Zainon Munshi Sulaiman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Zain Sulaiman

PSM, JMN; PIS (II) (Johor)
Anggota Parlimen Malaysia
untuk Pontian Selatan, Johor
Dalam jawatan
1959–1964
Didahului olehKonstituensi ditubuhkan
Digantikan olehAli Ahmad
Butiran peribadi
LahirZainon binti Munshi Sulaiman
(1903-01-22)22 Januari 1903
Nyalas, Melaka, Negeri-negeri Selat, British Malaya (kini Malaysia)
Meninggal dunia2 April 1989(1989-04-02) (umur 86)
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru
PasanganHaji Amin bin Ahmad (k. 1934; m. 1945)
Anak-anak3 (termasuk Adibah Amin)
PekerjaanPendidik dan Bekas Ahli Parlimen

Tan Sri Hajah Zainon binti Munshi Sulaiman (22 Januari 1903 – 2 April 1989) atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain merupakan tokoh pendidik dan politik wanita terkenal.[1]

Biografi Ringkas[sunting | sunting sumber]

Ibu Zain dilahirkan di Nyalas, Melaka. Ibu Zain merupakan anak ke-6 dari lapan adik beradik. Ayahnya, Munshi Sulaiman berasal dari Tanjung Pinang, Riau. Ibu Zain bertuah kerana Munshi Sulaiman mempunyai kesedaran yang tinggi peri pentingnya pendidikan di kalangan anak-anaknya, tidak kira lelaki mahupun perempuan. Malah, ayahnya melanggar tradisi masyarakat Melayu ketika itu yang melarang anak perempuan dari belajar, selain daripada belajar mengaji Al-Quran. Munshi Sulaiman merupakan seorang guru agama Islam dan Bahasa Melayu. Guru bahasa pada masa itu digelar 'munshi'. Daripada beliaulah, Ibu Zain mendapat pendidikan tidak formal.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Seorang anak kecil yang cergas dan cerdas akal, Zainon gigih menimba ilmu. Ketika mengikut ayahnya menetap di Melaka, beliau belajar di Methodist Girls School, Tengkera (1909 - 1912) diikuti Tengkera School (1913 - 1915) sehingga lulus Junior Cambridge. Suatu pencapaian yang tidak ramai mampu gapai, khususnya di kalangan anak gadis. Lebih membanggakan Ibu Zain mampu mempertahankan akidahnya yang terdidik dari kecil ketika ditawarkan menjadi mubaligh Kristian.

Kejayaan yang dicapainya dikongsi pula dengan masyarakat. Beliau mempunyai kesedaran yang sangat tinggi untuk melihat lebih ramai kaum wanita pandai membaca dan menulis kerana ilmu merupakan kunci yang membentuk jati diri beliau sendiri. Semuda usia 17 tahun, Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Sejak itu, beliau semakin mendapat perhatian. Pada tahun 1921, beliau berhijrah ke Muar untuk berkhidmat di Sekolah Perempuan Bandar Maharani. Tahun 1924, beliau dilantik menjadi Guru Besar sekolah yang sama. Kemudiannya, dilantik menjadi Guru Pelawat/Penyelia bagi sekolah perempuan daerah Muar dan Batu Pahat, seterusnya bagi seluruh negeri Johor. Di sana, beliau mengasaskan sekolah agama petang dan menjadi penyelia kegiatan tersebut. Selain itu, sekolah tersebut juga menjadi sekolah agama perempuan yang pertama di Johor.

Ibu Zain juga aktif dalam persatuan. Beliau adalah antara mereka yang bertanggungjawab menubuhkan Persatuan Guru-Guru Sekolah Melayu dan Sekolah Agama Negeri Johor. Kewibawaan beliau menambat keyakinan ahli, untuk melantiknya sebagai Presiden pertama persatuan itu. Beliau juga menubuh dan menyandang jawatan Yang Dipertua Persekutuan Guru-Guru Perempuan Melayu selama 19 tahun sejak tahun 1930.

Di antara tahun 1929-1941, Ibu Zain menghasilkan majalah untuk wanita, bergelar "Bulan Melayu". Dengan daya juang yang tinggi, beliau merupakan salah seorang perintis UMNO dan Ketua Kaum Ibu, UMNO (sekarang Ketua Wanita UMNO).

Politik[sunting | sunting sumber]

Ibu Zain turut aktif dalam bidang politik. Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor mewakili parti UMNO pada tahun 1948. Berbeza dengan kebanyakan ahli politik yang lain, Ibu Zain lebih suka bercakap soal pendidikan. Pada tahun 1959, beliau dipilih sebagai wakil rakyat bagi kawasan Pontian Selatan.

Jasa Ibu Zain tambah bermakna selepas pendudukan Jepun di bumi Malaya. Beliau menjalankan kegiatan dakwah bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun, selain membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh askar tersebut. Lebih mengejutkan, beliau mampu menguasai bahasa Jepun dalam tempoh sebulan sahaja.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain turut menyumbang bakti. Beliau berjaya menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Di zaman konfrontasi dengan komunis, wanita berani ini mendaftar diri sebagai tentera sukarela dan meredah hutan seorang diri. Beliau bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain bagi menangkis dakyah komunis daripada menular di kalangan masyarakat. Ternyata usaha beliau membuahkan hasil. Pada tahun yang sama 10 Mac 1963 beliau dilantik sebagai Pengetua Kolej Puteri Tuanku Ampuan Mariam.

Ibu Zain turut memainkan peranan dalam mendaulatkan bahasa Melayu. Beliau terlibat dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1956, sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958.

Pilihan raya 1959[sunting | sunting sumber]

Beliau merupakan ahli politik Perikatan/ UMNO di Malaysia. Beliau menang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 bagi kawasan Pontian Selatan, negeri Johor (1958-1964).

Ketika itu Perdana Menteri Malaysia ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein. Pilihan raya ini adalah yang pertama selepas merdeka 31 Ogos 1957. Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan berperingkat-peringkat , bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu Sabah dan Sarawak belum menyertai / membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen bertambah dari 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi dan pembangkang menang 30 kerusi.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Di atas jasa dan sumbangan beliau yang tidak terbalas itu, beliau telah diberikan beberapa penghormatan dari dalam dan luar negara. Antaranya Pingat Ibrahim Sultan (1947), Johan Mangku Negara (1958), pingat Lady of Myanmar dari Kerajaan Myanmar dan pingat Tun Fatimah (1974), Tokoh Guru Kebangsaan Pertama dan Ijazah Kehormat Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya, Ijazah Kehormat Sarjana Sastera, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975), anugerah Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri (1979) dan MPSI memberi anugerah Suluh Budiman (1980).

Meninggal Dunia[sunting | sunting sumber]

Ibu Zain meninggal dunia pada 2 April 1989 di Johor Bahru kerana sakit barah dalam perut dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Berbeza dengan kaum wanita yang sezaman dengannya, beliau lewat mendirikan rumah tangga. Ibu Zain berkahwin dengan Encik Haji Amin bin Ahmad pada tahun 1934 pada usia 31 tahun. Hasil perkongsian hidup, mereka dianugerahkan tiga cahayamata.[2] Khalidah Adibah adalah yang paling menonjol. Beliau lebih dikenali dengan nama penanya, Adibah Amin.

Dalam budaya masyhur[sunting | sunting sumber]

Ibu Zain dilakonkan oleh Liza Othman dalam filem 1957: Hati Malaya (2007) arahan Shuhaimi Baba.

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran, By Abdul Rahman Haji Abdullah
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-12-08. Dicapai pada 2018-08-13.