Buzkashi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Permainan Buzkashi di Mazari Sharif, Afghanistan

Buzkashi atau Kokpar merupakan sukan tradisional Asia Tengah yang mana pemain yang menunggang kuda cuba mengheret bangkai kambing ke arah gawang. Pada awal-awalnya, pertandingan boleh menelan masa berhari-hari, tetapi dalam versi kejohanan moden ia diberi had masa perlawanan.

Buzkashi dimainkan dalam kalangan suku-suku Afghan (Pashtun), Kazakh, Uzbek, Hazara, Tajik, Kyrgyz, dan Turkmen. Nama sukan ini dalam bahasa Turkik ialah Kökbörü; Kök = "biru", börü = "serigala", iaitu serigala selaku lambang suci kaum-kaum Turkik. Sukan ini juga dikenali dalam bahasa-bahasa Turkik sebagai Ulak Tartish, Kuk Pari, Kök Berü, dan Ulak Tyrtysh. Di rantau Barat, sukan ini (Cirit dalam bahasa Turki) turut dimainkan oleh bangsa Turki keturunan Kyrgyz yang berhijrah ke kampurng Ulupamir di daerah Van, negara Turki dari kawasan Pamir. Di China Barat, bukan hanya terdapat Buzkashi menunggang kuda, bahkan juga yang menunggang yak di kalangan suku Tajik di Xinjiang.[1]

Peraturan dan variasi[sunting | sunting sumber]

Pertandingan buzkashi biasanya amat sengit. Sebelum diperkenalkannya peraturan rasmi oleh Persekutuan Olimpik Afghanistan, sukan ini biasanya diadili berasaskan peraturan-peraturan seperti dilarang sengaja mencemeti penunggang lain atau menjatuhkan penunggang lain dari kudanya. Penunggnang biasanya memakai pakaian berat-berat serta topi keselamatan sebagai perlindungan daripada cemeti dan kasut pemain lain. Kasutnya mempunyai tumit tinggi yang disambungkan kepada pelana kuda untuk membantu si penunggang bersandar di sisi kuda sambil cuba mengambil bangkai kambing. Perlawanan boleh dilangsungkan selama berhari-hari, dengan ganjaran buat pasukan yang menang yang tidak semestinya berbentuk wang.

Peraturan-peraturan oleh Persekutuan Olimpik Afghanistan:

  1. Padang berbentuk segi empat sama, panjang setiap sisinya 400 meter.
  2. Setiap pasukan terdiri daripada 10 orang pemain.
  3. Hanya lima orang ahli sepasukan boleh turun padang dalam satu separuh masa.
  4. Jumlah tempoh setiap separuh adalah 45 minit.
  5. Hanya terdapat satu waktu rehat 15 minit antara kedua-dua separuh.
  6. Perlawanan dikawal selia oleh pengadil.
  7. Atas keputusan pengadil, penunggang boleh digantikan di tengah permainan.

Peraturan kokpar Kazakhstan mula-mula ditentukan dan dipantau secara rasmi pada tahun 1949. Mulai tahun 1958, kokpar mulai diadakan di hipodrom (balapan kuda). Besar sesebuah padang kokpar bergantung pada bilangan peserta. Peraturan kokpar telah menjalani beberapa perubahan sepanjang sejarah. Antara peraturan modennya adalah:

  1. Terdapat dua pasukan, setiap satunya 10 pemain
  2. Hanya empat orang pemain sepasukan boleh turun padang pada satu-satu masa
  3. Pasukan dibenarkan menggantikan pemain atau kudanya
  4. Padangnya 200 meter panjang dan 80 meter lebar
  5. Dua buah kazan – gawang besar berdiameter 3.6 meter dan tinggi 1.5 meter terletak di sebelah-sebelah bertentangan di padang
  6. Satu markah diperoleh setiap kali bangkai kambing dijaringkan di dalam gawang lawan
  7. Bangkai kambing dibawa ke tengah padang selepas jaringan

Adalah juga dilarang untuk menunggang ke arah penonton dan/atau menerima bantuan penonton, begitu juga memulakan perlawanan kokpar tanpa mengangkat sumpah untuk bermain adil.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ . m/s. 162. ASIN B00AZKSHHS. ISBN 7-5613-2787-0. Missing or empty |title= (bantuan)