Kambing

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kambing bela jinak
Julat zaman: .01–0 Ma
Neolitik - Kini
Kambing pigmi
Dibelajinakkan
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Keluarga: Bovidae
Subkeluarga: Caprinae
Genus: Capra
Spesies:
Subspesies:
C. a. hircus
Nama trinomial
Capra aegagrus hircus
(Linnaeus, 1758)
Sinonim

Capra hircus

[1]Kambing bela jinak (Tulisan Jawi: كمبيڠ بلا جينق; Capra aegagrus hircus) merupakan satu subspesies kambing yang dibela jinak daripada kambing liar Asia Barat Daya dan Eropah Timur. Kambing dirangkum dalam famili Bovidae bersama spesies lain seumpama biri-biri kerana kedua-duanya tergolong dalam subkeluarga Caprinae. Terdapat lebih 300 baka kambing yang berlainan.[2] Kambing adalah antara spesies yang paling lama dibela jinak, iaitu untuk susu, daging, bulu, dan kulit di seluruh dunia.[3] Pada tahun 2011, bilangan kambing yang hidup di seluruh dunia mencecah 924 juta menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu.[4]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Teras tanduk kambing dari kampung Neolitik Atlit Yam

Kambing adalah antara haiwan terawal yang dibela jinak oleh manusia.[5] Analisa genetik paling terkini[6] mengesahkan bukti kaji purba bahawa kambing gurun Bezoar dari Banjaran Zagros barangkali adalah asal-usul hampir semua kambing bela jinak masa kini.[5]

Kaum petani Neolitik mula menggembala kambing liar terutamanya untuk mudah memperoleh susu dan daging, di samping juga tinja yang digunakan sebagai bahan api, tulang, bulu dan urat untuk diperbuat pakaian, bangunan dan peralatan.[2] Tinggalan-tinggalan kambing bela jinak terawal yang bertarikh 10,000 tahun dahulu ditemui di Ganj Dareh, Iran. Rangka kambing ditemui di tapak-tapak kaji purba di Jericho, Choga Mami[7] Djeitun dan Çayönü, mentarikhkan pembelajinakan kambing di Asia Barat pada antara 8000 ke 9000 tahun dahulu.[5]

Kajian-kajian terhadap bukti DNA membayangkan 10,000 tahun dahulu sebagai tarikh pembelajinakan.[6]

Menurut sejarah, kulit kambing digunakan sebagai bekas air dan minuman keras dalam perkelanaan serta pengangkutan minuman keras dagangan. Ia juga digunakan untuk membuat kertas kulit.

Anatomi dan kesihatan[sunting | sunting sumber]

Kambing dikira sebagai haiwan ternakan kecil berbanding dengan haiwan-haiwan besar seperti lembu, unta dan kuda, tetapi lebih besar daripada ternakan mikro seperti ayam itik, arnab, tikus belanda dan lebah. Setiap baka kambing yang diiktiraf rasmi mempunyai julat berat badan tertentu dari sebesar 300 paun (136 kg) untuk kambing jantan yang berbaka besar-besar seperti Boer, atau sekecil 45 ke 60 paun (20–27 kg) untuk kambing betina yang kecil-kecil.[8] Dalam setiap baka boleh terdapat variasi saiz yang berpunca daripada kelainan strain atau keturunan. Antara baka-baka terkecil adalah baka mini seperti Pigmi Afrika yang berdiri setinggi 16 ke 23 inci (41.5–58.5 cm) pada paras bahu dewasa.[9]

Anak mata sepet mendatar

Kebanyakan kambing semula jadi tumbuh dua batang tanduk yang pelbagai bentuk dan saiz mengikut bakanya. Kambing tumbuh tanduk melainkan ia "dogol" (polled), iaitu tidak dibolehkan pertumbuhan tanduk disebabkan genetik ataupun tanduk itu ditanggalkan, selalunya sebaik sahaja selepas lahir.[10] Terdapat kejadian kambing poliserat (tumbuh banyak tanduk, sebanyak-banyak lapan batang), namun ini merupakan kenadiran genetik yang difikirkan adalah turun-temurun. Pengguguran tanduk paling sering terjadi dalam kawanan kambing tenusu dagangan untuk mengurangkan kecederaan terhadap manusia dan kambing lain. Tidak seperti lembu, kambing tidak berjaya dibiak baka untuk dogol betul-betul kerana gen-gen yang menentukan jantina berkait rapat dengan yang menentukan tanduk. Cubaan membiak baka dua ekor kambing yang dogol secara menghasilkan sejumlah besar individu interseks yang rata-rata mandul dalam kalangan anak-anak kambing.[10] Tanduk kambing diperbuat daripada tulang hidup yang disalut oleh keratin dan lain-lain protein, digunakan untuk pertahanan, penguasaan, dan perwilayahan.[11]

Kambing merupakan haiwan ruminan yang memiliki perut empat kebuk yang terdiri daripada rumen, retikulum, omasum, dan abomasum. Seperti mamalia ruminan yang lain, kambing merupakan ungulat berjari genap. Kambing betina mempunyai ambing berputing dua, berbanding dengan lembu yang berputing empat.[12]

Anak mata kambing berbentuk sepet dan mendatar. Oleh kerana iris kambing biasanya berwarna pucat, maka anak matanya lebih menonjol berbanding anak mata haiwan lain seperti lembu, rusa, kebanyakan kuda dan biri-biri yang juga beranak mata sepet tetapi berpadu dengan iris dan sklera yang berwarna gelap.

Ekor kambing biasanya tercacak atau tercuat.
Ekor biri-biri Shetland ini berjuntai.
Perbandingan ekor kambing dengan ekor biri-biri

Kedua-dua kambing jantan dan betina tumbuh janggut, malah kebanyakan jenis kambing (terutamanya kambing tenusu, Boer kacukan tenusu dan kambing pigmi) juga mempunyai sepasang gelambir yang berjuntai pada kedua-dua belah leher.[13]

Sesetengah baka kambing mirip biri-biri, tetapi senang dibezakan kerana ekor kambing biasanya kompot dan tercacak, sedangkan ekor biri-biri berjuntai dan biasanya lebih panjang dan besar.

Pembiakan[sunting | sunting sumber]

Seekor anak kambing berusia dua tahun di padang rumpai tanjung

Kambing mencapai baligh sekitar umur tiga ke 15 bulan, bergantung pada baka dan kesihatannya. Kebanyakan penternak lebih gemar menangguhkan pembiakbakaan hingga kambing betina mencapai 70% berat badan dewasa. Namun demikian, pemisahan ini jarang-jarang boleh dilakukan untuk kawanan ternak lepas yang diurus meluas.[14]

Dalam iklim-iklim sederhana, lebih-lebih lagi dalam baka-baka Swiss, musim pembiakan bermula apabila siang makin menyingkat, hinggalah menjelang musim bunga. Di kawasan khatulistiwa pula, kambing boleh membiak pada bila-bila masa sahaja tanpa menentu musim. Kejayaan pembiakan di kawasan-kawasan khatulistiwa lebih bergantung pada bekalan makanan yang tersedia daripada tempoh siang. Kambing betina tanpa mengira baka atau tempat naik berahi 21 hari sekali selama dua hingga 48 jam. Kambing betina yang berahi biasanya mengibas-ngibas ekor, mendekati kambing jantan jika ada, bersuara lebih lantang, dan mungkin juga menunjukkan kehilangan selera dan kurangnya susu sepanjang tempoh berahi.

Seekor ibu kambing dengan dua ekor anaknya.

Kambing jantan yang subur dari baka-baka Swiss dan utara masuk musim mengawan pada musim luruh seperti kitaran berahi kambing betina. Kambing jantan berbaka khatulistiwa pula mungkin menunjukkan kesuburan ikut musim, tetapi mampu mengawan pada bila-bila masa seperti kambing betina. Musim mengawan kambing bercirikan kehilangan selera serta minat yang ghairah terhadap kambing betina. Kambing jantan yang masuk mengawan akan menunjukkan bibir seringai bergulung serta membuang air kencing ke atas kaki depan dan mukanya. Kelenjar bau sebum di dasar tanduk menguatkan bau kambing jantan, iaitu penting untuk ia menjadi lebih menarik kepada kambing betina. Sesetengah kambing betina enggan berkawan dengan kambing jantan yang dinyah baunya.[15]

Selain pengawanan semula jadi, permanian beradas semakin diminati ramai oleh penternak kambing kerana ia memperluas pilihan darah keturunan dengan lebih mudah.

Tempoh kebuntingan kambing kira-kira 150 hari. Selalunya yang dilahirkan adalah anak kembar dua, tetapi anak tunggal dan anak kembar tiga tidak kurang juga berlaku. Jarang-jarang berlakunya kelahiran anak kembar empat, lima, ataupun enam. Kelahiran anak kambing biasanya berlaku secara senyap. Sebelum melahirkan, si ibu merendahkan badan sekitar bahagian ekor dan pinggul, sambil bernafas termengah-mengah. Ia mungkin beriak wajah rimas, menjadi resah dan mencurah penuh kasih sayang kepada pembelanya. Selepas melahirkan, si ibu biasanya makan uri untuk memperoleh zat-zat yang amat diperlukannya, membantu mehanan pendarahan, dan mengurangkan resapan bau kelahiran untuk pemangsa, serupa dengan kelakuan haiwan maun liar seperti rusa.[16][17]

Penghasilan susu bermula sewaktu kelahiran anak, berbeza-beza mengikut baka, umur, mutu dan pemakanan si ibu kambing; kambing tenusu umumnya menghasilkan antara 660 ke 1,800 l (1,500–4,000 paun) susu dalam setiap tempoh laktasi 305 hari. Secara purata, seekor kambing tenusu yang bermutu baik akan mengeluarkan sekurang-kurangnya 6 paun (2.7 liter) susu sehari selagi bersusu. Pengeluar susu kali pertama mungkin menghasilkan sebanyak 16 paun (7.3 liter) susu ke bawah, ataupun lebih banyak daripada itu dalam kes-kes yang luar biasa. Selepas laktasi, kambing betina "kekeringan" biasanya selepas membiak. Kadang-kadang kambing yang tidak membiak dan diperah susu tanpa henti akan kekal dalam laktasi melebihi 305 hari yang kebiasaan.[18] Baka-baka pedaging, serat, dan belaan biasanya tidak diperah susu dan sekadar menghasilkan susu yang cukup untuk anak hinggalah cerai susu.

Laktasi jantan juga diketahui berlaku dalam kalangan kambing.[19]

Pemakanan[sunting | sunting sumber]

Kambing dikenali sanggup makan apa-apa sahaja, termasuk tin dan kadbod. Walaupun sebenarnya tidak makan bahan-bahan yang tidak boleh dimakan, namun ianya haiwan perenggut, tidak seperti lembu dan biri-biri yang meragut, malah (dengan sifat yang amat suka ambil tahunya) boleh mengunyah dan merasai apa-apa sahaja yang sedikit pun menyerupai jirim tumbuhan untuk menentukan sama ada ia sedap dimakan, termasuklah kadbod, pakaian dan kertas (seperti label tin).[20]

Kambing bela jinak merenggut rumpai tanjung, iaitu rumpai yang beracun untuk kebanyakan haiwan ternakan

Selain mencuba-cuba pelbagai bahan, kambing agak teliti dengan apa yang sebenarnya dimakannya. Kambing lebih gemar merenggut hujung-hujung pokok berkayu dan juga adakalanya tumbuhan berdaun lebar. Apapun, boleh diperkatakan bahawa pemakanan tumbuhan kambing amatlah pelbagai, termasuklah sesetengah spesies yang beracun untuk haiwan lain.[21] Kambing jarang memakan makanan kotor atau meminum air tercemar melainkan kebuluran. Inilah salah satu sebab penternakan kambing paling selalu dilakukan secara ternak lepas kerana penternakan kambing secara ternak kurung melibatkan penyelenggaraan yang banyak dan jarang berdaya komersil.

Kambing lebih gemar merenggut pokok menjalar seperti kacang hijau hutan, pokok renek dan rumpai, daripada makan rumput, iaitu lebih bersifat seakan rusa berbanding biri-biri. Tumbuhan terung-terungan beracun; daun pokok buah yang layu juga boleh membunuh kambing. Silaj (batang jagung kering) dan hailaj (rumput kering tapai) boleh digunakan jika dimakan segera selepas pelepasan - kambing alah sekali kepada bakteria Listeria yang tumbuh dalam pakan tapai. Alfalfa yang kaya dengan protein sering diberikan makan dalam bentuk rumput kering; feskiu adalah rumput kering yang paling kurang sedap dimakan dan paling kurang berzat. Kulapuk dalam pakan kambing boleh menyebabkan kambing jatuh sakit ataupun maut. Kambing tidak harus diberi makan rumput yang bertanda-tanda kulapuk.

Fisiologi pencernaan anak kambing yang masih bayi (seperti anak haiwan ruminan lain) pokoknya sama seperti haiwan monogastrik (berperut satu). Pencernaan susu bermula di abomasum, yang mana susu telah melepasi rumen melalui penutupan alur retikulum-esofagus ketika bersusu. Ketika lahir, rumennya belum selesai tumbuh, tetapi apabila anak kambing mula makan makanan pejal, maka rumen itu segera semakin besar dan mampu untuk menyerap zat.

Saiz dewasa seseekor kambing adalah hasil daripada baka (potensi genetik) dan pemakanannya sewaktu tumbesaran (potensi nutrisi). Seperti semua ternakan, pertambahan pemakanan protein (10 ke 14%) serta jumlah kalori yang mencukupi ketika usia prabaligh mendatangkan kadar tumbesaran yang lebih tinggi dan saiz dewasa yang lebih besar daripada kadar protein rendah dan kalori terhad.[22] Kambing bertubuh besar dengan rangka yang lebih gedang mencapai berat badan matang pada umur yang lebih lewat reach (36 ke 42 bulan) daripada kambing bertubuh kecil (18 ke 24 bulan) jika kedua-duanya diberi makan secukup-cukup potensi. Kambing bertubuh besar memerlukan lebih banyak kalori daripada kambing bertubuh kecil untuk menjaga fungsi badan seharian.[23]

Kelakuan[sunting | sunting sumber]

Kambing mengamalkan hierarki kedominanan dalam kawanan, contohnya dengan tanduk-menanduk.

Kambing teramat sangat cerdas dan suka ambil tahu. Ia juga amat terkoordinasi dan dikenali ramai kerana kebolehannya untuk memanjat dan mengimbangkan badan di tempat-tempat yang berbahaya sekali. Oleh itu, kambing adalah satu-satunya ruminan yang mampu memanjat pokok, walaupun pokok itu seharusnya cukup condong untuk dicapai. Disebabkan ketangkasan dan sifat ingin tahu ini, kambing digeruni kerana bolos dari kandang dengan menaiki pagar dan kurungan secara sengaja mahupun semata-mata kerana senang dipanjat. Jika pagar kambing dihamparkan, dilanggar, ataupun diatasi dengan apa jua cara, maka kambing sudah hampir tentu akan melarikan diri. Disebabkan kecerdasan tingginya, sebaik saja menemui kelemahan kurungan, seseekor kambing akan memanfaatkannya berulang-ulang, dan kambing-kambing lain akan memerhatikan dan cepat mempelajari cara yang sama itu.

Dengan sifat cerdas dan suka ingin tahu tersebut, kambing menduga apa-apa sahaja yang baru atau asing dalam persekitarannya, terutamanya dengan menyentuh dengan bibir atas dan lidahnya yang mencengkam. Oleh sebab itulah kambing menduga benda-benda seperti butang, pakaian dan sebagainya dengan menggigit ataupun memakan.

Kambing yang diurus secara berkawanan kurang cenderung untuk berkumpul berbanding biri-biri, malah jika meragut tanpa diganggu, kawanan kambing cenderung berpecah-belah ke serata padang atau lapangan daripada makan sebelah-menyebelah seperti biri-biri. Kambing yang menyusu membiarkan anaknya berjalan bebas daripada berapat-rapat seperti biri-biri. Kambing biasanya berpaling dan menghadap penceroboh, dan kambing jantan lebih berkemungkinan untuk menyerang atau menanduk manusia berbanding biri-biri jantan.[24]

Kambing sukar dikekang ketika dikandangkan.

Penyakit[sunting | sunting sumber]

Biarpun dianggap sebagai haiwan yang tahan lasak dan kurang memerlukan jagaan kesihatan dalam kebanyakan situasi, namun kambing tetap terdedah kepada penyakit. Kambing sering menghidap keadaan-keadaan seperti pneumonia, kaki reput, parasit dalaman, keracunan bunting dan keracunan makanan.

Kambing boleh dijangkiti pelbagai penyakit virus mahupun bakteria seperti penyakit kaki dan mulut, ensefalitis artritis kambing, limfadenitis kaseus, mata kalas, mastitis, dan pseudorabies. Kambing boleh menyebarkan beberapa penyakit zoonotik kepada manusia seperti tuberkulosis, bruselosis, demam Q, dan rabies.[25]

Jangka hayat[sunting | sunting sumber]

Jangka hayat kambing adalah antara 15 ke 18 tahun.[26] Pernah dilaporkannya satu contoh kambing yang mencapai umur 24 tahun.[27]

Jangka hayat ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, contohnya jangka hayat kambing betina mungkin disingkatkan kepada 10 ke 11 tahun oleh masalah ketika beranak, dan jangka hayat kambing jantan boleh dipotong hingga lapan ke 10 tahun dengan naik berahi.[27]

Penternakan[sunting | sunting sumber]

Penternakan kambing meluas di seluruh kawasan Norte Chico di Chile. Penternakan kambing intensif di tanah kering boleh menyebabkan hakisan tanah yang parah dan penggurunan.

Kambing yang hidup mahupun yang mati berguna kepada manusia, terutama sekali sebagai pembekal susu, tinja, gentian, daging dan kulit.[28] Sesetengah badan amal membekalkan kambing kepada golongan miskin di negara-negara miskin kerana kambing lebih mudah dan murah untuk diuruskan daripada lembu, malah pelbagai kegunaannya. Selain itu, kambing digunakan untuk memandu kereta dan mengangkat barang.

Usus kambing digunakan untuk membuat "katgut" yang masih digunakan sebagai bahan untuk membuat jahitan pembedahan dalaman manusia dan tali-tali untuk alat muzik bertali. Tanduk kambing yang melambangkan kemewahan dan kesejahteraan (kornukopia) juga digunakan untuk membuat sudu.[29]

Kambing Boer sering diternak sebagai pedaging.

Perangkaan populasi kambing sedunia[sunting | sunting sumber]

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), pengeluar-pengeluar susu kambing segar terbanyak pada tahun 2012 adalah India (4.85 juta tan metrik), Bangladesh (2.608 juta tan metrik) dan Sudan (1.532 juta tan metrik).[30]

Amalan penternakan[sunting | sunting sumber]

Amalan penternakan kambing berbeza-beza mengikut tempat dan budaya. Jenis kandang yang digunakan untuk kambing bukan sahaja bersandarkan tujuan penggunaan kambing, bahkan juga persekitaran penternakannya. Mengikut sejarah, kambing ternak biasanya diternak dalam kawanan yang merayau-rayau di bukit atau tempat merenggut yang sebagainya dengan bimbingan gembala yang berusia kanak-kanak hingga remaja. Kaedah penggembalaan ini masih digunakan masa kini.

Di sesetengah negara, terutamanya di Eropah dan Amerika Utara, kambing tenusu dan pedaging dibezakan mengikut baka. Anak kambing jantan tenusu lebihan biasanya disembelih untuk daging. Kedua-dua jantina pedaging boleh disembelih untuk daging, di samping kambing tua sebarang baka. Daging kambing jantan tua (lebih setahun) umumnya dikira tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia. Kambing jantan boleh dikasi muda-muda untuk mencegah pengeluaran bau hamis.

Kambing merupakan ternakan penting untuk penternak kecil-kecilan di kebanyakan negara, seperti wanita Burkina Faso ini.

Kambing tenusu biasanya dibawa untuk merenggut di padang ragut pada cuaca baik (cth. musim panas atau tengkujuh, apabila tumbuhan subur) dan dikandangkan pada cuaca kurang baik (musim sejuk atau kemarau berlarutan, apabila tumbuhan tidak subur). Kambing tenusu diperah hari-hari, maka ia dijaga dekat dengan bangsal perah susu. Renggutan kambing biasanya dilengkapi dengan rumput kering dan konsentrat. Kandang kambing boleh berbentuk petak-petak berasingan seperti kuda atau satu petak untuk kawanan.

Kambing pedaging pula dibawa untuk merenggut sepanjang tahun asalkan bekalan tumbuhan subur, malah boleh dibela jauh dari bangsal. Kambing gentian seperti Angora juga diternak dalam padang ragut atau secara lepas. Begitu juga dengan kambing tenusu, kambing-kambing pedaging dan gentian ditambah pemakanan dengan rumput kering dan konsentrat terutamanya pada cuaca buruk.

Di India, Nepal, dan sebahagian besar Asia, kambing diternak rata-rata untuk pengeluaran susu untuk kegunaan rumah mahupun perdagangan. Kambing di kawasan ini boleh dibela dalam rumah atau dibiarkan bebas mencari makanan. Kambing Salem Black digembala untuk merenggut di padang dan di tepi jalan pada waktu siang, tetapi disimpan dalam kandang pada waktu malam demi keselamatan.[31]

Di Afrika dan Timur Tengah, kambing biasanya digembala secara berkawan gaul bersama biri-biri. Ini memaksimumkan pengeluaran seekar kerana kambing dan biri-biri berbeza tumbuhan makanan. Pelbagai kaedah penternakan kambing diamalkan di Habsyah misalnya, di mana empat kaedah utama dikenal pasti iaitu: dibawa merenggut dalam sistem tanaman tahunan, sistem tahunan malar, bersama lembu, dan di kawasan gersang dalam sistem penggembalaan nomad. Walaupun demikian, dalam keempat-empat sistem, kambing biasanya diternak dalam sistem yang meluas dengan sedikit pembelian.[32]

Di Nigeria, kambing dibela di rumah. Walaupun kebanyakan kambing dibenarkan untuk berkeliaran di rumah ladang atau kampung, tetapi ada juga yang disimpan dan diberi makan dalam kandang dalam sistem cut-and-carry. Penternakan begini juga diamalkan di beberapa tempat di Amerika Latin. Cut-and-carry, iaitu amalan memungut rumput, jagung atau buluh untuk diberi makan daripada membenarkan kambing itu untuk berkeliaran di atas padang, adalah sesuai untuk sesetengah tanaman seperti jagung atau buluh yang senang diinjak-injak sampai musnah oleh kambing.[33]

Kambing peliharaan terdapat di serata dunia yang mana rumah tangga membela kambing semata-mata sebagai kesayangan daripada kegunaan, lebih-lebih lagi di Amerika Utara dan Eropah di mana kambing semakin banyak dibela sebagai peliharaan sahaja.

Daging[sunting | sunting sumber]

Rasa daging kambing dan anak kambing serupa dengan daging biri-biri;[34] Bagaimanapun, ada yang menyamakan rasa daging kambing dengan daging anak lembu atau rusa, bergantung pada umur dan kesihatan kambingnya. Rasanya dikaitkan terutamanya dengan kehadiran asid 4-metiloktanoik dan 4-metilnonanoik.[35] Daging kambing boleh disiapkan dengan pelbagai cara, termasuk direndidih, dibakar, digril, dibarbeku, ditin, dan digoreng. Daging kambing boleh dikisar, dimasak kari, atau dibuat jadi sosej. Oleh sebab kandungan lemak yang rendah, daging kambing boleh mengeras pada suhu tinggi jika dimasak tanpa kelembapan tambahan. Antara baka kambing pedaging terlaris adalah Boer dari Afrika Selatan. Kambing Kiko dari New Zealand juga adalah kambing pedaging, begitu juga baka "kambing pengsan" yang berasal dari Tennessee, Amerika Syarikat.

Susu dan hasil tenusu[sunting | sunting sumber]

Kambing yang sedang diperah di ladang organik

Kambing menyumbang kepada kira-kira 2% bekalan susu tahunan sedunia.[36] Sesetengah kambing diternak khusus untuk susunya. Jika kambing jantan yang berbau kuat tidak diasingkan daripada kambing betina, maka baunya akan menjejaskan susu.

Susu kambing sejadi mempunyai globul-globul lemak yang kecil dan teremulsi dengan baik, iaitu krimnya kekal terampai dalam susu daripada timbul ke atas seperti mana susu lembu mentah. Oleh itu, susu kambing tidak perlu dihomogenkan. Sesungguhnya jika susu itu digunakan untuk membuat keju, maka penghomogenan itu tidak digalakkan kerana itu mengubah struktur susu hingga menjejaskan kebolehan kulturnya untuk menggumpalkan susu dan akhirnya hasil dan mutu keju.[37]

Kambing tenusu di kemuncak umurnya (biasanya sekitar kitaran laktasi ketiga atau keempat) menghasilkan purata sebanyak 6–8 paun (2.7–3.6 kg) susu sehari sepanjang laktasi 10 bulan; paling lebih sejurus selepas menyegar dan beransur-ansur kurang menjelang tamat laktasi. Susu kambing biasanya mengandungi purata 3.5% lemak mentega.[38]

Susu kambing umumnya diproses menjadi keju, mentega, aiskrim, yogurt, dan sebagainya. Keju susu kambing digelar chèvre di Perancis sempena nama kambing dalam bahasa Perancis. Antara jenis kejunya termasuk Rocamadour dan Montrachet.[39] Mentega susu kambing berwarna putih kerana kambing menghasilkan susu dengan beta-karotena kuningnya ditukar menjadi suatu bentuk vitamin A yang berwarna tawar.

Khasiat[sunting | sunting sumber]

Sesetengah orang menggunakan susu kambing untuk menyusui anak sebagai ganti untuk susu manusia atau susu lembu. Sebuah buku terbitan 1970 mengenai penternakan berhujah bahawa susu kambing berbeza dengan susu manusia mahupun susu lembu kerana lebih senang dihadam, berbeza kealkaliannya, serta memiliki nilai-nilai terapeutik tertentu dalam perubatan dan nutrisi manusia.[40] George Mateljan berhujah bahawa susu kambing boleh menggantikan susu lembu atau susu biri-biri dalam pemakanan bagi mereka yang alah kepada susu sesetengah haiwan tertentu.[41] Bagaimanapun, seperti dengan susu lembu, susu kambing mengandungi laktosa (gula) dan boleh menyebabkan masalah gastrousus bagi mereka yang tidak tahan laktosa.[41] Sebenarnya, kandungan laktosa sama banyaknya dengan susu lembu.[42]

Akademi Pediatrik Amerika tidak menggalakkan penyusuan bayi dengan susu kambing. Sebuah laporan kes April 2010[43] merumuskan saranannya dan membentangkan "kajian menyeluruh tentang akibat-akibat yang didatangkan dengan amalan berbahaya ini"; tambahnya, "Ramai bayi yang hanya disusui dengan susu kambing disebabkan kepercayaan budaya serta terdedah kepada maklumat palsu dalam talian. Laporan-laporan anekdot telah menghuraikan pelbagai morbiditi yang dikaitkan dengan amalan tersebut, termasuklah keabnormalan elektrolit yang parah, asidosis metabolik, anemia megaloblastik, tindak-tindak balas alergi termasuk kejutan anafilaksis yang mengancam nyawa, sindrom uremia hemolisis, dan jangkitan-jangkitan." Bruselosis kaprin (kambing) yang tidak dirawat mengakibatkan kadar kematian 2% kes. Menurut USDA, susu kambing tidak sesuai untuk bayi manusia kerana ia mengandungi "kuantiti besi, folat, vitamin C dan D, tiamina, niasin, vitamin B6, dan asid pantotenik yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan zat bayi", malah boleh memudaratkan buah pinggang bayi serta menyebabkan kerosakan metabolisme.[44]

Jabatan Kesihatan United Kingdom telah berulang kali mengeluarkan kenyataan dari masa ke semasa bahawa[45] "Susu kambing tidak sesuai untuk bayi, malah rumusan bayi dan rumusan susuan yang berasaskan protein susu kambing tidak pernah diluluskan untuk digunakan di Eropah", bahkan "susu bayi yang berasaskan protein susu kambing tidak sesuai sebagai sumber zat untuk bayi."[42]

Kandungan asas pelbagai susu (nilai min per 100g)[46]
Juzuk Kambing Lembu Manusia
Lemak (g) 3.8 3.6 4.0
Protein (g) 3.5 3.3 1.2
Laktosa (g) 4.1 4.6 6.9
Abu (g) 0.8 0.7 0.2
Jumlah pepejal (g) 12.2 12.3 12.3
Kalori 70 69 68
Analisa kandungan susu per 100 gram [47]
Juzuk unit Lembu Kambing Biri-biri Kerbau
Air g 87.8 88.9 83.0 81.1
Protein g 3.2 3.1 5.4 4.5
Lemak g 3.9 3.5 6.0 8.0
Karbohidrat g 4.8 4.4 5.1 4.9
Tenaga kcal 66 60 95 110
Tenaga kJ 275 253 396 463
Gula (laktosa) g 4.8 4.4 5.1 4.9
Kolesterol mg 14 10 11 8
Kalsium IU 120 100 170 195
Asid lemak tepu g 2.4 2.3 3.8 4.2
Asid lemak monotaktepu g 1.1 0.8 1.5 1.7
Asid lemak politaktepu g 0.1 0.1 0.3 0.2

Kandungan ini berbeza-beza mengikut baka, haiwan dan masa dalam tempoh laktasi.

Gentian[sunting | sunting sumber]

Kambing Angora.

Baka kambing Angora menghasilkan bulu mohair bergelung-gelung yang panjang, keriting dan berkilat. Seluruh badan kambing ini diliputi mohair tanpa sebarang bulu pelapik. Bulu itu tumbuh berterusan hingga empat inci ke atas. Juga diciptanya baka-baka kacukan angora seperti pygora dan nigora untuk menghasilkan bulu daripada haiwan yang lebih kecil dan senang untuk diurus. Bulunya diketam dua kali setahun dengan purata hasil kira-kira 10 paun.

Kebanyakan kambing mempunyai bulu penebat yang lebih lembut dekat dengan kulit, dan bulu pelapik (guard hair) yang lebih lebat dan kasar di permukaan. Gentian yang lebih digemari untuk industri tekstil adalah bulu penebat dalaman yang pelbagai gelarnya (down, kasymir dan pasymina). Bulu pelapik yang kasar pula kurang bernilai kerana ianya terlalu kesat, sukar dipintal dan sukar dicelup warna. Kambing kasymir menghasilkan sejumlah bulu kasymir yang komersil, iaitu antara gentian semula jadi paling mahal yang dihasilkan secara komersil, kerana kasymir itu amat halus dan lembut. Gentian kasymir kambing diketam sekali setahun, menghasilkan sekitar 9 auns (200 g) setiap kali.

Di Asia Selatan, bulu kasymir dipanggil "pasymina" (dari bahasa Parsi pashmina, "wul halus"). Pada abad-abad ke-18 dan ke-19, wilayah Kasymir mempunyai sebuah industri mekar yang menghasilkan selendang daripada bulu kambing yang diimport dari Tibet dan Tartar menerusi Ladakh. Selendang-selendang itu diperkenalkan ke Eropah Barat apabila Ketua Jeneral Kempen Perancis di Mesir (1799–1802) menghantar sehelainya ke Paris. Semenjak itu, bulu yang digunakan untuk membuat selendang yang dihasilkan di wilayah hulu Kasymir dan Ladakh itu dikenali sebagai "kasymir".

Pembersihan tanah[sunting | sunting sumber]

Kambing digunakan oleh manusia untuk membersihkan tumbuh-tumbuhan yang tidak dikehendaki sejak berabad-abad lamanya. Kambing telah diperikan sebagai "mesin makan" dan "agen kawalan biologi".[48][49] Amalan ini mengalami suatu kebangkitan di Amerika Utara sejak 1990 apabila kawanan-kawanan kambing digunakan untuk membersihkan belukar kontang di lurah-lurah bukit California yang dikhuatiri terancam oleh kebakaran hutan. Semenjak itu, pelbagai agensi awam mahupun swasta telah mengupah kawanan kambing swasta untuk melakukan tugas-tugas sedemikian.[48] Amalan ini meluas di rantau Barat Laut Pasifik Amerika Syarikat di mana kawanan kambing digunakan untuk menyingkirkan spesies-spesies invasif yang tidak mudah dihapuskan oleh manusia, seperti pepanjat beri hitam berduri dan oak beracun.[48][50]

Baka[sunting | sunting sumber]

Baka-baka kambing tergolong dalam kategori-kategori yang am dan bertindan-tindih mengikut kegunaan, sama ada untuk tenusu, gentian, daging, kulit, pengangkutan mahupun sebagai teman.

Kambing jalang[sunting | sunting sumber]

Kambing sedia kembali ke alam liar (menjadi jalang) jika diberi peluang. Satu-satunya haiwan belaan jinak lain yang diketahui kembali ke kehidupan jalang secepat begitu ialah kucing.[5] Kambing jalang terdapat di merata dunia. Kambing jalang yang bertambah banyak di habitat-habitat yang tidak bersesuaian dengan kambing boleh mendatangkan kesan buruk seperti mengancam spesies tumbuh-tumbuhan tempatan. Misalnya di Australia, terdapat sekurang-kurangnya 2.6 juta ekor kambing jalang di 28 peratus keluasan negara tersebut, namun bilangan tersebut berubah-ubah disebabkan kemarau, program-program pengurusan dan kesuburan tinggi.[51] Dalam keadaan-keadaan lain pula,

Kambing dalam mitologi dan budaya rakyat[sunting | sunting sumber]

Menurut mitos Norse, Thor si dewa petir mempunyai rata yang ditunda oleh dua ekor kambing bernama Tanngrisnir dan Tanngnjóstr. Ketika berkhemah malam hari, Thor makan daging kambing-kambing itu sambil berjaga-jaga agar tidak sebatang tulangnya yang patah. Kemudian dia membungkus tulang kambing itu, dan pada keesokan hari kambing-kambing itu kembali hidup untuk menunda ratanya. Pada suatu ketika ada seorang anak peladang yang dijemput berkongsi makan daging kambing itu, tetapi dia memecahkan tulang untuk menghisap sumsumnya, jadi kaki kambing itu patah pada keesokan pagi dan akibatnya anak itu diperbudakkan oleh Thor sebagai ganti rugi.

Kambing adalah salah satu (iaitu yang kelapan) daripada dua belas bintang zodiak Cina. Mereka yang lahir pada tahun kambing dikhabarkan pemalu, penyendiri, dan kreatif orangnya.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Sarwono, B (2011). Beternak Kambing Unggul. Jakarta, Indonesia: Penebar Swadayaa. m/s. 22. ISBN 978-979-002-514-1.
  2. ^ a b Hirst, K. Kris. "The History of the Domestication of Goats". About.com. Dicapai pada 18 Ogos 2008.
  3. ^ Coffey, Linda, Margo Hale, and Ann Wells; "Goats: Sustainable Production Overview. Diarkibkan 2007-02-04 di Wayback Machine
  4. ^ FAOSTAT, United Nations Food and Agricultural Organization, diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-25, dicapai pada 2014-06-01
  5. ^ a b c d "Breeds of Livestock; Goats: (Capra hircus)". Oklahoma State University Board of Regents. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  6. ^ a b Naderi, Saeid; Rezaei, Hamid-Reza; Pompanon, François; Blum, Michael G. B.; Negrini, Riccardo; Naghash, Hamid-Reza; Balkiz, Özge; Mashkour, Marjan; Gaggiotti, Oscar E.; Ajmone-Marsan, Paolo; Kence, Aykut; Vigne, Jean-Denis; Taberlet, Pierre (18 November 2008). "The goat domestication process inferred from large-scale mitochondrial DNA analysis of wild and domestic individuals". PNAS. 105 (46): 17659–17664. doi:10.1073/pnas.0804782105. PMC 2584717. PMID 19004765.
  7. ^ Maisels, C.K. The Near East: Archaeology in the Cradle of Civilization Routledge, 1999; p.124
  8. ^ Taylor, R.E. and Field, T.G., "Growth and Development" Scientific Farm Animal Production: An Introduction to Animal Science, 6th Ed. Prentice-Hall (1999) Upper Saddle River pg 321-324.
  9. ^ Belanger, J & Bredesen, S. T, "Basic Information about Goats" Storey's Guide to Raising Dairy Goats, 2nd ed. Storey Publishing (2010) North Adams, pg 14
  10. ^ a b American Goat Society:Polled Genetics, americangoatsociety.com.
  11. ^ Smith, Mary C; Sherman, David M. (1994). Goat Medicine. ISBN 9780812114782.
  12. ^ Taylor, R.E., Scientific Farm Animal Production: An Introduction to Animal Science, 6th ed, Upper Saddle River (Prentice Hall) 1998
  13. ^ Frequently Asked Questions - Triple I Goats, tripleigoats.com
  14. ^ Payne, William J.A., An Introduction to Animal Husbandry in the Tropics, 5th ed, Oxford (Blackwell Science) 1999
  15. ^ Smith, M.C. Goat Medicine, Lippincott Williams & Wilkins, 1994
  16. ^ Feichtenberger, Klaus, Jill Clarke, Elyse Eisenberg, and Otmar Penker (Writers and Directors) (2008). Prince of the Alps (Television Production). ORF/Nature. Peritiwa berlaku pada Shortly after birth. Dicapai pada 2009-05-05. 'The mother eats the placenta to prevent predators from getting the scent.'
  17. ^ Roe III, Leonard Lee (2004). The Deer of North America. Globe Pequot. m/s. 224. ISBN 978-1-59228-465-8. Almost all wild animals and most domestic ones eat the afterbirth as soon as they can. The primary reason, I think, is to get rid of it so that it will not attract predators. . .Canine scavengers throughout the world are attracted to herd animals when they give birth, for the placental sacs provide an easily scavenged feast.
  18. ^ Dairygoatjournal.com
  19. ^ Kumar, Dr. Davendra coauthors=S. Saha, O.H. Chaturvedi, Sushil Kumar, J.S. Mann, J.P. Mittal and V.K. Singh. "Lactation in Males". ISSGPU - Indian Society for Sheep and Goat Production and Utilization Newsletter. Avikanagar, Rajasthan: Central Sheep & Wool Research Institute (2). Dicapai pada 2009-12-31.
  20. ^ "Learning About Goats" (PDF). Texas Department of Agriculture. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2009-12-22. Dicapai pada 2014-06-01.
  21. ^ "War on Weeds," Rails to Trails Magazine, Spring 2004, p. 3
  22. ^ Pugh, D.G. and Rankins, D. L. Jr, "Feeding and Nutrition" Sheep and Goat Medicine, 2nd Ed. Elsevier (2012) Maryland Heights, pg 40-42.
  23. ^ Taylor, R.E. and Field, T.G., "Growth and Development" Scientific Farm Animal Production: An Introduction to Animal Science, 6th Ed. Prentice-Hall (1999) Upper Saddle River pg 324-325.
  24. ^ Fowler, M.E. Restraint and Handling of Wild and Domestic Animals, 3rd Ed, Witley-Blackwell, 2008 pg 144
  25. ^ Smith, M.C. Goat Medicine, Lippincott Williams & Wilkins, 1994 pg 7
  26. ^ William S. Spector, penyunting (1956). Handbook of Biological Data. Saunders.
  27. ^ a b "Teeth, Life Expectancy & How to estimate a goat's age". fiascofarm.com. 16 March 2009. Dicapai pada 30 May 2009.
  28. ^ Mahmoud Abdel Aziz, M. A., "Present status of the world goat populations and their productivity", Lohmann Information, Vol. 45 (2), Oct. 2010, Page 43, http://www.lohmann-information.com/content/l_i_45_artikel17.pdf
  29. ^ anonymous; Goat-Horn Spoon.
  30. ^ "FAOSTAT Gateway: FAOSTAT Domains > Production > Livestock Primary > Milk, whole fresh goat, World, 2012". Dicapai pada 2014-06-13.
  31. ^ Thiruvenkadan, A.K, Characterisation of Salem Black goats in their home tract, Animal Genetic Resources Information, No. 38, 2006 ftp://ftp.fao.org/docrep/fao/009/a0540t/a0540t06.pdf[pautan mati kekal]
  32. ^ Gizaw, S.; Tegegne, A.; Gebremedhin, B.; Hoekstra, D. 2010. Sheep and goat production and marketing systems in Ethiopia: characteristics and strategies for improvement. IPMS (Improving Productivity and Market Success) of Ethiopian Farmers Project Working Paper 23. 58p. Nairobi (Kenya): ILRI. http://hdl.handle.net/10568/2238
  33. ^ Sumberg, J.E., "Small ruminant feed production in a farming systems context" Proceedings of the Workshop on Small Ruminant Production Systems in the Humid Zone of West Africa, 1984; Sumber, J. E., ed, 1984
  34. ^ Milk Goats. Life. Jun 18, 1945. Dicapai pada 2010-07-06.
  35. ^ Cramer, D.A. (1983) Chemical compounds implicated in lamb flavor. Food Technonogy. flavor.. 37:249-257 and Wong, E., Nixon, L.N. and Johnson, B.C. (1975) The contribution of 4-methyloctanoic (hircinoic) acid to mutton and goat meat flavor. New Zealand j. Agr. Res. 18:261-266. Both cited in K. Intarapichet K., Sihaboot W. and Chungsiriwat P. (date?) Chemical and Sensory Characteristics of Emulsion Goat Meat Sausages Containing Pork Fat or Shortening available as a PDF from- [1] Diarkibkan 2011-07-22 di Wayback Machine
  36. ^ FAO. 1997. 1996 Production Yearbook. Food Agr. Organ., UN. Rome, Italy.
  37. ^ Amrein-Boyes, D. (2009). 200 Easy Homemade Cheese Recipes. Robert Rose Inc.: Toronto
  38. ^ American Dairy Goat Association, adga.org
  39. ^ Chèvre cheese, foodnetwork.com
  40. ^ Devendra, C., and M. Burns. 1970. Goat production in the tropics. Commonwealth Bur. Anim. Breeding and Genetics,Tech. Commun. No. 19.
  41. ^ a b The World's Healthiest Foods. "Milk, goat", whfoods.org
  42. ^ a b Professor Martin Marshall - Deputy Chief Medical Officer - Department of Health (22 August 2006). "Withdrawal From Sale of Infants Milks Based on Goats' Milk on 17 September 2006". non-urgent memo. Department of Health. Dicapai pada 2007-08-12.
  43. ^ "Fresh Goat's Milk for Infants: Myths and Realities—A Review". American Academy of Pediatrics. Dicapai pada 14 July 2010.
  44. ^ "Infant Formula Feeding" (PDF). USDA. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2015-05-13. Dicapai pada 17 June 2010.
  45. ^ Edwardes, Charlotte (2005-06-19). "Fresh Goat's Milk for Infants: Myths and Realities—A Review". London: Daily Telegraph. Dicapai pada 14 July 2010.
  46. ^ Park,W.Y.,G.F.W. Haenlein.ed. 2006. Handbook of Milk of Non-Bovine Mammals. Blackwell Publishing.
  47. ^ "Milk analysis". North Wales Buffalo. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-09-29. Dicapai pada 3 August 2009. (Citing McCane, Widdowson, Scherz, Kloos, International Laboratory Services.)
  48. ^ a b c Rent-A-Goat Gains Foothold, Seattle P-I article 2007-06-13
  49. ^ Meat Goats in Land and Forage Management, Florida A&M University, 2006-02-21 to 24, retrieved online 2011-04-24
  50. ^ Options for Clearing Land, Virginia Cooperative Extension, retrieved online 2011-04-24
  51. ^ ""The feral goat (Capra hircus) - Invasive species fact sheet"" (PDF). environment.gov.au. 2011. Dicapai pada 2014-06-17.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]