Besbol

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Stadium besbol Fenway Park di bandar raya Boston.

Besbol [bés-bol] (bahasa Inggeris: baseball) merupakan sukan melibatkan pemukulan bola" (bat-and-ball) yang dimainkan oleh dua pasukan. Satu pasukan dianggotai oleh sembilan pemain. Matlamat utama besbol adalah untuk mengumpulkan markah (run) dengan memukul bola yang dilempar menggunakan tongkat pemukul (bat) lalu mengelilingi keempat-empat tapak (base) yang terletak di sudut-sudut sebuah segi empat (diamond). Pemain-pemain dalam pasukan memukul bergilir-gilir cuba memukul bola yang dilontar oleh pelempar dari pasukan lain, iaitu pasukan pemadang. Pasukan pemadang pula cuba menghalang pasukan pemukul daripada mengumpul markah dengan "mematikan" (out) pemukul-pemukul melalui cara-cara tertentu. Kedua-dua pasukan beralih antara memukul dan memadang setiap kali pasukan memadang berjaya mematikan tiga pemukul. Pasukan-pasukan mempunyai sembilan giliran (atau dikenali sebagai "pusingan," inning) untuk memukul dan memadang. Biasanya (terutamanya pada tahap profesional), satu perlawanan terdiri daripada sembilan pusingan. Pasukan yang berjaya mengumpulkan markah terbanyak selepas pusingan terakhir menang.

Sukan ini sangat masyhur di Jepun dan Cuba serta juga Amerika Syarikat; negara ini giat dalam sukan ini melalui penglibatan dalam liga profesional disertai bersama negara-negara Amerika Utara lain iaitu Major League Baseball (MLB). Kejuaraan dalam MLB turut dipertandingkan antara dua pasukan dalam satu siri perlawanan yang dikenali sebagai World Series. Besbol pernah menjadi acara utama Sukan Olimpik pada 1992, namun acara sedemikian tidak lagi dianjurkan sejak 2008 di Beijing. Sejak 2005, Klasik Besbol Dunia (World Baseball Classic) diadakan setiap empat tahun dan merupakan kejohanan dunia antara pasukan negara utama dalam sukan ini.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Rekod terawal sejarah besbol (sejauh mana diketahui) terdapat di dalam penerbitan pihak British bertarikh 1744, "A Little Pretty Pocket-Book", ditulis oleh John Newbery. Buku tersebut mengandungi gambarajah anak-anak muda di dalam permainan besbol; ia kelihatan hampir sama dengan permainan besbol yang terdapat pada masa kini.

Permainan[sunting | sunting sumber]

Besbol dipertandingkan oleh dua pasukan yang bergilir-gilir menyerang (memukul, batting) dan bertahan (memadang, fielding serta melempar, pitching). Biasanya, pasukan tamu memukul dahulu, dan pasukan tuan rumah memukul pada akhir setiap pusingan (sering dipanggil separuh pusingan kedua, second half-inning). Matlamat besbol adalah untuk mengumpul jumlah markah (run) lebih daripada pasukan lain. Pasukan memukul cuba mengumpulkan markah dengan mengelilingi empat tapak (base) yang terletak di penjuru-penjuru segi empat di atas padang. Pemain memukul di plat rumah (home plate) dan mula bergerak lawan arah jam ke tapak pertama, tapak kedua, tapak ketiga dan akhirnya kembali ke plat rumah untuk mendapat satu markah. Pasukan memadang pula cuba menghalang pemukul-pemukul daripada mencatatkan markah serta mematikan mereka. Selepas seorang pemukul mati (out), dia dikeluarkan sehingga gilirannya untuk memukul lagi. Selepas tiga kali mati, pasukan memadang menjadi pasukan memukul, dan sebaliknya untuk pasukan memukul. Kalau kedua-dua pasukan seri jumlah markah selepas sembilan pusingan, mereka terus bermain dalam pusingan tambahan sehingga satu pasukan menang.

Logistik[sunting | sunting sumber]

Rajah padang besbol profesional.

Padang besbol disempadankan oleh dua garisan foul yang berlanjutan dari plat rumah pada sudut 45 darjah. Kawasan 90 darjah dalam garisan-garisan dianggap sebagai kawasan adil (fair territory). Kawasan 270 darjah di luar pula kawasan foul (foul territory). Kawasan yang dikelilingi oleh empat base serta beberapa ela selanjutnya dikenali sebagai kawasan dalam (infield), dan kawasan di luar infield serta di dalam kawasan adil ialah kawasan luar (outfield). Timbunan (mound) yang mempunyai sekeping plat getah terletak di tengah infield. Disinilah pelempar berdiri semasa melempar bola. Sempadan luar outfield biasanya dipagarkan.

Alatan yang diperlukan dalam besbol ialah bola besbol, tongkat pemukul (bat), sarung tangan (mitt) serta topi keselamatan.

Lilitan bola besbol ialah kira-kira 23 sentimeter. Ia diperbuat daripada getah atau gabus dan ditutupi oleh bahan kulit lembu putih dengan benang jahit merah.

Mainan[sunting | sunting sumber]

Sebelum setiap separuh pusingan bermula, kesembilan-sembilan pemain pasukan pemadang mengambil kedudukan masing-masing di atas padang. Pelempar (pitcher) berdiri di atas timbunan. Dia menolakkan kakinya dari plat getah untuk menjanakan kelajuan ketika melontar bola ke plat rumah. Penangkap (catcher) bertinggung dekat plat rumah, berdepan pelempar. Penjaga-penjaga kawasan dalam (infielders) pula berdiri di sekeliling tapak. Penjaga tapak pertama (first baseman) berdiri beberapa ela ke kiri tapak pertama, penjaga tapak kedua (second baseman) berdiri di kanan tapak kedua, shortstop (penjaga tapak kedua dan ketiga) berdiri di kiri tapak kedua, dan penjaga tapak ketiga berdiri di kanan tapak ketiga. Penjaga-penjaga kawasan luar (outfielders) pula berdiri di kawasan outfield. Penjaga kawasan luar terbahagi kepada penjaga kiri (left fielder), penjaga tengah (center fielder) dan penjaga kanan (right fielder).

Seorang pemukul (batter) dari pasukan lain berdiri dekat plat rumah, di antara pelempar dan penangkap. Dia menunggu sehingga pelempar melempar bola kepada penangkap, dan cuba memukul bola itu dengan tongkat pemukul. Tugas penangkap yang bertinggung di belakang pemukul ialah untuk menangkap bola yang tidak (atau gagal) dipukul oleh pemukul, lalu memulangkannya kepada pelempar. Jika pemukul berjaya memukul bola, dia mesti berlari ke tapak pertama. Kalau dia berjaya sampai ke mana-mana tapak tanpa dimatikan, dia dianggap selamat (safe), dan kini berada di tapak (on base). Kalau dia berjaya memukul bola ke luar sempadan kawasan luar sebelum jatuh ke atas padang, dia dikatakan mencapai lari habis (home run). Selepas lari habis, pemukul serta pelari-pelari lain di tapak bebas bergerak ke plat rumah, kesemuanya mendapat satu markah untuk pasukan.

Lemparan bola yang tidak dipukul kedalam kawasan adil dianggap "strike" atau "ball". Satu strike diberikan jika:

  • Pemukul membenarkan bola yang dilempar melalui zon strike ditangkap oleh penangkap.
  • Pemukul mengayun tongkat pemukul tetapi gagal memukul bola (walaupun di luar zon strike).
  • Pemukul memukul bola ke kawasan foul (foul ball), iaitu bola jatuh ke atas kawasan foul. Namun, kalau pemukul mempunyai dua strike, bola foul tidak dianggap sebagai strike ketiga.

Zon strike merupakan zon rekaan dari tengah bahu dan tali pinggang pemukul sehingga lututnya. Selepas tiga strike, pemukul dimatikan (strikeout).

Satu ball diberikan jika bola dilempar ke luar zon strike. Selepas empat ball, pemukul bebas berjalan (walk/base on balls) ke tapak pertama. Dia juga bebas berjalan jika badannya dikenakan bola yang dilempar.

Ketika pasukan memukul cuba mengumpul markah, pasukan memadang pula cuba mematikan pemukul dan -pelari melalui:

  • Pematian strike (strikeout): pemukul diberikan tiga strike ketika cuba memukul bola.
  • Pematian layang (flyout): pemukul dimatikan jika bola yang dipukulnya ditangkap sebelum jatuh ke atas padang.
  • Pematian paksa (force out): pelari di tapak cuba bergerak ke tapak seterusnya apabila bola dipukul tetapi gagal sampai sebelum penjaga tapak menangkap bola sambil menyentuh tapak tersebut.
  • Pematian kejar (tag out): pelari yang tidak berada di tapak disentuh oleh penjaga yang memegang bola.

Kalau pasukan memadang berjaya mematikan dua pelari/pemukul dalam satu urutan, ia dipanggil urutan dua kali ganda (double play). Urutan tiga kali ganda juga tidak mustahil, tetapi jarang berlaku. Pemain yang mati dikeluarkan sementara daripada perlawanan dan menunggu sehingga giliran seterusnya. Seorang pelari hanya boleh mengelilingi tapak-tapak satu kali untuk mendapat satu markah setiap giliran memukul. Urutan pemukul-pemukul ditentukan sebelum perlawanan bermula, dan tidak boleh diubah kecuali akibat penggantian pemain. Kalau seseorang pemain digantikan oleh pemain lain, pemain itu yang dikeluarkan tidak dibenarkan terlibat dalam perlawanan lagi.

Kebanyakan pertandingan besbol membenarkan pasukan memukul menggunakan satu pemain tambahan, iaitu pemukul khas (designated hitter). Bakal pemukul mengambil alih tugas memukul apabila tibanya giliran pelempar.

Anggota pasukan[sunting | sunting sumber]

Senarai pemain[sunting | sunting sumber]

Satu pasukan dalam Major League Baseball terdiri daripada 25 orang pemain, iaitu:

  • lapan pemain berkedudukan (position players), iaitu penangkap, empat penjaga kawasan dalam serta tiga penjaga kawasan luar
  • lima pelempar mulaan (starting pitchers) yang bergilir-gilir melempar setiap perlawanan
  • enam pelempar legaan (relief pitchers) yang menggantikan pelempar mulaan jika perlu. Termasuk juga pelempar tamatan (closer) yang dikhususkan untuk melempar pada akhir perlawanan
  • satu penangkap gantian (backup catcher)
  • dua penjaga kawasan dalam gantian (backup infielders)
  • dua penjaga kawasan luar gantian (backup outfielders)
  • satu pemukul gantian (pinch hitter) jika bakal pemukul tidak dibenarkan, satu penangkap gantian kedua atau pelempar legaan ketujuh

Kakitangan lain[sunting | sunting sumber]

Pengurus pasukan merupakan ketua pelatih. Beliau ditugaskan mengatur strategi pasukan, seperti menetapkan urutan memukul, memilih pemain mulaan serta menggantikan pemain-pemain dalam satu perlawanan. Pengurus biasanya mempunyai penolong pelatih lain, yang membantu dalam aspek yang lebih terperinci, seperti latihan teknik dan sebagainya. Biasanya dalam perlawanan, dua pelatih berdiri dekat tapak pertama dan ketiga untuk memberi arahan kepada pelari-pelari. Pengurus dan pelatih-pelatih biasanya memakai pakaian yang sama dengan pemain-pemain.

Pengadil[sunting | sunting sumber]

Satu perlawanan memerlukan beberapa pengadil (umpires) yang membuat keputusan mengenai urutan mainan. Seorang pengadil berdiri di belakang penangkap dan pemukul untuk memutuskan sama ada bola yang ditangkap adalah ball atau strike. Pengadil-pengadil lain berdiri di dekat tapak-tapak untuk menyaksikan pematian. Perlawanan dalam MLB memerlukan empat orang pengadil, yang berdiri dekat keempat-empat tapak. Dalam peringkat kalah mati, dua pengadil tambahan berdiri di sebelah garisan foul.

Statistik[sunting | sunting sumber]

Statistik besbol sering dianggap sebagai pengukur prestasi pasukan serta pemain. Aspek-aspek permainan yang biasa dicatatkan termasuk:[1][2][3]

  • Masa memukul (At bat, AB): jumlah kali pemukul berada di plat rumah untuk memukul, kecuali apabila dia dapat berjalan (walk), dikenakan oleh bola yang dilempar atau mengorbankan sendiri (sacrifice).
  • Pukulan (Hits, H): jumlah kali pemukul sampai kepada base, tanpa kesilapan (error) atau akibat pilihan pemadang (fielder's choice).
  • Markah akibat pukulan (Runs batted in, RBI): jumlah markah yang dicatat akibat pemukulan oleh pemain, kecuali pemain itu dimatikan dalam urutan dua kali ganda (double play) atau sampai kepada base kerana kesilapan.
  • Lari habis (Home run, HR): pemukul berjaya mengelilingi empat base selepas memukul bola, tanpa kesilapan pasukan pemadang.
  • Purata memukul (Batting average, BA): pukulan dibahagikan oleh masa memukul.
  • Curian base (Stolen bases, SB): jumlah kali pemukul yang berada di base berjaya maju ke base seterusnya ketika pelempar sedang melempar bola.
  • Ditangkap mencuri (Caught stealing, CS): dimatikan oleh pemadang ketika cuba mencuri base.
  • Pematian (Putouts, PO): jumlah kali seorang pemadang mematikan pemain pasukan lain.
  • Bantuan (Assists, A): jumlah kali pasukan berjaya mematikan pemukul setiap kali seseorang pemadang menyentuh bola.
  • Kesilapan (Errors, E): jumlah kali seorang pemadang gagal menjalankan tugasnya yang sepatutnya memerlukan usaha kecil, dan akibatnya menguntungkan pasukan memukul.
  • Jumlah kesempatan (Total chances, TC): jumlah pematian, bantuan dan kesilapan - iaitu jumlah kali seorang pemadang melibatkan diri dalam mainan.
  • Purata memadang (Fielding percentage, FP): jumlah kesempatan yang menguntungkan pasukan pemadan, iaitu pematian campur bantuan, dibahagikan oleh jumlah kesempatan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Official Rules/10.00—The Official Scorer (Rules 10.02a, 10.04, 10.21b)" (PDF). Major League Baseball. Dicapai pada 2009-02-22.
  2. ^ "Official Rules/10.00—The Official Scorer (Rule 10.07)" (PDF). Major League Baseball. Dicapai pada 2009-02-22.
  3. ^ "Official Rules/10.00—The Official Scorer (Rules 10.15, 10.17, 10.19, 10.21a, 10.21e)" (PDF). Major League Baseball. Dicapai pada 2009-02-22.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Pertubuhan
Statistik
Berita