Terusan Kra

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Beberapa rancangan pembinaan terusan Kra[1]
Thai Canal map-de.jpg

Terusan Kra atau Terusan Segenting Kra (juga dikenali sebagai Terusan Thai) merupakan sebuah terusan besar yang dirancang untuk membelah semenanjung Tanah Melayu di bahagian Segenting Kra. Seperti projek Terusan Suez dan Terusan Panama, tujuan utamanya ialah untuk menambah baik sistem pengangkutan laut di rantau ini.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Cadangan untuk terusan yang membelah Segenting Kra, bagi memendekkan laluan perkapalan di Asia telah diutarakan semenjak tahun 1677, bila Raja Ayuthia, Narai meminta seorang jurutera Perancis bernama De Lamar untuk membuat kajian bagi pembinaan satu terusan yang menghubungkan Songkhla dan Marid (Myanmar sekarang). Kajian mendapati cadangan ini tidak praktikal dengan kemudahan teknologi yang ada ketika itu. Pada tahun 1793, idea ini kembali diutarakan oleh adik bongsu Raja Chakri (Rama I) untuk memudahkan kapal-kapal perang melindungi pantai barat Siam. Pada awal kurun ke–18, pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris juga menunjukkan minat kepada pembinaan terusan ini. Selepas Burma menjadi jajahan British pada tahun 1863 dengan Victoria Point yang bertentangan dengan muara Kra menjadi titik paling selatannya, satu peninjauan telah dilakukan tetapi dengan hasil negatif. Pada tahun 1882, pembina Terusan Suez, Ferdinand de Lesseps telah melawat kawasan ini tetapi dilarang untuk menyelidik lebih dalam atas arahan Raja Siam. Pada tahun 1897, kerajaan Siam dan Empayar British telah bersetuju untuk tidak membina terusan ini agar kepentingan Pelabuhan Singapura di rantau ini dilindungi.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Lebar segenting Kra di bahagian terkecilnya adalah cuma 44 km, tetapi ketinggian pergunungan di kawasan ini adalah sekitar 75 m di atas aras laut. Untuk perbandingan, panjang Terusan Panama adalah 77 km, tetapi titik tertingginya di Gaillard Cut hanya 64 m di atas paras laut. Terusan Panama melepasi titik ini pada ketinggian 12 m (dasar terusan) dan 26 m (paras air terusan), jadi kapal-kapal perlu memasuki pintu air untuk dibawa naik ke ketinggian 26 m di atas paras laut. Terusan Suez pula panjangnya sehingga 192 km tetapi melalui kawasan yang mendatar.

Panjang terusan Thai yang dicadangkan ini dianggarkan antara 50 dan 100[2] km bergantung kepada laluan yang dipilih.

Perkembangan terbaru[sunting | sunting sumber]

Pada kurun ke-20, idea tentang terusan ini kembali diperkatakan, tetapi lokasiny berubah ke satu kawasan di selatan Thai, untuk menghubungkan Teluk Bandon berhampiran Surat Thani dengan Phangnga. Pada tahun 1985, terdapat satu rancangan oleh syarikat Jepun untuk membina terusan ini menggunakan lebih 20 peralatan nuklear yang setiap satunya berkekuatan dua kali ganda kuasa bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima. Tapak terbaru terusan ini dirancang di sepanjang wilayah Nakhon Si Thammarat dan Trang. Jika disiapkan, terusan ini dijangka bakal memberi ledakan ekonomi di kawasan berhampiran serta seluruh Thailand dan memberi saingan hebat kepada pelabuhan-pelabuhan di Selat Melaka seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Singapura.

Pada tahun 2005, satu laporan dalaman yang disediakan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Donald Rumsfeld telah bocor kepada The Washington Times, yang melaporkan China sedang merancang pembinaan terusan di Segenting Kra lengkap dengan pelabuhan dan pusat penapisan minyak milik China, sebagai sebahagian dari strategi "rentetan mutira" (string of pearls)nya di pangkalan hadapan dan juga keselamatan tenaga.[3] Rancangan China untuk kerja pembinaan dalam masa 10 tahun akan menggunakan tenaga kerja seramai 30,000 orang dan memakan kos antara 20 hingga 25 billion dolar Amerika.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • "Sea navigation, challenges and potentials in South East Asia: an assessment of suitable sites for a shipping canal in the South Thai Isthmus". GeoJournal 70: 161-172. October 2007. 
  • "Kra Canal (Thailand) excavation by nuclear-powered dredges". International Journal of Global Environmental Issues 8: 248-255. 2008. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 10°11′U 98°53′T / 10.183°U 98.883°T / 10.183; 98.883