Undang-undang kerakyatan British

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Undang-undang kerakyatan British menerangkan syarat-syarat di mana seseorang itu diiktiraf sebagai warganegara United Kingdom. Enam kelas kerakyatan British mempunyai taraf hak awam dan siasah yang berbeza kerana status sejarah United Kingdom sebagai empayar penjajah. Kelas utama kerakyatan British ialah kewarganegaraan British, yang dikaitkan dengan United Kingdom sendiri dan tanggungan mahkota. Rakyat asing mungkin memperoleh pewarganegaraan sebagai warganegara British selepas memenuhi keperluan duduk menetap minimum (biasanya lima tahun) dan memperoleh status menetap.

Warga British yang dikaitkan dengan wilayah luar negeri British merupakan warganegara wilayah luar negeri British (BOTC). Hampir kesemua BOTC (kecuali mereka yang dari Akrotiri dan Dhekelia) juga telah menjadi warganegara British sejak tahun 2002. Individu-individu yang mempunyai hubungan dengan bekas jajahan British mungkin boleh memegang suatu bentuk kerakyatan British lain, yang tidak memberikan hak tempat tinggal automatik di United Kingdom dan secara umumnya mungkin tidak lagi diperolehi. Kerakyatan lain ini ialah warganegara luar negeri British, rakyat British, warga British (Luar Negeri) dan orang dilindungi British.

Kesemua orang yang lahir di Kepulauan British sebelum 1 Januari 1983 secara automatiknya diberikan kewarganegaraan melalui kelahiran tanpa mengira kerakyatan ibu bapa mereka. Individu yang dilahirkan di wilayah-wilayah tersebut sejak tarikh itu hanya menerima kewarganegaraan semasa lahir jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa mereka merupakan warganegara British atau memegang status yang telah ditetapkan. Warga luar negeri mungkin diberikan status pewarganegaraan sebagai warganegara British selepas memenuhi suatu keperluan menetap minimum (sekurang-kurangnya lima tahun) dan memperoleh status yang ditetapkan.

United Kingdom sebelum ini merupakan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan warganegara British memegang kewarganegaraan penuh EU. Mereka telah memegang kebenaran automatik dan kekal untuk tinggal dan bekerja di mana-mana negara EU atau Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) dan dapat mengundi dalam pilihan raya untuk Parlimen Eropah. Walaupun UK telah menarik diri daripada kesatuan tersebut pada tahun 2020, warganegara British terus memegang kebenaran tetap untuk bekerja dan menetap di Republik Ireland sebagai sebahagian daripada Kawasan Perjalanan Bersama.

Terminologi[sunting | sunting sumber]

Secara amnya, kerakyatan merujuk kepada hubungan di sisi undang-undang antara seseorang dengan negara berdaulat dan ia merupakan istilah umum yang digunakan dalam persetujuan antarabangsa, manakala kewarganegaraan biasanya bermaksud suatu hak-hak dan tugas-tugas seseorang itu kepada negara. Perbezaan ini ditakrifkan dengan jelas di negara bukan berbahasa Inggeris tetapi tidak di Anglosfera.[1] Secara sejarahnya, seseorang itu dikaitkan dengan Britain tidak dirujuk sebagai seorang warga atau warganegara, tetapi seorang rakyat British. Kewarganegaraan British tidak diwujudkan sehinggalah Akta Kerakyatan British 1981 diluluskan. Akta ini mentakrifkan enam jenis kerakyatan dengan taraf hak sivil dan politik berbeza, bergantung kepada hubungan seseorang itu dengan United Kingdom (UK), wilayah-wilayah luar negeri atau bekas jajahan. Warganegara British memegang status mereka kerana hubungan rapat dengan UK yang biasanya diperoleh melalui kelahiran mereka (atau kelahiran ibu bapa atau datuk nenek mereka), pengambilan anak angkat, pewarganegaraan atau pendaftaran sebagai warganegara.[2]

Jenis kerakyatan[sunting | sunting sumber]

Terdapat enam jenis kerakyatan British dan mana-mana yang berikut merupakan warga British:[3]

Daripada enam status tersebut, hanya warganegara British yang mempunyai hak tempat tinggal di United Kingdom.[4] Wilayah luar negeri British merupakan kawasan di luar pulau-pulau British, di mana United Kingdom memegang kedaulatannya. Sejak tahun 2002, hampir kesemua BOTC juga memegang kewarganegaraan British kecuali mereka yang dikaitkan dengan Akrotiri dan Dhekelia.[5]

Empat kategori lain merupakan kelas kerakyatan lain yang secara umumnya tidak boleh diperolehi. BOC merupakan orang yang berhubungan dengan bekas jajahan British yang tidak mempunyai kaitan rapat dengan UK atau wilayah luar negerinya.[6] BN(O) merupakan penduduk Hong Kong yang mendaftar secara sukarela untuk status ini sebelum penyerahan wilayah itu kepada Republik Rakyat China pada 1997.[7] Rakyat British memegang status mereka melalui hubungan sama ada kepada bekas jajahan India British atau Republik Ireland sebelum 1949.[8] BPP datang dari kawasan-kawasan yang dikawal oleh Empayar British tetapi tidak pernah bergabung secara rasmi sebagai wilayah mahkota (bekas wilayah naungan, negeri lindungan serta mandat dan amanah wilayah).[9]

Upacara kewarganegaraan British[sunting | sunting sumber]

Upacara kewarganegaraan di Boro London Tower Hamlets, 2005.

Sejak 1 Januari 2004, kesemua pemohon baharu kewarganegaraan British melalui pewarganegaraan atau pendaftaran berumur 18 atau ke atas yang berjaya hendaklah menghadiri upacara kewarganegaraan dan sama ada membuat pengakuan atau mengangkat sumpah taat setia kepada raja, dan berikrar kepada UK.

Upacara kewarganegaraan biasanya diadakan oleh:

  • majlis-majlis tempatan di England, Scotland dan Wales
  • Pejabat Ireland Utara
  • kerajaan Pulau Man, Jersey dan Guernsey
  • Gabenor Wilayah Luar Negeri British
  • pejabat-pejabat konsul British di luar United Kingdom dan wilayahnya

Orang dari negara yang kini dikenali sebagai Republik Ireland yang dilahirkan sebelum tahun 1949 menuntut semula status rakyat British di bawah seksyen 31 Akta 1981 tidak perlu menghadiri upacara kewarganegaraan. Jika orang tersebut kemudiannya memohon kewarganegaraan British melalui pendaftaran atau naturalisasi, kehadiran di upacara tersebut adalah diperlukan.

Bagi yang memohon kewarganegaraan British sebelum tahun 2004:

  • sumpah taat setia ditadbir secara persendirian melalui penandatanganan borang yang disaksikan di hadapan peguam atau orang bertauliah lain.
  • mereka yang telah memegang kerakyatan British (selain daripada orang dilindungi British) dikecualikan, begitu juga dengan warganegara bagi negara yang mempunyai Raja sebagai ketua negara (seperti Australia dan Kanada).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Kondo 2001, m/s. 2–3.
  2. ^ Layton-Henry 2001, m/s. 117.
  3. ^ Sawyer & Wray 2014, m/s. 18.
  4. ^ Sawyer & Wray 2014, m/s. 28.
  5. ^ Sawyer & Wray 2014, m/s. 10.
  6. ^ Layton-Henry 2001, m/s. 124.
  7. ^ Sawyer & Wray 2014, m/s. 12.
  8. ^ "Guide B(OTA): Registration as a British citizen" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Dalam Negeri. Mac 2019. m/s. 4. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 28 Mac 2019. Dicapai pada 25 Januari 2022.
  9. ^ Jones 1945, m/s. 124.

Sumber-sumber umum[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]