Intelektual

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Intelektual ialah orang yang menggunakan inteleknya untuk bekerja, belajar, membayangkan, mengagak, atau menyoal dan menjawab soalan tentang berbagai-bagai idea. Secara amnya, terdapat tiga takrif moden untuk istilah "intelektual", iaitu:

  1. mereka yang amat terlibat dalam idea-idea dan buku-buku;
  2. mereka yang mempunyai kepakaran dalam budaya dan seni yang memberikan mereka kewibawaan kebudayaan, dan yang kemudian mempergunakan kewibawaan itu untuk bertutur tentang perkara-perkara lain di khalayak ramai. Golongan ini dipanggil sebagai "intelektual kebudayaan".
  3. dari segi Marxisme, mereka yang tergolong dalam kelas pensyarah, guru, peguam, wartawan, dan sebagainya.

Oleh itu, intelektual sering dikaitkan dengan mereka yang berkelulusan universiti. Bagaimanapun, Sharif Shaary, dramatis Malaysia yang terkenal, mengatakan bahawa hakikatnya tidak semudah itu. Beliau berkata:

"Belajar di universiti bukan jaminan seseorang boleh menjadi intelektual... seorang intelektual itu adalah seorang pemikir yang sentiasa berfikir dan mengembangkan [serta] menyumbangkan ideanya untuk kesejahteraan masyarakat. Dia juga adalah seorang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisis, merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia, terutama masyarakat di mana dia hadir khususnya dan di peringkat global amnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu. Lebih daripada itu, seorang intelektual juga adalah seorang yang kenal akan kebenaran dan berani pula memperjuangkan kebenaran itu, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali kebenaran, kemajuan, dan kebebasan untuk rakyat." [1]


Intelektual bisu dan palsu[sunting | sunting sumber]

Sharif Shaary menegaskan bahawa seorang "intelektual" bukan hanya sekadar berfikir tentang kebenaran tetapi harus menyuarakannya, walau apapun rintangannya. Seorang intelektual yang benar tidak boleh berkecuali, dan harus memihak kepada kebenaran dan keadilan. Dia "tidak boleh menjadi intelektual bisu, kecuali dia betul-betul bisu atau dibisukan".

Kalau intelektual itu betul-betul bisu pun, dia masih boleh bertindak dengan menyatakan fikiran melalui penulisan yang akhirnya akan sampai juga kepada orang ramai. Inilah yang dikatakan intelektual bisu yang tidak bisu. Sebaliknya, terdapat intelektual yang tidak bisu tetapi bisu. Dia menjadi bisu mungkin kerana "dia takut atau berkepentingan". [1]

Intelektual palsu akan mengabui mata dan minda rakyat dengan kebenaran palsu melalui menyelewangkan fakta dan pernyataan-pernyataan yang mengelirukan. Intelektual palsu banyak menggunakan retorik-retorik kosong. [1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 1.2 Faizal Yusup. Bicara tentang Mahathir, Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd (2004). ISBN 983-2567-30-0

Pautan luar[sunting | sunting sumber]