COMANGO

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

COMANGO, atau Pakatan NGO Malaysia Di Dalam Proses UPR ditubuhkan oleh organisasi liberal masyarakat sivil pada tahun 2008 untuk melibatkan diri di dalam Penilaian Berkala Sejagat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. COMANGO ialah pakatan masyarakat sivil yang terbesar dalam jenisnya di dalam proses UPR, merangkumi sebanyak 50 buah organisasi. COMANGO diselaraskan oleh dua organisasi hak asasi manusia, iaitu Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).[1]. Menurut suatu kenyataan daripada Ikatan Muslimin Malaysia, hanya 12 daripada kesemua 54 NGO dalam gabungan Comango yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.[2] Hal ini disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia bahawa Comango adalah sebuah gabungan pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).[3][4][5]

Penilaian Berkala Sejagat (UPR) merupakan proses yang unik yang melibatkan penilaian berkala rekod hak asasi manusia daripada semua 193 Negara Ahli PBB. UPR merupakan inovasi penting daripada Majlis Hak Asasi Manusia, yang berdasarkan prinsip layanan sama-rata untuk semua negara. Ia memberi peluang kepada semua negara untuk menyatakan apa tindakan yang telah diamail untuk meningkatkan situasi hak asasi manusia di dalam negara-negara mereka, dan untuk mengatasi cabaran ke arah hak asası manusia yang lebih baik. Perkongsian amalan hak asası manusia di seluruh dunia juga termasuk di dalam proses UPR. Belum ada lagi mekanisme yang setara dengan UPR wujud sebelum ini.

Ahli[sunting | sunting sumber]

Antara ahli NGO-NGO lain yang membentuk gabungan COMANGO termasuk Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Dignity International, Sisters in Islam, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-Pengguna Malaysia (ERA Consumer), Pusat Komas, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), dan Coalition to Abolish Modern-day Slavery in Asia (CAMSA).[6]

Tentang Penilaian Berkala Sejagat (UPR)[sunting | sunting sumber]

UPR ditubuhkan ketika Majlis Hak Asasi Manusia dimulakan pada tanggal 15 Mac 2006, oleh Perhimpunan Agung PBB di dalam resolusi 60/251. Ini memberi mandat kepada Majlis ini untuk “melaksanakan penilaian berkala sejagat, berdasarkan objektif dan maklumat yang boleh dipercayai, supaya setiap Negara Ahli menepati tanggungjawab dan komitmen dengan cara yang memastikan kesejagatan liputan dan layanan yang sama-rata dan hormat untuk setiap Negara Ahli.” Pada tanggal 18 Jun 2007, satu tahun selepas perjumpaan pertama, ahli Majis baru ini bersetuju kepada pakej pembinaan institusi (A/HRC/RES/5/1), yang membekalkan pelan tindakan untuk membimbing kerja Majlis yang akan datang. Salah satu daripada elemen penting pakej ini ialah Penilaian Berkala Sejagat yang baru. Mekanisme itu diperhalusi lagi ketika proses penilaian mengikut resolusi 16/21 dan keputusan 17/119. Kedua-dua dokumen ini memberi pengubahsuaian modaliti yang diperlukan untuk kitaran yang kedua dan seterusnya.

COMANGO menegakkan hak asasi manusia untuk semua tanpa rasa takut atau keuntungan, berdasarkan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, iaitu piawaian yang telah dipersetujui oleh negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ini termasuklah Malaysia.

Komitmen COMANGO Di Dalam Hak Asasi Manusia[sunting | sunting sumber]

Komitmen COMANGO dimulakan di atas prinsip hak asasi manusia, dan nilai martabat, kehormatan, kepelbagaian, kesaksamaan dan pilihan.

Di dalam UPR, COMANGO mengikut garis panduan yang ditentukan oleh Resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB 5/1, yang merupakan dokumen pembangunan institusi Majlis itu. Ulasan di dalam proses UPR mestilah berasaskan:

  • Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
  • Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia
  • Instrumen hak asasi manusia yang telah ditandatangani dan diratifikasi oleh Malaysia
  • Ikrar sukarela dan komitmen yang dilakukan oleh Malaysia, termasuklah yang dilaksanakan ketika pembentangan pencalonan untuk pengundian kemasukan Majlis Hak Asasi Manusia, dan;
  • Undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang berkaitan.


Tuntutan[sunting | sunting sumber]

COMANGO membuat beberapa tuntutan dan desakan yang menimbulkan kontroversi sepertimana yang dilaporkan dalam laporan tersebut. Berikut adalah antara tuntutan-tuntutan tersebut;[7], [8]

  1. Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi the rights of religious freedom (kebebasan beragama). Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti.
  2. Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Implikasi perkara ini akan mengheret kepada isu perkauman dan mencabar status quo yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia dan semangat kontrak sosial.
  3. Malaysia digesa untuk mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak-hak lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT). Tuntutan ini turut merangkumi kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang dengan hukum alam termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.[9]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Kritikan[sunting | sunting sumber]

Tuntutan COMANGO ini ditentang oleh NGO-NGO Islam terutamanya Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro).[10] Mereka mengatakan bahawa perbuatan ini tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan Malaysia. Antara NGO lain yang turut menentang hebat ini adalah ISMA.[11] Tuntutan tersebut telah menimbulkan bangkangan di Parlimen Malaysia oleh DPPM, antaranya adalah:-

  1. COMANGO tidak menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.
  2. COMANGO telah meletakkan Malaysia termasuk institusi agama Islam di bawah pantauan PBB.
  3. COMANGO mencampuri urusan agama dan mencabar kemuliaan ummat Islam apabila mereka mendesak supaya membenarkan amalan hidup songsang seperti LGBT.

Pihak COMANGO pula menyatakan bahawa mereka mengalu-alukan dialog dengan ISMA dan pihak lain yang ingin memahami laporan COMANGO serta mereka mempunyai apa-apa pertanyaan dan kurang jelas mengenai laporan itu, tetapi tidak menyebut apa-apa mengenai cadangan menarik balik lapuran tersebut.[12]

Marina Mahathir[sunting | sunting sumber]

Marina Mahathir

Marina Mahathir dikatakan turut terlibat dalam tindakan tuntutan COMANGO.[13] Namun begitu beliau menafikan hal ini serta menuduh ISMA telah menfitnahnya. Beliau menyatakan hasratnya ingin menyaman ISMA kerana hal ini membabitkan maruah dirinya.[14] Walaupun begitu, ISMA kekal dengan pendirian mereka dan tidak berganjak dengan keputusan yang telah mereka keluarkan itu.[15][16], [17], [18] Bagaimanapun, pada 16 Aug 2015, wakil ISMA melahirkan kekesalan menyiarkan artikel yang mengaitkan Marina sebagai dalang dalam aktiviti Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noraini Abdul Rahman.[19]

Pengharaman[sunting | sunting sumber]

Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia telah menyatakan bahawa COMANGO adalah satu tuntutan yang haram.[20] Pada 8 Jan 2014, Malaysiagazette.com telah melaporkan bahawa KDN telah mengharamkan COMANGO kerana sebahagian besar ahlinya tidak berdaftar.[21] Walaubagaimanapun, Badan Peguam Malaysia mendakwa bahawa KDN telah menjalankan kerjasama bersama COMANGO semenjak September 2009 dalam persiapan UPR pertama untuk Malaysia, dan sekiranya terdapat isu status COMANGO, sudah tentu kerjasama tidak akan berjalan selama lebih dari lima tahun sebelum kenyataan pengharaman tersebut. Wakil Badan Peguam Malaysia juga menyebut bahawa kebanyakan organisasi di bawah COMANGO telah pun berdaftar, sama ada di bawah Akta Pertubuhan atau sebagai syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia. [22]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ About COMANGO - Laman web rasmi The Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process (COMANGO)
  2. ^ "NGO Islam dedah dalang Comango, antaranya Ambiga dan Marina Mahathir". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-01-16. Dicapai pada 2013-12-17.
  3. ^ Comango gabungan pertubuhan tidak berdaftar. Sinar Harian
  4. ^ COMANGO pertubuhan tidak berdaftar - KDN - Harian Metro
  5. ^ Comango tidak berdaftar - KDN. - Utusan
  6. ^ "Laporan mengenai tuntutan COMANGO disiarkan di laman Sister In Islam (Marina Mahathir merupakan Lembaga Pengarah) bertarikh 11 Mac 2013". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-02-02. Dicapai pada 2014-01-18.
  7. ^ Comango sentuh sensitiviti umat Islam
  8. ^ Tuntutan COMANGO sentuh sensitiviti umat Islam Diarkibkan 2013-11-10 di Wayback Machine. HarakahDaily.net. Capaian 14 Nov 2013
  9. ^ Pembangkang sokong Comango?
  10. ^ Comango tak hormati Islam. Utusan Malaysia. Capaian 14 November 2013
  11. ^ Tuntutan COMANGO bakal memporak-perandakan negara – Timb Presiden ISMA Diarkibkan 2013-10-17 di Wayback Machine. IsmaWeb. Capaian 14 Nov 2013
  12. ^ COMANGO ajak ISMA berdialog. AstroAwani. Capaian 19-Feb-2014
  13. ^ ISMA edar 70 ribu risalah dedah dalang COMANGO Diarkibkan 2013-11-21 di Wayback Machine. ISMAWeb. Capaian 27-11-2013.
  14. ^ Marina to ISMA: Retract Comango link or face legal action Diarkibkan 2013-12-03 di Wayback Machine. The Malay Mail Online. Capaian 27-11-2013.
  15. ^ Kenyataan media berhubung pengedaran risalah “Tuntutan Gabungan NGO Liberal Comango Cabar Kedudukan Islam” Diarkibkan 2013-11-22 di Wayback Machine. ISMAWeb. Capaian 27-11-2013
  16. ^ Isma: Marina's defence for Comango shows support. Malaysiakini. Capaian 27-11-2013
  17. ^ ISMA ada bukti Marina Mahathir sokong COMANGO.
  18. ^ Muslim group labels marina a hypocrite stands by comango link statement.
  19. ^ Dakwaan dalang Comango: Kes saman Marina selesai
  20. ^ Kenyataan Media: Isu Tuntutan Comango Dan Pelaburan ASN Dan ASB Diarkibkan 2014-02-25 di Wayback Machine. e-Fatwa. Capaian 19-Feb-2014
  21. ^ "KDN haramkan Comango kerana ngo tidak berdaftar". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-01-10. Dicapai pada 2014-01-18.
  22. ^ Zurairi, AR (10 January 2014). "Malaysian Bar to Putrajaya: Lift illegal Comango ban". The Malay Mail. Dicapai pada 29 October 2020.