Universiti Delhi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Universiti Delhi
दिल्ली विश्वविद्यालय
Latin: Universitas Delhiensis
MotoSanskrit: "निष्ठा धृति: सत्यम्"
Moto dalam Bahasa Melayu
"Khusus untuk Kebenaran"
JenisAwam
Ditubuhkan pada1922
Pembiayaan$ 474.650 juta (termasuk kolej)[1]
CanselorMohammad Hamid Ansari
Naib CanselorProf. Yogesh K Tyagi
Pelajar132,435
Siswazah114,494
Ijazah/Sarjana17,941
Lokasi, ,
28°41′N 77°13′E / 28.69°N 77.21°E / 28.69; 77.21Koordinat: 28°41′N 77°13′E / 28.69°N 77.21°E / 28.69; 77.21
Warna     Ungu
MaskotGajah
Laman sesawangdu.ac.in

Universiti Delhi ialah sebuah universiti awam pusat berkolej di New Delhi, India.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Universiti Delhi ditubuhkan pada tahun 1922 sebagai universiti unitari, pengajaran dan kediaman.[2] Penubuhannya adalah berdasarkan satu Akta oleh Dewan Undangan Pusat Kerajaan India Britain pada masa tersebut.[3]

Pada mulanya, Universiti Delhi hanya mempunyai tiga kolej dan dua fakulti. Kolej-kolej tersebut terdiri daripada Kolej St. Stephen, Kolej Hindu dan Kolej Ramjas yang asalnya merupakan kolej yang berasingan namun digabung secara rasmi apabila universiti ini ditubuhkan. Manakala Fakulti Sastera dan Sains adalah dua fakulti tersebut. Jumlah pelajar pada awalnya adalah seramai 750 orang.[4]

Pada Oktober 1933, Perpustakaan dan Pejabat Universiti dipindahkan ke Tanah Rumah Kediaman Wizurai.[5] Pada masa ini, tempat ini masih menempatkan pejabat-pejabat berkaitan dengan fungsi utama universiti.

Semenjak dari penubuhannya Universiti Delhi telah berkembang dengan cepat, seiring dengan pertumbuhan bandar Delhi. Kampus Selatan dibangunkan pada tahun 1973 bagi menampung kepesatan ini, yang mana ianya dapat memberi kemudahan akses kepada penduduk di Delhi Selatan.[6]

Pada tahun 1984, Universiti Delhi berpindah ke lokasi sekarang, iaitu di Jalan Benito Juarez.[7]

Sekarang[sunting | sunting sumber]

Universiti Delhi telah berkembang menjadi salah satu universiti terbesar di India. Pada masa ini, terdapat 16 fakulti, 86 jabatan akademik, 77 kolej dan 5 institut lain yang mana lokasinya merangkumi seluruh bandar. Terdapat juga 15 perpustakaan umum serta beberapa perpustakaan kolej.

Kampus[sunting | sunting sumber]

Universiti Delhi mempunyai 77 kolej di sekitar kawasan Delhi. Manakala terdapat dua kampus utama, iaitu Kampus Utara dan Kampus Selatan.

Bangunan Fakulti Sastera

Kampus Utara[sunting | sunting sumber]

Kampus Utara menempatkan tiga kolej pertama yang menjadi pengasas Universiti Delhi ketika ianya ditubuhkan, iaitu Kolej St. Stephen, Kolej Hindu dan Kolej Ramjas. Selain itu Kampus Utara juga menempatkan enam kolej yang lain, iaitu Kolej Daulat Ram, Kolej Hansraj, Kolej Perempuan Indraprastha, Kolej Kirori Mal, Rumah Miranda, Kolej SGTB Khalsa dan Kolej Perdagangan Shri Ram. Kesemua sembilan kolej berpusat kepada Fakulti Sastera, Sains dan Undang-Undang. Kawasan lanjutan kampus ini juga menempatkan beberapa kolej yang lain, iaitu di kawasan Rajendra Nagar Lama, Pitampura dan Ashok Vihara di Delhi.[8]

Kampus Selatan[sunting | sunting sumber]

Kampus Selatan Universiti Delhi ditubuhkan pada tahun 1973 sebagai usaha bagi menangani perkembangan yang begitu besar namun pada masa yang sama bagi mengekalkan standard akademik yang tinggi dan untuk memudahkan akses bagi penduduk Delhi Selatan.  Ianya berpindah ke lokasi sekarang di Jalan Benito Juarez, berdekatan dengan Dhaula Kuan, pada tahun 1984. Kampus ini berkeluasan 28 hektar (69 ekar). Jabatan-jabatan di sini ditempatkan di dalam Fakulti Sastera, Antara-Disiplin, Sains Gunaan dan Pusat Pengajian Pengurusan S.P. Jain.[9]

Kampus Timur sedang dibangunkan dengan Kolej Universiti Sains Perubatan sebagai nukleusnya, manakala Kampus Barat akan dijadikan sebagai fokus bagi Kejuruteraan dan Teknologi.

Fakulti dan jabatan[sunting | sunting sumber]

Universiti Delhi mempunyai 16 fakulti dan 86 jabatan akademik yang menawarkan kursus dalam pelbagai mata pelajaran dan penumpuan.

  • Fakulti Sains Sosial Gunaan & Kemanusian: Fakulti ini mempunyai dua jabatan, iaitu Ekonomi Perniagaan dan Pengajian Slavia dan Finno-Ugrik.
  • Fakulti Sastera: 14 jabatan di bawah fakulti ini ialah Pengajian Arab, Pengajian Buddha, Inggeris, Pengajian Jerman dan Romawi, Hindi, Perpustakaan & Sains Maklumat, Linguistik, Pengajian Bahasa dan Sastera India Moden, Parsi, Falsafah, Psikologi, Punjabi, Sanskrit, and Urdu.
  • Fakulti Perdagangan dan Pengajian Perniagaan: Ianya mempunyai dua jabatan: Perdagangan dan Pengajian Kewangan.
  • Fakulti Pendidikan: Fakulti ini menempatkan satu jabatan iaitu Jabatan Pendidikan.
  • Fakulti Sains Antara-Disiplin dan Gunaan: Terdapat tujuh jabatan iaitu Bio-Fizik, Biokimia, Sains Elektronik, Genetik, Mikrobiologi, Pendidikan Jasmani dan Biologi Molekul.
  • Fakulti Undang-Undang: Jabatan di dalamnya hanya Jabatan Undang-Undang.
  • Fakulti Pengajian Pengurusan: Terdapat satu jabatan iaitu Jabatan Pengurusan Perniagaan & Pentadbiran Industri.
  • Fakulti Sains Matematik: Empat jabatan di dalamnya ialah Sains Komputer, Matematik, Penyelidikan Operasi dan Statistik.
  • Fakulti Sains Perubatan: Fakulti ini menyediakan pendidikan perubatan kepada penuntut-penuntut Universiti Delhi. Ianya mempunyai 22 jabatan: Anaestesiologi, Anatomi, Biokimia, Biostatistik & Informatik Perubatan, Perubatan Masyarakat, Pergigian, Dermatologi, ENT (Telinga, Hidung dan Tekak), Perubatan Forensik, Perubatan, Mikrobiologi, Obstetrik & Ginekologi, Oftalmologi, Ortopedik, Otorinolaringologi, Pediatrik, Pembedahan Pediatrik, Patologi, Farmakologi, Fiiologi, Psikiatri, Diagnosis Radio, Terapi Radio, dan Pembedahan.
  • Fakulti Muzik dan Seni Halus: Fakulti ini mempunyai dua jabatan: Seni Halus dan Muzik.
  • Fakulti Pembelajaran Terbuka: Fakulti ini adalah berkenaan dengan pendidikan jarak jauh. Ianya mempunyai satu jabatan iaiatu Pendidikan Jarah Jauh & Berterusan.
  • Fakulti Sains: 10 jabatan di bawahnya ialah Antropologi, Botani, Kimia, Pengajian Alam Sekitar, Geologi, Sains Rumah, Kejururawatan, Farmasi, Fizik & Astrofizik, dan Zoologi.
  • Fakulti Sains Sosial: Ianya mempunyai 9 jabatan: Pendidikan Berterusan & Pengembangan Dewasa, Pengajian Afrika, Pengajian Asia Timur, Ekonomi, Geografi, Sejarah, Sains Politik, Kerja Sosial dan Sosiologi.
  • Fakulti Teknologi: Fakulti ini menawarkan kursus-kursus dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi. Pada masa ini Fakulti Teknologi hanya menempatkan Institut Teknologi Netaji Subhas. Ianya mempunyai 8 jabatan: Sains Gunaan & Kemanusiaan, Kejuruteraan Komputer, Teknologi Maklumat, Kejuruteraan Elektronik & Komunikasi, Kejuruteraan Proses Pembuatan dan Automasi, Kejuruteraan Instrumentasi & Kawalan, Kejuruteraan Mekanikal, dan Teknologi Bio.

Fakulti berkait[sunting | sunting sumber]

Universiti Delhi mempunyai dua fakulti berkait:

  • Fakulti Perubatan Ayurveda & Unani: Fakulti ini menganugerahkan ijazah kepada pelajar dalam perubatan Ayurveda dan perubatan Unani. Ianya mempunyai dua jabatan, iaitu Jabatan Perubatan Ayurveda dan Jabatan Perubatan Unani.
  • Fakulti Perubatan Homeopati: Fakulti ini menyediakan pendidikan dalam bidang Homeopati. Hanya terdapat satu jabatan di bawah fakulti ini iaitu Jabatan Perubatan Homeopati.

Konstituen[sunting | sunting sumber]

Konstituen Universiti Delhi merangkumi kolej dan beberapa institusi yang lain.

Kolej[sunting | sunting sumber]

Walaupun kolej merupakan sebahagian daripada konstituen Universiti Delhi, universiti ini adalah universiti berkolej. Kolej-Kolej Delhi tersebut terbahagi kepada tiga kategori umum: • Kolej yang ditubuhkan oleh Amanah Pendidikan atau Kebajikan. • Kolej yang diselenggarakan oleh Pentadbiran Delhi , yang bertindak sebagai amanah bagi mereka. • Kolej yang diselenggarakan oleh Universiti Delhi.

Kolej-kolej yang diselenggarakan oleh universiti mendapat 100% geran defisit penyelenggaraan sementara kolej yang dikendalikan oleh amanah mendapat 95% geran defisit.[10]

Universiti Delhi mempunyai 65 kolej yang mempunyai kursus liberal dalam kemanusiaan, sains sosial dan sains. Dua puluh lima kolej ini berkait dengan Kampus Selatan manakala yang lain adalah dengan Kampus Utara. Kolej-kolej selain dari Kolej Lady Irwin dan Institut Ekonomi Rumah Tangga adalah kolej mahasiswa. Bilangan kolej di bawah universiti naik ke 77, jika kolej yang menyediakan kursus profesional dimasukkan. Sesetengah kolej juga menawarkan kursus malam.[11]

Untuk semua kolej di Universiti Delhi, lihat senarai kolej Universiti Delhi.

Pusat-pusat dan institusi-institusi[sunting | sunting sumber]

Terdapat 27 pusat dan institusi di bawah Universiti Delhi dan ianya terbahagi kepada empat kategori:

Pusat Pasca-Siswazah[sunting | sunting sumber]

  • Pusat bagi Penyelidkan Bioperubatan Dr. B.R. Ambedkar
  • Institut Informatik & Komunikasi
  • Sekolah Ekonomi Delhi - Ditubuhkan pada tahun 1949, kampus Sekolah Ekonomi Delhi menempatkan Jabatan Ekonomi, Sosiologi dan Geografi Universiti Delhi.

Pusat-Pusat[sunting | sunting sumber]

  • Pusat Inovasi Kluster - Pusat ini berhasrat untuk mendedahkan kepada pelajar dengan sistem kajian kreatif dan inovatif yang melibatkan projek hands-on dan menghubungkan penyelidikan dengan penggunaannya dalam masyarakat. Pusat Inovasi Kluster disokong oleh Majlis Inovasi Negara dan dibantu oleh Kementerian Pembangunan Sumber Manusia Union.[12]
  • Pusat bagi Sains, Etika dan Pendidikan Daulat Singh Kothari - Objektif utama pusat ini adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat India. Ia didasari dengan sains dan teknologi, serta pendidikan yang menentukan tahap kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan rakyat.[13]
  • Pusat Penyelidikan Ekonomi Pertanian - Pusat ini telah ditubuhkan dan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian India untuk menjalankan penyelidikan mengenai aspek-aspek yang berkaitan dengan ekonomi luar bandar dan pertanian di India. Sejak itu, pusat itu telah menyiapkan lebih daripada seratus kajian berorientasikan dasar bagi Kementerian Pertanian.
  • Pusat bagi Pengurusan Alam Sekitar Ekosistem Merosot - Pusat ini berfungsi ke arah memperkukuh kesedaran, penyelidikan dan latihan dalam bidang-bidang keutamaan pengurusan alam sekitar ekosistem merosot. Pusat itu menyelaras secara rapat dengan jabatan-jabatan SES, iaitu Jabatan Biologi Alam Sekitar dan Pusat Kajian Antara-Disiplin Alam Sekitar Gunung & Bukit mengenai isu-isu pemuliharaan biodiversiti, kehilangan habitat, pencemaran dan pemulihan orang pelarian akibat aktiviti pembangunan.[14]
  • Pusat bagi Pengajian Antara-Disiplin Alam Sekitar Gunung & Bukit - Konsep pusat ini berkisar tentang idea bahawa kawasan tanah tinggi memainkan peranan penting dalam pengeluaran dan penjanaan semula sumber-sumber semula jadi seperti air bersih, hutan, di samping mengekalkan kepelbagaian genetik yang kaya dengan tumbuhan dan haiwan.[15]
  • Pusat bagi Pembangunan Profesional dalam Pengajian Tinggi - Pusat ini komited untuk menyediakan peluang-peluang pembangunan profesional dan kerjaya kepada guru di pelbagai universiti di India. Dalam mengekalkan pandangan bahawa pendidikan yang lebih tinggi dalam pembangunan negara, pusat ini membantu dalam membina kecekapan dalam bidang metodologi penyelidikan dan pedagogi, perkembangan teknologi dalam bidang ICT, Sains dan Teknologi, Alam Sekitar dan Pendidikan.[16]
  • Pusat Pendidikan Sains & Komunikasi - Pusat ini adalah sebuah institusi autonomi di mana kajian boleh dijalankan oleh guru-guru, pelajar dan individu lain yang berminat, untuk penjanaan idea dan bahan-bahan untuk memperbaiki pendidikan sains pada tahap sekolah dan universiti; dan bagi memajukan kepentingan yang lebih luas dalam bidang sains dan isu-isu saintifik, melalui segala cara komunikasi.
  • Pusat Penyelidikan Pembangunan Negara - Objektif pusat ini adalah untuk menangani secara kritis isu-isu politik dan intelektual yang penting yang muncul dari kajian dunia pasca kolonial dan mengintegrasikan pandangan ini ke dalam pengajaran pada tahap sarjana muda, ijazah lanjutan dan penyelidikan dalam rangkaian pendidikan yang luas Universiti Delhi. Usaha ini juga melibatkan cendekiawan dalam Sains Politik, Ekonomi, Sosiologi, Sejarah, Pendidikan, Falsafah, Psikologi dan Sastera.[17]
  • Pusat Pembangunan Pengajian Wanita - Pusat ini merupakan tempat tumpuan bagi kajian wanita dan jantina di Universiti Delhi. Aktiviti pusat ini meletakkan wanita dan jantina di tengah-tengah penyiasatannya, kebanyakannya memberi tumpuan kepada perspektif pelbagai disiplin kelas, kasta, bangsa, etnik, seksualiti, agama dan umur. Ianya juga menangani beberapa isu-isu sosio-politik semasa yang lain mengenai wanita.
  • Pusat Instrumentasi Sains Universiti - Pusat ini merupakan kemudahan pusat dan rumah instrumen analisis canggih. Objektif utamanya adalah untuk menyediakan perkhidmatan kepada semua penyelidik dan pelajar jabatan sains di Universiti dan kolej konstituen Universiti Delhi.

Institut diiktiraf[sunting | sunting sumber]

  • Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat - Institut ini didedikasikan kepada perjuangan orang-orang yang percaya bahawa pembelajaran tidak terikat kepada usia mahupun kelas, tetapi ianya berlaku sepanjang hidup dan dalam semua jenis keadaan.[18]
  • Kolej Kejururawatan Ahilaya Bai - Kolej ini memberi pendedahan praktikal kepada pelajar-pelajarnya, yang membantu mereka dalam memperolehi pengetahuan yang mendalam dalam bidang kejururawatan.[19]
  • Institut Fisioterapi Amar Jyoti - Institut ini menawarkan ijazah dalam fisioterapi serta melihatnya sebagai satu profesion.
  • Kolej Pendidikan Khas Durgabai Deshmukh - Kolej ini khas untuk pelajar buta. Kursus ijazah Pendidikan Khas bagi Pelajar Cacat Penglihatan mempunyai motto untuk memberdayakan penuntut-penuntut cacat penglihatan dalam jangka panjang.[20]
  • Institut bagi Orang Kurang Upaya Pt. Deen Dayal Upadhyaya - Institut ini adalah sebuah organisasi autonomi di bawah kawalan pentadbiran dan kewangan Kementerian Keadilan Sosial & Pemberdayaan, Kerajaan India. Ianya menyediakan pendidikan kepada orang kurang upaya.
  • Pusat Sains Rehabilitasi - Tujuan kolej adalah untuk menyebarkan pengetahuan mengenai terapi perkembangan dan pendidikan khas dalam sains pemulihan.[21]

Pusat berkait[sunting | sunting sumber]

  • Hospital Tentera (Penyelidikan & Rujukan)
  • Biro Pendidikan Kesihatan Pusat
  • Hospital G.B. Pant4. Hospital Hindu Rao
  • Institut Tingkah Laku Manusia & Sains Bersekutu
  • Institut Perubatan Nuklear & Sains Bersekutu
  • Hospital Kasturba
  • Institut Kebangsaan Kesihatan & Kebajikan Keluarga

Kursus[sunting | sunting sumber]

Terdapat sebanyak 75 kursus di Universiti yang berjalan di bawah struktur program ijazah sarjana muda tiga tahun, dengan beberapa pengecualian seperti MBBS, BTech dan lain-lain. Kursus tersebut diklasifikasikan di bawah tiga fakulti universiti pusat, termasuk seni, perdagangan dan sains.[22] Universiti ini menawarkan 70 ijazah sarjana. Universiti Delhi juga menawarkan Ijazah Sarjana Falsafah (MPhil) dalam kira-kira 28 mata pelajaran.[23] Selain itu, Universiti menawarkan lebih 90 kursus Sijil dan 28 Diploma. Terdapat juga 15 Diploma Lanjutan ditawarkan dalam pelbagai bahasa. Universiti ini menawarkan kursus Doktor Falsafah (PhD), yang boleh diberikan oleh mana-mana fakulti universiti di bawah ordinan VI-B.[24] Walau bagaimana pun, ijazah perubatan khusus dan super khusus seperti Doktor Perubatan (MD), Diploma Kesihatan Kanak-Kanak (DCH) dan lain-lain, hanya boleh dianugerahkan oleh fakulti sains perubatan.[25] Disebabkan kekurangan jaminan pada kualiti institusi pendidikan undang-undang, Majlis Peguam India telah mengeluarkan pemberitahuan meminta Universiti Delhi (DU) untuk menutup kursus undang-undang ditawarkan pada sesi malam di kolej itu.[26]

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Presiden India adalah sebagai Pelawat, Naib Presiden India sebagai Canselor dan Ketua Hakim Negara India sebagai Pro-Canselor Universiti. Mahkamah, Majlis Eksekutif, Majlis Akademik dan Jawatankuasa Kewangan adalah pihak berkuasa pentadbiran Universiti.[27]

  • Mahkamah Universiti

Mahkamah adalah pihak berkuasa tertinggi Universiti dan mempunyai kuasa untuk mengkaji semula tindakan Majlis Eksekutif dan Majlis Akademik.

  • Majlis Eksekutif

Majlis Eksekutif adalah badan eksekutif tertinggi Universiti.

  • Majlis Akademik

Majlis Akademik adalah badan akademik tertinggi Universiti dan bertanggungjawab bagi penyelenggaraan piawaian pengajaran, pendidikan dan peperiksaan dalam Universiti. Ia mempunyai hak untuk menasihati Majlis Eksekutif dalam semua perkara akademik.

  • Jawatankuasa Kewangan
Setiausaha AS Hillary Clinton memberi ucapan di Universiti Delhi, India pada 19 Julai 2009.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab mencadangkan dasar-dasar kewangan, matlamat, dan belanjawan yang menyokong misi, nilai-nilai dan matlamat strategik universiti.

Kehidupan pelajar[sunting | sunting sumber]

Pelajar universiti terlibat dalam pelbagai aktivisme sosial peringkat kebangsaan dan negeri. Salah satu usaha itu ialah Campus Drift,[28] yang merupakan akhbar yang dikendalikan oleh pelajar serta berfungsi sebagai pangkalan untuk maklumat mengenai semua kolej. Terdapat pelbagai litar MUN berkaitan dengan Universiti Delhi dan mereka mengutar pelbagai acara sepanjang tahun. Setiap kolej mempunyai pesta kebudayaan tahunan sendiri, beberapa pesta terkenal adalah Persimpangan MRKA, Mecca Kolej Hindu, Renaissance Kolej Kirori Mal, Tryst Keshav Mahavidyalaya dan Pertemuan yang diadakan di Kolej Hansraj. Setiap kolej mempunyai masyarakat mereka sendiri yang mempromosikan pelbagai aktiviti kurikulum.

Sukan[sunting | sunting sumber]

Stadium Universiti Delhi adalah stadium Rugby 7, terletak di dalam Kampus Utara Universiti Delhi. Berkeluasan lebih 10,000 meter persegi (110,000 kaki persegi), stadium ini mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 2500 kerusi kekal dan 7500 sementara. Kerja-kerja pembinaan bermula pada tahun 2008 dan ianya telah dirasmikan pada bulan Julai 2010, menjelang Sukan Komanwel 2010,[29] dan juga termasuk kawasan latihan untuk Netball, Tinju, Gusti Wanita dan Olahraga.[30]

Selepas sukan tersebut stadium ini diserahkan kepada universiti oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Komanwel dan pada tahun 2011 universiti itu memulakan rancangan naik taraf yang meluas, untuk mencipta arena serbaguna dengan kemudahan luar dan tertutup,[31] supaya selepas siap pelajar universiti boleh mengakses kemudahannya dalam akhir tahun 2011.[32]

Alumni dan fakulti ternama[sunting | sunting sumber]

Universiti Delhi telah melahirkan ramai tokoh terkenal, termasuk sekurang-kurangnya tujuh ketua-ketua negara atau kerajaan dan dua Penerima Anugerah Nobel.

Alumni ternama Universiti Delhi terdiri dari ahli-ahli politik utama India, termasuk Narendra Modi, Perdana Menteri India dan bekas Ketua Menteri Gujarat; Sheila Dikshit, bekas Ketua Menteri Delhi; Madan Lal Khurana, bekas Ketua Menteri Delhi dan Gabenor Rajasthan; Sucheta Kripalani, bekas Ketua Menteri Uttar Pradesh dan Ketua Menteri wanita pertama India; Naveen Patnaik, Ketua Menteri semasa Orissa; Naveen Jindal, ahli politk Kongres Kebangsaan India; Montek Singh Ahluwalia, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perancangan; Rahul Gandhi, Ahli Parlimen Kongres Kebangsaan India; Salman Khurshid, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Korporat dan Minoriti; Kapil Sibal, Menteri Kesatuan bagi Pembangunan Sumber Manusia; Ambika Soni, bekas Menteri Penerangan dan Penyiaran; Arun Jaitley, Menteri Kewangan; dan Arun Shourie,[33] bekas Menteri Kesatuan bagi Disinvestment. Fakhruddin Ali Ahmed, Presiden India kelima, lulus dari Kolej St. Stephen, apabila kolej itu di bawah Universiti Punjab, dan Mohammed Junaid lulus dari Kolej Shaheed Bhagat Singh.

Alumni ternama UD luar termasuk Bingu wa Mutharika, Presiden Malawi; Muhammad Zia-ul-Haq (graduan Kolej St. Stephen),[34] Presiden Pakistan keenam; Girija Prasad Koirala, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Nepal empat kali; dan Aung San Suu Kyi, aktivis pro-demokrasi, pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi di Myanmar dan penerima anugerah Hadiah Keamanan Nobel (Nobel Peace Prize) 1991.

Dalam bidang sains dan kejuruteraan, alumni ternama termasuk ahli fizik Archana Bhattacharyya,[35] Pran Nath, Jogesh Pati (MSc pada tahun 1957)[36] dan Amitava Raychaudhuri; ahli kimia Charusita Chakravarty dan Anil Kumar Tyagi (PhD dalam Biokimia Perubatan);[37] jurutera Vinod Dham; dan ahli matematik Eknath Prabhakar Ghate.

Dalam kemanusiaan dan sains sosial, alumni ternama termasuk Gita Gopinath, profesor ekonomi di Universiti Harvard; Kaushik Basu, ahli ekonomi dan Naib Presiden Kanan dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia; ahli sejarah seperti Arundhati Virmani, Ramnarayan Rawat, Upinder Singh dan Usha Sanyal; dan Veena Das, profesor antropologi di Universiti Johns Hopkins.

Universiti Delhi juga telah menghasilkan sejumlah besar pelakon utama filem dan teater India termasuk Amitabh Bachchan, Imran Zahid, Shah Rukh Khan dan Huma Qureshi.[38]

Dalam bidang seni pula Universiti mempunyai alumni ternama seperti pemenang Anugerah Akademi Sahitya dan pengarang drama Punjabi Dr. Harcharan Singh, eksponen Kathak Uma Sharma, eksponen Bharatnatyam Geeta Chandran, dan eksponen Odissi Baisali Mohanty.

Ahli-ahli fakulti ternama UD termasuk tokoh sejarah Profesor R.S. Sharma; Amartya Sen, penerima Hadiah Peringatan Nobel dalam Sains Ekonomi; Manmohan Singh, bekas Perdana Menteri India; Sukhamoy Chakravarty, ahli ekonomi dan seorang arkitek utama rancangan Lima Tahun di India;[39] Jagdish N. Bhagwati, ahli ekonomi di Universiti Columbia;[40] dan Ra'ana Liaquat Ali Khan, isteri Perdana Menteri pertama Pakistan, Liaquat Ali Khan.[41] Dinesh Singh, bekas Naib Canselor Universiti yang juga profesor matematik di universiti.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mohanty, Basant Kumar (23 June 2014). "UGC brings DU row to a head in admission season". Front Page. Delhi: The Telegraph. Telegraph India. Dicapai pada 22 October 2015.
  2. ^ [1]
  3. ^ [2]
  4. ^ [3]
  5. ^ [4]
  6. ^ [5]
  7. ^ [6]
  8. ^ "University of Delhi: North Campus Colleges".
  9. ^ "Government of NCT of Delhi: South-West Delhi".
  10. ^ "Funding Higher Education Institutes" (PDF). University Grants Commission.
  11. ^ "Colleges Under DU". EduArena.
  12. ^ "About Cluster Innovation Centre". dubeat.com.
  13. ^ "D.S. Centre for Science, Ethics and Education". mirandahouse.ac.in.
  14. ^ "CDEMDE, University of Delhi". Ministry of Environment, Forest and Climate Change, Government of India.
  15. ^ "Centre for Inter-disciplinary Studies of Mountain & Hill Environment, DU". cismhe.org.
  16. ^ "CPDHE, University of Delhi".
  17. ^ "Developing Countries Research Centre, Delhi". punjabcolleges.com.
  18. ^ "ILLL, Delhi".
  19. ^ "Ahilya Bai College of Nursing, DU". minglebox.com.
  20. ^ "Visual Impairment Colleges". Jagran Josh.
  21. ^ "School of Rehabilitation Sciences, Hauz Khas, Delhi". Higher Education India.
  22. ^ "UG Programs in University of Delhi". Careers360.
  23. ^ "DU: Courses & Syllabi".
  24. ^ "Ordinance VI-B - Doctor of Philosophy (Ph.D.) - University of Delhi" (PDF).
  25. ^ "FMSc - Courses Offered".
  26. ^ "Shutdown evening law colleges at DU: Bar Council".
  27. ^ "DU Administration". Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-07-28. Dicapai pada 2016-06-25.
  28. ^ http://www.campusdrift.com
  29. ^ "Delhi University gets swanky new stadium". Hindustan Times. 15 July 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-26. Dicapai pada 2016-06-25.
  30. ^ Delhi University Sports Council
  31. ^ "A guide to Delhi University facilities: All play". The Times of India. 19 Jul 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-10. Dicapai pada 2016-06-25.
  32. ^ "Brand new". The Times of India. 3 January 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-03. Dicapai pada 2016-06-25.
  33. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-07-11. Dicapai pada 2016-06-25.
  34. ^ Ekbal, Nikhat (2009). Great Muslims of undivided India. Delhi: Kalpaz Publications. m/s. 104. ISBN 978-8178357560.
  35. ^ "INSA - Archana Bhattacharyya". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-03-15. Dicapai pada 15 March 2014.
  36. ^ "Biographical sketch: Jogesh Chandra Pati" (PDF). Stanford University. Dicapai pada 15 July 2014.
  37. ^ "Curriculum vitae: Anil K. Tyagi" (PDF). Delhi University. Dicapai pada 15 August 2014.
  38. ^ http://campusdrift.com/top-10-women-alumni-of-delhi-university/
  39. ^ "History". Delhi School of Economics. Dicapai pada 15 August 2014.
  40. ^ "Professor Jagdish N. Bhagwati". Columbia University. Dicapai pada 15 August 2014.
  41. ^ "Begum Ra'ana Liaquat Ali Khan". Herald (Pakistan).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]