Apa Kata Wanita Orang Asli

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Apa Kata Wanita Orang Asli merupakan satu kolektif belia wanita Orang Asli yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan negeri-negeri dalam Semenanjung Malaysia. Visi Apa Kata Wanita Orang Asli adalah untuk mengetengahkan identiti dan isu-isu masyarakat Orang Asli seperti isu pendidikan, alam sekitar, representasi dalam media, perspektif gender dan hak Orang Asli dengan menggunakan platform media.


Kolektif ini aktif sejak tahun 2018 dimana belia wanita Orang Asli telah didedahkan dengan pengetahuan tentang hak asasi manusia, hak wanita dan hak Orang Asli. Kolektif ini telah dibimbing oleh Freedom Film Network (FFN), Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) dan EMPOWER. Mereka lalu menghasilkan sebuah buku "Kami Pun Ada Hak Bersekolah" yang menceritakan tentang cabaran-cabaran belia wanita Orang Asli dalam mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti. Pada tahun 2020, mereka mula menghasilkan filem pendek yang pertama iaitu "Selai Kayu Yek".

Ahli Kolekftif[sunting | sunting sumber]

Belia Wanita Orang Asli ini terdiri daripada pelbagai suku kaum Orang Asli dan negeri dalam Semenanjung Malaysia. Antaranya suku Temiar, Jakun, Semai, Semelai, Temuan dan lain-lain. Ahli kolektif ini datang dari negeri Perak, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor. Walaupun mereka serumpun bangsa Orang Asli, namun bahasa, adat tradisi dan landskap mereka sangat berbeza dan unik bagi setiap suku kaum.


Para belia wanita Orang Asli telah diberi peluang dan ruang untuk memastikan suara mereka didengari melalui platform media. Mereka telah dilatih dan telah berjaya menguasai pelbagai kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi, seni kreatif media dan menjadi fasilitator atau pelatih Bengkel Mencipta Konten Video kepada belia-belia Orang Asli yang lain.

Filem Pendek Yang Dihasilkan[sunting | sunting sumber]

Selai Kayu Yek[sunting | sunting sumber]

Selai Kayu Yek yang bermaksud Kebun Ubi Saya merupakan filem pertama yang dihasilkan pada tahun 2020. Filem ini telah melibatkan 20 belia wanita Orang Asli dan pakar-pakar dari industri filem. Penggambaran filem ini dijalankan selama 2 minggu di Kampung Orang Asli Pos Ber, Gua Musang, Kelantan. Filem ini adalah bahasa Temiar yang mengisahkan tentang peranan belia wanita Orang Asli dalam menjaga Wilayah dan Tanah Adat mereka daripada dicerobohi oleh pihak luar.


Klinik Ku Hutan[sunting | sunting sumber]

Klinik Ku Hutan telah dihasilkan pada tahun 2021 dan merupakan filem yang kedua Apa Kata Wanita Orang Asli. Filem ini dihasilkan di Kampung Chang dan Kampung Lapan, Bidor, Perak. Filem ini merupakan kerjasama antara komuniti Orang Asli Semai yang dijalankan selama 10 hari. Klinik Ku Hutan menceritakan tentang kepentingan dalam menjaga hutan kerana ia merupakan sumber-sumber utama bagi masyarakat Orang Asli. Orang Asli sangat bergantung kepada hutan dan menganggap bahawa hutan merupakan klinik dan pasaraya semulajadi bagi mereka.



Rahsia Rimba[sunting | sunting sumber]

Rahsia Rimba merupakan filem ketiga yang merupakan filem yang berbentuk animasi dan dalam bahasa suku Jakun. Filem ini dihasilkan pada musim pandemik Covid-19 dan secara atas talian. Rahsia Rimba menceritakan tentang adat dan pantang larang ketika berada di dalam hutan dan mengetengahkan realiti tentang diskriminasi terhadap pelajar Orang Asli.