Ānḍāḷ

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Andal atau Godadevi di kuil Narayana Tirumala

Andal atau Ānḍāḷ (Tamil: ஆண்டாள்) ialah satu-satunya wali wanita dalam tradisi Śri Vaiṣṇavisme. Ānḍāḷ amat popular sebagai penulis karya Thiruppāvai dan Nācciyār Tirumoḷi yang masih dinyanyikan ketika musim sejuk dalam bulan Margazhi (atau Dhanus).

Pengenalan[sunting | sunting sumber]

Gopuram kuil Andal Temple di Srivilliputthur, Tamil Nadu.

Śri Laksmi menjelma dalam tiga keadaan. Jelmaan pertama-Nya ialah sebagai Śri Devi. Sebagai Isteri Vishnu, Śri Devi berada dalam hati Vishnu. Jelmaan kedua-Nya ialah sebagai Bhudevi, yang menjadi menjadi kegembiraan Vishnu. Niladevi ialah jelmaan ketiga Sri Laksmi. Dengan menyanyikan keagungan dan kehebatan Narayana, Niladevi berada dalam keasyikan cinta-Nya. Bhudevi menjelma di bumi sebagai Ānḍāḷ pada tahun 3025 S.M. Kuil Srivilliputhur di Tamil Nadu didedikasikan sebagai tempat lahir Ānḍāḷ .

Nama lainnya ialah Kodhai atau Godādevi. Dalam bahasa Sanskrit, ‘Goda’ bermaksud pemberi ayat-ayat suci yang indah; pemberian bumi; atau pemberi kalungan bunga. Semua maksud-maksud ini amat tepat untuk Ānḍāḷ. Oleh kerana, Ānḍāḷ dikatakan telah berkahwin dengan Śri Ranganatha (Viṣṇu), dia juga dikenali sebagai Ranganayaki.

Asal-Usul[sunting | sunting sumber]

Periyāḷvār, seorang Vaishnava telah menemui seorang bayi berdekatan sebatang pohon Tulasi (Ocimum tenuiflorum) di taman kuil Srivilliputhur. Ketika memetik daun Tulasi untuk memuja Vishnu, dia menemui bayi itu. Periyāḷvār menamakan bayi itu sebagai "Kodhai" yang bermaksud "hadiah Dewi Bumi". Dalam pandangan pertamanya, Periyāḷvār mula menyayanginya. Periyāḷvār yang tidak mempunyai anak, menganggapnya sebagai rahmat Narayana.

Sejak kecil, Ānḍāḷ juga amat menyayangi Narayana. Dia tidak suka bermain dengan budak-budak lain. Seringkali dia akan duduk bersendirian di kuil dan bercakap sendiri. Kadang-kadang dia akan ketawa dan kadang-kadang, akan menangis berpilu-pilu kerana telah berpisah dengan Narayana. Apabila tidak ada orang lain berdekatan, dia akan mencuri masuk ke dalam kuil untuk memakai kalungan bunga Narayana. Pada suatu hari, bapanya ternampak dia sedang memakai kalungan Tulasi yang disediakan untuk Narayana. Periyāḷvār memarahinya kerana tidak ada kalungan lain untuk dipersembahkan kepada Narayana. Pada malam itu, Narayana muncul dalam mimpi Periyāḷvār dan berkata: “Kenapa kamu tidak mempersembahkan saya kalungan Tulasi hari ini? Saya berasa amat gembira untuk menerima persembahan pemuja saya. Jangan berfikir bahawa Ānḍāḷ seorang manusia biasa.” Pada keesokan paginya, Periyāḷvār berasa terkejut apabila mendapati kalungan Tulasi yang telah dipakai oleh Ānḍāḷ masih tidak layu. Sebalikya, kalungan itu kelihatan lebih segar dan lebih cantik seperti kalungan baru. Tanpa ragu-ragu, Periyāḷvār memakaikan kalungan itu pada berhala Narayana.

Ānḍāḷ menjadi seorang gadis yang penuh dengan cinta ketuhanan. Dia enggan untuk berkahwin dengan sesiapa pun. Seperti golongan gopī di Vrindavan, Ānḍāḷ ingin menjalani hidupnya demi cinta Śri Krishna. Menurut tradisi, Ānḍāḷ telah bersatu dengan imej Śri Ranganatha di kuil Sri Rangam (Tamil Nadu).

Warisan[sunting | sunting sumber]

Ānḍāḷ mencipta seratus tujuh puluh tiga ayat-ayat suci dalam bahasa Tamil. Karyanya yang bernama Tiruppāvai dengan 30 ayat-ayat suci amat popular dalam kalangan Śri Vaiṣṇava. Karya ini dinyanyikan dalam bulan Margazhi (Sanskrit : Dhanus iaitu apabila matahari berada dalam zodiak Sagittarius). Satu lagi karya popularnya ialah Nācciyār Tirumoḷi.

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]

Sri Vaisnava

Ramanujacharya