Stonehenge

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Stonehenge

Stonehenge merupakan satu binaan Zaman Gangsa dan Neolitik yang terletak berhampiran dengan Amesbury di Wiltshire, England, sekitar 13 kilometer (8 batu) di barat laut Salisbury. Stonehenge merangkumi binaan tambak tanah yang mengelilingi batu besar berdiri tegak dalam bulatan, yang dikenali sebagai megalit. Terdapat pertikaian mengenai usia sebenar bulatan batu, tetapi kebanyakan ahli kaji purba mengandaikan bahawa sebahagian besar binaan Stonehenge dibina antara 2500 SM hingga 2000 SM. Bulatan tambak tanah dan parit membentuk fasa pembinaan tugu Stonehenge yang lebih awal, iaitu sekitar 3100 SM.



Gambaran menyeluruh[sunting | sunting sumber]

Pada awal abad ke-20, kebanyakan batu biru yang tegak telah pun condong. Ini kemungkinannya disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah bilangan pelawat yang telah memanjat Stonehenge sekitar abad ke-19 disebabkan dorongan ingin tahu. Semenjak itu, tiga fasa kerja pemulihan untuk menegakkan kembali batu yang senget atau terbalik, dan untuk turut mengembalikan batu-batu tersebut ke tempat asal telah dilakukan dengan teliti. Secara tidak langsung, ini bererti rupa bentuk Stonehenge tidak lagi kekal sebagaimana asal seperti yang dicadangkan dalam publisiti pelancongan. Sebaliknya, sebagaimana dengan tugu peringatan sejarah yang lain, kerja-kerja pemulihan telah pun dilakukan.

Stonehenge merupakan nama yang diberikan kepada kelas peringatan yang dikenali sebagai henge yang terdiri daripada kurungan bulatan tambak dengan perparitan disebelah dalam. Sebagaimana yang sering berlaku dalam istilah arkhaeologi ini merupakan istilah warisan dari pengunaan antiquarian dan sepatutnya Stonehenge tidak boleh dikelaskan sebagai henge sebenar disebabkan tambaknya berada di bahagian sebelah dalam parit. Walaupun seusia dengan henges zaman Neolithik yang menyerupai Stonehenge, Stonehenge mempunyai kaitan samar-samar dengan bulatan batu yang lain di kepulauan kecil British seperti Bulatan Brodgar tetapi saiz trilitonnya sebagai contoh menjadikan ia unik.

Tapak ini dimasukkan dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1986.

Prasejarah[sunting | sunting sumber]

Kompleks Stonehenge dibina dalam beberapa fasa pembinaan merangkumi tempoh selama 2,000 tahun walaupun terdapat aktiviti di tapak tersebut lama selepas itu. Pengkebumian mayat seorang Saxon yang dipancung telah dibongkar di tugu peringatan tersebut dan bertarikh abad ke tujuh AD. Fasa yang diterima pakai oleh pakar arkhaeologi adalah seperti berikut.

Stonehenge I[sunting | sunting sumber]

Monumen pertama terdiri daripada kurungan tebing bulat dan parit berukuran 115 meter (320 kaki) diameter dan dengan satu laluan masuk dibahagian timurlaut. Fasa ini adalah sekitar 3100 BC. Dibahagian luar kawasan kurungan terdapat 59 lubang, dikenali sebagai lubang Aubrey sempena John Aubrey, antiquarian abad ke tujuh belas yang merupakan orang pertama mengenalpasti lubang-lubang tersebut. Dua puluh lima dari lubang Aubrey diketahui mempunyai perkebumian abu bertarikh dua abad selepas pembinaan Stonehenge. Tiga puluh abu mayat diletakkan di dalam parit kawasan kurungan dan bahagian lain dalam kawasan Stonhenge. Tembikar dari Zaman Neolitik Akhir telah dijumpai bersama-sama ini memberikan bukti tarikh. Satu batu tunggal monolit besar yang tidak dilicinkan dikenali sebagai 'Batu Tumit' (Heel Stone) terletak di luar laluan masuk.

Stonehenge II[sunting | sunting sumber]

Bukti fasa kedua tidak lagi kelihatan. Bagaimanapun bukti dari beberapa lubang tiang dari tarikh masa ini membuktikan terdapatnya beberapa binaan kayu dibina dalam kawasan bulatan sekitar awal alaf ketiga sebelum masihi. Beberapa kesan papan didapati diletakkan pada pintu masuk. Fasa ini sama dengan tapak Woodhenge yang terletak berhampiran.

Stonehenge IIIa[sunting | sunting sumber]

Cari gali arkeologi menunjukkan bahawa sekitar 2600 BC, dua lengkungan bulan sabit dibuat dari lubang (dikenali sebagai lubang Q dan R ) yang digali ditengah-tengan tapak. Lubang tersebut mengandungi 80 bluestone tegak yang dibawa dari bukit Preseli, 250 batu di Wales. Batu-batu tersebut dibentuk menjadi tiang dengan teliti, kebanyakannya terdiri daripada batu jenis dolerite bertompok tetapi turut termasuk contoh batu rhyolit, tufa gunung berapi, dan myolit dan seberat 4 tan.

Laluan masuk dilebarkan pada masa ini menjadikan ia selari dengan arah matahari naik pertengahan musim panas dan matahari terbenam pertengahan musim sejuk tempoh tersebut. Monument tersebut ditinggalkan tanpa disiapkan, sementara batu biru kelihatannya dialih dan lubang Q dan R dikambus. Ini kemungkinannya dilakukan pada tempoh fasa Stonehenge IIIb. Monument ini kelihatannya melebihi tapak di Avebury dari segi kepentingannya pada akhir tempoh ini dan Amesbury Archer, dijumpai pada tahun 2002 tiga batu ke selatan, membayangkan bagaimana Stonehenge kelihatan pada masa ini. Stonehenge IIIa dikatakan dibina oleh orang Beaker ( Beaker people ).

Stonehenge IIIb[sunting | sunting sumber]

Pada aktiviti fasa berikutnya pada akhir alaf ketiga SM 74 mendapati batu Sarsen yang besar dibawa dari kuari 20 batu di utara ditapak Marlborough Downs. Batu-batu tersebut dikemaskan dan dibentuk dengan sambungan pasak dan ruas sebelum 30 didirikan membentuk bulatan tiang batu bersaiz 30 meter diameter dengan 29 alang batu di atas. Setiap ketul batu seberat 25 tan dan jelas di bentuk dengan tujuan mengkagumkan apabila siap. Batu ortostat lebar sedikit di bahagian atas agar memberikan gambaran ia kelihatan lurus dari bawah ke atas sementara batu alang melengkung sedikit untuk menyambung gambaran bundar monument lebih awal.

Di dalam bulatan ini terletak lima triliton batu sarsen diproses dan disusun dalam bentuk ladam. Batu besar ini, sepuluh menegak dan lima batu alang, dengan berat sehingga 50 tan setiap satu yang disambungkan dengan sambungan rumit. Ukiran pisau belati dan kepala kapak terdapat di sarsen. Dalam tempoh masa ini, laluan sepanjang 500 meter dibina, menuju ke arah timur laut dari pintu masuk dan mengandungi dua pasang tambak selari yang berparit ditengahnya. Akhir sekali dua batu portal besar dipasangkan di pintu masuk yang kini hanya tinggal satu, Batu Penyembelihan 4.9 meter (16 kaki) panjang. Fasa yang bercita-cita tinggi ini dipercayai hasil kerja kebudayaan Wessex Zaman Gangsa awal, sekitar 2000 SM.

Stonehenge IIIc[sunting | sunting sumber]

Selepasnya pada Zaman Gangsa, batu biru kelihatannya telah ditegakkan semula, dalam bulatan antara dua tiang sarsen dan juga dalam bentuk ladam ditengah, mengikuti tata rajah sarsen. Walaupun ia kelihatannya satu fasa kerja yang menakjubkan, pembinaan Stonehenge IIIc dibina kurang teliti berbanding Stonehenge IIIb, batu biru yang ditegakkan kelihatannya mempunyai asas yang tidak kukuh dan mulai tumbang. Salah satu daripada batu yang tumbang telah diberi nama yang kurang tepat sebagai Batu Tempat Penyembahan. Dua bulatan lubang juga digali diluar bulatan batu yang dikenali sebagai lubang Y dan Z. Lubang-lubang ini tidak pernah di isi dengan batu dan pembinaan tapak peringatan ini kelihatannya terbiar sekitar 1500 SM.

Stonehenge IV[sunting | sunting sumber]

Sekitar 1100BC, jalan laluan disambung sejauh lebih dari dua batu sehingga ke Sungai Avon walaupun ia tidak jelas siapakah yang terbabit dalam kerja binaan tambahan ini.

Teori mengenai Stonehenge[sunting | sunting sumber]

Usaha serius pertama untuk memahami monumen ini dilakukan sekitar 1740 oleh William Stukeley. Sebagaimana kecenderungannya, Stukeley silap menyatakan bahawa tapak ini dibina oleh Druid, tetapi sumbangannya yang paling penting adalah mengambil gambaran yang diukur mengenai tapak Stonehenge yang membenarkan analisa yang lebih tepat tentang bentuk dan kepentingannya. Dari hasil kerja ini dia dapat menunjukkan bahawa henge dan batunya disusun dalam bentuk tertentu yang mempunyai kepentingan takwim atau astronomi.

Kaedah bagaimana batu biru diangkut daripada Wales telah banyak diperkatakan dan berdasarkan penghasilan kerja halus, ia telah dicadangkan bahawa ia mungking merupakan sebahagian daripada batu peringatan lebih awal di Pembrokeshire dan dibawa ke Dataran Salisbury. Ramai daripada pakar arkaeologi percaya bahawa Stonehenge merupakan cubaan mengekalkan dalam bentuk batu, binaan papan yang bertaburan di Dataran Salisbury seperti Durrington Walls.

Monumen ini diselaraskan timur laut - barat daya dan ia sering dicadangkan bahawa keutamaan diletakkan oleh pembinanya pada titik solstis dan ekuinoks agar sebagai contohnya, pada pertengahan pagi musim panas, matahari muncul tepat dipuncak batu tumit, dan cahaya pertama matahari pergi terus ke tengah Stonehenge antara dua susunan batu berbentuk ladam. Tidak mungkin aturan itu berlaku secara kebetulan. Matahari timbul pada arah berlainan pada aras geografi tempat berlainan. Untuk penyelarasan itu tepat, ia mesti di kira tepat untuk latitude Stonehenge pada 51° 11'. Penyelarasan ini, tentunya asas bagi rekabentuk dan tapak bagi Stonehenge. Alexander Thom berpendapat bahawa tapak tersebut diatur menurut ukuran ela megalitik.

Disebabkan ini, sesetengah pendapat mendakwa bahawa Stonehenge melambangkan tapak pencerapan purba, walaupun berapa jauh penggunaan Stonehenge untuk tujuan tersebut dipertikaikan. Sesetengah pendapat pula mengemukakan teori bahawa ia melambangkan farah besar (Rencana dari The Observer), komputer atau juga tapak pendaratan makhluk asing.

Banyak andaian mengenai pencapaian kejuruteraan diperlukan untuk membina Stonehenge. Mengandaikan bahawa batu biru ini dibawa dari Wales dengan tenaga manusia dan bukannya oleh glaciers sebagaimana didakwa oleh Aubrey Burl, pelbagai kaedah untuk memindahkan mereka dengan menggunakan tali dan balak telah dicadangkan. Dalam satu latihan archaelogi percubaan pada 2001, satu cubaan untuk mengalihkan satu batu besar sepanjang jalan darat dan laut yang mungkin dari Wales ke Stonehenge. Sukarelawan menariknya di atas kayu luncur di daratan tetapi apabila dipindahkan ke replika bot prasejarah, batu tersebut tenggelam di laut bergelora di Selat Bristol.

Ia telah dijangkakan bahawa A-frame kayu balak ditegakkan untuk menegakkan batu dan dan satu pasukan kemudiannya menegakkannya dengan menggunakan tali. Batu alang mungkin diangkat secara beransur-ansur dengan menggunakan pelantar balak dan digeluncur ketempat sekarang. Sambungan menyerupai hasil kerja kayu membayangkan mereka mahir dengan kerja kayu dan mereka mudah mendapatkan pengetahuan untuk mendirikan monumen dengan menggunakan kaedah seumpamanya.

Ukiran senjata pada sarsens adalah unik pada seni megalitik di Kepulauan British di mana design lebih abstrak lebih digemari, begitu juga dengan aturan batu berbentuk ladam kuda adalah luar biasa bagi kebudayaan yang selalunya mengatur batu dalam bentuk bundar. Motif sebegitu bagaimanapun biasa bagi penduduk Brittany pada masa itu dan ia telah dicadangkan bahawa dua fasa Stonehenge telah dibina di bawah pengaruh tanah besar. Ini dapat menjelaskan pada satu tahap, tentang rekabentuk monumen, tetapi pada keseluruhannya, Stonehenge masih tidak dapat dijelaskan luar biasa dari sebarang konteks kebudayaan Eropah prasejarah.

Anggaran mengenai tenaga manusia yang diperlukan untuk membina pelbagai fasa Stonehenge meletakkan jumlah keseluruhan yang terbabit kepada berjuta jam manusia bekerja. Stonehenge I kemungkinannya memerlukan sekitar 11,000 jam manusia, Stonehenge II sekitar 360,000 dan pelbagai bahagian bagi Stonehenge III mungkin membabitkan sehingga 1.75 juta jam manusia. Membentuk batu-batu ini dianggarkan memerlukan 20 juta jam manusia menggunakan perkakasan primitif yang terdapat pada masa itu. Pastinya keazaman untuk menghasilkan monumen sedemikian amat kuat dan bolehlah dianggap organisasi kemasyarakatan yang maju diperlukan untuk membina dan mengekalkannya.

Sejarah baru[sunting | sunting sumber]

Matahari jatuh di Stonehenge.

Stonehenge kekal menjadi tempat mengunjung bagi Neo-druid dan kepercayaan pagan atau neo-pagan, dan merupakan tapak keraian muzik percuma yang diadakan di antara tahun 1972 sehingga 1984. Bagaimanapun, pada tahun 1985 keraian tersebut diharamkan oleh kerajaan British. Disebabkan ini, terjadi persengketaan ganas antara polis dengan pengembara moden (new age travellers ) yang dikenali sebagai Pertempuran Beanfield.

Pada tahun terkini, kedudukan henge di Dataran Salisbury telah terjejas oleh jalan A303 berhampiran antara Amesbury dan Winterbourne Stoke, dan A344. Pada masa lalu beberapa projek, termasuk terowong gali-dan-kambus telah dicadangkan untuk tapak tersebut, dan English Heritage dan National Trust telah lama berjuang untuk memindahkan jalan daripada tapak tersebut. Pada awal 2003 Jabatan Pengangkutan mengumumkan beberapa perluasan jalan utama, termasuk A303. Pada 5 Jun Agensi Lebuhraya menerbitkan draf lakaran pelan untuk lencungan jalan 13 kilometer ( 8 batu ) di Stonehenge, termasuk terowong sepanjang 2 kilometre meletakkan A303 di bawah laluan sekarang. Pada 4 September 2003 Agensi Lebuhraya mengumumkan perbincangan terbuka, dibuka pada 17 September yang akan menimbangkan samaada pelan ini mencukupi untuk tapak itu. Banyak organisasi mencadangkan terowong yang lebih panjang, yang akan melindungi kawasan arkheologi dan desa sekeliling yang lebih luas. Pelan untuk tapak tersebut termasuk pusat warisan baru, yang akan dibuka pada 2006. Pada 2008 skim jalan baru akan siap dan jalan lama akan ditutup.

Mitos dan legenda[sunting | sunting sumber]

Batu Tumit pada suatu masa dikenali sebagai Friar's Heel. Cerita rakyat, yang tidak dapat dipastikan asalnya lebih awal dari abad ke tujuhbelas, menceritakan asal nama batu ini.

Seekor jembalang telah membawa batu ini dari wanita di Ireland, membalut ia, dan membawanya ke dataran Salisbury. Salah satu dari batu tersebut jatuh kedalam Sungai Avon, bakinya dibawa ke dataran. Jembalang tersebut kemudiannya menjerit, "Tiada seorangpun akan tahu bagaimana batu ini di bawa ke sini." Seorang friar (paderi) menjawab, "Itu yang awak fikir!," dengan itu jembalang tersebut melontar batu kepadanya dan mengenai tumitnya. Batu tersebut tersebut melekat di tanah dan kekal disitu.
Batu Tumit.

Sesetengah pendapat mendakwa Tumit Friar ( "Friar's Heel" ) adalah perubahan nama "Freya's He-ol" atau "Freya Sul", dari nama Dewa Jerman Freya dan (didakwa) perkataan Welsh bagi "laluan" dan "hari matahari" menurut turutan.

Stonehenge dikaitkan dengan lagenda Raja Arthur. Geoffrey of Monmouth berkata bahawa ahli sihir Merlin telah menyelia pemindahan Stonehenge dari Ireland, di mana ia telah dibina di Gunung Killaraus oleh Gergasi yang membawa batu-batu tersebut dari Afrika. Selepas ia didirikan kembali berhampiran Amesbury, Geoffrey menceritakan dengan lebih lanjut bagaimana Uther Pendragon, kemudian Constantine III, dikebumikan di dalam bulatan batu tersebut. Dalam karangannya Historia Regum Britanniae, Geoffrey mencampurkan lagenda British dan khayalannya pada banyak tempat; ia menarik bahawa dia mengaitkan Ambrosius Aurelianus dengan monumen prasejarah ini, melihatkan bagaiman terdapat bukti nama yang sama antara Ambrosius dengan Amesbury yang berdekatan.

Replika[sunting | sunting sumber]

Terdapat replika Stonehenge bersaiz penuh sebelum runtuh di Maryhill di Washington State, dibina oleh Sam Hill sebagai peringatan perang. Malah ia selari dengan matahari terbit pada pertengahan musim panas, tetapi tepat kepada kedudukan matahari sebenar di kaki langit maya, dan bukannya kepada kedudukan matahari di kaki langit sebenar.

Replika Stonehenge terkenal yang lain keluar dalam filem This is Spinal Tap.

Bulatan kereta ( car-henge ) telah dibina sepenuhnya menggunakan kereta di Alliance, Nebraska oleh artis Jim Reynolds pada 2000 AD.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Chr. Chippindale et al., Who owns Stonehenge? (London, Batsford 1990).
  • Aubrey Burl, Prehistoric Stone Circles (Shire 2001)


Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]