Kanabis di Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Rencana ini menghuraikan tentang status dan taraf penggunaan kanabis/ganja di Malaysia. Penggunaan ganja secara rekreasi dalam perundangan Malaysia memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi pengedar dadah yang disabitkan kesalahan. Individu yang ditangkap memiliki 200 gram (tujuh auns) ganja dianggap oleh undang-undang sebagai mengedar dadah. Individu yang ditangkap memiliki 50 gram (1.5 auns) atau kurang akan dihukum penjara.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Selepas penguasaan British ke atas Melaka Belanda, British pada 1826 telah menaikkan cukai daripada pengeluaran bhang.[2] Sekatan ganja di Malaysia bermula sejak Ordinan Dadah Berbahaya 1952 di Malaya British sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.[3]

Cubaan penghalalan ganja perubatan[sunting | sunting sumber]

Pada 2018, kritikan orang ramai terhadap satu hukuman mati yang dijatuhkan kepada seorang lelaki berusia 29 tahun, Muhammad Lukman Mohamad menerbitkan perbincangan di Malaysia berkenaan potensi menghalalkan ganja bagi kegunaan perubatan, yang boleh menjadikan Malaysia antara negara-negara Asia terawal yang berbuat demikian. Kabinet Malaysia sebelum ini turut membincangkan nilai perubatan ganja dalam mesyuarat September 2018 dan memulakan perbincangan awal dan tidak rasmi mengenai meminda undang-undang berkaitan.[4][5] Walau bagaimanapun, setakat kini, rancangan sedemikian tidak menjadi kenyataan, dan sejak itu Malaysia telah bertukar kerajaan dalam keadaan yang tidak berkaitan. Pada Februari 2021, Muhammad Lukman dilepaskan daripada hukuman gantung selepas rayuannya diterima di Mahkamah Persekutuan (Muhammad Lukman Mohamad lwn PP, [2021] 7 CLJ 524), dan sebaliknya menerima hukuman penjara.[6]

Semasa sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12, Ahli Parlimen Syed Saddiq mencadangkan kajian semula berkenaan penggunaan ganja dalam perubatan. Beliau memetik kemungkinan penggunaan sebagai rawatan perubatan alternatif bagi belia yang mengalami masalah kesihatan mental, sambil menyatakan jangkaan pertumbuhan industri ini kepada lebih RM400 bilion dalam 4 tahun akan datang daripada kutipan tahunan semasa sebanyak RM60 bilion.[7] Dalam hal ini, Ketua Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa tiada halangan berkenaan penggunaan produk kesihatan berasaskan kanabis dengan kebenaran (maklumat lanjut di bawah).[8]

Huraian undang-undang[sunting | sunting sumber]

Ganja adalah tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952, dan diharamkan dalam akta tersebut bagi kegunaan, pengedaran serta pemilikan. Bahan-bahan ganja ini termasuk resin terbitan ganja ("resin ganja" seperti dalam akta). Peruntukan pengharaman adalah seperti yang berikut:

Pengharaman ganja berdasarkan Akta Dadah Berbahaya 1952
Jenis kesalahan Hukuman Peruntukan
Pemilikan Am
  • Denda tidak lebih RM20,000; atau,
  • Penjara tidak lebih lima tahun; atau,
  • Kedua-duanya.
Seksyen 6
20 ke 50 gram
  • Penjara selama dua ke lima tahun; dan,
  • Tiga ke sembilan sebatan.
Seksyen 39A (1)(f,g,h)
Lebih 50 gram
  • Penjara seumur hidup; atau,
  • Penjara sekurang-kurangnya lima tahun; dan,
  • Paling kurang 10 sebatan.
Seksyen 39A (2)(f,g,h)
Lebih 200 gram Seksyen 37 dan 39B
Pengedaran
Penanaman
  • Penjara seumur hidup; dan,
  • Paling kurang enam sebatan
Seksyen 6B
Pengimportan/Pengeksportan
  • Penjara selama tiga ke lima tahun.
Seksyen 4 dan 5

Walaupun begitu, terdapat pengecualian; dalam Seksyen 6B (2), Menteri Kesihatan berhak memberi kebenaran kepada mana-mana pegawai awam untuk menggunakan ganja bagi tujuan penyelidikan, pembelajaran, eksperimen atau perubatan berdasarkan terma dan syarat yang boleh ditetapkan dalam kebenaran.[9] Pada 2017, satu pemindaan dilakukan terhadap Akta Dadah Berbahaya dengan memasukkan bahagian baharu, Seksyen 39B (2A) yang menetapkan hukuman alernatif bersyarat bagi pemilikan lebih 200 gram ganja, yang dikira sebagai pengedaran dadah.[10]

Selain itu, kanabis juga tertakluk kepada Akta Racun 1952 sebagai suatu racun terkawal. Penjualan produk perubatan berasaskan ganja tanpa kebenaran sah merupakan suatu kesalahan berdasarkan Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952, dengan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Malaysia, Travel.state.gov, diarkibkan daripada yang asal pada 2011-02-17, dicapai pada 2011-02-17
  2. ^ Samuel John Smith (1871). The Siam Repository: Containing a Summary of Asiatic Intelligence. Printed at S. J. Smith's office. m/s. 86–.
  3. ^ Bashir Ahmad Mallal (1996). The Malayan Law Journal. Malaya Publishing House Limited.
  4. ^ "Malaysia in talks to become first in Asia to allow medicalpot". Bloomberg.
  5. ^ hermesauto (26 September 2018). "Malaysia in talks to become first in Asia to allow medical marijuana". Straits Times.
  6. ^ "'Dr Ganja' terlepas tali gantung". Malaysiakini. 17 Februari 2021. Dicapai pada 25 November 2021.
  7. ^ "Consider allowing medical use of hemp, marijuana, Syed Saddiq urges govt". The Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-09-29.
  8. ^ Daud, Ridauddin (17 November 2021). "Tiada produk perubatan kanabis didaftarkan di Malaysia setakat ini - Khairy". Astro Awani. Dicapai pada 25 November 2021.
  9. ^ "Soalan Lazim : Kanabis (Cannabis)". Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Dicapai pada 25 November 2021.
  10. ^ "D.R. 45/2017, Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (2017), Pindaan Dalam Jawatankuasa". billwatcher.sinarproject.org. Dicapai pada 25 November 2021.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Akta Dadah Berbahaya, 1952 (Akta 234) & Peraturan-Peraturan. Kuala Lumpur: International Law Book Series. 2000.