Pergi ke kandungan

Salji

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Salji terkumpul pada pucuk ranting pokok di Perancis

Salji (Jawi: ثلجي) atau salju (Jawi: ثلجو‎) ialah butir-butir hablur halus ais yang membeku dan turun berenyai dan mungkin lama-lama lebat terkumpul di permukaan bumi;[1] fenomena ini berlaku di luar kawasan-kawasan beriklim tropika kecuali gunung-ganang yang berketinggian rata-rata lebih 3000 meter dari paras laut.[2] Salji terbentuk apabila titisan-titisan wap air kecil dengan diameter sekitar 10 μm membeku kerana melalui aras atmosfera yang tinggi di bawah suhu kurang daripada 0-0.5 darjah Celsius,[3]:995 molekul-molekul air meresap kepada titisan beku dalam wap dan berkumpul dan membesar menjadi kepingan yang turun ke bumi.[4] Kepingan-kepingan yang turun ini mempunyai struktur terbuka yang lembut gebu beraneka rupa melainkan jika ditekan luar.

Halusnya sering diperikan orang-orang yang mengalaminya di kawasan-kawasan luar tropika seperti berikut:

Bagi orang jang beloem pernah melihat pemandangan seroepa itoe, apabila ija melihat saldjoe jang terdjatoeh itoe, tak dapat tijada akan menjangkakan bahwa jang berhamboeran itoe goelalah, dan barangkali djoega akan diketjapnja. Tetapi baharoe sahadja dimasoekkannja ke moeloetnja tentoe ija akan merasa bahwa itoe boekannja goela melainkan air belaka jang soedah mendjadi bekoe sebab terlampau sedjoek...

— 'Ilmoe doenija (1919) karangan Nicolaas Heertjes diterjemahkan Moehammad Sjafei, m/s. 197. Commissie Voor De Volkslectuur.

Ia juga boleh dibuat dengan embun beku yang jatuh dari permukaan terbentuk, atau partikel kabus beku yang jatuh dibentuk apabila kelembapan pada permukaan udara mula membeku pada suhu sangat rendah. Salji kurang padat berbanding dengan air hujan yang bermaksud jumlah lembapan yang sekata akan menghasilkan salji dengan isipadu yang lebih banyak, kemudian barulah hujan. Satu peraturan adalah bahawa air dalam lapan unit salji bersamaan dengan satu unit hujan.[perlu rujukan]

Salji dari angkasa

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Kata-kata salji dan salju dipinjam daripada kata Arab: ثَلج, rumi: thalj;[5] ia dahulunya pernah dieja sebagai thalji atau thalju sebelum dirombak Ejaan yang Disempurnakan pada tahun 1972.[perlu rujukan]

Litupan salji di puncak Gunung Saveq, Taiwan.

Bahasa Proto-Austronesia yang leluhur kepada bahasa Melayu mempunyai perkataan *SuReNa [suʀəʎa] hasil penelusuran semula kata-kata semaksud dalam bahasa-bahasa serumpun yang dituturkan di pulau Taiwan[6] kerana kawasan Banjaran Tengah pulau tersebut diperhatikan adanya salji pada musim sejuk. Namun, kata ini difahamkan lenyap seiring penghijrahan orang-orang Austronesia menuju arah selatan yang beriklim tropika.[7]:464-465

Salji di Afghanistan

Salji yang terbentuk boleh terkumpul dan beredar dalam alam sekitar melalui beberapa keadaan:

  • salji ringan boleh dibawa angin dari kawasan turunan lalu tersebar mengumpul secara jauh berasingan di endapan agak dalam yang padat[8][9]
  • padatan boleh terkumpul di kawasan mencuram lalu boleh runtuh (sebagai runtuhan salji) dengan bertambahnya salji yang meningkatkan isipadu dan jisim menguat
  • bertambah masuk dalam sungai-sungai dari sumber beraltitud tinggi di mana ia mencair lalu boleh meningkatkan isipadu yang membanjir,[10]
  • menurun dalam lurah-lurah muka bumi keras lalu memadat sebagai glasier.

Kesan terhadap manusia

[sunting | sunting sumber]
Salji selama musim dingin di Holme, Yorkshire Barat, England

Turunan salji mempengaruhi kegiatan seharian manusia dalam beberapa aspek:

Pengangkutan

[sunting | sunting sumber]
Salji di Stesen Keretapi Luxembourg

Salji boleh terkumpul padat pada permukaan jalan raya dan landasan baik kereta api atau pesawat lalu melicin dan menjejaskan daya geseran kenderaan yang mencengkam. Salji yang terkumpul ini lazim ditolak buang menggunakan jentolak khas jika ia cukup tebal. Sambil itu juga, roda tayar kenderaan akan dipasangkan cengkaman khas agar sebarang kemungkinan gelinciran dapat dielakkan.

Pertanian

[sunting | sunting sumber]

Salji boleh menebat haba permukaan lalu boleh mengekalkan tumbuhan yang tertanam sepanjang musim turunnya salji ini. Salji cair juga boleh menjadi sumber pengairan kepada tanaman melalui sungai dan terusan.

Atap-atap petempatan yang mendapat salji di persekitarannya mengikut iklim setempat dibina agar boleh menampung berat turunan salji yang terkumpul. Salji boleh melekat pada kabel kuasa lalu memberat dengan risiko memutuskan bekalan elektrik setempat.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Hobbs, Peter V. (2010). Ice Physics. Oxford, England, UK: Oxford University Press. m/s. 856. ISBN 978-0199587711.
  2. ^ Barry, Roger G. (2013). Mountain Weather and Climate (ed. 2). New York, A.S.: Routledge. ISBN 978-1-134-91095-3.
  3. ^ L'hôte, Yann; Chevallier, Pierre; Coudrain, Anne; Lejeune, Yves; Etchevers, Pierre (December 2005). "Relationship between precipitation phase and air temperature: comparison between the Bolivian Andes and the Swiss Alps / Relation entre phase de précipitation et température de l'air: comparaison entre les Andes Boliviennes et les Alpes Suisses". Hydrological Sciences Journal. 50 (6): 989–997. doi:10.1623/hysj.2005.50.6.989.
  4. ^ Klesius, M. (Januari 2007). "The Mystery of Snowflakes". National Geographic. Jil. 211 no. 1. m/s. 20. ISSN 0027-9358.
  5. ^ Versteegh, Kees (2003). "The Arabic component of the Indonesian lexicon". Depok, Kuala Lumpur: Fakultas Ilmu Pengetahuan Budaya Universitas Indonesia, Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s. 222.
  6. ^ Blust, Robert; Trussel, Stephen (2010). "*SuReNa: snow". Austronesian Comparative Dictionary. Dicapai pada 16 November 2021.
  7. ^ Blust, Robert (1995). "The Prehistory of the Austronesian-Speaking Peoples: A View from Language". Journal of World Prehistory. 9 (4): 453–510. ISSN 0892-7537.
  8. ^ Joy Haden (Februari 8, 2005). "CoCoRaHS in the Cold – Measuring in Snowy Weather" (PDF). Colorado Climate Center. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada Julai 18, 2011. Dicapai pada Julai 12, 2009.
  9. ^ Caroline Gammel (Februari 2, 2009). "Snow Britain: Snow drifts and blizzards of the past". Telegraph Media Group. Diarkibkan daripada yang asal pada Februari 5, 2009. Dicapai pada Julai 12, 2009.
  10. ^ Howard Perlman (Mei 13, 2009). "The Water Cycle: Snowmelt Runoff". United States Geological Survey. Diarkibkan daripada yang asal pada Ogos 13, 2009. Dicapai pada Julai 7, 2009.