum.

Sempadan yang akan diukur oleh Suruhanaya ini adalah sejauh 500 KM dari Selat Melaka di sebelah Barat ke Teluk Siam di sebelah timur. Sepanjang kira-kira 400 km di bahagian barat dan tengah, sempadan itu melalui legeh atau puncak gunung dan bukit yang memisahkan punca aliran sungai. sepanjang 95 km lagi dibentuk oleh Sungai Golok. Sungai itu, tohor dan rendah gradiannya itu mengalir berliku-liku merentasi dataran pinggir laut yang beralun. Dataran Sungai Golok itu adalah tanah rendah yang rata dengan pantai berpasir dan permatang di sepanjang pantai. Ketinggian pada umumnya umumnya tidak melebihi 250 kaki tetapi ada beberapa bukit dalam kawasan ini. Keadaan ini memberi laluan yang mudah antara penduduk-penduduk di antara kedua-dua buah negara. Seluruh wilayah Golok itu adalah padat dengan penduduk.[4]Pada 6 Februari 1910 anggota-anggota Suruhanjaya Sempadan telah mengadakan pertemuan di tebing tinggi yang terletak di Sungai Perlis untuk menentukan garis sempadan di bahagian darat. Dalam pertemuan itu, kedua-dua presiden Suruhanjaya Bersama Sempadan British-Siam telah mencapai kata sepakat untuk menjadikan 'Batu Puteh" sebagai "the most seaword of the northern bank of Estuary of the Perlis River".Tebing Sungai Perlis didapati tidak sesuai untuk mendirikan batu tanda kerana ia dipenuhi oleh "mangrove swamp".Tempat ini telah dijadikan titik A dan menjadi sempadan darat yang terawal di sempadan laut sebelah barat. Persetujuan juga dicapai setelah memeriksa di laut untuk menetapkan sempadannya seperti berikut:-

"from the point westwards along the parallel of latitude passing through to meridian 99 88' East (Greenwich) along that meridian northwards to the point at which it is intersected by the parallel westwards to the point about midway between the north-western most point of Pulo Terutau and the north-western most point of Pulo Langkawi. The parallel 6 20' being taken as lying approximately mid channel between the two island above-mentioned. By this line the island close to the west coast namely:Pulo Brasmana, Pulo Kurap, Pulo Kuniet (Kuning) and Pulo Panjang are shown as belong to Siam"[5]

Tanda-tanda ketidaksetujuan mula muncul apabila pihak Siam mahu memasukkan Pulau Butang (Butang Group)di barat Pulau Terutau ke dalam kawasan Siam. Hal ini tidak dipersetujui oleh Kolonel Jackson kerana ia tidak dinyatakan dalam Protokol Sempadan. Namun begitu, Suruhanjaya Sempadan menyelesaikan perselisihan pendapat ini apabila mereka menggunakan Nautical Chart untuk mendapatkan pengukuran yang lebih sempurna. Pihak British telah diketuai oleh R.R Gouling membuat dua garisan penandaan dan pihak Siam kemudiannya sama-sama bersetuju garisan pertama yang dinyatakan seperti berikut:-

From the point A (Beacon no. 1 of the land boundry) westward along the parallel latitude basing through A to the intersection of this parallel with the meridian 100 degrees (East of Greenwich): from this point of intersection in the northwesterly direction, (being about midway between the coasts of Setol and Pulo Langkawi), to the point of intersection D of Meridian 99 53'E with parallel of latitude 6 42' N; from this part in a straight to a point F midway between the S,W, corner of the Pulo Terutau and the northwest corner of Pulo Langkawi, (this line running about mid-channel between this two island; and thence in the sama straight line seaward.[6]

Pertikaian Sempadan Perlis-Setul[sunting | sunting sumber]

Selepas mencapai persetujuan itu, Suruhanjaya Sempadan memulakan kerja menetap dan menggariskan sempadan Perlis-Setul. Suruhanjaya bagaimanapun berdepan dengan pelbagai masalah dalam melaksanakan tugas mereka. Kawasan Perlis-Setul merupakan kawasan bukit batu kapur. walaupun bukitnya tidaklah tinggi, lerengnya yang dikenali sebagai "wengs" agak curam dan dipenuhi dengan sarang lebah. Keadaan ini menyukarkan Suruhanjaya sempadan untuk mencari aliran sungai yang sebenar dan tambahan pula sungai di situ mengalir di bawah muka bumi menerusi timbunan batu kapur. Dengan adanya masalah ini, kerja-kerja menetap dan menggariskan sempadan telah ditangguhkan bagi membolehkan Suruhanjaya melakukan kajian lebih lanjut.[7] Dalam pada itu, satu pertikaian telah berlaku antara wakil Suruhanjaya Siam dan British berhubung sempadan Perlis-Setul. Punca pertikaian ini timbul apabila pihak Siam mengemukakan cadangan agar bahagian selatan Bukit China diserahkan kepada Siam serta menjadikan Kaki Bukit sebagai garisan sempadan kerana pengairan sungai dari kawasan pergunungan ke Kaki Bukit telah membentuk garisan pemisah antara Setul-Perlis. Cadangan pihak Siam itu ditolak oleh British. Menurut Frost Penasihat British di Perlis, pihak Siam tidak mempunyai alasan munasabah bagi "departing from the watershed".[8]Berdasarkan kriteria sempadan sungai (watershed Boundry), daerah Pujoh sepatutnya menjadi Hak Perlis tetapi Siam telah mengambil daerah itu melalui Perjanjian Bangkok 1909 walaupun dibantah oleh Raja Perlis. Oleh sebab itu, tidak wajar bagi Siam untuk mendapatkan wilayah di bahagian Selatan Bukit China, kebetulan pula kawasan yang dituntut Siam itu seperti Kampung Klian adalah kaya dengan hasil padi dan kelapa. Sementara itu, kawasan di sekitar Wang Tangga kaya pula dengan Bijih Timah. kemuncak Pertelingkahan di antara kedua-dua pihak berlaku apabila wakil Siam mengemukakan lakaran peta yang menunjukkan garis sempadan Perlis-Setul seperti yang tertera di titik "a, f, dan g" atas alasan bahawa ia merupakan garis sempadan asal Setul dengan Perlis. Jackson menolak dakwaan siam itu dengan menegaskan bahawa garis sempadan Setul-Perlis adalah titik "a, f, e, g" seperti yang mula-mula dicadangkan oleh pihak Siam sendiri[9]. Justeru pertelingkahan pendapat itu dan penggarisan sempadan Setul-Perlis terpaksa ditangguhkan. Penandaan sempadan Perlis bersama-sama kawasan utara Kedah disempurnakan pada awal tahun 1911 oleh R.R Gouling dengan dibantu oleh C.A Rust dari kumpulan British dengan Kapten Luang Ronarath bersama-sama pembantunya bagi pihak Siam. Penyelesaian di kawasan Bukit China yang melibatkan lembah di Padang Balai tidaklah mudah seperti yang diharapkan. Kedua-dua pihak menghantar semua wakil mereka untuk mengukur kembali tempat-tempat yang menjadi pemisah (watershed)punca Sungai Perlis dan Sungai Pujoh. Siam diwakili oleh Kapten Luang Snam Ridhigrai manakala British oleh R.R Gouling.Kesukaran yang timbul akibat dari aliran sungai di dalam bumi, telah diatasi dengan membuat garisan itu berada hampir dengan tempat yang menjadi pemisah punca sungai tersebut. Justeru, Lembah Padang Balai dan Bukit CHina dipersetujui masuk kepada Perlis. Meskipun begitu, British telah mengorbankan kawasan Managkang di sempadan Burma-British yang dituntut oleh SIam. Mereka juga diberi keizinan menggunakan laluan Setul-Singgora yang melalui daerah Padang Balai dan Bukit China. Siam telah menyerahkan kawasan ini kepada Perlis pada Mac 1913 melalui wakil mereka Kapten Luang Snam Ridhikrai di pejabat Pesuruhjaya Ujong Salang.[10]

Pertikaian Sempadan Kelantan-Patani

Kerja menetapkan sempadan Kelantan-Patani oleh Suruhanjaya telah bermula pada 9 Jun 1911.[11] Suruhanjaya di pihak Siam diwakili oleh Major-Jeneral Phya Sakda Bidaj sebagai Presiden, Phra Visai Luang Pitchet dan Kapten Luong Ron sementara di pihak British masih diwakili oleh Kolonel Jackson sebagai Presiden, Laidlaw J.M dan H.S Mason.[12]Suruhanjaya Sempadan British-Siam turut menghadapi pelbagai masalah dalam menetapkan garis sempadan di kawasan itu.Masalah itu berpunca daripada perbezaan tafsiran tentang kenyataan dalam protokol sempadan berhubung dengan punca kepada Sungai Golok. Kenyataan itu berbunyi:-

"...watershed separating the waters of the sungei Pergau from the sungei Telubin to the hill called Bukit Jeli or the source of the main stream of the sungai Golok"[13]

Di sekitar kaki Bukit Jeli itu terdapat dua sungai utama iaitu Sungai Sat dan Sungai Lanah. Anggota Suruhanjaya berbeza pendapat mengenai sungai manakah yang boleh dianggap sebagai punca utama bagi sungai Golok. Sungai Sat ialah sungai yang mengalir sejauh dua batu dari Bukit Jeli, manakala Sungai Lanah pula mengalir sejauh sembilan batu dari Bukit Jeli.[14]Bagi pihak British, sungai Sat merupakan hulu kepada Sungai Golok, tetapi wakil Siam berpendapat sungai Lanah adalah punca utama Sungai Golok. Masalah utama yang mengelirukan tafsiran ini adalah berpunca daripada penggunaan perkataan "or" (atau) dalam kenyataan itu. Pada pandangan kolonel Jackson, Presiden Suruhanjaya Bersama di pihak British, penggunaan perkataan "or" mungkin membawa maksud bahawa "the source of this main stream of the golok was presume to be in Bukit Jeli or intended that the line should be taken either to Bukit Jeli or to the source of the main stream of the Golok".[15] Dengan demikian, pada pandangan Jackson, Sungai Sat sepatutnya diberikan keutamaan dibandingkan dengan Sungai Lanah. Ini kerana "the Sat rises sufficiently near Bukit Jeli to be considered as in line with the protocol, especially as it rises in a peak of the same hill range in Bukit Jeli".[16] beliau menegaskan bahawa sekiranya kriteria sempadan geografi digunakan, Sungai Sat sepatutnya diambil kira sebagai punca utama kerana ia mengalir laju dengan kadar laju yang tinggi serta mempunyai kawasan yang lebar sekira dibandingkan dengan Sungai lanah yang lebih sempit dan mengalir dengan kadar perlahan. Bagi mengukuhkan lagi pandangannya, Jackson menegaskan bahawa penduduk tempatan juga sepakat mengatakan Sungai Sat adalah punca utama kepada Sungai Golok dan bukannya Sungai Lanah yang terletak jauh dari Bukit Jeli iaitu di deretan banjaran yang berbeza. Namun begitu, pendapat jackson telah ditolak oleh Phya Sakda Bidaj, Presiden Suruhanjaya Siam. Menurutnya, Sungai Lanah yang sepatutnya dianggap dan dijadikan punca utama Sungai Golok.[17] Selain itu, Sungai Buluh juga boleh dijadikan punca utama bagi Sungai Golok memandangkan sungai itu telah ditanda di atas peta yang dilampirkan dalam Perjanjian Bangkok. Pandangan wakil Siam berhubung dengan Sungai Buluh ditolak oleh Jackson atas alasan peta itu "was very inacurrate and incomplete sketch map compiled from very scanty information".[18] Dalam konteks ini Jackson menegaskan bahawa Sungai Buluh bukan merupakan sumber utama kepada Sungai Golok dan ia tidak patut dijadikan sebagai garis sempadan. Tambahan pula, lembah kawasan sungai tersebut merupakan satu kawasan penempatan. Misalnya, di tepi sungai buluh terdapat tujuh buah kampung dan kebanyakannya penduduk kasawasan itu terdiri daripada masyarakat Melayu yang beragama Islam. Pada pandangannya, sekiranya Sungai Buluh dijadikan garis sempadan sudah tentu akan menimbulkan kesukaran pengurusan pentadbiran. Ini kerana kebanyakan penduduk di kawasan itu mempunyai tanah sendiri di seberang lembah sungai tersebut. Kebiasaan mereka menggunakan sungai tersebut untuk mengerjakan sawah padi. tambahan pula, menurut J.M Favell, Ketua Juru Ukur Tanah, luas sungai Lanah empat kali luas dari sungai Buluh, manakala sungai Sat berkeluasan enam kali Sungai Buluh.[19] Atas alasan itulah Sungai Sat adalah lebih sesuai untuk dianggap sebagai sumber utama bagi Sungai Golok serta dijadikan garis sempadan-Kelantan Patani. Namun bagitu, pada waktu itu Jackson tidak berhasrat untuk memaksa President Suruhanjaya Siam menerima pendapatnya bahawa Sungai Sat merupakan punca utama kepada Sungai Golok. Beliau sedar bahawa sekiranya beliau bertindak demikian pertelagahan sudah tentu akan timbul dan Suruhanjaya Sempadan akan menghadapi jalan buntu bagi menyelesaikan kekusutan berhubung dengan penetapan sempadan Kelantan Petani. Pada Pandangannya, satu cara yang paling baik untuk menyelesaikan masalah itu dengan berkompromi.[20] Jackson mengemukakan cadangan alternatif iaitu Suruhanjaya Sempadan "....take the line to Bukit Jeli to the head of a small stream (the Ayer Jawa) rising in Bukit Jeli, just below the peak and down this small stream to a larger stream (the Ayer Bukit Hampar) which one miles further down runs into Sat. [21] Tetapi cadangan Jackson itu juga tidak dipersetujui oleh Phya Sakda Bidaj. Sebaliknya beliau mencadangkan agar Suruhanjaya Sempadan mengambil "....the line from Bukit Jeli to the source of another stream which arises between the Sat and the Lanah and runs into the latter viz the Sungei Buloh, thence down the Sungei Buloh to its junction which the Lanah (called the Lambak at this part of its course)- to its jjunction with Sat to form the Golok".[22] Dalam keadaan demikian, walaupun Sungai Buloh tidak dapat dianggap sebagai hulu Sungai Golok, pihak Siam masih mendesak supaya garisan tersebut perlu dikekalkan kerana ia telah diadakan dalam "sketch Map" yang dilampirkan dalam protokol sempadan. Walaupun Jackson tidak menafikan kenyataan pihak Siam itu tetapi beliau menegaskan setahunya "sketch map" itu hanya untuk digunakan sebagai panduan sahaja dan bukan diikut semuanya. Tambahan pula, peta itu dibuat berasaskan sumber-sumber yang tidak lengkap dan sebelum ini belum pernah dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat Suruhanjaya Sempadan untuk dijadikan asas diikuti. Oleh itu, Jackson bertegas adalah menjadi suatu yang tidak munasabah menjadikan peta itu sebagai panduan. Namun begitu, Jackson gagal mempengaruhi Presiden Suruhanjaya Sempadan Siam agar mengubah pendiriannya. Sehubungan itu, kerja bagi menetapkan sempadan Kelantan Patani terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu "pending investigation to determine whetever the Sat or the Lanah is the main stream of the Golok above the point where those rivers diverge".[23] Pertelagahan antara wakil British dengan Siam berhubung dengan sempadan Kelantan-Patani telah memaksa Biritsh membawa perkara itu ke pengetahuan Putera Devawongse Varoprakar, Menteri Luar Siam. terutama sekali apabila pembuat peta Siam telah bertindak meletakkan batu tanda (beacon) antara Bukit Jeli dengan Sungai Buloh tanpa persetujuan Suruhanjaya Biritsh. Bagi British tindakan itu dirasakan agak keterlaluan dan sengaja dibuat bagi menjejaskan tuntutan yang sedia ada.Pada 26 Januari 1912, Arthur Peel, Menteri British di Bangkok telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Putera Devawongse tindakan Siam itu.[24] Surat bantahan tersebut seperti berikut:

"I regret to have state that His Majesty's Government have learnt with feeling of considerable surprise, from information received from their Commission, that so anxious were the Siamese topographers to take the line from Bukit Jeli, a place which this dispute affect, to the source of another stream rising between the Sat and Lanah rivers, viz. the Sungei Bulok, that they actually marked the boundry with beacons before the arrival of Commission. I need not, however, dwell on this incident, as I feel sure that Your Royal Highness will readily admit this proceeding, being in itselft quite irrigular, as apparently an attempt to prejudice the case, has given His Majesty's Government legitimate ground for complaint"[25]

Hasil tindakan itu, pihak Siam mengarahkan pembuat peta Siam menangguhkan kerja mereka. Dalam suratnya kepada Peel bertarikh 30 Mac 1912, Putera Devawongse menjelaskan bahawa "while surveyor's marks have been made by Topographers, this was only done for the purpose of aiding (sic) them in their work. They did not for a moment imagine that any action which they might take could in any way prejudice the settlement of the boundry, since that was beyond their jurisdiction and could rest only with the members of the Commission". [26] Sementara itu, kedua-dua pihak juga berusaha untuk menyelesaikan pertikaian sempadan Kelantan-Pattani. Dalam perbincangannya dengan Putera Devawongse, Peel telah mengemukakan pandangannya bahawa perselisihan faham itu mungkin dapat dielakkan sekiranya pada peringkat awal lagi Suruhanjaya Sempadan memberikan pertimbangan kepada dua perkara penting. Pertama, keadaan yang membawa kepada Bukit Jeli dipilih oleh para penggubal Protokol Sempadan sebagai "turning point on the frontier". Kedua, perbandingan dibuat antara Protokol Sempadan yang dipinda pada 24 Ogos 1908 dengan Protokol Sempadan yang dilampirkan bersama Perjanjian Bangkok. Menurut Peel, setelah dipersetujui bahawa sempadan hendaklah melalui legeh yang memisahkan antara Sungei Pergau daripada Sungei Telubin, para penggubal protokol tersebut pula membuat ketetapan "where the line should turn off in an eastery direction." [27]Pada pandangan penggubal Protokol Sempadan, Bukit Jeli adalah "an essentially good landmark to select as a boundry" kerana ia merupakan kemuncak yang paling tinggi di sekitar kawasan itu. Langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh penggubal Protokol Sempadan ialah memutuskan "as to the line the boundry should follow up to the gulf".[28] Mengikut beliau, para penggubal Protokol Sempadan telah sekata memilih Sungai Sat kerana ia adalah sungai yang terdekat dengan Bukit Jeli serta mengalir ke dalam Sungai Golok. Dengan demikian, adalah jelas Sungai Sat adalah hulu utama Sungai Golok, seperti mana yang dimaksudkan dalam cadangan protokol sempadan bertarikh 24 Ogos 1909, iaitu "the main source of the Golok at or near the hill called Bukit Jeli".[29] Keadaan itu menjadi lebih sahih lagi apabila lakaran peta yang dilampirkan kepada Protokol Sempadan juga menunjukkan bahawa Sungau Golok mengalir antara Bukit Jeli dan Kuala Tabar. Oleh sebab itu, Peel percaya dengan membandingkan bukti-bukti sebagai "the determining factor of the turning point at this saction of the frontier".[30] Dengan berasaskan hujah itulah, Kerajaan British berpendapat bahawa Sungai Sat adalah punca utama Sungai Golok dan juga bererti garisan sempadan hendaklah "leaves the water parting at the source of the Sat, and follow the thalweg of that river, which is lower down kwon as the Golok, to the sea".[31] Oleh sebab itu juga ayat dalam Protokol Sempadan "to the hill called Bukit Jeli or the source of the main stream of Sungei Golok" hendaklah ditafsirkan sebagai "to the hill called Bukit Jeli proceeding thence from the head of the stream called Ayer Jawa which rises actually in Bukit Jeli, down the Ayer Jawa to the point where that stream joints the stream called the Ayer Batu Hampa, along which it follows to the junction of the Ayer Batu Hampar which the Sungei Sat, from which point it follows the Sungei Sat to the junction of that river with the Sungei Golok"[32] Namun begitu, Putera Devowongse cuba menafikan kesimpulan yang dibuat oleh Peel. Menurut beliau, tidak langsung dinyatakan dalam mana-mana draf protokol sempadan bahawa ia adalah "the main stream of the Golok river", malah jika dirujuk kepada lakaran peta Perjanjian Bangkok, aliran Sungai Sat tidak dianggap oleh pembuat peta sebagai sempadan.[33] Apa yang tercatat hanyalah aliran Sungai yang ditandakan "k.Sa. Tambahnya lagi; "You will observe that this stream (which is the Sat) is not only made the boundary, but it is rejected, as the boundary runs very considerably to the south of it".'[34] Beliau juga menolak kenyataan Peel bahawa Bukit Jeli merupakan "the turning point of the frontier" dengan mengemukakan dua rangka Protokol Sempadan. Rangka Protokol Sempadan yang pertama menyatakan; "....from said point follow the range of hills is the watershed between Sungei Pergau and Sungai Telubin to the hill which is call Bukit Jeli. As this place is the source of the Sungei Golok. Thence the frontier follows the thalweg of the Sungei Golok to the sea at a place called Kuala Tabar."[35]

Jalan Keretapi[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua jalan yang merentasi sempadan Malaysia-Thai.

Padang Besar[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Thailand mempunyai nama yang sama di kawasan sempadan tersebut. Ia hanya ditandai sebagai Padang Besar Malaysia dan Padang Besar Thailand. Lintasan ini dihubungi oleh Keretapi Tanah Melayu oleh Malaysia dan Keretapi Negara Thai oleh Thailand ke Bangkok melalui Hat Yai. Pihak kastam, imigeresen dan kuarantin Malaysia dan Thailand beroperasi secara rasmi di sebelah Padang Besar Malaysia.

Rantau Panjang-Sungai Golok[sunting | sunting sumber]

Di sebelah Malaysia, terdapat satu jambatan yang digunakan untuk menyeberang ke Thailand. Ia dihubungkan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu. Manakala di sebelah Thailand pula, lintasan in dihubungi melalui cawangan Sungai Golok yang disambungkan terus ke Hat Yai oleh Keretapi Negara Thai.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Penandaan dan Pengukuran Sempadan dlm Buku 120 Tahun JUPEM susunan Tn Stia Tn Hj Sulong
  2. surat Putera Devawongse kepada Beckett 7 Julai 1909, CO 273/353; Surat Beckett kepada Anderson, 21 Oktober 1909, HCO 1522/1909
  3. lihat "report of the Delimitation an Demarcation of the Anglo-Siamese Boundry under the Treaty of March 1909 between Great Britain and Siam
  4. Nik Anuar Nik Mahmud (1994) Sejarah Penggarisan dan Penetapan Sempadan Negeri-Negeri Melayu Utara dengan Siam 1907-1912 dlm Jurnal Malaysia dari segi Sejarah: Persatuan Sejarah Malaysia: Kuala Lumpur
  5. Laporan Jawatankuasa Sempadan bertarikh 9 Februari 1910 dlm JUPEM
  6. surat Kolonel H.M Jackson kepada Mejer Jeneral Phya Sadka Bidej bertarikh 23 Oktober 1912 dan surat balas dari Mejer Jeneral Phya Sadka Bidej 16 Januari 1913 CO 273/402
  7. Nik Anuar Nik Mahmud. 1994. Sejarah Penggarisan dan Penetapan Sempadan Negeri-Negeri Melayu Utara dengan Siam 1907-1912 dlm Jurnal Malaysia Dari Segi Sejarah. Persatuan Sejarah Malaysia Bil 22-1994: Kuala Lumpur
  8. surat frost kepada C. Severn, 1 Mac 1910, CO 273/360
  9. surat Jakson kepada Anderson 13 April 1910, HCO 347/1910
  10. Laporan Kolonel Jackson kepada Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bertarikh 11 September dlm CO 273/400
  11. Surat H.S Mason kepada Anderson, 31 Julai 1911, CO 273/361
  12. ibid
  13. lihat perjanjian bangkok 10 Mac 1909
  14. Report on the Disputed Portion of Patani-Kelantan Section by Colonel Jackson, Surveyor-General FMS
  15. ibid
  16. ibid
  17. surat J.H Mason kepada Anderson, 31 Julai 1911, CO 273/374;Peta VI
  18. lihat "report on the disputed Portion of Patani-Kelantan Saction by Colonel Jackson, Surveyor General FMS
  19. ibid
  20. Nik Anuar Nik Mahmud. 1994. Sejarah Penggarisan dan Penetapan Sempadan Negeri-Negeri Melayu Utara dengan Siam 1907-1912 dalam Jurnal Malaysia Dari Segi Sejarah. Persatuan Sejarah Malaysia: Kuala Lumpur
  21. surat J.H Mason kepada Anderson, 31 Julai 1911, CO 273/374;peta VI
  22. lihat Report on The Disputed Portion of Patani-Kelantan Saction by Colonel Jackson, Surveyor-General FMS and British President, Anglo-Siamese Bondary Commision, 3 Julai 1911, CO 273/274
  23. ibid
  24. surat Peel kepada Devawongse, 26 Januari 1912, CO 273/390
  25. Surat Peel kepada Devawongse, 26 Januari 1912, CO 273/390
  26. ibid
  27. Surat Devawongse kepada Peel, 30 Mac 1912, CO 273/390
  28. ibid
  29. Surat Peel kepada Devowongse, 26 Januari 1912, CO 273/390
  30. ibid
  31. ibid
  32. ibid
  33. ibid
  34. Surat Devawongse kepada Peel, 30 mac 1912, CO 273/390
  35. ibid

Pautan luar[sunting | sunting sumber]