Johari Salleh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Dato' Johari Salleh merupakan seorang maestro muzik yang cukup terkenal di Malaysia pada era 70an dan 80an. Beliau dilahirkan pada 9 Februari 1939 di Geylang, Singapura. Anak lelaki kepada keluarga Mohd Salleh Bin Mohamad berasal dari Melaka dan Puan Munarah Shuib, berasal dari Singapura. Johari merupakan salah seorang pelopor kepada Orkestra RTM.[1]

Adiknya, Elmi Salleh juga merupakan seorang penyanyi di Singapura.

Penglibatan[sunting | sunting sumber]

Beliau mula belajar muzik dan menggubah lagu daripada ayahnya sendiri serta dari seorang guru muzik bernama Saaban Saliman. Pada tahun 1968 Johari Salleh mendapat Diploma in Music (Composition and Arrangement) daripada Berklee College of Music, Boston, USA. Sebahagian besar daripada kerjaya muzik beliau tertumpu di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Bermula sebagai Pemuzik Tetap Radio Malaya pada tahun 1961, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM pada tahun 1976.

Pada tahun 1983 beliau meninggalkan RTM dan menjadi Pengarah Urusan Syarikat Josal Music Sdn Bhd sehingga tahun 1986. Seterusnya beliau menjadi Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1987-2000) dan Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2001-2004). Kemudian beliau berkhidmat sebagai Felo Tamu Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai 2004 hingga 2008. Pada masa sekarang Dato’ Johari Salleh berkhidmat sebagai Felo Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar, UKM.

Beliau banyak berkarya dalam bentuk muzik simfonik untuk digunakan oleh orkestra-orkestra besar seperti dari Sepanyol, Orkestra Sinfoni Kebangsaan Malaysia dan Kuala Lumpur Symphony Orchestra. Beberapa karya simfoni Dato’ Johari Salleh pernah dipersembahkan oleh The New York Symphonic Ensemble, Singapore Symphony Orchestra, St.Pittersburg Philharmonic Orchestra dari Russia dan Cadaquez Symphony Orchestra. Di antara sumbangan beliau di dalam lagu-lagu tanahair adalah lagu UMNO `Bersatu Bersedia Berkhidmat' (1986)[2], serta lagu-lagu komersial untuk penyanyi popular era 70-an dan 80-an seperti Tan Sri S.M. Salim, Suhaili Shamsuddin, Frankie Cheah, M Rizal, Yasmin Yusuff, Herman Tino, Hanafiah Yunus, Shidee dan Rahimah Rahim.

Pada 9 Ogos 2010, Dato’ Johari Salleh dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian) di sesi kelima Majlis Konvokesyen UKM ke-38 oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir, Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Johari Salleh ikon muzik orkestra". Utusan Malaysia. 24 Disember 2017. Dicapai 24 Jun 2018. 
  2. ^ Hakim, Akmal (11 Disember 2015). "Komposer muzik dedah inspirasi cipta tiga dekad lagu Umno". The Rakyat Post. Dicapai 24 Jun 2018. 
  3. ^ Nasir, Abdul Ghani (4 Ogos 2010). "Konvokesyen ke-38 catat sejarah : 233 lulus Ph.D". UKM Berita Portal. Dicapai 24 Jun 2018. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]