Grand Canyon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

36°13′38″N 112°20′7″W / 36.22722°N 112.33528°W / 36.22722; -112.33528

Grand Canyon
ڠاراي أݢم
Pandangan Sungai Colorado mengalir melalui Grand Canyon daripada Hermit's Rest.
Grand Canyon is located in Bumi
Grand Canyon
Grand Canyon (Bumi)
Floor elevationKira-kira 2,600 kaki (800 m)
Long-axis length277 batu (446 km)
Lebar4 hingga 18 batu (6.4 hingga 29.0 km)
Koordinat36°06′N 112°06′W / 36.1°N 112.1°W / 36.1; -112.1Koordinat: 36°06′N 112°06′W / 36.1°N 112.1°W / 36.1; -112.1

Grand Canyon ialah sebuah ngarai yang amat curam dan berwarna-warni yang diukir oleh Sungai Colorado di negeri Arizona, Amerika Syarikat. Sebahagian besarnya terangkum dalam Taman Negara Grand Canyon — salah satu taman negara yang awal di Amerika Syarikat. Presiden Theodore Roosevelt ialah penyokong utama kawasan Grand Canyon dan yang banyak kali mengunjunginya untuk memburu serta untuk menikmati pemandangannya.

Ia dicipta oleh Sungai Colorado yang memotong sebatang saluran melebihi enam juta tahun dahulu. Ngarai ini 277 batu (446 kilometer) panjangnya, dengan lebarnya 4 - 18 batu (6.4 - 24 kilometer) dan dalamnya melebihi sebatu (1.6 kilometer). Hampir dua bilion tahun sejarah Bumi didedahkan ketika Sungai Colorado dan cawang-cawangnya memotong lapisan demi lapisan enapan apabila penara-penara Colorado terjulang.

Penglihatan tercatat Grand Canyon yang pertama oleh seorang Eropah adalah pada tahun 1540 oleh García López de Cárdenas dari Sepanyol. [1] Grand Canyon umumnya tidak diketahui sehingga selepas Perang Saudara Amerika Syarikat. Pada tahun 1869, Mejar John Wesley Powell, seorang bekas perajurit Perang Saudara satu tangan yang haus akan sains dan pengembaraan, membuat perjalanan perintis merentasi Grand Canyon melalui Sungai Colorado. Beliau mencapai perbuatan ini bersama-sama sembilan orang lelaki di dalam empat bot papan, walaupun hanya enam lelaki menyiapkan perjalanan mereka. Sejauh yang diketahui, kumpulan ini merupakan kumpulan pertama yang pernah membuat perjalanan sebegini. Powell merujuk kepada batuan-batuan enap sebagai "halaman-halaman sebuah buku cerita yang agung". Jauh sebelum itu, kawasan Grand Canyon dihuni oleh orang asli Amerika yang membina petempatan-petempatan mereka di dalam tembok ngarai serta gua-guanya.

Pemandangan dari Lingkaran Utara Grand Canyon.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Grand Canyon sebagaimana dilihat dari Lingkaran Selatan, 2003.

Muka bumi ngarai ini ialah sebuah sesaran atau gelinciran yang amat besar panjang di Penara Colorado yang mendedahkan strata Proterozoik dan Paleozoik yang terjulang. Panjangnya Grand Canyon di sesetengah bahagian melebihi sebatu (1,609 meter) dalamnya. Walaupun demikian, ia bukannya ngarai yang paling dalam di dunia. Kedua-dua Barranca del Cobre di Mexico Utara dan Ngarai Hell di Idaho adalah lebih dalam, akan tetapi ia terkenal untuk saiznya yang amat besar serta pandangan daratnya yang rumit dan berwarna-warni. Pemandangannya dari lingkaran yang ditawarkan kepada para pelancong tidak dapat ditandingi di seluruh dunia. Dari segi geologi, ia sangat bererti kerana jujukan batuan purba yang tebal yang dikekalkan dengan indah dan yang terdedah pada tembok-tembok ngarai. Lapisan-lapisan batuannya mencatatkan banyak sejarah geologi benua Amerika Utara yang awal. Grand Canyon juga merupakan salah satu contoh hakisan semula jadi yang paling hebat di seluruh dunia.

Julangan yang dikaitkan dengan penciptaan gunung kemudian mengalihkan endapan-endapannya ribuan kaki naik ke atas untuk mencipta Penara Colorado. Kawasan penyairan Sungai Colorado yang lebih tinggi ini telah menyebabkan lebih banyak hujan, walaupun masih tidak mencukupi untuk mengubahkan keadaan kawasan Grand Canyon yang separuh gersang. Penjulangan Penara Colorado adalah tidak rata, dengan Penara Kaibab di Lingkaran Utara seribu kaki (kira-kira kurang 300 meter) lebih tinggi berbanding dengan kawasannya di Lingkaran Selatan. Penara Kaibab ini yang terletak pada arah utara-selatan dibelah dua oleh Grand Canyon. Fakta bahawa Sungai Coloradi melengkung mengelilingi bahagian Lingkaran Utaranya tetapi lebih rapat dengan bahagian Lingkaran Selatannya juga boleh dijelaskan melalui asimetrinya.

Ivo Lucchitta daripada Survei Geologi Amerika Syarikat merupakan orang pertama untuk mencadangkan bahawa oleh sebab Sungai Colorado berkembang sebelum hakisan yang bererti bermula di kawasan ini, ia sewajarnya akan merentasi atau mengelilingi Julangan Kaibab dengan mengikut "balapan lumpa" di selatan bahagian penara yang tertinggi. Hampir semua larian air dari Lingkaran Utara (yang mendapat lebih banyak hujan dan salji) mengalir menuju ke Grand Canyon, manakala kebanyakan larian air penara di belakang Lingkaran Selatan mengalir menjauhi ngarai (mengikut kesengetan umum). Hakikatnya ialah olak-olak air cawang dan ngarai-ngarai yang lebih dalam dan panjang pada sebelah utara dan ngarai-ngarai yang lebih pendek dan curam pada sebelah selatan.

Suhu-suhu di Lingkaran Utara umumnya adalah lebih rendah berbanding dengan suhu-suhu di Lingkaran Selatan kerana ia lebih tinggi (8,000 kaki (2,438 meter) [2] pada puratanya di atas aras laut). Hujan lebat adalah biasa di kedua-dua lingkaran pada bulan-bulan musim panas. Pemasukan ke Lingkaran Utara melalui laluan utama yang menuju ke ngarai (Laluan Negeri Arizona 67) adalah terbatas pada musim sejuk, akibat penutupan banyak jalan raya. Lingkaran Utara cenderung memberikan pemandangan-pemandangan kawasan ngarai luas terbentang yang lebih baik berbanding dengan pemandangan dari Lingkaran Selatan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Sejarah Penara Colorado
  2. ^ "Nature & Science". Perkhidmatan Taman Negara. Januari 2007. Dicapai pada 2007-03-29.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • George Wuerthner (1998). Grand Canyon: A Visitor's Companion. Stackpole Books.
  • Joseph Wood Krutch (1957). Grand Canyon: Today and All Its Yesterdays.
  • Stephen J. Pyne (1998). How the Canyon Became Grand. Penguin.
  • L. Greer Price (1999). An introduction to Grand Canyon Geology. Grand Canyon Association. ISBN 0-938216-68-6.
  • Michael F. Anderson (2001). Along the Rim. Grand Canyon Association. ISBN 0-938216-75-9.
  • Christa Sadler (2006). Life in Stone. Grand Canyon Association. ISBN 0-938216-81-3.
  • Thomas M. Myers and Michael P. Ghiglieri (2001). Over the Edge: Death in Grand Canyon. Puma Press. ISBN 0-9700973-1-X.
  • Macarthur Job (2001). Air Disaster Volume 4: The Propeller Era. Aerospace Publications. ISBN 1-875671-48-X.
  • Edward Dolnick (2001). Down the Great Unknown : John Wesley Powell's 1869 Journey of Discovery and Tragedy Through the Grand Canyon. HarperCollins.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]