Walt Disney Studios (Burbank)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pitnu masuk Walt Disney Studios di Alameda Avenue

Walt Disney Studios di bandaraya Burbank, California, Amerika Syarikat, merupakan ibu pejabat antarabangsa konglomerat media The Walt Disney Company.

Kakitangan Disney mula berpindah dari studio Disney lama di Hyperion Avenue di Silver Lake pada 24 Disember 1939. Bangunan studio Disney ini direka terutamanya oleh Kem Weber dengan seliaan Walt Disney dan abangnya Roy, dan merupakan satu-satunya kompleks studio yang masih wujud dari Zaman Keemasan perfileman. Syarikat Walt Disney adalah satu-satunya syarikat Big Ten yang masih bebas dari ikatan syarikat induk. Walt Disney Studios juga satu-satunya studio perfileman/animasi yang tidak mengadakan lawatan lot belakang.

Asalnya, Walt Disney Studios direka berdasarkan proses animasi, iaitu bangunan animasi utama di tengah-tengah kampus, dan bangunan-bangunan bersebelahan untuk jabatan penceritaan, jabatan muzik, jabatan dakwat dan pewarnaan, dan bermacam-macam lagi fungsi studio. Kesemua bangunan disambungkan dengan laluan pejalan kaki dan terowong. Kampus ini juga merangkumi sebuah teater filem dan beberapa pentas bunyi. Filem The Reluctant Dragon yang dibintangi Robert Benchley, dijadikan lawatan studio baru itu yang juga kerap disaksikan dan dikunjungi di beberapa rancangan televisyen Walt Disney.

Pada akhir 1940-an, studio ini mula menggiatkan filem aksi langsung untuk mengumpul dana secukupnya. Biarpun filem-filem terawalnya dirakam di England, namun keperluan membina kemudahan filem lakonan sebenar tetap timbul. Disebabkan kekurangan modal untuk melakukannya sendiri, Jack Webb menawarkan sejumlah wang untuk membina pentas aksi langsung sebagai tukaran untuk penggunaannya (Webb menggunakannya untuk merakam siri TV Dragnet). Ketika ini, lot belakang juga dibina dan kekal dalam perkarangan studio sehingga rombakan pengurusan pada 1980-an.

Pada tahun 1986, setelah Walt Disney Productions distrukturkan semula menjadi The Walt Disney Company, semua bangunan diubah suai untuk menampung lebih ruang untuk penerbitan filem aksi langsung serta pejabat-pejabat pentadbiran. Kini, wisma Walt Disney Studios terdiri daripada berbilang bangunan pejabat dan pentadbiran, dan sepuluh pentas bunyi. Bangunan utamanya ialah bangunan pasukan kepimpinan iaitu Team Disney Burbank, siap pada tahun 1990 dan direka oleh Michael Graves. Bangunan Team Disney Burbank berisi pejabat Presiden dan CEO Robert A. Iger, di samping bilik Lembaga Pengarah. Ia juga menempatkan pejabat para ahli Pengurusan Kanan, seperti ketua-ketua Walt Disney International, Walt Disney Parks and Resorts dan Walt Disney Studio Entertainment. Bangunan ini menerima timangan "Seven Dwarfs Building" kerana dihiasi tumpu kasau tujuh orang kerdil yang menyokong bumbung bangunan sebagai penghormatan kepada filem animasi Snow White and the Seven Dwarfs yang memberikan pendapatan kepada Walt Disney untuk membeli lot di Burbank.

Pada 23 Januari 2006, sebagai penghargaan kepada kepimpinan Michael Eisner di syarikat ini selama 21 tahun, bangunan Team Disney didedikasikan semula sebagai Team Disney - The Michael D. Eisner Building.

Ketika penstrukturan semula, kemudahan animasi dirasmikan semula sebagai anak syarikat bernama Walt Disney Feature Animation, manakala operasinya dipindahkan ke gudang Air Way di Glendale. Pada tahun 1995, siapnya bangunan Feature Animation baru di seberang jalan dari lot utama. Studio baru ini merupakan hasil seni bina berwarna-warni yang dihiasi topi tukang sihir (Sorcerer's Hat) gergasi yang pernah menempatkan pejabat Roy E. Disney, bekas ketua WDFA.

Akhir-akhir ini, selepas Disney membeli rangkaian televisyen ABC, sebuah ibu pejabat baru untuk rangkaian tersebut dibina di seberang Riverside Drive berhampiran Feature Animation Building. Bangunan ABC building direka oleh Aldo Rossi dan dihubungkan dengan lot dengan sebatang jambatan ular biru yang melintasi Riverside Drive. Bangunan ABC juga menempatkan pejabat anak syarikat lain seperti ABC Studios dan Buena Vista International.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Koordinat: 34°09′31″N 118°19′33″W / 34.15861°U 118.32583°B / 34.15861; -118.32583