Fallschirmjäger

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Fallschirmjäger mendarat di Crete.

Fallschirmjäger (Fallschirmjaeger dalam Bahasa Melayu) ialah perkataan Jerman bagi askar payung terjun. Mereka memainkan satu peranan penting semasa Perang Dunia II, bersama dengan Gebirgsjäger mereka dilihat sebagai unit elit infantri tentera Jerman. Selepas Perang Dunia II, mereka telah ditubuhkan semula sebagai sebahagian daripada angkatan tentera pasca perang Jerman Barat dan Jerman Timur, terutamanya sebagai pasukan operasi khas.

Fallschirmjäger Jerman dalam Perang Dunia II merupakan askar payung terjun pertama terlibat dalam operasi hantaran udara secara besar-besaran. Mereka lebih dikenali sebagai "syaitan hijau" oleh tentera Bersekutu yang menentang mereka, dan juga moral terkemuka mereka yang unik. [1]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Perkataan Fallschirmjäger berasal dari Bahasa Jerman Fallschirm, "paracut", dan Jäger, secara harfiahnya 'pemburu,' yang merujuk dalam konteks ini kepada infantri ringan.

Jerman Nazi (1935–45)[sunting | sunting sumber]

Pra-perang[sunting | sunting sumber]

Lencana FJ 'helang terjun'

Dalam tahun 1930an Hermann Göring, selepas menyaksikan manuver infantri udara Soviet, mula komited dengan penciptaan infantri udara Jerman.[2][3] Beliau mengarahkan pembentukkan sebuah unit khas polis pada tahun 1933, yang bertujuan untuk melindungi pegawai-pegawai parti Nazi. Unit tersebut menjalankan tugas-tugas polis konvensional selama dua tahun,[4] tetapi pada tahun 1935, Göring mengubahnya menjadi rejimen hantaran udara pertama Jerman.[4] Unit ini telah dimasukkan kedalam Luftwaffe yang baru ditubuhkan dan latihan dimulakan. Göring juga mengarahkan sebuah kumpulan sukarela diambil untuk latihan paracut. Sukarelawan ini akan membentuk satu perintis bagi Fallschirmtruppe ("askar payung terjun") masa hadapan.[4] Pada Januari 1936, 600 anggota dan pegawai membentuk sebuah Jäger dan sebuah kompeni jurutera.[5] Pasukan paracut Jerman secara rasminya ditubuhkan pada tahun 1936[6] dengan panggilan rekrut untuk sekolah latihan payung terjun. Sekolah ini terbuka kepada anggota Luftwaffe, yang memerlukan enam terjunan lengkap yang berjaya bagi menerima lencana payung terjun Luftwaffe.[6]

Perang Dunia II[sunting | sunting sumber]

Fallschirmjäger sedang bersiap menaiki pesawat pengangkut untuk pencerobohan Leros.

Semasa Perang Dunia II, Tentera Udara Jerman (Luftwaffe) menambah pelbagai unit ringan infantri udara (Fallschirmjäger). Luftwaffe membina sebuah unit bersaiz divisyen yang terdiri daripada tiga rejimen Fallschirmjäger ditambah dengan pasukan sokongan dan aset udara, dikenali sebagai Divisyen Ke-7 Flieger. Sepanjang Perang Dunia II, pemerintah keseluruhan Fallschirmjäger ialah Kurt Student.

Fallschirmjäger terlibat dalam banyak pertempuran terkenal Perang Dunia II. Selaku pasukan elit mereka kerap dikerahkan dalam serangan bahagian depan dan sebagai benteng pertahanan. Mereka dilihat beraksi dalam kempen Norway dan Denmark dan di Belgium, Belanda dan Perancis pada tahun 1940. Pertempuran besar di Kempen Balkan, Crete, Itali, dan dikedua-dua Barisan Timur dan kemudian Barisan Barat menyusul kemudian.

Penawanan cekap Kubu Eben-Emael dari udara membolehkan penaklukan awal Belgium dan, juga operasi yang berjaya di Belanda, adalah penting bagi kemenangan pantas Jerman pada tahun 1940. Pertempuran Belanda bermula pada 10 Mei 1940 dan berakhir dengan kemenangan Jerman pada 14 Mei 1940. Askar payung terjun Jerman mendapat kejayaan yang luar biasa kerana membuat unsur kejutan dan disebabkan ketidaksediaan pihak Belanda. Belanda telah diserang secara mengejut kerana risikan yang lemah dan salah faham antara pemimpin utama tentera Belanda. Askar paracut memainkan satu peranan penting dalam kemenangan ini kerana mereka dapat menawan sasaran-sasaran penting seperti lapangan terbang Moerdijk dan Waalhaven. Askar paracut juga menawan dan mempertahankan jambatan Moerdijk yang membolehkan pihak Jerman mendapatkan laluan dari Dordrecht ke Amsterdam dengan keretapi. Ini memberikan askar Jerman jalan yang lebih senang dan lebih cepat untuk mendapatkan sasaran penting dan untuk menakluk negara Belanda. Pengguguran utama payung terjun di Norway dan Denmark pada April 1940 juga merupakan kunci kejayaan kempen disana, namun mereka, bersama dengan pasukan amfibia, mengalami mangsa korban yang tinggi.

Pertempuran Crete bermula pada 20 Mei 1941 dan berakhir pada 1 Jun 1941. Crete adalah satu sasaran penting bagi pihak Jerman kerana ia berhampiran dengan laut Mediterranean dan boleh digunakan sebagai tapak pelancaran serangan udara dan operasi laut. Penguasaan Jerman keatas Crete juga dapat menghalang laluan kuasa Bersekutu ke telaga minyak Ploiești Jerman di Romania dimana pihak Jerman memiliki 50% dari minyaknya.[7] Jerman melancarkan pengguguran payung terjun besar-besaran yang mana keseluruhan Divisyen Udara Ke-7 telah dikerahkan bersama Divisyen Ke-5 Gunung Jerman sebagai pasukan susulan. Crete telah ditawan selepas pertempuran sengit dengan tentera Bersekutu, tetapi mangsa korban yang tinggi telah dialami oleh Fallschirmjäger (seperti yang berlaku pada adik beradik von Blücher) telah menyakinkan Hitler bahawa pengguguran besar-besaran payung terjun tidak lagi munasabah. Korban yang tinggi berlaku kerana pihak Bersekutu mengetahui Operasi Merkur yang bermakna serangan mengejut keatas Crete. Askar Bersekutu mendirikan pertahanan anti udara terhadap pasukan payung terjun. Ini menyebabkan jumlah kasualti yang tinggi, lebih 3250 askar payung terjun terkorban atau MIA dan 3400 cedera.[8] Pertempuran ini memberikan kemenangan kepada pihak Jerman namun disebabkan oleh ketidakcekapan dan kerugian besar askar paracut, Hitler menghentikan penggunaan serangan payung terjun berskala besar.

Dalam Pertempuran Monte Cassino, Divisyen 1 Fallschirmjäger[9] merampas kedudukan di Biara Monte Cassino. Selepas biara tersebut di bom oleh pihak Bersekutu, askar Jerman berpindah ke kedudukan yang dilindungi antara batu bata dan bilik bawah tanah. Fallschirmjäger bertahan selama berbulan-bulan terhadap serangan berulangkali dan pengeboman berat. Disini mereka mendapat gelaran "Green Devils" (Syaitan Hijau) dari tentera Bersekutu kerana jaket mereka yang tersendiri dan pertahanan yang kuat. Mengakibatkan kerugian yang besar kepada tentera Bersekutu, mereka akhirnya berundur dari posisi mereka hanya untuk mengelakkan daripada di kepit.

Pada tahun 1944, Fallschirmjäger juga memainkan peranan utama dalam mempertahankan kedudukan di Perancis menentang pasukan yang lebih besar, malah mempertahankan beberapa kawasan yang diduduki Jerman sehingga penyerahan kalah Jerman.

Beribu-ribu askar payung terjun Jerman telah terbunuh dalam pertempuran. Fallschirmjäger telah dikurniakan sebanyak 134 pingat Knight Cross antara tahun 1940 dan 1945.

Divisyen Fallschirmjäger[sunting | sunting sumber]

Selepas pertengahan tahun 1944, Fallschirmjäger tidak lagi dilatih sebagai askar para kerana keadaan strategik Jerman Nazi yang semakin merosot, dan berjuang sebagai anggota infantri. Pada penghujung perang, beberapa divisyen baru Fallschirmjäger atas kertas ditambah kepada 13 divisyen, dengan pengurangan kualiti dalam unit kemudian. Tiga divisyen terakhir yang bakal ditubuhkan (Divisyen Ke-11, Ke-20 dan Ke-21) tidak pernah dibentuk sepenuhnya dan tidak terlibat dalam pertempuran.

Divisyen 1 Fallschirmjäger telah dibentuk sebelum perang pada tahun 1938 dan merupakan unit 'elit' Fallschirmjäger yang original. Unit inilah yang bertanggungjawab atas kesemua kemenangan awal payung terjun Jerman dan selepas itu perjuangan defensif yang mengukuhkan reputasi Fallschirmjägers dalam peperangan. Divisyen ini kekal sehingga penyerahan kalah Jerman di Itali pada 2 Mei 1945, hanya seminggu sebelum Akhir Perang Dunia II di Eropah.

Divisyen Ke-2 Fallschirmjäger telah dibentuk pada awal tahun 1943 menggunakan teras veteran dari Divisyen 1, ia juga terlatih dan dianggap formasi elit. Ia berjuang dengan cemerlang di Ukraine pada hujung tahun 1943, membantu membendung beberapa serangan besar Rusia. Pada tahun 1944 divisyen tersebut berjuang di barat Perancis. Didalam satu pertempuran yang terkenal, askar Rejimen Ke-6 yang kekurangan menentang askar payung terjun Divisyen 101 Airborne Amerika dalam Pertempuran Carentan dan sekitar Saint Lo. Majoriti divisyen ini telah terputus dan terkepung di Brest semasa pengunduran Jerman dari Perancis. Jumlah kurang daripada jumlah penyerang tetapi dibekalkan dengan cukup, mereka bertahan selama sebulan setengah terhadap serangan bertalu-talu semasa Pertempuran untuk Brest, sebelum penyerahan akhir bandar tersebut pada September 1944. Divisyen Ke-3 dan Ke-4 Fallschirmjäger telah dibentuk pada akhir tahun 1943, daripada teras veteran Divisyen 1 dan Ke-2. Divisyen Ke-4 juga mengandungi askar payung terjun Itali dari Divisyen 184 Airborne Nembo. Masih menerima kelengkapan kelas pertama dan latihan seperti unit yang terdahulu, Divisyen Ke-3 dan Ke-4 mencipta rekod tempur yang menakjubkan, masing-masing, di Barisan Barat dan di Itali. Divisyen Ke-3 berjuang dengan cemerlang sewaktu Kempen Normandy tetapi telah terputus dan hampir musnah dalam Kelompok Falaise pada Ogos 1944 oleh pengeboman udara yang besar. Ia kemudian dibentuk semula dan dilihat beraksi dalam Pertempuran Arnhem, akhirnya menyerah diri kepada tentera AS pada April 1945. Divisyen Ke-4 berjuang secara eksklusif di Barisan Itali termasuk Pertempuran Anzio, Rom dan di Garisan Gothic. Ia menyerah kepada tentera Bersekutu pada April 1945.

Divisyen Ke-5, Ke-6 dan Ke-7 Fallschirmjäger telah dibentuk pada tahun 1944 di Perancis dan berjuang di barisan barat sebagai infantri biasa. Divisyen Ke-5 adalah unit terakhir yang mendapat latihan penuh Fallschirmjäger dan mendapat pencapaian penting kerana menjadi salah sebuah unit German yang mencapai objektifnya semasa Pertempuran Bulge.[10] Kekurangan latihan intensif daripada unit-unit sebelum ini, Divisyen Ke-6 dan Ke-7 mempunyai prestasi tempur yang bercampur-campur. Divisyen Ke-5 sebahagian besarnya telah ditawan dalam Kelompok Ruhr pada April 1945, manakala Divisyen Ke-6 dan Ke-7 menyerah diri di pengakhiran perang pada bulan Mei.

Divisyen Ke-8, Ke-9 dan Ke-10 adalah Fallschirmjäger yang pada nama sahaja, kerana mereka dibentuk secara tergesa-gesa pada tahun 1945 daripada pengumpulan berbeza unit-unit Luftwaffe, termasuk krew darat. Tidak terlatih dan kebanyakkannya tidak bersedia, mereka berjuang dengan musuh yang lebih kuat di Barisan Timur dan di dalam Jerman sendiri. Divisyen Ke8 berjuang di Belanda sebelum dimusnahkan dalam Kelompok Ruhr. Divisyen Ke-9 berjuang didalam Pertempuran Seelow Heights dan dalam Pertempuran Berlin sebelum dimusnahkan pada April 1945, Divisyen Ke-10 kekal sehingga mereka menyerah kepada tentera Soviet pada Mei 1945.

Divisyen Ke-11, Ke-20 dan Ke-21 hanya wujud di atas kertas sahaja, tidak pernah dibentuk sepenuhnya.

Pakaian seragam dan kelengkapan[sunting | sunting sumber]

Seorang askar payung terjun bersembunyi sambil meneropong melalui rifel automatik FG 42.

Fallschirmjäger telah dianugerahkan Fallschirmschützenabzeichen, lencana payung terjun yang berbentuk seekor helang emas sedang menjunam sambil mencengkam lambang swastika.

Satu versi khas helmet besi Wehrmacht' telah dikeluarkan untuk unit Fallschirmjäger.

Payung terjun yang digunakan oleh Fallschirmjäger dalam Perang Dunia II digantung daripada abah-abah melalui tali tunggal, maknanya payung terjun itu mempunyai kawalan penurunan yang lebih kurang daripada dengan abah-abah tali berkembar yang digunakan oleh payung terjun British dan Amerika. Paratrooper terpaksa melonjakkan diri mereka kedepan daripada kapal terbang, dan menyebabkan kedudukan muka kebawah apabila gelongsor dibuka, kawalan menjadi hampir mustahil. Keperluan mendarat dengan lutut dan siku mengurangkan jumlah kelengkapan yang dibawa dan meningkatkan risiko kecederaan. Untuk mengeluarkan abah-abah payung terjun mereka, memerlukan askar payung terjun berdiri tegak tanpa bergerak selama 80 saat. Akibatnya, mereka terjun dengan hanya bersenjatakan sepucuk pistol bersarung dan sepucuk "pisau graviti" kecil. Rifel dan senjata lain telah dijatuhkan dalam bekas berasingan dan, sehingga ia ditemui, askar-askar ini tidak cukup senjata. Selepas pencerobohan Crete, kesilapan ini telah diperbetulkan, dengan abah-abah payung terjun yang diubah suai untuk membolehkan ia dikeluarkan semasa tertiarap dalam masa 10 saat; dan askar paracut terjun dengan bersenjatakan senjata automatik peribadi.[11]

Unit-unit Fallschirmjäger biasanya serba serbi lengkap; mereka mempunyai akses kepada senjata terbaik tentera Jerman. Mereka adalah antara unit tempur pertama yang menggunakan raifal gempur dan senjata tak anjal dalam pertempuran. Fallschirmjäger juga mudah menggunakan beberapa senjata ringan terbaik buatan asing. Submesingan MP40 dan rifel automatik FG 42, yang menggabungkan kuasa tembakan mesingan dengan ciri-ciri pengendalian rifel infantri standard, telah dibangunkan khas untuk paratrooper.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Ailsby, Christopher (2000). Hitler's Sky Warriors: German Paratroopers in Action, 1939-1945. Staplehurst, UK: Spellmount Limited. ISBN 1-86227-109-7. 

Bell, Kelly. "Costly Capture Of Crete." World War II 14.1 (1999): 50. MasterFILE Complete. Web. 22 Oct. 2014.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Green Devils: German Paratroopers 1939-1945 By Jean-Yves Nasse, W. Muhlberger, G. Schubert, Jean-Pierre Villaume,
  2. ^ Ailsby, 16
  3. ^ Ailsby, 21
  4. ^ a b c Ailsby, 22
  5. ^ Ailsby, 23
  6. ^ a b Ailsby, 26
  7. ^ Murray, Williamson. "Airborne Comes Of Age." World War II 18.7 (2004): 26. MasterFILE Complete. Web. 22 Oct. 2014.
  8. ^ McNab, Chris. German Paratroopers: The Illustrated History of the Fallschirmjäger in World War II. London: Aurum, 2000. Print.
  9. ^ http://www.feldgrau.com/1FJD.htm
  10. ^ http://www.historicalwarmilitariaforum.com/topic/8-gliederung-5-fallschirmj%C3%A4ger-division/
  11. ^ Comparison of the Invasion of Crete and the Proposed Invasion of Malta, by S Kavanaugh, 1994 http://www.dtic.mil/cgi-bin/GetTRDoc?Location=U2&doc=GetTRDoc.pdf&AD=ADA452022