Pergi ke kandungan

Bukit Bendera

Koordinat: 5°25′28″U 100°16′08.1″T / 5.42444°U 100.268917°T / 5.42444; 100.268917
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bukit Bendera

Penang Hill (Inggeris)
升旗山 (Cina)
கொடி மலை/ புக்கிட் பெண்டேரா (Tamil)

Titik tertinggi
Ketinggian833 m (2,733 ka)
Tonjolan735 meter (2,411 ka)
Koordinat5°25′28″U 100°16′08.1″T / 5.42444°U 100.268917°T / 5.42444; 100.268917
Geografi
Bukit Bendera yang terletak di Pulau Pinang
Bukit Bendera
Bukit Bendera
Lokasi dalam    George Town di    Pulau Pinang
LokasiPulau Pinang
NegaraMalaysia
NegeriPulau Pinang
Pendakian
Laluan paling mudahKereta Api Bukit Bendera

Bukit Bendera ialah sebuah tempat peranginan bukit yang terdiri daripada beberapa gabungan puncak dan terletak hampir di tengah-tengah Pulau Pinang. Ia berada kira-kira 9 km (5.6 bt) di barat pusat bandar George Town. Nama ini turut digunakan untuk merujuk kepada Flagstaff Hill yang merupakan bahagian puncaknya yang paling pesat membangun. Salah satu puncak dikenali sebagai Bukit Strawberi dan merupakan nama rumah milik Francis Light, pengasas jajahan di Pulau Pinang.

Bukit Bendera terdiri daripada beberapa buah bukit dengan titik tertinggi berada di Bukit Barat, mencapai ketinggian 833 m (2,733 ka) dari paras laut. Bukit ini merupakan kawasan berbukit bukau yang terlihat asing berbanding kawasan pamah lain di Malaysia kerana ketinggian serta kehijauan alamnya. Kawasan ini pernah dijadikan tempat percutian semasa zaman penjajahan British dan kini menjadi destinasi pelancongan popular kerana sejarah dan warisannya.

Puncak Bukit Bendera di kawasan pelancongan utama boleh dicapai melalui Kereta Api Bukit Bendera dari stesen awal di Jalan Stesen Bukit Bendera. Sehingga kini, sistem kereta api funikular ini merupakan satu-satunya seumpamanya di Malaysia dan telah membawa lebih sejuta pelawat ke puncak bukit setakat 2014.[1]

Bukit Bendera merupakan sebahagian daripada Rizab Biosfera Bukit Bendera yang diakui oleh UNESCO sebagai Rizab Biosfera ketiga di Malaysia dalam senarai Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).[2]

Pemandangan dari Bukit Bendera
Pandangan tenggara ke arah Gelugor dan Pulau Jerejak pada 1817
Sebuah funikular Doppelmayr Garaventa 100-FUL mendaki Bukit Bendera, dengan latar belakang Farlim, Gelugor dan Pulau Jerejak

Kapten Francis Light, pengasas jajahan di Pulau Pinang mula menandakan laluan kuda dari air terjun di Kebun Bunga Pulau Pinang ke puncak bukit pada 1788.[3] Beliau membersihkan kawasan tersebut untuk menanam strawberi sehingga dikenali sebagai Bukit Strawberi (Strawberry Hill).[4]

Nama Bukit Bendera dalam bahasa Melayu sebenarnya merujuk kepada Flagstaff Hill yang merupakan nama rasmi bukit ini. Nama ini merujuk kepada tiang bendera di luar rumah "Bel Retiro", kediaman rasmi Gabenor Pulau Pinang yang dibina oleh Francis Light sekitar tahun 1789.[3][5] Namun, kawasan ini lebih dikenali sebagai "Penang Hill" dalam bahasa Inggeris, merujuk kepada gabungan bukit sedangkan nama seperti "Flagstaff Hill" dan "Strawberry Hill" digunakan untuk puncak-puncak tertentu.[6]

Bukit ini menjadi tempat percutian dingin penjajah British daripada cuaca panas dan ancaman malaria di kawasan rendah. Banyak banglo dibina di puncak Bukit Bendera untuk pegawai kerajaan dan anggota tentera. Sebuah banglo pemulihan dibina pada 1803.[7][8]

Antara bangunan terawal di Bukit Strawberi ialah sebuah rumah yang dibina oleh David Brown di atas tanah pemberian Francis Light. Namun, sejarawan Australia, Marcus Langdon berpendapat rumah itu sebenarnya dibina oleh William Edward Phillips, pemilik Rumah Suffolk, bukan David Brown.[9] Rumah itu terbakar sebelum dibina semula pada abad ke-19 dan digunakan sebagai restoran setakat tahun 2012.[8]

Pejabat pos pertama dibuka pada 1894 dan sebuah hotel iaitu Hotel Crag milik Sarkies Bersaudara telah ditubuhkan pada 1895 tetapi dijual pada 1920-an. Ia beroperasi hingga ditutup semasa Perang Dunia II. Bangunan ini kemudian digunakan sebagai sekolah berasrama bernama The International School of Penang (Uplands) dari 1955 hingga 1977.[3] Balai polis pertama pula dibina pada 1929 dan bangunannya masih wujud di lokasi yang sama.

Pada awalnya, satu-satunya cara untuk naik ke puncak adalah dengan berjalan kaki, menunggang kuda atau menaiki tandu (usungan). Percubaan pertama membina kereta api bermula pada 1897 tetapi gagal. Ia dibina antara 1901 dan 1905 namun mengalami masalah teknikal.[4][10]

Kerajaan Selat kemudian melancarkan projek baharu untuk membina kereta api funikular Bukit Bendera dengan kos 1.5 juta dolar Selat. Ia mula dibuka kepada umum pada 21 Oktober 1923 dan dirasmikan pada 1 Januari 1924. Kereta api ini mencetuskan pembangunan pesat banglo dan rumah percutian di kalangan orang Eropah dan tauke Cina tempatan yang kaya-raya.[7] Ia juga menaikkan nama Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan utama di Pulau Pinang, menerima lebih sejuta pelawat setahun menjelang 2012.[11]

Sebuah usaha naik taraf besar-besaran bermula pada 2010. Landasan kereta api diperbaharui, membolehkan capaian yang lebih pantas ke puncak, manakala kemudahan pengunjung, laluan pejalan kaki dan pelantar pandang juga dibina.[12]

Peta 1884 menunjukkan bahagian timur laut Pulau Pinang. Bukit Bendera ditandakan di sebelah kiri atas sebagai "Government Hill"

Topografi

[sunting | sunting sumber]

Bukit Bendera ini pada asasnya merupakan jisim berbukit yang terdiri daripada batuan granit. Jajaran bukit lebih tinggi di bahagian utara dengan titik tertinggi terletak di Bukit Barat pada ketinggian 833 m (2,733 ka) dari aras laut. Selain Bukit Barat, terdapat beberapa puncak lain di kawasan ini seperti Bukit Laksamana, Bukit Harimau, Bukit Bendera, Bukit Halliburton, Bukit Strawberi dan Bukit Kerajaan (atau Government Hill).[6][3] Bukit Bendera berada di ketinggian 735 m (2,411 ka) dari aras laut.

Beberapa batang sungai dan aliran sungai kecil berasal kawasan ini. Sungai Pinang merupakan sungai terbesar yang bermula dari sebilangan anak sungai di kawasan tersebut.

Guna tanah

[sunting | sunting sumber]

Disebabkan iklim yang lebih sejuk, Bukit Bendera sejak lama menjadi destinasi percutian yang popular. Beberapa buah banglo telah dibina di sekitar Bukit Bendera yang asal. Bahagian utara Bukit Bendera pula kurang membangun.

Kawasan Bukit Kerajaan, Bukit Timah dan beberapa kawasan lain telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air, dan sebarang pembangunan tidak dibenarkan.

Potensi rekreasi juga wujud di bahagian hulu sungai, di mana kualiti air masih bersih. Di beberapa lokasi, perubahan aras tanah secara mendadak menghasilkan siri air terjun kecil dan jeram yang menjadi lokasi popular bermandi-manda, berendam dan berkelah.

Kawasan pamah Bukit Bendera banyak digunakan untuk tujuan pertanian dan kediaman.

Map
About OpenStreetMaps
Maps: terms of use
560m
610yds
8
8 Hotel Crag
8 Hotel Crag
7
Hotel
Bellevue
6
Bel Retiro
5
Dataran
4
4 Stesen Tengah
4 Stesen Tengah
3
3 Stesen Claremont
3 Stesen Claremont
2
2 Stesen Viaduct
2 Stesen Viaduct
1
1 Stesen Atas
1 Stesen Atas
Peta bahagian Bukit Bendera.
Ketik pautan di penjuru kanan atas untuk meluru masuk.
1
Stesen Atas
2
Stesen Viaduct
3
Stesen Claremont
4
Stesen Tengah
5
Dataran Bukit Bendera
6
Bel Retiro
7
Hotel Bellevue
8
Hotel Crag

Kebolehcapaian

[sunting | sunting sumber]
Funikular Kereta Api Bukit Bendera yang dinaik taraf kali terakhir pada 2010

Cara paling mudah untuk naik ke Bukit Bendera adalah melalui Kereta Api Bukit Bendera, sebuah kereta api funikular dari Air Itam ke puncak Bukit Bendera. Perjalanan sejauh 2,007 m (6,585 ka) ini dahulunya mengambil masa kira-kira setengah jam dengan hentian di stesen-stesen pengantara atas permintaan. Namun, sistem yang telah dinaik taraf kini membolehkan perjalanan tanpa henti ke puncak dalam masa lima hingga sepuluh minit.

Stesen Bawah Bukit Bendera, terletak di hujung barat Jalan Stesen Bukit Bendera.

Sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan dan kebergantungan terhadap kereta api, sistem kereta kabel menghubungkan puncak bukit dengan KebungBunga sedang dalam pembinaan setakat 2024. Projek ini dijangka siap pada 2026.[13]

Sebagai alternatif, terdapat laluan bertar sepanjang 5.1 km (3.2 bt) yang dikenali sebagai laluan jip. Laluan ini hanya dibuka kepada kenderaan milik penduduk Bukit Bendera. Ia juga digunakan oleh penunggang motosikal lasak dan para pendaki. Laluan ini bermula dari kuari di pintu masuk Taman Botani Pulau Pinang dan mengambil masa dua hingga tiga jam berjalan santai ke puncak. Antara hentian terkenal di sepanjang laluan ini ialah hentian 52 dan 84, di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan pulau serta mendapatkan air dan teh yang disediakan oleh penduduk setempat. Hentian 84 ialah hentian terakhir sebelum tiba di puncak, terletak kira-kira 45 minit lagi dari situ.

Laluan lintasan Kereta Api Bukit Bendera

Jalan Sultan Yahya Petra, atau lebih dikenali sebagai Summit Road, menghubungkan stesen puncak dengan bahagian barat Bukit Bendera menuju ke Bukit Barat dan Bukit Harimau.

Lereng timur Bukit Bendera pula mempunyai rangkaian jalan dan laluan seperti Jalan Moniot, Jalan Viaduct dan Jalan Terowong. Jalan Moniot dinamakan sempena seorang Perancis, Michael Jules Moniot, yang menjalankan kerja ukur antara tahun 1846 hingga 1855. Jalan ini telah diwartakan sebagai Jejak Warisan pada 1995 oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Terdapat juga rangkaian laluan berkuda yang menghubungkan pelbagai banglo. Laluan ini dibina oleh banduan paksa India yang dibawa dari Bengkulu di Sumatera ke Pulau Pinang pada separuh kedua abad ke-19.

Terdapat juga pelbagai laluan mendaki bermula dari kaki bukit seperti dari Moongate, Empangan Air Itam, Estet Hye Keat dan Taman Bandaraya (dahulunya Taman Belia). Sesetengah laluan ini turut digunakan oleh petani untuk membawa hasil tani ke pasar di Balik Pulau dan Air Itam.

Pusat bandar George Town dilihat dari Bukit Bendera

Ciri utama Bukit Bendera ialah iklimnya yang lebih sejuk. Kawasan puncak utama mempunyai suhu purata antara 20°C hingga 27°C. Suhu minimum purata secara konsisten di bawah 21°C. Bulan paling panas adalah antara Disember dan April, manakala bulan paling sejuk antara Jun hingga Oktober. Secara umumnya, suhu di sini 5°C lebih sejuk berbanding pusat bandar.[14]

Demografi

[sunting | sunting sumber]
Komposisi etnik di Bukit Bendera pada 2020[15]
Etnik / Kewarganegaraan Peratusan
Bukan Warganegara
  
77.1%
Cina
  
12.7%
India
  
6.0%
Lain-lain
  
2.1%
Melayu
  
1.8%
Orang Asal
  
0.3%

Setakat 2020, Bukit Bendera mempunyai jumlah penduduk seramai 332 orang.[15] Kaum bukan warganegara membentuk lebih 77% daripada penduduk, diikuti oleh kaum Cina hampir 13%, dan kaum India sebanyak 6%.

Tumbuhan dan haiwan

[sunting | sunting sumber]

Jenis hutan yang paling lazim terdapat di Bukit Bendera ialah hutan dipterokarpa bukit.[16] Di altitud yang lebih tinggi, terdapat juga beberapa spesies oak-laurel subgunung serta pokok konifer. Paku gajah yang biasanya dikaitkan dengan kawasan beraltitud tinggi turut terdapat di sini.

Bukit Bendera penting dari sudut saintifik sebagai lokasi jenis bagi banyak spesies tumbuhan di Malaysia. Dahulu, ahli botani datang ke sini mengumpul tumbuh-tumbuhan untuk tujuan herbarium di seluruh dunia. Kawasan ini kaya dengan biodiversiti dan mempunyai banyak spesies endemik, sesetengahnya sangat langka dan terancam pupus.

Spesies yang langka dan terancam termasuk tumbuhan parasit Exorhopalia ruficeps yang tumbuh di kawasan semak yang lembap dan teduh. Anggerik selipar Pulau Pinang (Paphiopedilum barbatum) kini semakin pupus akibat pengumpulan berlebihan. Maingaya malayana, spesies pokok geruk yang terancam telah ditemukan semula beberapa tahun lalu dan kini sedang dibiakkan.

Mamalia besar tidak ditemukan di Bukit Bendera. Hanya babi hutan, mamalia kecil dan sederhana seperti tupai biasa, tupai akar dan monyet yang kelihatan. Beberapa spesies binatang di kawasan bukit ini adalah nokturnal contohnya musang, kubung, tupai terbang dan kelawar.

Pada waktu petang, bunyi khas cengkerik sering kedengaran. Ketika diteliti, belalang ranting dan mentadak daun yang pandai menyamar boleh dilihat bersembunyi di balik tumbuhan.

Bukit Bendera kaya dengan kepelbagaian spesies burung. Lebih 100 spesies burung atau kira-kira 80% daripada jumlah burung di Pulau Pinang telah direkodkan di sini. Spesies ini terdiri daripada burung taman biasa hinggalah penghuni hutan yang jarang ditemui.

  1. ^ Matthew Tan Kiak Hin (Disember 2015). "To the summit, anyone?". Penang Monthly.
  2. ^ "Penang Hill Biosphere Reserve, Pulau Pinang – UNESCO". Dicapai pada 3 Januari 2022.
  3. ^ a b c d Jin Seng Cheah (26 February 2013). Penang 500 Early Postcards. Editions Didier Millet. ISBN 978-9671061718.
  4. ^ a b Joe Bindloss, Celeste Brash (2008). Kuala Lumpur, Melaka & Penang. Lonely Planet Publications. m/s. 202. ISBN 978-1741044850.
  5. ^ "Penang Hill".
  6. ^ a b "Welcome to Penang Hill". Diarkibkan daripada yang asal pada 19 February 2017.
  7. ^ a b Julia De Bierre (2006). Penang: Through Gilded Doors. Areca Books. m/s. 130. ISBN 978-9834283421.
  8. ^ a b Frances Wilks (December 21, 2012). "Penang's Hill Station". Expat Go.
  9. ^ "The light of his life Francis Light's contributions are fondly remembered but not those of his wife". Star Online. Article quotes Clodd (1948) and historians Ooi Kee Beng and Marcus Langdon. 6 April 2013. Dicapai pada 27 October 2019.CS1 maint: others (link)
  10. ^ "About us: Corporate Info". Diarkibkan daripada yang asal pada 22 April 2015.
  11. ^ "Bukit Bendera visitors doubled last year". Astro Awani. January 8, 2013.
  12. ^ Matthew Tan Kiak Hin. "One heck of a hill". Penang Monthly.
  13. ^ "PM Anwar tekankan pertimbangan budaya dan alam sekitar bagi projek kereta kabel Bukit Bendera". Malay Mail. 29 Jun 2024. Dicapai pada 2 Julai 2024.
  14. ^ "Bukit Bendera". Penang Attractions.
  15. ^ a b "MyCensus 2020: Mukim/Bandar/Pekan". Jabatan Perangkaan Malaysia. Putrajaya: 174–175. Februari 2024. ISBN 9789672537069.
  16. ^ Simon Gardner, Pindar Sidisunthorn dan Lai Ee May, 2011. Heritage Trees of Penang. Pulau Pinang: Areca Books. ISBN 978-967-57190-6-6

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]